Saturday, June 30, 2012

Dr Mursi, Presiden Mesir Yang Digeruni Israel








Dr Mursi, Presiden Mesir Yang Digeruni Israel


 Biodata Pof Dr. Muhammad Mursi


Dr. Muhammad Mursi lahir pada 20 Ogos 1951 di Wilayah As-Syarqiyah, di sebuah perkampungan Al-Udwah. Beliau hidup dalam sebuah keluarga sederhana yang mementingkan pendidikan Islam. Bapanya seorang petani dan ibunya seorang suri rumah. Berkahwin pada tahun 1978, mempunyai lima anak dan tiga cucu. Difahamkan kelima-lima orang anaknya adalah hafiz dan hafizah Al-Quran, malah beliau sendiri dan isterinya juga adalah hafiz/hafizah Al-Quran.


Di dalam dunia pendidikan Dr. Mursi telah melanjutkan pendidikannya di Universiti Cairo dalam bidang Kejuruteraan pada tahun 1970 hingga 1975. Selepas itu, beliau memperolehi Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Metalurgi di Universiti yang sama (Cairo) pada tahun 1978. Tahun yang sama beliau berangkat ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajarannya dan memperolehi Sarjana Kedoktoran, memperolehinya pada tahun 1982 di Universiti Southern California. 


Beliau dilantik untuk menjadi pensyarah di Universiti Southern California, kemudian menjadi pembantu Prof. di Universiti California-North Ridge. Setelah kembali dari Amerika Syarikat, beliau ditawarkan sebagai Profesor dan Ketua di Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material pada tahun 1985 hingga tahun 2000 di Universiti Zaqaziq.
--------------------------------------------------------------------------
Dakwah dan Politik


Dr. Mursi tidak hanya berkhidmat sebagai ahli akademik, malahan beliau turut terlibat ke gelanggang dakwah dan konsisten membela dan memperjuangkan keadilan dan kebebasan, menentang segala bentuk kezaliman dan kekejaman. Beliau yang aktif sebagai ahli Maktab Irsyad (Dewan Syura) Ikhwanul Muslimin ini, ikut bertarung dan terpilih sebagai ahli parlimen untuk tempoh 2000-2005. Dan pada pilihanraya parlimen 2005, Dr. Mursi meraih suara terbanyak, mengalahkan musuh politiknya daripada Nasional Demokratic Party (NDP) parti Mubarak,namun setelah keluar keputusan yang tidak berpihak kepadanya, hingga dilakukan pemilihan semula yang memenangkan parti Mubarak.


Permasalahan lain yang menjadi perhatian utamanya adalah berkaitan Palestin dan Al-Quds, sebagai permasalahan Umat Manusia yang mempunyai hati nurani, dan tidak hanya permasalahan Bangsa Palestin sahaja, tapi menjadi permasalahan bersama umat Islam. Dr. Mursi terpilih sebagai ahli Majlis Penentangan Terhadap Zionisme di Wilayah Syarqiyah. Selain itu, Dr. Mursi juga terlibat sebagai pengasas Jawatankuasa Mesir Menentang Projek Zionisme.


Dr. Muhammad Mursi sangat terkenal dalam bidang akademik melalui pelbagai kajian dalam bidang industri yang menyentuh pengeluaran hasil bumi Mesir, malah beliau mempunyai puluhan kajian dalam menyelesaikan kajian permukaan logam yang dianggap sebagai bidang utama kepakarannya, sehingga kajiannya diiktiraf oleh NASA pada tahun sekitar lapan puluhan yang lalu.
---------------------------------------------------------------------------
Penjara dan Penangkapan


Dr. Mursi merupakan di antara pendakwah yang bergiat cergas dalam Jemaah Ikhwanul Muslim, perjuangan, pengorbanan, diri, jiwa dan harta telah diwaqafkan dalam jalan dakwah. Sedar dengan akibat yang akan dihadapinya, melawan kezaliman rejim dan sistem kezaliman, penjara, pengusiran, dan sebagainya, adalah istilah yang tidak pernah lepas dari benak para pejuang seperti dirinya.


Sikapnya yang terus menentang tindakan dan perilaku rejim zalim, menyebabkan beliau sering ditangkap. Selepas terjadinya pemalsuan parlimen pada pemilihan tahun 2005, Dr. Mursi menjadi tulang belakang dalam melakukan demonstrasi dan menyokong kehakiman yang bebas. Akibatnya, pada 18 Mei 2006, beliau ditangkap bersama 500 orang anggota Ikhwanul Muslimin di depan bangunan Mahkamah Cairo dan bangunan mahkamah Al-Jala di ibu negara Cairo, dan akibatnya beliau telah diheret ke dalam jeriji besi selama 7 bulan.


Dr. Mursi juga pernah ditangkap bersama-sama dengan sebahagian besar pimpinan Ikhwanul Muslimin yang lain, pada hari Jumaat pagi 28 Januari 2011 yang terkenal sebagai Jumaat Amarah (Jumaat Al-Gadhab) supaya beliau tidak terlibat dengan demonstrasi. Tidak hanya beliau yang dizalimi, keluarganya turut menjadi sasaran penangkapan, anaknya Dr. Ahmad ditangkap di saat Dr. Muhammad Mursi mencalonkan diri pada pemilihan tahun 2000.


Sebagai satu pengiktirafan karier politik perjuangannya selama lima tahun, Majlis Syura Ikhwanul Muslimin telah memilihnya sebagai anggota Maktab Irsyad, dan pasca Revolusi Mesir. Majlis Syura Ikhwanul Muslimin juga memilihnya sebagai Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) iaitu sebuah parti yang ditubuhkan oleh Ikhwanul Muslimin.


Perlu diungkapkan kembali bahawa Ikhwanul Muslimin selama lebih kurang 80 tahun berjuang demi sebuah keadilan dan kebebasan. Selama itu pula mereka ditindas dan dizalimi. Telah banyak jiwa dan darah yang mengalir sepanjang beliau berdakwah, bermula dari pengasasnya Assyahid Imam Hassan Al Banna, yang syahid terbunuh secara misteri, malah saat kematian Hassan Al Banna menyaksikan pejuang Islam ini telah dilayan dengan keji oleh pemerintah, disusuli Sayyid Qutub, Muhammad Al- Farigili, Abdul Qadir Audah, hingga As-Syahid Nashir Uwais, dia antara pemuda Ikhwan yang syahid pada Revolusi 25 Januari 2011.


Hari ini tokoh pejuang Ikhwanul Muslimin, Dr. Muhammad Mursi telah dinobatkan sebagai Presiden Mesir yang baru menggantikan Hosni Mubarak yang telah digulingkan atas suara-suara akar umbi Dataran Tahrir yang telah menyalakan api perjuangan demi sebuah pembaharuan yang dikehendaki oleh rakyat Mesir sendiri.


Kini di pundak Dr Mursi tergalas segala keringat dan air mata malah percikan darah juga menjadi saksi revolusi yang dicetuskan oleh rakyat untuk mengangkat dirinya sebagai pemimpin yang diharapkan untuk melakukan perubahan seterusnya mengangkat martabat Islamiah. -locengwangsa


Peristiwa Hebat di Medan Tahrir


Ucapan Presiden : Dr. Muhammad Mursi


"Aku sangat yakin dengan kelebihan (kurniaan) Allah, kemudian aku yakin dengan kamu samua. Aku tidak takut melainkan kepada Allah, setelah itu aku bekerja untuk kamu dengan bersungguh-sungguh. Oleh itu, aku datang pada hari ini untuk bertemu rakyat Mesir setelah aku mendapat kepercayaan dan dipertanggungjawabkan dengan amanah. Aku datang untuk memperbaharui janji dengan kamu semua.


Aku ingatkan kamu semua, bahawa kamulah tujuan yang menjadi tempat untuk aku mulakan segalanya, setelah pertolongan Allah yang menyokongnya. Adakah kamu sudah bersedia? Adakah kamu bersama aku sehingga akhir bagi mendapatkan kembali hak-hak kita dan hak-hak kamu? Ini segalanya adalah kehendak kamu , setelah ia juga merupakan kehendak Allah.


*(Ketika berucap beliau membuka kodnya menandakan dia tidak memakai baju kalis peluru)


Ehsan dari : http://greenboc.blogspot.com/2012/06/dr-mursi-presiden-mesir-yang-digeruni.html?m=1


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia

Thursday, June 28, 2012

Persediaan Mencipta Kejayaan Di Bulan Ramadhan




السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sahabat yang dikasihi sekelian...
Hanya tinggal lebih kurang 3 minggu sahaja lagi, kita semua akan menyambut bulan Ramadhan Al Mubarak. Satu bulan yang amat special pada pandangan Allah dan juga Nabi kita Muhammad s.a.w serta para solihin. 
Mungkin ada yang bertanya, mengapa kita perlu membuat persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan???
Mungkin ada yang menjawab,  tentulah untuk memperolehi hasil kejayaan yang sepenuhnya pada bulan mulia ini.


Bulan Ramadhan adalah  bulan pengorbanan. Apa tidaknya di dalam bulan ini, kita terpaksa menghentikan segala amalan yang pernah kita lakukan sepanjang 11 bulan sebelum kedatangan Ramadhan al Mubarak ini. Di dalam bulan ini kita mengambil peluang sebaiknya untuk menggandakan ibadah kita kepada Allah, mempebanyakkan bacaan Al Quran, solawat, qiyamullail, bersedekah dan sebagainya.  


Sahabat yang dikasihi,
Ramai di kalangan kita yang telah melakukan yang terbaik sepanjang Ramadhan yang lalu. Namun apa yang agak malang, sebaik sahaja Ramadhan berlalu, segalanya kembali ke keadaan yang asal. Tiada lagi bacaaan al Quran, solawat, sedekah, zikir dan lain-lain. Seakan-akan semua amal ibadat itu hanya untuk dilakukan semasa Ramadhan.


Kenapa ini semua berlaku? antaranya ialah kerana kurangnya persediaan yang kita lakukan. Justeru itu kita gagal untuk   meraih keberkatan Ramadhan dan kita gagal menikmatinya kerana kita tidak mempunyai maklumat yang mencukupi yang mampu menjadikan kita benar-benar ikhlas dalam melakukan segala amalan sepanjang Ramadhan. Akhirnya apa yang kita perolehi adalah penat dan lelah dan tidak lebih dari itu.  


Nabi saw bersabda:


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ


“Barangsiapa yang berpuasa karena iman dan mengharap pahala dari Allah, maka akan dihapus segala dosa-dosanya yang telah lalu”. (Bukhari, Kitab Puasa, Bab Wujub al-Saumu Ramadhan, No. 1802)


Hadith ini dengan jelas menyatakan bahawa 'SYARAT' untuk amalan kita diterima dan dihapuskan segala dosa-dosa kita yang lalu ialah perlu adanya 'KEIKHLASAN' dan 'PENGHARAPAN' ganjaran pahala dari Allah dan bukan sama sekali mengharapkan pujian dan sanjungan dari manusia.


Bagi mereka yang benar-benar beriman, pastinya mereka  mempunyai perasaan tersangat rindu untuk menyambut kedatangan Ramadhan. Diriwayatkan bahawa: ulama salaf merindui bulan Ramadhan enam bulan sebelum datangnya Ramadhan. Gangguan-gangguan seperti anak-anak, suami, isteri, kerja & masalah keluarga boleh melemahkan dan menurunkan iman kita. 


Bagi memaksimakan pencapaian sepanjang Ramadhan, beberapa persedian perlulah dilakukan. Macam kita nak pergi perang. Mesti bersiap siaga sebelum tibanya masa untuk ke medan. Antara persediaan yang perlu kita lakukan adalah seperti:


1)   Membuat latihan awal (praktikal) sebelum tibanya Bulan Ramadhan


Sebelum tibanya Ramadhan kita perlu persiapkan minda kita. Minda kita harus bersedia dan jelas apa yang hendak kita capai sepanjang Ramadhan ini. Kita kena set minda kita bahawa Ramadhan tahun ini mesti lebih baik dari Ramadhan yang lalu. Kita mesti sentiasa mengucapkan kepada diri kita bahawa kita mesti capai objektif tersebut sepanjang Ramadhan ini.  Ini adalah merupakan satu   latihan awal bagi  memperolehi kualiti yang hebat dan mengekalkannya.  


Antara latihan awal yang digalakkan juga ialah  memperbaharui taubat.  Berlatih untuk cuba melakukan taubat sekerap yang mungkin  supaya sempurna ianya menjadi lebih sempurna. Setiap orang perlu bertaubat kerana dosa-dosa tersebut menjadi seperti tompok hitam jika kita tidak membersihkannya. Cara yang terbaik untuk menyucikannya adalah dengan bertaubat kepada Allah. Beberapa contoh perkara yang kita perlu bertaubat daripadanya:


a)    Menyalahgunakan lidah. Rasulullah pernah berdoa: “Aku memohon perlindungan dengan engkau daripada kejahatan lidahku”


b)   Mengumpat- perkara ini berlaku apabila kita bercakap tentang seseorang di belakang mereka, apabila mereka tidak menyukainya, walaupun apa yang diperkatakan adalah benar seperti mencaci, mengutuk dan sebagainya.


c)    Pembohongan- walaupun menambah tokok cerita semasa bercakap  dan tidak ada istilah ‘tipu sunat’ kerana penipuan tetap penipuan kecuali dalam tiga keadaan:


* Semasa peperangan
* Kerana mendamaikan di antara suami isteri
* Untuk kebaikan di antara dua orang muslim


d)   ‘ujub‘: perasaan bangga dan yakin akan kesempurnaan pada diri sendiri, tidak perlu berubah dan suka memuji diri sendiri.


e)    ‘Kibr‘: bongkak, merasai dirinya lebih baik daripada orang lain.


2)      Tingkatkan tahap motivasi. Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan ibadah ketika di bulan Rejab dan sya’ban lagi seperti mempertingkatkan solat nawafil (solat sunat) sebelum dan selepas solat fardhu. Ini harus dilakukan jika ia masih belum dipraktikkan lagi. Digalakkan juga melakukan Qiyamullail, mulai berpuasa sunat dari bulan Rejab dan Sya’ban kemudian membaca al-Quran selepas subuh. Untuk Berjaya melakukan semua ini, hendaklah:


Tidur awal agar dapat bangun awal untuk qiyamullail. Amalkan qailulah (tidur sedikit) atau rehat selepas zohor agar lebih bertenaga untuk beribadah. Pertingkatkan amalan zikir pagi dan petang dan jangan sesekali tinggalkan zikir harian.
Perbanyakkan doa terutama pada waktu mustajab berdoa seperti pada hari jumaat.


3) Latihan diri terutamanya dalam memelihara pancaindera (penglihatan, pendengaran, perbuatan dan pertuturan) agar sentiasa takut dan mengingati Allah. Dengan cara begini, dapat menyucikan jiwa seseorang. Ingatlah... Apa sahaja amal ibadat kita jika dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah, pasti akan dapat  membersihkan jiwa kita dan memberi kekuatan luar biasa dalam mengawal hawa nafsu dan keinginan yang kadangkala sukar untuk dikawal.


Anggota tubuh badan kita perlu melalui latihan yang berterusan sebelum datangnya  ramadhan.
1. Latihan Telinga Selalu mendengar al-Quran, hindari mendengar muzik yang melalaikan
2. Latihan Lidah Elakkan dari banyak bercakap, latihan diri untuk perbanyakkan zikir serta bermunajat kepada Allah.
3. Latihan Mata Elakkan dari memandang perkara-perkara maksiat.


Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada kita semua untuk mengamalkannya. Ameen!




Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia


Nota: sebahagian kandungan artikel ini adalah sedutan dari - http://www.fitrahpower.com/ahlan-ya-ramadhan/ - baarakallah fikum!

Saturday, June 16, 2012

KEAJAIBAN PERISTIWA ISRA' DAN MIKRAJ






Peristiwa Israk dan Mi'raj


1. Sebelum Israk dan Mikraj


Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.


2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):


Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:


i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan);






Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :


§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.


§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).


§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).


§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.


§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.


§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.


§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.


§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.


§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.


§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.


§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.


§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.


Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.


Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):


Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).


. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.


i. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.


ii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S. iii. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.
iv. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.


v. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.


vi. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).


vii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.


viii. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.


ix. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:


Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.


4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.


5. Selepas Mikraj


Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.


(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.


Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.


Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


Mafhum Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1). wallahua'lam.


Ehsan daripada - http://hafizanbukitabal.blogspot.com/2009/07/peristiwa-israk-dan-miraj.html


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...