Thursday, June 28, 2012

Persediaan Mencipta Kejayaan Di Bulan Ramadhan




السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sahabat yang dikasihi sekelian...
Hanya tinggal lebih kurang 3 minggu sahaja lagi, kita semua akan menyambut bulan Ramadhan Al Mubarak. Satu bulan yang amat special pada pandangan Allah dan juga Nabi kita Muhammad s.a.w serta para solihin. 
Mungkin ada yang bertanya, mengapa kita perlu membuat persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan???
Mungkin ada yang menjawab,  tentulah untuk memperolehi hasil kejayaan yang sepenuhnya pada bulan mulia ini.


Bulan Ramadhan adalah  bulan pengorbanan. Apa tidaknya di dalam bulan ini, kita terpaksa menghentikan segala amalan yang pernah kita lakukan sepanjang 11 bulan sebelum kedatangan Ramadhan al Mubarak ini. Di dalam bulan ini kita mengambil peluang sebaiknya untuk menggandakan ibadah kita kepada Allah, mempebanyakkan bacaan Al Quran, solawat, qiyamullail, bersedekah dan sebagainya.  


Sahabat yang dikasihi,
Ramai di kalangan kita yang telah melakukan yang terbaik sepanjang Ramadhan yang lalu. Namun apa yang agak malang, sebaik sahaja Ramadhan berlalu, segalanya kembali ke keadaan yang asal. Tiada lagi bacaaan al Quran, solawat, sedekah, zikir dan lain-lain. Seakan-akan semua amal ibadat itu hanya untuk dilakukan semasa Ramadhan.


Kenapa ini semua berlaku? antaranya ialah kerana kurangnya persediaan yang kita lakukan. Justeru itu kita gagal untuk   meraih keberkatan Ramadhan dan kita gagal menikmatinya kerana kita tidak mempunyai maklumat yang mencukupi yang mampu menjadikan kita benar-benar ikhlas dalam melakukan segala amalan sepanjang Ramadhan. Akhirnya apa yang kita perolehi adalah penat dan lelah dan tidak lebih dari itu.  


Nabi saw bersabda:


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ


“Barangsiapa yang berpuasa karena iman dan mengharap pahala dari Allah, maka akan dihapus segala dosa-dosanya yang telah lalu”. (Bukhari, Kitab Puasa, Bab Wujub al-Saumu Ramadhan, No. 1802)


Hadith ini dengan jelas menyatakan bahawa 'SYARAT' untuk amalan kita diterima dan dihapuskan segala dosa-dosa kita yang lalu ialah perlu adanya 'KEIKHLASAN' dan 'PENGHARAPAN' ganjaran pahala dari Allah dan bukan sama sekali mengharapkan pujian dan sanjungan dari manusia.


Bagi mereka yang benar-benar beriman, pastinya mereka  mempunyai perasaan tersangat rindu untuk menyambut kedatangan Ramadhan. Diriwayatkan bahawa: ulama salaf merindui bulan Ramadhan enam bulan sebelum datangnya Ramadhan. Gangguan-gangguan seperti anak-anak, suami, isteri, kerja & masalah keluarga boleh melemahkan dan menurunkan iman kita. 


Bagi memaksimakan pencapaian sepanjang Ramadhan, beberapa persedian perlulah dilakukan. Macam kita nak pergi perang. Mesti bersiap siaga sebelum tibanya masa untuk ke medan. Antara persediaan yang perlu kita lakukan adalah seperti:


1)   Membuat latihan awal (praktikal) sebelum tibanya Bulan Ramadhan


Sebelum tibanya Ramadhan kita perlu persiapkan minda kita. Minda kita harus bersedia dan jelas apa yang hendak kita capai sepanjang Ramadhan ini. Kita kena set minda kita bahawa Ramadhan tahun ini mesti lebih baik dari Ramadhan yang lalu. Kita mesti sentiasa mengucapkan kepada diri kita bahawa kita mesti capai objektif tersebut sepanjang Ramadhan ini.  Ini adalah merupakan satu   latihan awal bagi  memperolehi kualiti yang hebat dan mengekalkannya.  


Antara latihan awal yang digalakkan juga ialah  memperbaharui taubat.  Berlatih untuk cuba melakukan taubat sekerap yang mungkin  supaya sempurna ianya menjadi lebih sempurna. Setiap orang perlu bertaubat kerana dosa-dosa tersebut menjadi seperti tompok hitam jika kita tidak membersihkannya. Cara yang terbaik untuk menyucikannya adalah dengan bertaubat kepada Allah. Beberapa contoh perkara yang kita perlu bertaubat daripadanya:


a)    Menyalahgunakan lidah. Rasulullah pernah berdoa: “Aku memohon perlindungan dengan engkau daripada kejahatan lidahku”


b)   Mengumpat- perkara ini berlaku apabila kita bercakap tentang seseorang di belakang mereka, apabila mereka tidak menyukainya, walaupun apa yang diperkatakan adalah benar seperti mencaci, mengutuk dan sebagainya.


c)    Pembohongan- walaupun menambah tokok cerita semasa bercakap  dan tidak ada istilah ‘tipu sunat’ kerana penipuan tetap penipuan kecuali dalam tiga keadaan:


* Semasa peperangan
* Kerana mendamaikan di antara suami isteri
* Untuk kebaikan di antara dua orang muslim


d)   ‘ujub‘: perasaan bangga dan yakin akan kesempurnaan pada diri sendiri, tidak perlu berubah dan suka memuji diri sendiri.


e)    ‘Kibr‘: bongkak, merasai dirinya lebih baik daripada orang lain.


2)      Tingkatkan tahap motivasi. Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan ibadah ketika di bulan Rejab dan sya’ban lagi seperti mempertingkatkan solat nawafil (solat sunat) sebelum dan selepas solat fardhu. Ini harus dilakukan jika ia masih belum dipraktikkan lagi. Digalakkan juga melakukan Qiyamullail, mulai berpuasa sunat dari bulan Rejab dan Sya’ban kemudian membaca al-Quran selepas subuh. Untuk Berjaya melakukan semua ini, hendaklah:


Tidur awal agar dapat bangun awal untuk qiyamullail. Amalkan qailulah (tidur sedikit) atau rehat selepas zohor agar lebih bertenaga untuk beribadah. Pertingkatkan amalan zikir pagi dan petang dan jangan sesekali tinggalkan zikir harian.
Perbanyakkan doa terutama pada waktu mustajab berdoa seperti pada hari jumaat.


3) Latihan diri terutamanya dalam memelihara pancaindera (penglihatan, pendengaran, perbuatan dan pertuturan) agar sentiasa takut dan mengingati Allah. Dengan cara begini, dapat menyucikan jiwa seseorang. Ingatlah... Apa sahaja amal ibadat kita jika dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah, pasti akan dapat  membersihkan jiwa kita dan memberi kekuatan luar biasa dalam mengawal hawa nafsu dan keinginan yang kadangkala sukar untuk dikawal.


Anggota tubuh badan kita perlu melalui latihan yang berterusan sebelum datangnya  ramadhan.
1. Latihan Telinga Selalu mendengar al-Quran, hindari mendengar muzik yang melalaikan
2. Latihan Lidah Elakkan dari banyak bercakap, latihan diri untuk perbanyakkan zikir serta bermunajat kepada Allah.
3. Latihan Mata Elakkan dari memandang perkara-perkara maksiat.


Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada kita semua untuk mengamalkannya. Ameen!




Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia


Nota: sebahagian kandungan artikel ini adalah sedutan dari - http://www.fitrahpower.com/ahlan-ya-ramadhan/ - baarakallah fikum!

No comments:

Post a Comment