Wednesday, August 22, 2012

Indahnya Kematian....



Kelebihan syuhada dan anbia di barzakh


Sesungguhnya kehidupan di alam barzakh yang hakiki adalah perasaan yang sempurna, pengenalan yang lengkap dan pengetahuan yang benar. - Gambar hiasan

KELEBIHAN hidup alam kubur (barzakh) bagi para nabi akan mudah difahami jika kita merenung tentang kelebihan mereka yang mati syahid. Sudah jelas dalam pelbagai nas yang mereka menerima pelbagai kelebihan di alam tersebut dan bukan hanya sekadar roh yang tidak binasa.

Sekiranya 'hidup di alam kubur' bermaksud roh yang kekal, tidak fana dan tidak binasa, maka tiadalah sebarang keistimewaan bagi para syuhada untuk layak disebut dengan kemuliaan tersebut, kerana ruh semua anak Adam juga adalah baqa' (kekal) iaitu tidak fana dan tidak binasa.

Inilah yang sebenarnya diakui oleh para pentahqiq seperti yang ditegaskan oleh Sheikh Ibnu Qayyim dalam kitabnya al-Ruh.

Maka semestinya, para syuhada itu memiliki keistimewaan yang melebihi manusia biasa. Sekiranya tiada keistimewaan itu, maka sia-sialah kehidupan mereka.

Lebih-lebih lagi, Allah SWT melarang kita mengatakan mereka itu 'orang mati'. Maka Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (al-Baqarah: 154)

Justeru, apa yang ingin diperkatakan, semestinya kehidupan mereka itu lebih sempurna dan mulia daripada kehidupan manusia biasa.

Inilah yang ditegaskan oleh nas-nas di atas. Hakikatnya, roh-roh golongan itu dikurniakan rezeki. Mereka mendatangi sungai-sungai di dalam syurga dan menikmati buah-buahan yang terdapat di dalamnya.

Ia sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: Di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (ali-'Imran: 169)

Seterusnya, segala yang mereka rasai seperti makanan, minuman dan segala bentuk nikmat dapat rasakan dengan rasa yang amat sempurna.

Ada perasaan yang amat puas, kelazatan yang begitu menggiurkan dan keseronokan yang hakiki.

Ia seperti yang dinyatakan di dalam hadis: "Ketika mereka merasai kenikmatan makanan, minuman dan tempat tidur, mereka pun berkata, Alangkah baiknya, kalau saudara-saudara kita tahu apa yang telah Allah kurniakan kepada kita ini." (Ibnu Kathir meriwayatkan daripada Ahmad)

Malahan, roh para syuhada itu memiliki keistimewaan tasarruf (pengurusan dan pentadbiran) yang lebih besar dan luas daripada manusia lain.

Mereka dapat mengembara dan bergerak bebas dalam syurga Allah SWT mengikut kehendaknya. Kemudian mereka menuju ke arah pelita-pelita yang terletak di bawah arasy Allah. Begitulah seperti yang disebut dalam hadis sahih.

Para syuhada dapat mendengar setiap pertuturan dan memahami apa yang diperkatakan kepadanya. Disebut dalam hadis sahih: Sesungguhnya Allah SWT berfirman kepada mereka, apakah yang kalian inginkan?" Maka mereka menjawab: "Ini dan ini. Berterusan soalan dengan disertai jawapannya. Kemudian mereka meminta supaya mereka dikembalikan ke dunia untuk berjihad. Kemudian, mereka memohon lagi supaya Allah menyampaikan daripada mereka suatu risalah (berita) kepada saudara-saudara mereka di dunia yang menceritakan tentang segala kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Maka Allah berfirman: Aku akan menyampaikannya daripada kalian.

Sekiranya perkara itu thabit pada hak syuhada, maka para nabi adalah jauh lebih berhak daripada mereka dalam dua aspek.

Yang pertama ialah kedudukan yang mulia itu dianugerahkan kepada para syuhada sebagai kemuliaan dan penghormatan untuk mereka.

Kita ketahui, tidak ada kedudukan yang lebih tinggi dan mulia daripada kedudukan yang dianugerahi kepada para nabi.

Kita juga tidak meragui, bahawa keadaan para nabi adalah jauh lebih tinggi dan sempurna berbanding keadaan kesemua para syuhada. Maka adalah mustahil sekiranya kesempurnaan nikmat itu hanya dirasai oleh para syuhada dan tidak dikurniakan kepada para nabi.

Lebih-lebih lagi kesempurnaan ini berupa kesempurnaan yang sudah pasti menambahkan taqarrub, pendekatan, nikmat dan kemesraan (al- Uns) mereka dengan Allah Yang Maha Tinggi.

Aspek kedua pula kedudukan yang mulia untuk para syuhada itu adalah sebagai ganjaran terhadap jihad dan pengorbanan mereka semata-mata kerana Allah.

Tetapi, nabi adalah insan yang telah mempelopori sunnah tersebut kepada kita. Bahkan, baginda mengajak dan menunjuki kita kepada jalan tersebut dengan izin Allah SWT dan taufik-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mengajak kepada kebenaran, maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa berkurangan walau sedikit pun dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan maka baginya dosa seperti dosa-dosa orang yang mengikutnya tanpa berkurangan walau sedikit pun."

Banyak lagi hadis sahih yang masyhur mengenai hal ini. Justeru, setiap pahala yang dikurniakan kepada para syuhada, dikurniakan juga kepada nabi kerana kebaikan yang dilakukan sama seperti yang pernah dilakukan oleh nabi.

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia

Tuesday, August 14, 2012

Agak-agak puasa kita Allah terima ke?



HARI ini dah masuk hari ke dua puluh lima umat Islam berpuasa. Ini bermakna, kurang seminggu sahaja lagi kita akan sama-sama menyambut hari raya AidilFitri.

Hari yang dinanti-nanti oleh semua orang, yang berpuasa dan juga yang tidak. Sememangnya hari raya adalah hari untuk bersuka ria dan bergembira kerana telah berjaya melepasi satu ujian yang hanya datang sekali setahun. Kemeriahan hari raya sudah mula dapat dilihat. Lagu-lagu Hari Raya sudah mula berkumandang di Radio dan televisyen. Pelbagai tawaran istimewa dibuat oleh gedung-gedung pakaian. Para pekerja samada di sektor kerajaan dan juga swasta telahpun memohon cuti tambahan semata-mata untuk lebih lama merayakan hari raya ini. Tiket-tiket bas telah habis dijual. Demikianlah senario yang dapat dilihat apabila tiba hari raya khususnya Hari Raya puasa atau Aidilfitri.

Namun di dalam keghairahan kita dengan sambutan hari raya ini, mari kita merenung sejenak dan bertanya kepada diri kita, sejauh mana kita telah menghayati Ramadan, bulan yang penuh berkat yang bakal pergi tidak berapa lama lagi? Berapa kerat daripada kita yang cuba menilai diri serta ketakwaan semasa berada di dalam bulan yang dijanjikan dengan berbagai tawaran istimewa ini?

Allah swt menjanjikan rahmat di awal sepuluh hari bulan Ramadhan, maghfirah serta pengampunan bagi sepuluh hari kedua dan pembebasan daripada api neraka di sepuluh hari yang ketiga. Namun sejauh mana dapat kita pastikan bahawa kita telah dilimpahi rahmat Allah di sepuluh hari pertamanya yang telah pun pergi meninggalkan kita dan ia pasti tidak akan datang kembali. Sememangnya rahmat Allah adalah suatu yang tidak dapat dilihat.

Namun mereka yang dilimpahi rahmat serta kasih sayang daripadapada Allah pasti dapat merasainya. Rahmat dan kasih sayang Allah hanya dikurniakan kepada mereka yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Ia adalah anugerah daripadapada Allah kepada hamba-Nya yang terpilih. Apakah kita ini sebahagian daripada mereka yang bertuah itu?

Untuk mengetahuinya, marilah kita renungi sejenak tentang diri kita semasa bermulanya Ramadan hingga ke saat ini. Sejak daripada hari pertama bermulanya puasa, adakah sifat-sifat yang tidak baik dan bercanggah dengan ajaran agama kita tinggalkan? Adakah kita masih lagi suka mengata dan mengumpat, mengeji dan menghina, membuat fitnah dan mengadu domba, memberi dan menerima rasuah, memberi dan mengambil riba, mendedahkan aurat, melakukan dosa-dosa besar seperti berzina, minum minuman keras, berjudi dan lain-lain?

Jika ini masih dilakukan, maka sudah pastilah kita tidak termasuk daripada golongan mereka yang mendapat rahmat daripada Allah kerana rahmat Allah hanyalah untuk mereka yang bertakwa kepada-Nya.

Sepuluh hari kedua juga telah berlalu. Peluang yang dijanjikan oleh Allah untuk mengampunkan dosa mereka yang berbuat dosa dan noda juga telah berakhir. Namun ini bukan bererti bahawa pintu pengampunan dan taubat telah tertutup, namun ini adalah saat istimewa yang dijanjikan oleh allah di dalam bulan yang penuh berkat ini untuk mengampunkan dosa-dosa mereka yang bertaubat dan menyesal di atas segala kesalahan dan ketelanjuran.

Marilah kita renungi diri kita sejak daripada mula berpuasa sehingga hari ini, berapa banyak kita telah beristighfar serta memohon keampunan daripada Allah? Berapa kali kita mengalirkan air mata tanda menyesal di atas kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan samada secara sengaja atau tidak sengaja, secara sedar atau tidak sedar?

Sejauh mana kita berusaha untuk memperbaiki segala kesilapan lalu dan berazam dengan sepenuh hati untuk tidak lagi mengulangi perbuatan-perbuatan tersebut? Pernah hati kita merasa gusar, bimbang serta gerun dengan balasan azab Allah di hari akhirat yang menanti dek kerana dosa dan noda yang kita lakukan?

Ya, masa untuk kembali ke pangkal jalan masih belum terlambat selagi nyawa di kandung badan. Meskipun hari-hari istimewa telah berlalu, kita masih lagi berada di dalam bulan yang istimewa ini. Lantaran itu marilah kita habiskan sisa-sisa Ramadhan al-Mubarak ini dengan memohon kepada Allah agar kita, keluarga kita, sahabat handai serta jiran tetangga dan mereka yang kita kasihi, di rahmati, diampuni dan diselamatkan daripada bahang api neraka yang panas membara.

Marilah kita hidupkan malam-malam Ramadhan dengan solat tarawih, berzikir, membaca al-Quran serta cuba memahami isi kandungannya, berdoa, sujud serta merendahkan diri kepada Allah. Moga-moga Ramadan di tahun ini lebih bermakna dan mampu memberikan kekuatan kepada kita di dalam menghadapi cubaan-cubaan hidup yang mendatang.

* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Penolong Profesor, Kuliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa.

Oleh: DR. NIK RAHIM NIK WAJIS

Ehsan dari - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia

Monday, August 13, 2012

Beberapa Info Berguna Berkenaan Malam Al-Qadar



Laylatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT :

Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan"  (Al-Qadr : 2) .

Di Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain.  Disebutkan di dalam sebuah hadith :-

Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )

Sebuah lagi hadis menyebut :-

انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها

Ertinya : "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره

Ertinya : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Waktunya

Malam Al-Qadar Indah Bagi Orang Beriman


Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.

Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.

Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.

Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.

Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.

Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.

Hadith Nabi menyebut:-

التمسوها في العشر الأواخر من رمضان

Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.

carilah malam alqadar dengan ikhlas dan amal

Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?
Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450).

Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-

أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر

Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)

Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-

ليلة القدر ليلة سبع وعشرين

Ertinya : "Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )

Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar

Allah s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :-

فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ

Ertinya : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 )

Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.

Lalu Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.

Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-

وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ertinya : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )

Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-

وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"

Mestikah Mendapat Tanda ?

Sabda Nabi SAW :

من يقم ليلة القدر فيوافقها..

Ertinya : Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya..." ( Riwayat Muslim)

Hadiith ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas.

Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki  dan kelebihan oleh Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.

Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.

Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?

Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info kepada kebanyakkan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah :

waktu maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat.

Rupanya, ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )



Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li  Ahkam al-Quran, 20/134 )

Wanita Haid Terhalang Dari Berkatnya ?

Adakah wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah tentu jawabnya tidak, Allah s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti :-

    1) Berzikir
    2) Berdoa
    3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.
    4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.

Sebahagian ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah ( Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran tanpa memegangnya  (melalui hafazan), malah sebahagian yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.

Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.

sekian
Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia

Ehsan dari http://www.zaharuddin.net/

Friday, August 3, 2012

Jutawan, Pengasas Bank Al-Rajhi Yang Memilih Untuk ‘Miskin’




Jutawan Arab Saudi yang berjaya mengubah hidup beliau daripada seorang rakyat miskin hingga berjaya mengumpul kekayaan, Sulaiman Al-Rajhi, merupakan seorang dermawan yang terkenal di dunia.
Beliau adalah pengasas Bank Al-Rajhi, bank Islam terbesar di dunia, dan salah satu daripada syarikat terbesar di Arab Saudi.

Sehingga 2011, kekayaan beliau telah dianggarkan oleh majalah Forbes, bernilai sebanyak AS$ 7.7 bilion sekali gus disenaraikan sebagai orang ke-120 yang terkaya di dunia.
Yayasan Saar milik beliau adalah sebuah organisasi amal yang terkenal di negara tersebut.
Keluarga Al-Rajhi dianggap sebagai salah satu daripada keluarga kaya yang BUKAN daripada keluarga diraja, dan mereka adalah antara dermawan terkemuka di dunia.
Walaupun Al-Rajhi adalah seorang jutawan, tetapi beliau memilih untuk menjadi ‘miskin’ sehinggakan beliau tidak mempunyai sebarang wang dan juga saham yang dimiliki beliau sebelum ini.
Keadaan tersebut terjadi apabila beliau memindahkan kesemua aset yang dimiliki kepada anak-anak beliau dan mendermakan aset-aset yang selebihnya.
Bagi menghargai jasa beliau terhadap dunia Islam, termasuk mengasaskan bank Islam terbesar dunia dan juga segala usaha yang dijalankan untuk membasmi kemiskinan, Al-Rajhi telah dipilih untuk menerima Anugerah Antarabangsa Raja Faisal atas jasa beliau kepada Islam.
Dalam satu wawancara yang dibuat oleh Muhammad Al-Harbi dari Al-Eqtisadiah Business Daily, Al-Rajhi menceritakan tentang bagaimana beliau mampu meyakinkan ketua-ketua bank di dunia, termasuk Bank of England, hampir 30 tahun lalu, bahawa bayaran ‘faedah’ adalah sesuatu yang haram bagi kedua-dua agama iaitu Islam dan Kristian, dan bank secara Islam adalah penyelesaian yang terbaik bagi menaikkan taraf ekonomi dunia.


Kisah Al-Rajhi berkisarkan tentang bagaimana seseorang itu meraih kekayaan dari bawah.
Beliau terpaksa melalui kesusahan ketika beliau kecil sebelum menjadi kaya, dan kemudiannya meninggalkan segala harta yang ada setelah mengecapi kejayaan.
Al-Rajhi masih lagi aktif dalam bekerja walaupun usia beliau telah mencecah lebih daripada 80 tahun.
Beliau memulakan tugas harian sejurus selepas solat Subuh dan terus bekerja hingga selepas solat Isyak.
Beliau kini sedang memberikan tumpuan terhadap Yayasan SAAR, dengan berulang-alik di negara-negara Arab bagi menguruskan segala hal-hal yang berkaitan dengan yayasan tersebut.
Beliau sering membawa diari kecil untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan sentiasa memastikan tidak akan terlepas dari satu aktiviti pun.

Al-Rajhi juga merupakan seorang yang amat berjaya dalam apa jua bidang yang beliau ceburi.
Selain daripada mengusahakan bank Islam terbesar dunia, beliau juga telah mengasaskan ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur Tengah.
Daripada segi perladangan, beliau telah menjalankan banyak eksperimen ternakan secara organik di negara-negara Arab, termasuk perladangan udang Al-Laith. Beliau juga turut mengasaskan perniagaan hartanah dan juga beberapa lagi pelaburan.

Temubual:
Soalan: Sheikh Suleiman, adakah anda kini telah menjadi miskin semula?
Sheikh Suleiman: Ya. Kini apa yang saya miliki hanyalah pakaian-pakaian saya. Saya telah membahagikan harta saya kepada anak-anak dan juga mendermakan selebihnya untuk menjalankan projek-projek amal. Ini bukanlah sesuatu yang aneh bagi saya. Kedudukan kewangan saya kini telah menjadi kosong sebanyak dua kali dalam hidup saya. Jadi, saya amat faham akan keadaan ini. Namun, kini perasaan itu dipenuhi dengan kegembiraan dan juga ketenangan. Sememangnya saya yang memilih untuk menjadi miskin.

Soalan: Mengapa berbuat begitu?
Sheikh Suleiman: Segala kekayaan dimiliki oleh Allah s.w.t, kita hanyalah ditugaskan untuk menjaga kekayaan tersebut. Ada beberapa sebab mengapa saya memilih untuk memilih jalan ini. Antara sebab-sebab utamanya adalah saya perlu menjaga sahabat-sahabat Islam dan juga anak-anak saya. Ia adalah antara perkara yang paling penting dalam hidup. Saya juga tidak suka untuk membuang masa di mahkamah hanya kerana ada antara mereka yang tidak bersetuju dengan jumlah harta yang diwariskan kepada mereka. Terdapat banyak contoh di mana anak-anak mula berpecah hanya kerana harta yang kemudiannya menghancurkan syarikat. Negara ini telah banyak kehilangan syarikat-syarikat besar kerana perbalahan harta yang boleh diselesaikan jika kita mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan. Selain daripada itu, setiap umat Islam perlu bersedekah sebagai bekalan pahala di akhirat kelak, Jadi, saya lebih suka jika anak-anak saya mencari kekayaan sendiri daripada bergantung dengan saya.

Soalan: Adakah Sheikh mempunyai banyak masa terluang setelah membahagikan kesemua harta?
Sheikh Suleiman: Seperti yang telah saya maklumkan tadi, saya masih lagi bekerja keras untuk mendapatkan lebih derma. Saya telah bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menjayakan projek ini. Secara kebiasaanya, umat Islam sering membahagikan satu per tiga ataupun suku daripada kekayaan mereka untuk bersedekah yang hanya akan diberikan setelah mereka meninggal dunia. Namun, bagi saya, saya mahu mula bersedekah ketika saya masih hidup. Jadi, saya telah membawa anak-anak saya ke Mekah pada hujung bulan Ramadhan dan memberitahu mereka idea saya. Mereka bersetuju terhadap idea tersebut. Saya telah meminta bantuan daripada agensi-agensi yang berkaitan untuk membahagikan kesemua harta saya termasuk saham dan juga hartanah kepada anak-anak dan juga untuk didermakan. Kesemua anak-anak saya berpuas hati terhadap inisiatif saya dan mereka kini sedang menguruskan segala harta yang saya berikan kepada mereka.

Soalan: Berapa banyak harta yang dibahagikan kepada anak-anak dan juga untuk didermakan?
Sheikh Suleiman: Beliau tergelak tanpa memberi sebarang jawapan.

Soalan: Apakah perasaan Sheikh terhadap kesemua projek yang sedang dijalankan?
Sheikh Suleiman: Saya ingin menegaskan bahawa terdapat beberapa faktor yang saya ambil sebelum melakukan sebarang pelaburan. Eksperimen yang saya lakukan terhadap pertukaran wang adalah salah satu daripada sebab mengapa saya mengasaskan bank. Ketiadaan bank Islam juga menjadi antara sebab mengapa saya mula mengasaskan Bank Al-Rajhi, yang kini merupakan bank Islam terbesar di dunia. Saya mulakan eksperimen saya dengan membuka pejabat di Britain dimana kami mula memperkenalkan sistem perbankan Islam ke peringkat yang lebih besar. Eksperimen tersebut kemudiannya mula berkembang dan ia mula mendapat sokongan daripada ulama-ulama Saudi pada ketika itu. Saya masih ingat lagi bagaimana permohonan saya untuk mendapatkan lesen untuk membuka bank tidak diterima pada mulanya. Ini adalah kerana pihak British tidak memahami apa-apa pun tentang sistem perbankan Islam. Saya kemudiannya pergi ke London dan berjumpa dengan Pengurus Bank of England dan dua daripada pegawai kanan beliau. Saya memberitahu mereka bahawa penggunaan faedah adalah haram bagi Islam dan juga Kristian dan kebanyakan daripada mereka sanggup menyimpan wang mereka di dalam kotak di rumah daripada menyimpan di dalam bank. Saya cuba untuk meyakinkan mereka bahawa (jika mereka mula membuka bank Islam) ini mampu menaikkan taraf ekonomi dunia. Mereka akhirnya bersetuju untuk mula membuka bank-bank Islam. Saya kemudiannya mula mengembara ke serata dunia di bahagian Timur dan Barat, dan berjumpa dengan ketua-ketua bank negara di beberapa buah negara dan memberitahu mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam dunia ekonomi Islam. Kami mula bekerja dan mencapai kejayaan di negara-negara Arab dan melaksanakan perbankan Islam di London, saya kemudiannya berjumpa dengan Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz bin Baz dan Sheikh Abdullah bin Humaid, dan memberitahu mereka tentang rancangan saya bahawa : ‘Kita mampu, dengan izin Allah, memajukan perbankan Islam. Mereka memuji saya atas inisiatif yang saya jalankan. Dari situlah kami mula mengusahakan Bank Al-Rajhi seperti mana yang anda dapat lihat hari ini. Bagi projek Ladang Ternakan Al-Watania pula, saya mula mendapat inspirasi untuk menjalankan projek tersebut apabila melawat ladang ternakan di luar negara. Saya dapati bahawa cara mereka menyembelih adalah salah. Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk melabur dalam bidang ternakan atas nama Islam dan negara. Saya tetap menjalankan projek tersebut walaupun membuat pelaburan dalam industri ternakan adalah sesuatu yang agak berisiko pada masa tersebut. Kini, Al-Watania telah menjadi salah satu daripada projek mega di Saudi. Syarikat tersebut mendapat 40 peratus daripada saham di negara-negara Arab, dan ayam-ayam Al-Watania diberikan makanan yang cukup dan disembelih dengan cara yang halal menurut undang-undang syariah.

Soalan: Walaupun dengan semua kekayaan yang dimiliki, mengapa syeikh tidak mempunyai satu pun kapal terbang sendiri?
Sheikh Suleiman: Saya ada banyak kapal terbang, tetapi kesemuanya dimiliki oleh syarikat-syarikat penerbangan tertentu. Saya memilikinya setiap kali saya membayar tiket penerbangan untuk ke satu-satu destinasi (gurauan). Saya sering terbang dengan kadar kelas ekonomi kerana Allah tidak memberikan kita harta untuk ditunjuk-tunjuk.

Soalan: Bagaimana pula dengan hobi syeikh?
Sheikh Suleiman: Saya tidak mempunyai sebarang hobi yang khusus. Bagaimanapun, saya suka mengembara di padang pasir. Saya tidak pernah mengambil pakej percutian di negara-negara lain selain dari Saudi.

Ketepatan masa Al-Rajhi
Wawancara ini telah menunjukkan bagaimana disiplin Al-Rajhi dalam menepati masa. “Pada awal karier saya dalam industri, saya mempunyai beberapa perjumpaan dengan beberapa syarikat besar di Eropah. Saya masih ingat lagi kisah dimana saya terlambat selama beberapa minit dalam satu perjumpaan dengan salah seorang pegawai besar sebuah syarikat. Walaupun hanya beberapa minit, beliau tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Selepas kejadian tersebut, setelah projek kami mula berkembang, pegawai yang sama pula lambat untuk berjumpa dengan saya, jadi, saya pula yang tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Saya sering membawa kertas untuk menulis segala perjumpaan dan urusan dan sentiasa memastikan agar saya sering menepati masa walau apa pun.”

Al-Rajhi berkata lagi: Saya amat menepati segala perkara yang diterapkan dalam Islam sepanjang hidup saya. Saya pernah mendapat undangan daripada kerajaan Arab untuk menghadiri satu persidangan yang berkaitan dengan pelaburan. Kemudiannya, dalam persidangan yang sama, saya dijemput untuk mengambil bahagian dalam majlis makan malam mereka, saya dapati bahawa antara aktiviti yang dijalankan ketika majlis tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Saya kemudiannya keluar dari majlis makan malam tersebut. Kemudian, Abdul Aziz Al-Ghorair dari UAE turut serta bersama saya. Tidak lama selepas itu, menteri yang bertanggungjawab terhadap persidangan tersebut datang kepada kami dan kami mula menerangkan kepada beliau bahawa aktiviti yang dijalankan di majlis tersebut adalah bertentangan dengan budaya Islam. Beliau kemudiannya berkata bahawa aktiviti-aktiviti di majlis tersebut akan dibatalkan. Apabila mereka membatalkan aktiviti tersebut, kami kembali menyertai majlis tersebut.

Penyelesaian Masalah
Al-Rajhi berkata: Pada satu masa, salah satu daripada kilang yang diuruskan oleh anak saya habis dijilat api. Apabila dia datang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada saya, saya memberitahu: Sebut Alhamdulillah. Saya meminta anak saya supaya tidak membuat sebarang laporan tentang kerugian yang dialami bagi meminta pampasan daripada pihak berkuasa. Sebaliknya, pampasan yang diberikan oleh Allah adalah lebih penting bagi kita. Assam Al-Hodaithy, Pengurus Kewangan bagi syarikat Ternakan Al-Watania berkata: “Apabila kilang tersebut terbakar, kami telah membuat keputusan untuk tidak menyakiti hati Al-Rajhi dengan memberitahu beliau tentang apa yang terjadi. Kami kemudiannya berjumpa dengan beliau keesokan harinya dan memberitahu akan perkara yang terjadi, beliau mengarahkan kami untuk berpindah ke tempat lain dan membersihkan segala kerosakan sehingga semuanya dibaiki.” Perkara yang sama terjadi di satu lagi projek Al-Watania di Mesir. Syarikat tersebut kerugian kira-kira SR10 juta Pound Mesir. Apabila pegawai projek tersebut menghubungi Al-Rajhi untuk memberitahu perkara tersebut, beliau terkejut apabila Al-Rajhi menjawab dengan menyebut: “Alhamdulillah.” Sumber – Mynewshub.my


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...