Tuesday, November 13, 2012

Menyelami makna hijrah

hijrah hati
Tidak dinafikan bahawa hijrah mengandungi hikmah yang terlalu besar. Tidak akan habis untuk diselongkar rahsianya dan tidak akan susut untuk digali perbendaharaannya. Penulisan ini cuba untuk mencedok hanya sekelumit daripada hikmah yang terkandung di sebalik peristiwa bersejarah itu.
Hijrah berasal daripada kata kerja hajara (هجر) bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain.
Sebelum Fathu Makkah, hijrah ke Madinah, tempat terlaksananya kedaulatan Islam, diwajibkan ke atas seluruh Muslimin kecuali mereka yang mempunyai keuzuran tertentu. Selepas Makkah berjaya dikembalikan ke tangan umat Islam, manusia memasuki agama Allah berbondong-bondong dan mereka telah bebas melaksanakan Islam serta mendirikan syiarnya di mana jua, maka tiada lagi keperluan untuk berhijrah ke Madinah. Baginda telah bersabda (maksudnya):
“Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah manyahutnya!”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)
Mujasyik bin Mas’ud dan saudaranya datang menemui Nabi sallallahu alaihi wasallam dan berkata, “Kami berjanji setia untuk berhijrah”. Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya), “Telah berlalu hijrah untuk mereka yang telah melakukannya.” Mereka bertanya, “Kalau begitu kami berjanji setia untuk apa?” Baginda menjawab (maksudnya), “Untuk Islam dan jihad.”
(Riwayat al-Bukhari)
Maksud hijrah dalam nas-nas di atas ialah hijrah dari Makkah ke Madinah. Umat Islam tidak lagi dituntut supaya meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah kerana Makkah telah menjadi negara Islam dan tiada lagi halangan untuk mereka melaksanakan ajaran Islam dalam semua aspek kehidupan.
Adapun mereka yang berada di dalam negara kafir yang menindas dan menghalang umat Islam daripada melaksanakan ibadah yang dituntut oleh Islam serta syiar-syiarnya, wajib berhijrah sampai bila-bila.
Imam Ahmad dan lain-lain meriwayatkan daripada Abdullah bin Waqdan, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),
“Tidak terputus hijrah selagi Muslim diperangi oleh kuffar.”
Namun sekiranya Muslim berada dalam negara kafir yang tidak memerangi Islam serta tidak menghalang orang-orang Islam melaksanakan segala syiarnya, tidak wajib berhijrah dari negara tersebut, lebih-lebih lagi berada di dalam negara yang mengamalkan dasar terbuka serta memberi peluang kepada Muslim untuk berdakwah dan menunjukkan kebaikan Islam kepada masyarakat setempat.
Apakah ini bermakna kita tidak perlu berhijrah lagi?
Sebenarnya hijrah mempunyai dua pengertian: hijrah secara fizikal dari satu negeri ke negeri yang lain, dan hijrah dengan hati kepada Allah dan Rasul-Nya. Inilah hijrah yang hakiki yang menjadi tunjang kepada hijrah jasmani. Perkataan hijrah mengandungi elemen, ‘dari’ dan ‘ke’ atau ‘daripada’ dan ‘kepada’. Jadi hijrah hati bermaksud berhijrah daripada cinta kepada selain Allah kepada cinta kepada Allah, daripada ubudiah kepada makhluk kepada ubudiah kepada Allah, daripada takut, berharap dan bertawakkal kepada selain Allah kepada takut, berharap dan bertawakal kepada-Nya.
Kata Ibn al-Qayyim rahimahullah, hijrah kepada Allah ialah dengan meminta, mencintai, menghambakan diri, bertawakal, takut dan mengharap hanya kepada-Nya. Dan hijrah kepada Rasul ialah dengan mengikuti syariat yang dibawanya dalam semua aspek, lahir dan batin.
Maka hijrah yang dituntut pada masa kini ialah:
1. Jihad fi sabilillah dengan niat yang ikhlas sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh an-Nasa’i daripada Safwan bin Umayyah r.a. katanya, “Saya berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya mereka berkata bahawa syurga tidak akan dimasuki kecuali oleh orang yang berhijrah?” Baginda menjawab (maksudnya), “Tidak ada hijrah selepas Fathu Makkah, tetapi jihad dan niat. Maka apabila kamu dikerah untuk berjihad, segeralah menyahutnya.”
2. Taubat nasuha dengan meninggalkan segala kejahatan dan dosa sebelum matahari terbit dari arah barat. Daripada Mu’awiah bin Abi Sufyan r.a., beliau mendengar Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),
“Tidak terputus hijrah sehingga terputus (peluang) bertaubat, dan tidak terputus (peluang) bertaubat sehingga matahari muncul dari arah barat.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan lain-lain)
Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),
“Sesungguhnya hijrah ada dua unsur. Satu daripadanya ialah kamu meninggalkan kejahatan dan kedua kamu berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan tidak terputus hijrah selagi taubat diterima. Taubat akan terus diterima sehingga matahati terbit dari barat. Apabila matahari telah terbit dari barat, akan dicopkan ke atas setiap hati manusia apa yang telah ada padanya. Peluang beramal sudah tiada lagi.”
(Riwayat Ahmad)
3. Memberi sedekah. Daripada Abi Saeid al-Khudri r.a. katanya, seorang badwi telah datang menemui Nabi sallallahu alaihi wasallam bertanya mengenai hijrah. Baginda bersabda (maksudnya),
“Dengar ini! Sesungguhnya hijrah itu urusannya sangat sulit. Maka adakah kamu memiliki unta?” Badwi itu menjawab, “Ya.” Nabi sallallahu alaihi wasallam bertanya, “Adakah kamu mengeluarkan zakatnya?” Dia menjawab, “Ya.” Nabi sallallahu alaihi wasallam bertanya lagi, “Adakah kamu memberi sedekah sesuatu daripadanya seperti memerah susunya?” Dia menjawab, “Ya.” Lalu baginda bersabda (maksudnya),
“Maka beramallah kamu dari seberang lautan. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak mengabaikan amalan kamu sedikit pun.”
Ketika mensyarahkan Hadis ini, al-Hafidz Ibn Hajar berkata, “Hadis ini menunjukkan kelebihan mengeluarkan zakat unta, iaitu dengan mengeluarkan hak Allah pada unta itu menyamai kelebihan hijrah. Hadis ini juga mengisyaratkan bahawa seseorang yang menetap di negerinya dengan menunaikan zakat unta, akan memperoleh ganjaran hijrah dan menetap di Madinah.
Rujukan

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia

Sunday, November 11, 2012

Faktor Penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W


Kenapa Nabi Muhammad S.A.W Berhijrah Ke Madinah Pada Tahun 622 M.
  • Hijrah berasal dari istilah hajara yang bermaksud pindah. Dalam sejarah Islamiah merujuk kepada perpindahan Nabi Muhammad dan umat Islam dari Makkah ke Madinah pada 622 M.
  • Dalam konteks lain bermaksud hijrah daripada zaman Jahiliah kepada Islam.
  • Peristiwa ini merupakan titik tolak kepada perkembangan Islam lebih meluas.
  • Peringkat awal hijrah secara senyap-senyap tanpa pengetahuan kaum Quraisy.
  • Peringkat kedua hijrah secara terang-terangan oleh Umar Al Khattab.
  • Peringkat ketiga bila Nabi Muhammad bersama Abu Bakar berhijrah selepas bersembunyi di Gua Thur seterusnya sampai di Madinah pada 12 Rabiulawal 622 M.
Faktor-faktorPenghijrahan :
Bai’ah Al-Aqabah :
  • Faktor asas yang memulakan hijrah kerana dalam Aqabah 2 terdapat jemputan dari pemimpin Madinah agar Nabi datang menjadi pemimpin mereka. Dalam ikrar itu mereka berjanji untuk berjuang bersam-sama Nabi dan mempertahankan Nabi. Nabi merasakan masanya telah tiba bagi umat Islam untuk keluar dari Makkah.
Tekanan Yang Semakin Meningkat Di Makkah :
  • Keadaan di Kota Makkah tidak lagi dianggap sebagai kawasan yang sesuai untuk perkembangan Islam kerana setelah 13 tahun baginda berdakwah pelbagai penentangan yang diterima. Suasana di Makkah itu menggambarkan bahawa lama kelamaan keadaan Islam semakin tertekan.
Umat Islam Semakin Menderita :
  • Tindakan kaum Quraisy semakin hebat. Penyeksaan k eatas golongan hamba semakin berleluasa. Malah Nabi sendiri sering menjadi mangsa penyeksaan mereka. Pada 617 hingga 620 M seluruh umat Islam dan Bani Hashim telah dipulaukan daripada segi sosial, ekonomi dan politik. Mereka dilarang berurusan dengan masyarakat Makkah kecuali musim haji. Umat Islam mengalami penderitaan dan ujian yang sangat getir.
Kegagalan seruan ke Taif :
  • Nabi Muhammad dan hambanya iaitu Zaid bin Harithah pernah cuba menyampaikan Islam ke Taif namun dihina dan diejek dan dilontar dengan batu. Pemimpin Bani Thaqif mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Quraisy Makkah.Kegagalan Nabi memberikan gambaran yang pengaruh Quraisy sangat kuat di Taif. Oleh itu Nabi Muhammmad perlu mencari destinasi lain.
Kejayaan di Habsyah :
  • Sebelum Saidina Umar memeluk Islam umat Islam pernah menuju ke Habsyah untuk berlindung atas saranan Nabi sendiri. Ini kerana Habsyah digelar sebagai bumi kebenaran yang diperintah oleh Raja Najashi yang terkenal adil. Kejayaan ini memberi harapan kepada Nabi bahawa kejayaan yang sama akan dicapai di Madinah. Ini disebabkan masyarakat Hasyah dan Madinah lebih hampir kepada agama langit dan telah biasa dengan soal-soal ketuhanan dosa dan pahala.
Kematian Dua Tokoh :
  • Pada tahun ke-10 menjadi rasul, Nabi kehilangan 2 orang penyokongnya yang paling setia iaitu isterinya Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Kaum Quraisy Mekah menjadi semakin berani untuk bertindak ke atas Nabi. Ini menyebabkan kedudukan Nabi makin terancam dan terdedah kepada tindakan jahat Quraisy.
Umat Islam Telah Ramai Di Madinah :
  • Kota Madinah sendiri memang sesuai untuk dijadikan markas gerakan Islam yang baru. Ini ekoran peristiwa Aqabah dimana orang-orang Madinah telah berikrar dengan Nabi dan menyebarkan Islam di kalangan keluarga mereka.
Penduduk Madinah Lebih Mudah Menerima Islam :
  • Penduduk Madinah sendiri lebih mudah menerima Islam berbanding peduduk Makkah. Ini kerana mereka lebih hampir dengan agama Samawi. Selain dari itu di Madinah terdapat keluarga Nabi Muhammmad melalui pihak ibu kepada datuk Nabi iaitu Abdul Muttalib dari Bani Najjar.
Kedudukan Madinah Yang Strategik :
  • Madinah mempunyai kedudukan ditengah-tengah jalan perdagangan antara Yaman di Selatan dan Syam di utara. Kedudukan ini membolehkan Madinah menyaingi Kota Mekah sebagai pusat perdagangan yang baru. Malah kabilah-kabilah Quraisy terpaksa melalui Madinah jika ingin berurusan dengan Palestin atau Syam.
Komplot Pembunuhan Ke Atas Nabi :
  • Antara faktor penghijrahan yang paling penting ialah terdapat pakatan bunuh yang dirancang oleh kaum Quraisy ke atas Nabi bila mereka mendapati umat Islam semakin berkurangan di Makkah. Pemimpin Quraisy telah mengadakan perbincangan di Darul Nadwah dan mengambil tidakan nekad agar Nabi tidak sempat berhijrah. Ini menyebabkan kedudukan Nabi tidak lagi selamat sekiranya terus di Makkah
Wahyu Dari Allah :
  • Faktor segera yang mendorong Nabi berhijrah keluar dari Makkah ialah wahyu yang diturunkan Allah dan Surah al Anfal ayat 30 yang memberi peringatan kepada Nabi tentang pakatan Quraisy dan sebagai satu gesaan supaya Nabi berhijrah.
Kesimpulan :
Hijrah Nabi adalah satu peristiwa yang mempunyai signifikasi yang sangat besar dalam sejarah perjuangan Islam.Ia jelas telah membawa banyak pembaharuan dalam perkembangan Islam. Ia merupakan titik peralihan yang amat penting bagi Nabi dan agama Islam. Penghijrahan ini membawa kepada kemenangan umat Islam dalam semua bidang.

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia

Saturday, November 10, 2012

Bilakah Rasulullah S.A.W. Berhijrah Ke Madinah?

Bilakah Rasulullah S.A.W. Berhijrah Ke Madinah?

Setiap kali menjelangnya awal Muharram, kita semua akan diingatkan dengan peristiwa hijrah Rasul. Ini kerana peristiwa hijrah Rasul merupakan satu perkara yang sangat penting dalam sejarah, bukan sahaja kepada kita kaum muslimin, bahkan juga alam keseluruhannya. Betapa tidak, hijrah telah mengubah corak peradaban dunia. Dan kesannya masih boleh dilihat dan dikecapi sehingga hari ini.

Umat Islam telah menjadikan peristiwa hijrah Rasul sebagai permulaan tahun dalam kalendar Islam. Kerana itu, setiap kali tahun Islam disebut, ia akan dinyatakan dengan hijrah. Sebagai contoh: “tahun 1429H akan meninggalkan kita tidak lama lagi, dan tahun 1430H pula akan menyusul”. Huruf H yang diletakkan di hujung angka tahun itu adalah singkatan kepada hijrah, sebagaimana yang kita semua maklum.

Disebabkan permulaan tahun hijrah adalah pada bulan Muharram, mungkin ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasul berlaku pada 1hb Muharram. Sebenarnya hijrah Rasul bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian, baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith, yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba’ pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba’ selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166).

Persoalannya, kenapakah hijrah dimulakan pada bulan Muharram, sedangkan hijrah Rasul berlaku pada bulan Rabiul Awwal? Sebenarnya, permulaan bilangan tahun hijrah, sekalipun dihitung bermula dengan hijrah Rasul, namun ia hanya bermula pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a. iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Ada juga yang menyatakan pada Rabiul Awwal tahun ke 16 hijrah[1]. Sebelum dari tarikh tersebut, umat Islam sudahpun mempunyai nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.

Terdapat banyak faktor yang mendorong Saidina Umar menentukan tarikh, antaranya ialah kerana kerana Saidina Umar menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya: Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang? Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh ialah Ya’la bin Umayyah r.a.. Beliau telah menulis surat dari Yaman, kepada Saidina Umar dengan menulis tarikh, dan Saidina Umar menganggap baik perkara tersebut, akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh. Antara faktornya juga ialah Abu Musa al-Asy’ari telah menulis satu surat kepada Saidina Umar, menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Saidina Umar tanpa tarikh (dan ini boleh menimbulkan kekeliruan). Lalu Saidina Umar mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh.

Setelah Saidina Umar r.a. mengumpulkan para sahabat untuk menentukan permulaan tarikh, timbul empat cadangan dalam menentukan permulaan tahun Islam. Empat perkara tersebut ialah daripada tarikh kelahiran baginda, atau dari tarikh baginda dibangkitkan menjadi rasul, dari tarikh hijrah atau dari tarikh kewafatan baginda. Lalu akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasul sebagai asas permulaan tarikh Islam. Mereka tidak menjadikan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asas, kerana terdapat khilaf tentang bilakah kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Dan tarikh kewafatan pula, sekalipun jelas waktunya, adalah tidak sesuai dijadikan permulaan tarikh, kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan. Jadi tidak sesuai tarikh yang sedar diambil untuk diulang-ulangi sebutannya. Kerana itulah peristiwa hijrah adalah peristiwa yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh. Kerana inilah, bila timbulnya pelbagai pendapat tentang bilakah asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh, Saidina Umar menyatakan kata-katanya yang masyhur,

الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها

“Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh”.

Berkata al-Imam as-Suhaili, para sahabat sebenarnya mengambil asas tahun hijrah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah Ayat 108 yang bermaksud:

“Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan (Masjid Quba’) sejak dari hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya”. Surah at-Taubah: 108. Terangnya lagi: “Ini kerana sudah jelas bahawa hari tersebut bukanlah hari pertama yang sebenar (permulaan umur dunia). Bahkan hari pertama yang disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut, iaitu zaman pertama kemenangan Islam, dan zaman pertama Nabi s.a.w. boleh beribadah dengan aman (tanpa sebarang gangguan) dan zaman permulaan pembinaan masjid”. Kerana itulah sepakat para sahabat memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi s.a.w. dan para sahabat memasuki Madinah.

Dan setelah para sahabat sepakat untuk menjadikan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan tahun Islam, mereka membincangkan pula, tentang dari bulan manakah kita akan mulakan perhitungan tahun. Maka timbullah pelbagai pendapat. Ada yang mencadangkan supaya dimulakan dengan rejab, dan ada pula dengan ramadhan. Namun Saidina Usman mencadangkan supaya dimulakan dengan bulan muharram. Antara alasannya ialah ia adalah bulan haram (bulan yang dihormati oleh masyarakat arab, kerana diharamkan berperang padanya), dan ia juga adalah masa kembalinya para jemaah daripada menunaikan ibadah haji. Dan antara sahabat yang juga mencadangkan bulan muharram ialah Saidina Umar dan Saidina Ali. Akhirnya, mereka telah memilih bulan muharram sebagai permulaan tahun hijrah, dan bukannya rabiul awwal. Dan antara sebab yang mungkin paling tepat kerana memilih bulan muharram dan bukannya bulan rabiul awwal ialah, kerana permulaan keazaman untuk berhijrah adalah pada bulan muharram. Ini kerana perjanjian Aqabah berlaku pada bulan zulhijjah. Dan perjanjian tersebutlah yang membawa kepada peristiwa hijrah. Dan bulan pertama yang muncul setelah zulhijjah ialah muharram, kerana itu sesuai dijadikan muharram sebagai bulan pertama, kalendar tahun umat Islam.

Inilah sebahagian fakta yang berkaitan dengan persoalan tarikh hijrah. Semoga fakta ini, sedikit sebanyak menghilangkan kekeliruan tentang persoalan bilakah sebenarnya berlaku peristiwa hijrah Nabi s.a.w. Hijrah sebenarnya mengingatkan kita tentang pengorbanan dan matlamat perjuangan umat Islam. Hijrah juga menginsafkan kita bahawa kita sentiasa bergerak menuju Allah SWT. Kerana itu kita sentiasa perlu menambahkan kebaikan dan amal soleh kita. Orang yang berhijrah adalah orang yang berusaha meninggalkan dosa-dosa dan maksiat. Dan perkara itu tidak akan tercapai melainkan dengan keazaman yang tinggi. Sama-samalah kita berhijrah kerana Allah untuk sampai kepada Allah. Dan ingatlah bahawa orang yang berhijrah sentiasa memerlukan bimbingan Allah dalam hijrahnya menuju Allah. Hijrah bukan kerana Allah adalh sia-sia,dan hijrah tanpa bimbingan Allah, tidak akan sampai ke destinasinya.


Sumber utama artikel ini ialah kitab Fathul Bari, Syarah Sohih Bukhari. (Kitab Manaqib al-Ansar, bab at-Tarikh, juz 7, m/s 341, 342).

[1] Berdasarkan peristiwa ini, kita berpendapat bahawa fadhilat yang dinyatakan dalam membaca doa awal tahun dan doa akhir tahun adalah palsu. Ini kerana pada zaman baginda, belum ditentukan lagi permulaan tahun. Dan tiada yang boleh menyatakan fadhilat seseuatu kecuali Allah dan rasulNya. Dan sesungguhnya agama Islam itu sudah sempurna. Dan amalan tersebut tiada dijumpai asasnya dalam kitab-kitab hadis.

Sumber:




Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia