Bila Merotan Anak Menjadi Satu Kesalahan Jenayah
Oleh
Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan
Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia
Email: drnikrahim@usim.edu.my
H/p: 014 820 7111
Sedikit terkejut penulis bila
membaca satu berita yang disiarkan di sebuah akhbar dan kini menjadi topik
hangat yang diperdebatkan di media massa dan media sosial tempatan iaitu
mengenai cadangan untuk menjadikan perbuatan merotan anak sebagai satu
perbuatan jenayah yang mana pelakunya akan berdepan dengan hukumam yang bakal
ditetapkan setelah mendapat kelulusan parlimen apabila dibentangkan nanti.
Penulis merasa terkejut kerana
selama ini ‘rotan’ amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Melayu Islam dan
sudah menjadi satu kaedah yang amat efektif dalam pembentukan akhlak dan
keperibadian sesetengah anak. Penulis tidak mengatakan bahawa semua anak perlu
dirotan dalam proses pendidikan mereka. Masyarakat perlu sedar khususnya ibu
bapa bahawa 'rotan' adalah penyelamat kepada anak-anak daripada terus menerus
melakukan perbuatan yang bercanggah dengan nilai-nilai serta norma keperibadian
terpuji.
Bagi ibu bapa yang mempunyai ramai
anak, 'rotan' merupakan 'polis' yang
mampu mengawal tingkah laku anak-anak sejak dari awal usia mereka. 'Rotan'
mampu mempercepatkan tindakan sesetengah anak. Ia boleh dianggap
sebagai pemudah cara dalam proses pendidikan anak-anak. Ibu bapa yang mempunyai
anak yang ramai pastinya tahu bahawa pendidikan anak tidak boleh bergantung
kepada satu metod sahaja. Perlu ada kepelbagaian pendekatan bergantung kepada
karektor anak itu sendiri. Ada anak yang
begitu lembut dan mudah untuk dilentur. Sekali cakap sudah memadai. Ada
anak yang perlu jelingan tajam dari ibu bapa di samping peringatan dan nasihat. Ada anak yang 'tak
makan saman' jika hanya dengan teguran
atau jelingan tajam. Anak-anak dari kategori ini perlu pendekatan yang agak lebih agresif
tetapi berhemah. Mereka mungkin diberi amaran di peringkat awal bahawa mereka
akan dirotan jika berdegil dan jika
masih enggan mematuhi perintah ibu bapa mereka. Ada juga yang hanya akan menuruti arahan jika
sudah merasa keperitan rotan di tubuh mereka. Dan ada yang lebih kritikal dari itu.
Meskipun libasan rotan telah mendarat di batang tubuh, namun si anak dengan
selamba mengatakan tidak sakit. Hal sebegini mungkin jarang-jarang berlaku namun ianya
meggambarkan kepada kita bahawa dalam pendikian anak-anak kepelbagaian
pendekatan adalah suatu yang penting untuk diberi perhatian yang sewajarnya.
Menjadikan tindakan merotan anak
sebagai satu kesalahan jenayah meletakkan ibubapa dalam keadaan yang serba
salah. Jika tidak dirotan anak akan rosak akhlaknya, jika merotan pula ada
risiko merengkok dalam penjara. Meletakkan tindakan merotan sebagai satu jenayah
juga pastinya nanti akan membuka ruang kepada anak-anak untuk tidak menuruti
perintah ibubapa dan menjadi anak durhaka. Pastinya nanti akan membawa mala petaka besar
di dalam keluarga. Akan ada anak-anak yang akan mengheret ibu bapanya ke mahkamah
atas alasan melanggar undang-undang sepertimana yang berlaku di Amerika apabila
se orang budak perempuan bernama Rachel Canning telah menyaman ibu bapanya dan
menuntut kepada mahkamah untuk menaggung bayaran yuran pengajian beliau
meskipun beliau telah bertindak meninggalkan rumah kerana tidak mahu dikongkong
oleh kedua orang tuanya. Kita tidak mahu peristiwa seumpama ini terjadi di negara
kita.
Merotan anak kerana mendidik perlu
dibezakan dengan mendera. Mendera wajib dikenakan hukuman yang berat. Bahkan merotan juga jika keterlaluan sehingga
membawa kecederaan serius pada anggota tubuh badan anak- anak juga perlu
dihukum kerana ianya telah terkeluar dari batas pendidikan. Perlu ada garis panduan dalam merotan tetapi bukan
dengan menjadikan ianya sebagai satu kesalahan jenayah.
Kita tidak perlu telalu terikut-
ikut dengan perundangan Barat dan tidak perlu mencari pelbagai alasan untuk
mengikutinya. Setiap negara mempunyai perundangannya yang tersendiri dan negara
lain tiada hak untuk campur tangan.
Budaya mereka adalah berbeza. Mereka membenarkan perkahwinan sesama
jenis seperti yang berlaku di New
Zealand di mana Travis McIntosh dan Matt McCormick berkahwin secara sah dan
dihadiri oleh kaum keluarga kedua belah pihak sedangkan kita melihatnya sebagai
suatu yang menjijikkan dan dangkal dan tidak dapat menerimanya kerana bukan
sahaja budaya kita berbeza bahkan juga ia bercanggah dengan nilai-nilai agama.
Kita negara yang bebas dan perlu bebaskan diri dari belenggu penjajahan
berterusan dari kuasa dan pengaruh negara luar.
Kita semua tahu bahawa merotan
telah diterima pakai sejak lebih dari 1400 tahun lalu. Nabi Muhammad s.a.w
menggalakkan ibu bapa bahkan memerintahkan mereka agar merotan anak-anak mereka
bagi tujuan pendidikan jika enggan mengerjakan solat di kala usia sudah menjengah
10 tahun.
“Ajar anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun, dan (sekiranya
mereka enggan) pukul mereka apabila mencecah 10 tahun). (Riwayat Abu Daud)”
Jelas di dalam hadith ini bahawa
anak-anak yang perlu dirotan bukan di semua peringkat umur. Anak- anak perlu
dididik, ditegur, dinasihati, dibelai,
dan dipujuk untuk mengerjakan solat. Setelah dilakukan segalanya tapi
masih gagal merobah mereka, maka di saat itu barulah dibenarkan untuk merotan
anak tersebut. Dalam erti kata lain merotan bukan pilihan pertama bahkan dikira
sebagai pilihan terakhir setelah segala usaha sebelum ini gagal membuahkan
hasil yang diharapkan. Mungkin ciri ini boleh diletakkan sebagai salah satu garis
panduan untuk ibubapa yang terpaksa
merotan anak-anak mereka. Hanya anak yang berusia 10 tahun ke atas dibenarkan
untuk dirotan, beramal dengan hadith di atas tadi.
Satu lagi garis panduan yang boleh
di tambah ialah jumlah rotan yang tidak sepatutnya melebihi 10 kali
bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:
“Tidak boleh merotan melebihi 10 kali
melainkan pada hukum hudud (Riwayat Bukhari)”
Abdullah Naseh Ulwan dalam bukunya yang
bertajuk ” Tarbiatul Aulad fil Islam” telah menggariskan beberapa syarat sebelum atau semasa merotan
anak-anak sebagai salah satu kaedah pendidikan. Antaranya ialah tindakan
merotan anak-anak untuk kali pertama mestilah dilakukan secara perlahan, tidak
terlalu kuat yang boleh menyakitkan samada di tangan atau kaki. Jika tidak
berkesan dengan satu rotan maka harus dirotan
sehingga tiga kali. Jika masih berdegil selepas dirotan sebanyak tiga kali maka
boleh dirotan sehingga 10 kali tetapi jangan melebihi jumlah itu sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith di atas.
Merotan bukan sahaja terhad kepada
anak-anak bahkan syariat Islam turut membenarkan suami untuk merotan isterinya jika
ingkar dan nusyuz dengan syarat semua kaedah lain telah dilaksanakan terlebih
dahulu. Sekali lagi rotan adalah pilihan terakhir setelah semua pendekatan lain
gagal merobah isteri untuk mentaati perintah suami.
Dari sudut budaya pula merotan
telah diterima pakai dalam budaya Melayu
sejak turun temurun. Merotan terbukti berjaya membentuk budaya mentaati ibu bapa
sejak dari kecil. Kewujudan rotan di rumah meskipun tidak sentiasa digunakan ibarat ' road block'
yang dilakukan oleh pihak polis. Mereka
yang tidak bersalah tidak perlu takut kerana ‘road block’ itu bukan untuk mereka
tetapi hanya untuk merek yang bersalah.
Kewujudan rotan di rumah disebut oleh Rasulullah sebagai rumah yang dirahmati.
Di Amerika sendiri terdapat
suara-suara yang mencadangkan agar hukuman rotan dikenakan kepada pesalah.
Mereka mencadangkan kepada kerajaan Amerika supaya menurut jejak langkah
Singapura yang mengenakan hukuman rotan ke atas se orang rakyat Amerika bernama
Michael Fay yang didapati bersalah melakukan perbuatan vandalisma. Michael Fay
dikenakan hukuman rotan sebanyak empat kali meskipun diminta oleh Presiden
Amerika pada ketika itu iaitu Bill Clinton untuk menggugurkan hukuman tersebut.
Yang nyata menurut pengarang di sebuah akhbar di Amerika, Michael Fay tidak
lagi mengulangi perbuatan sama sekurang-kurangnya di Singapura. Di sini jelas menunjukkan bahawa rotan sebenarnya
diiiktiraf oleh masyarakat dunia sebagai salah satu kaedah pencegahan supaya
pesalah tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama. Sama juga fungsi rotan
kepada kanak-kanak, ia tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk ‘mengajar’
anak tersebut supaya berwaspada dan beringat-ingat pada setiap ketika supaya
tidak dikenakan hukuman rotan yang kesannya amat sukar dilupakan.
Justeru penulis amat berharap agar pihak
kerajaan tidak tergesa-gesa melaksanakan cadangan untuk menjadikan tindakan merotan
anak sebagai satu perbuatan jenayah seperti yang lakukan oleh Sweden sebelum
ianya diperbahaskan dengan teliti dan terperinci dengan memanggil pakar-pakar perundangan,
kemasyarakatan, psikologi, ahli akademik dan agama sebelum ianya
dijadikan sebagai satu undang-undang.
Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia