Monday, March 21, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? – PART 8 -

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? – PART 8
MENGGALI RAHASIA KEBOROSAN DIRI
Salam sahabat yang dikasihi kerana Allah.
Sudah beberapa hari saya memerah otak, berfikir, merenung, mengimbas kembali lembaran-lembaran hidup saya yang pernah terlukis dan terpahat dalam sejarah hidup saya. Alangkah indahnya jika saya diberi peluang untuk membuat ‘lawatan’ ke episod-episod kehidupan lampau – bukan untuk merobahnya kerana ia adalah suatu yang mustahil tetapi untuk belajar dan membuat koreksi diri dan juga berkongsi segala pengalaman tersebut bersama khalayak agar ianya boleh dijadikan panduan.
Saya benar-benar ingin tahu, apakah faktor pendorong yang menjadi punca keborosan saya. Bonda pernah meluahkan rasa bimbang ini kepada isteri saya suatu hari. Saya masih gagal menemui jawapan tepat kepada persoalan ini. Namun ada beberapa kemungkinan yang boleh saya kongsikan di sini.
Pertama: Latar belakang keluarga yang susah
Saya percaya ini adalah salah satu dari puncanya. Saya umpama se ekor harimau yang garang dan sedang kelaparan. Saya terkurung begitu lama dalam sangkar yang sungguh menyiksakan. Saya cuma diberi seketul daging yang amat kecil oleh penjaga zoo setiap hari sedangkan saya mendambakan se ekor rusa yang segar di padang rumput yang tersergam luas tanpa jaring-jaring yang membunuh kebebasan ini. Pastinya seketul daging itu tidak mampu memberi kepuasan. Tidak lain hanya sekadar mampu memberi saya tenaga untuk terus hidup. Saya terus barangan-angan untuk mendapatkan se ekor rusa dara yang begitu enak rasanya. Angan-angan dan impian ini tanamkan sedalamnya dalam lubuk jiwa. Saya yakin suatu hari saya pasti dibebaskan dan saya begitu optimis, rusa dara impian saya pasti jadi milik saya. Akan saya buru. Akan saya kerahkan seluruh tenaga dan kekuatan saya untuk mencapai cita-cita tersebut. Akhirnya pihak zoo membuat keputusan untuk membebaskan saya dan kembalikan saya ke tempat asal saya. Tempat saya nikmati kehidupan dengan bebas dan tanpa sebarang sekatan. Saya berlari pantas. Rusa dara terus menerjah minda saya. Saya terus berlari dan mencari. Saya memang penat, tapi saya tidak peduli. Apa yang penting impian saya pasti akan direalisasikan. Saya mahu ianya berlaku hari ini. Bukan esok. Bukan lusa tapi hari ini. Menjelang senja, saya sudah kepenatan. Tetapi tidak semena-mena, saya lihat satu susuk tubuh persis rusa dara yang sering bermain di fikiran saya. Ya! Benar….si rusa dara idaman hati beta sudah menjelma di hadapan mata! Apalagi, dengan sepenuh tenaga saya menerkam si rusa dara. Zap! Sekali cakaran singgah di leher si rusa dara…terus terkulai layu tidak bermaya. Saya terus membaham si rusa dara..begitu gelojoh dan pelahap sekali kerana gejolak nafsu untuk menikmati daging enak dan segar si rusa dara sudah dipendam sekian lama…
Demikian kisah si harimau yang kelaparan dengan si rusa dara…itulah saya…si harimau yang begitu mengimpikan suatu yang tidak pernah menjadi miliknya. Di dalam hidup saya mengimpikan terlalu banyak perkara…kalau semasa berada di kampung semasa kanak-kanak dahulu..jarang-jarang kami boleh makan ayam…kami jarang dapat pakaian yang cantic-cantik…bila ke sekolah hanya naik basikal buruk yang dipinjam dari ayahnda….bilik tidur kami pun tanpa kipas dan berlampu kerana pada masa itu elektrik pun belum ada…hanya pelita ayam yang menyinari rumah kami…saya ingat semasa di sekolah rendah saya berpeluang hanya sekali ke Kuala Lumpur itu pun setelah puas menangis dan merayu pada bonda…bila meningkat dewasa, keinginan semakin bertambah….mahu berkahwin isteri cantik…mahu kereta mewah…mahu rumah besar dan selesa..mahu melancong ke luar negara…mahu rumah lengkap dengan perabot-perabot mahal dan berkualiti…mahu makan enak-enak..mahu shopping sepuas-puasnya dan lagi dan lagi….listnya terlalu panjang untuk ditulis di sini…namun semua itu terhalang oleh satu sebab – MONEY!. Saya tidak punya wang….jadi semuanya hanya menjadi khayalan dan impian yang kekal terpahat dalam minda sehinggalah akhirnya MONEY is there for you to spend bila saya mula bekerja di Brunei. Almaklum saja, orang kampung yang tak pernah melihat duit yang banyak. Dia akan jadi ‘mabuk duit’. Tak tahu apa yang nak buat dengan yang banyak kecuali berbelanja! Dan belanja! Dan Belanja!
Kedua: Tiada Ilmu berkaitan dengan perancangan Kewangan
Betul sekali…bahkan tidak keterlaluan jika saya mengatakan – KEJAHILAN- dalam ilmu perancangan kewangan menjadi PUNCA UTAMA dan PEMUSNAH segala cita-cita saya untuk menjadi jutawan! Seikhlasnya saya ingin menyatakan bahawa ilmu saya tentang perancangan kewangan adalah ZERO! Saya adalah jahil murakkab. Jahil yang bertingkat-tingkat kejahilannya. Saya tidak diajar untuk menabung walau pun ayahnda bonda memang sering menyuruh kami menabung. Masih ingat semasa kanak-kanak setiap anak diberikan Tabung yang diperbuat dari buluh untuk dijadikan sebagai Tabung. Namun kami tidak diberi penjelasan dan gambaran yang jelas kenapa perlu menabung dan apa yang akan dibuat dengan wang tabungan tersebut. Saya cuma mengenali sedikit sebanyak tentang pelaburan bila mula-mula berjinak dengan beberapa syarikat jualan langsung yang menggalakkan supaya membaca buku-buku motivasi. Antara buku-buku yang saya baca ialah Rich Dad Poor Dad oleh Robert Kiyosaki. Buku ini adalah buku yang memainkan peranan utama yang merobah cara saya berfikir tentang wang Sepertimana yang saya jelaskan sebelum ini. Selain itu saya juga membaca buku The Magic of Thinking Big oleh David J. Schwartz, See You at The Top oleh Zig Zagler, Guide to Investing, juga oleh Robert Kiyosaki dan beberapa buku ditulis oleh penulis tempatan seperti buku-buku berkaitan pelaburan hartanah oleh Azizi Ali dan lain-lain.
Cuma yang agak malang, ilmu yang saya perolehi ini hanya terhasil setelah ‘KEROSAKAN’ teruk berlalu dalam hidup saya dan sekaligus menghalang laluan saya untuk join ‘Millionaires Club’. Namun saya tidak menyesal. Biarlah saya tidak jadi jutawan, tetapi jika perkongsian ini membawa anda menjadi Jutawan saya pasti akan bergembira dengan kejayaan anda. Cuma satu permintaan saya – bacakan al fatihah – buat saya jika anda sudah bergelar JUTAWAN!
Ketiga: Tiada Perancangan Dalam Kewangan
Point ini sebenarnya berkait rapat dengan point di atas iaitu kurangnya ilmu atau JAHIL dalam ilmu perancangan kewangan. Ye lah! Macamana nak rancang kalau tak tau apa benda yang nak dirancangkan? Jadi akibat tidak merancang, maka terjadilah apa yang terjadi. Saya pun hairan. Kenapa saya tak boleh belajar dari apa yang diceritakan oleh Allah di dalam al Quran tentang mimpi Nabi Yusof A.S sedangkan saya bergelar ‘Ustaz’ dan boleh memahami Bahasa Arab dan Al Quran? Di dalam kisah Nabi Yusof ini, diriwayatkan bahawa Raja Mesir pada masa itu bermimpi melihat tujuh ekor sapi gemuk di makan tujuh ekor sapi kurus. Lalu baginda, melalui se orang utusan menyampaikan mimpi tersebut untuk ditafsirkan. Lalu Nabi Yusof A.S berkata kepada utusan tersebut:
" Wahai sahabatku. Ketahuilah bahawa kamu harus menanam tanaman selama tujuh tahun sebab sesudah itu akan datang musim kemarau selama tujuh tahun pula”. Kisah ini sebenarnya memberi peringatan kepada kita tentang peri pentingnya membuat perancangan kerana kita tidak tahu apa yang bakal terjadi di masa-masa yang akan datang….
Insya Allah di dalam part dan babak seterusnya saya akan kongsikan pula apa bentuk perancangan yang harus dibuat bagi mengelak malapetaka yang mungkin akan menimpa anda sekiranya anda GAGAL melakukannya! Saya sudah GAGAL! Tetapi saya tidak mahu anda GAGAL! Sebab itu saya dedahkan kelemahan diri, bukan untuk menagih simpati, tapi sekadar ingin berkongsi, agar segala MUSIBAH dapat dijauhi.
Wassalam
“Saya mahu anda jadi JUTAWAN melalui tips yang saya kongsikan”.
Salam Ikhlas dari saya
Ustaz Dr Nik Rahim Abu Umair Al Nikmy
Nilai, Negeri Sembilan
8 Jamadil Akhir 1437= 17 Mac 2016

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...