Monday, May 9, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 41)

FOREX OH! FOREX!

Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….Allah masih lagi memberi peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya.
Salam sahabat semua. Dalam part ke 41 ini saya akan kongsikan satu lagi platfom pelaburan yang ‘amat lumayan’ walaupun saya sendiri tidak pernah 'menikmati' kelumayanan dalam pelaburan ini. Namun begitu saya mempunyai sedikit pengalaman yang boleh saya kongsikan dengan sahabat semua. Pelaburan yang saya maksudkan adalah forex atau pertukaran wang asing. Ini adalah pelaburan terakhir yang ingin saya kongsikan dengan anda semua. Walaupun banyak lagi pelaburan-pelaburan lain yang juga amat lumayan pulangannya, saya tidak bercadang untuk kongsikan dengan anda kerana saya tiada pengalaman sendiri dalam pelaburan tersebut.
Pelaburan dalam perladangan kelapa sawit sebagai contoh adalah antara pelaburan yang menawarkan pulangan jangka panjang yang menarik tapi oleh kerana saya belum pernah terlibat dalam bidang in, maka saya tidak akan kongsikan dengan anda.
Saya terlibat dengan forex sekitar  tahun 1999- 2005. Semasa saya mulakan pelaburan dalam forex dulu, saya cuma buat secara kecil-kecilan saja sebab modal saya pun ciput dalam USD1,000 saja. Tapi nilai USD1,000 pada masa tu memang satu jumlah yang besar bagi saya. Tapi sebab nak mencuba suatu yang baru dan meneroka rahsia ‘lombong emas’ forex maka saya pejamkan mata dan terjun juga.
Hari pertama saya memulakan trading amat mengujakan saya. Nervous pun ada. Risau pun ada. Takut nanti melayang duit saya USD1,000 tu. Tapi saya nekad. Duit pun dah masukkan. Memang ‘no turning back’. Saya kena juga teruskan trading ni. Malam itu selepas solat maghrib, saya masuk ke pejabat saya di rumah dan kuncikan pintu. Sebelum tu saya dah bagitau orang rumah bahawa  malam itu ‘jangan kacau’ saya. Sebab saya ada urusan penting. Saya tak bagitau pun isteri sebab takut nanti ada ‘bangkangan’ dan ‘spoil’ rancangan saya. Isteri saya akur saja. Sebaik mengunci pintu, saya terus duduk di kerusi. Makanan dan minuman sudah siap tersedia. Awal-awal lagi saya dah pesan kepada isteri untuk sediakan kopi panas kegemaran saya dan cekodok pisang. Nanti sambil-sambil buat trading boleh juga menjamu selera sambil hilangkan perasaan nervous.
Laptop saya buka. Saya sudah bersedia sepenuhnya untuk ‘bertarung’ di gelanggang forex yang penuh mencabar. Saya biasa dengar pakar-pakar forex mengatakan bahawa hanya 10% orang yang benar-benar berjaya dalam forex. Saya berdoa, agar Allah jadikan saya di kalangan 10% tersebut. Ameen!
Jam sudah menunjukkan tepat 8.00 malam. Market di New York mula dibuka. Time to trade! Saya ambil leverage 1:100 bermaksud dengan leverage ini saya mampu membuat trading sehingga USD100,000. Wow!   Bismillah! Saya mulakan dengan membuat buy bagi pair EURO-USD. Saya tidak mahu untung banyak malam pertama ini. “Malam ni dapat 10 pips pun kira Oklah!” bisik hati saya. Debaran saya makin kencang bila melihat trend mula menurun walaupun pada masa saya memasuki pasaran tadi kelihatan semacam trendnya menaik. Aduh!! “sabar! Sabar! “ bujuk hati saya. Saya terus sabar dan terus berdoa agar keadaan pasaran terus menaik. Saya tunggu dan tunggu. Debaran terus kencang. Maklum saja ini adalah ‘malam pertama’ saya!
Namun harapan tinggal harapan. Kenaikan yang saya harapkan tidak menjadi kenyataan. Harga currency pair yang saya beli terus menurun. Saya terpaksa membuat keputusan untuk exit. Tudia! ‘Malam pertama’ yang sungguh malang. Malam itu saja USD250,  saya sudah hangus terbakar. Hanya dalam masa 30 minit! Saya termenung ‘keras’ beberapa minit. “Kalau macam ni caranya, memang gelaplah masa depan aku!” keluh saya. Tapi saya kuatkan semangat. “Malam ni belum ada rezeki. Kan baru malam pertama…cuba lagi, mana tau ada rezki!” saya memujuk diri sendiri. Hampir sejam selepas selepas Pukulan ‘KO’ yang saya terima akibat kerugian ‘segera’, saya ‘bertapa’ dalam pejabat di rumah saya. Sambil mengeleng-ngeleng kepala. Akhirnya saya keluar dari bilik. Perasan dengan riak wajah saya yang kurang ceria, isteri saya menegur. “Macam ada masalah jer bang muka tu?” “Eh! Tak der lah…biasa jer!” balas saya cuba menyembunyikan emosi yang terganggu akibat ‘pukulan maut’ tadi. Sebaik solat isyak saya terus ke bilik tidur meninggalkan isteri yang masih sibuk melayan anak-anak. Agak luar biasa bagi saya tidur awal. Jarang sekali saya tidur sebelum jam 12.00 tengah malam. Dari dulu hinggalah kini!
Malam tu saya tidur macam biasa. Lena! Kerugian dalam forex trading baru sebentar tidak sedikit pun mengganggu ‘selera’ tidur saya. Satu kelebihan yang Allah bagi pada saya. Nikmat tidur! Saya boleh tidur di mana saja dan dalam keadaan bagaimana sekalipun. Pernah dalam satu latihan ketenteraan, saya boleh lena tidur walaupun berada dalam semak dan lalang serta hujan! Bahkan saya boleh lena dalam masa 5 minit sahaja! Alhamdulillah…
Hari berikutnya, saya pergi kerja seperti biasa. Namun otak saya berlegar mencari solusi dan kaedah bagaimana mahu untung dalam perniagaan forex yang baru dikenali. Selepas tamat waktu kerja, saya buat ulangkaji dan melihat perkembangan semasa berkaitan dengan pasaran matawang. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Saya masuk forex bukan untuk rugi. Saya bertekad untuk untung pada malam nanti.
Namun dipendekkan cerita, pada malam berikutnya saya kerugian lagi sebanyak USD300! Dan memang sungguh malang, sebaik pasaran ditutup  di hujung minggu tersebut saya kehilangan kesemua wang pelaburan saya sebanyak USD1,000. Semuanya berlaku hanya dalam masa 1 minggu!
Kerugian yang saya alami adalah akibat kurangnya ilmu yang saya miliki. Saya juga tidak begitu mahir dengan teknik-teknik trading meskipun sudah agak banyak membaca. Sebagai kesimpulannya dapat saya katakan bahawa pelaburan dalam forex adalah pelaburan yang amat tinggi risikonya dan hanya sesuai untuk mereka yang benar-benar mahir tentang selok belok pelaburan ini. Jika anda baru saja mahu berjinak-jinak, maka nasihat saya lupakanlah. Anda pasti akan ‘terbakar’!
Namun saya masih menganggap bahawa saya masih lagi bernasib baik kerana kerugian saya tidaklah sebesar mana berbanding ramai lagi pelabur yang kerugian mereka mencecah puluhan, ratusan bahkan jutaan ringgit di dalam pasaran forex. Saya bernasib baik kerana pada masa itu saya memang tak ada banyak duit lebih, kalau tidak pastinya lagi banyak duit saya jadi 'abu' sebab semua duit yang saya laburkan tidak menjana keuntungan buat saya bahkan mencipta kerugian demi kerugian walaupun pada saat saya memulakan langkah terjun ke dalam perlaburan ini saya merasakana bahawa ilmu saya telah cukup kerana telah menghadiri satu kursus di sebuah hotel di Kuala Lumpur.   Dan sebelum saya memulakan langkah pertama dalam forex saya juga sudah berlatih beberapa bulan melalui demo akaun. Namun rupanya bila masuk ke real trading lain pulak jadinya.

Namun saya tudak pernah menyesal apa lagi serik sebab saya berpeluang mengalami sendiri 'debaran' forex. Ini antara part yang amat mengujakan saya. Ya debarannya memang hebat sebab dalam forex anda boleh buat untung hanya dalam beberapa minit sahaja bahkan dalam beberapa saat! Anda sentiasa berada dalam suasana ‘suspen’ sehingga anda close the deal.

Kelebihan yang paling ketara yang menyebabkan forex begitu digilai oleh penggemarnya ialah kerana dalam forex kita boleh buat duit sama ada pasaran menaik atau menurun. Bila pasaran menaik, kita LONG, bila pasaran menurun pula kita Short. Bunyi amat senang tapi hakikatnya, anda perlu masuk dalam dunia forex untuk merasai hakikatnya samada ia mudah atau sebaliknya. Namun kalau kena caranya, melalui forex anda mampu menjadi Jutawan tapi berusaha bersungguh-sungguh untuk menuntut ilmu berkaitan pelaburan yang amat lumayan ini.

Cuma yang kurang sedap ialah anda juga boleh 'terbakar' dalam beberapa minit atau saat juga. Sebab tu forex tidak sesuai untuk orang yang sakit jantung. Pelaburan dalam forex sama seperti dalam lain-lain pelaburan. Anda perlu ada ilmu yang cukup serta kemahiran yang luar biasa bagi memperoleh keuntungan maksimum.  

Sebenarnya banyak sekali kelebihan dalam pelaburan forex sebab itu bagi mereka yang memahami selok belok perniagaan forex dan pernah mengecapi 'nikmat' keuntungan dalam pelaburan ini mereka tudak akan lari dari menjdikan forex sebagai salah satu dari platfom pelaburan mereka.
Antara kelebihan forex ialah:
1. Leverage
Leverage dalam bahasa mudahnya, anda ada duit ciput atau margin/modal kecil tapi nak melabur dalam jumlah yang besar. Margin ini diberikan oleh broker kepada anda. Anda boleh pilih margin anda mengikut kemahuan anda. Bila jumlah pelaburan besar maka peluang untung pun besar. Tapi jangan lupa, kalau rugi pun besar juga.
Tanpa bantuan leverage dari broker, anda tidak mungkin akan dapat melibatkan diri dalam ‘permainan’ ini kecualilah jika anda seorang yang memilki modal yang besar dan memiliki sekurangnya USD10,000 untuk memulakan pelaburan dalam forex.

2) Kecairan yang tinggi.
Pasaran Forex adalah satu pasaran yang mempunyai kadar pencairan yang tinggi.    Maksud pencairan di sini ialah anda tidak perlu menunggu masa yang lama untuk menjual dan membeli satu-satu currency pair. Orang putih kata ‘just a click of mouse’. Hany perlu klik   tetikus di komputer anda dan urusniaga anda akan   dilaksanankan hanya dalam beberapa saat sahaja. Anda tidak perlu risau untuk mencari penjual dan pembeli untuk melakukan urusniaga tersebut. Memang amat mudah. Dok rumah pun boleh buat duit!

3.Pasaran Forex dibuka 24 jam  mengikut sesi dagangan dunia (bermula jam pada 7.00pagi – apabila pasaran Tokyo dibuka, dan berakhir jam 5.00 pagi keesokannya –apabila pasaran New York ditutup). Waktu dagangan yang panjang ini membantu memudahkan para traders yang mempunyai pekerjaan tetap untuk melakukannya secara sambilan di luar waktu kerja mereka.

Banyak lagi sebenarnya tips-tips yang boleh anda gali di internet. Ramai anak-anak muda bergelar jutawan melalui perniagaan forex. Saya bukanlah pakar, sekadar berkongsi sedikit pengalaman tentang penglibatan saya di zaman lampau untuk dijadikan sedikit pengajaran (jika ada).


Nota: Penglibatan saya dalam forex adalah sekita tahun 1999-2005 iatu sebelum lahirnya fatwa yang mengharamkan forex. Setelah fatwa pengharaman dikeluarkan, saya membuat keputusan untuk terus berhenti dari forex kerana buat apa kita kaya raya kalau wang yang kita dapat bersumberkan yang haram. Namun Saya nukilkan kisah pelaburan dalam forex di sini adalah semata-mata untuk pengajaran kita semua.

 Bersambung….

Artikel ini boleh juga dibaca di –www.drnikrahim.com-

~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Isnin   9 Mei   2016 / 2 Sya’ban 1437
#kstjj 
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan
‪#‎jutawanmuslim
‪#‎jutawanmukmin
‪#‎sharingiscaring – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...