Saturday, May 14, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? PART 42

 KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 42)

RUKUN KE 4 PERANCANGAN KEWANGAN – WASIAT DAN HIBAH
Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….dan kita sudahpun memasuki bulan Sya’ban menandakan tidak lama lagi kita sama-sama akan menyambut ‘tetamu’ paling istimewa bernama Ramadhan. Moga Allah terus beri kita  peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya. Ameen!
Dalam part yang ke 42 ini saya akan berkongsi tentang rukun yang ke 4 perancangan kewangan Islam iaitu wasiat dan hibah. Saya yakin jika anda sudah mencuba segala tips yang saya kongsikan sejak siri pertama hingga kini, maka anda akan dapat melihat satu bentuk transformasi berlaku dalam pattern perbelanjaan anda. Mungkin anda sudah mula berhati-hati dan berkira-kira sebelum berbelanja. Semalam semasa balik kampung, saya sempat bersembang ringkas dengan adinda saya Nik Halawati yang baru saja meletakkan jawatan sebagai guru agama di Taska di Kuantan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan MLM yang beliau ceburi sejak lebih satu tahun yang lalu. Alhamdulillah, hasil kerja kuat serta ‘istiqamah’ di dalam syarikat yang sama, sudah nampak bibit kejayaan dalam perniagaan beliau. Beliau sudah beli kereta baru – Nissan Almera dan bayaran ansurannya sebanyak RM800. Saya ‘mencuit’ beliau sikit. “sebenarnya Ha tak perlu lagi beli kereta tu walaupun nampak bisnes dah bertambah maju’. Usik saya berseloroh. Adinda saya cepat respon tapi bukan melatah. Katanya dia perlukan kereta sebab banyak bergerak ke sana ke mari untuk promosi bisnesnya. “Ok…perlu kereta, tapi kenapa Nissan Almera? Kenapa tidak Proton?”. Tanya saya menguji. “Proton tak bergaya” jawabnya diikuti ketawa kecil.
 “Inilah sebenarnya ruang yang patut diperbaiki anak beranak. Penyakit ni kita semua ada. Penyakit suka berbelanja. Penyakit suka bergaya walaupun pendapatan belum lagi melayakkan kita untuk berbuat demikian” balas saya agak sedikit tegas. Adinda saya hanya tersenyum tanda mengiyakan kata-kata saya.
Bahkan ramai sekali anak-anak muda di luar sana yang baru saja bertatih-tatih berniaga takaful atau MLM atau berniaga apa sahaja,  Income baru dua tiga ribu sudah mula pakai kereta mewah kononnya untuk tarik lebih ramai pelanggan. “Tu, yang dulu tu! Masa naik capcai buruk dulu, ok jer. Ramai jer customer yang awak dapat?” kata saya kepada salah se orang anak muda dalam satu pertemuan tidak lama dulu di bangunan Etiqa di Kuala Lumpur. Ramai sekali yang mencipta macam-macam alasan untuk ‘boros’ dan ‘bergaya’ sedangkan mereka sebenarnya masih terlalu mentah dalam perniagaan. Kanda saya Poknik pernah pada tahun 1990an ditawarkan kereta mewah Citroen Xantia yang bernilai RM170,000 pada waktu itu kerana telah melayakkan diri mencapai target dalam syarikat. Nak tau apa jadi lepas itu? Beliau berhenti dari syarikat tersebut dan terpaksa membayar sendiri kereta tersebut sehingga hampir saja diishtihar muflis. Inilah bahayanya jika kita buat keputusan dalam perbelanjaan kita berasaskan NAFSU dan bukan AKAL yang rasional dan WARAS.


Berbalik kepada topik kita iaitu tentang wasiat dan hibah, kedua-dua kaedah ini sebenarnya adalah pelengkap kepada perancangan kewangan anda. Jika anda sudah berjaya mengawal nafsu berbelanja dan anda kini sudah tidak boros lagi, pastinya anda akan melihat limpahan wang anda di sana-sini. Dari wang lebihan tersebut maka anda mula laburkan dalam emas, property, stock market dan anda juga tidak lupa mengambil perlindungan diri dan keluarga melalui syarikat takaful dan lain-lain. Maka dari situ anda akan mula generate income saban tahun. Anda mula mengumpul kekayaan. Kekayaan dan asset anda semakin meningkat setiap tahun dan akhirnya mungkin selepas 10 tahun, anda bergelar JUTAWAN! Tahniah kepada anda. Cara hidup anda mula berubah. Anda sering saja melancong ke luar negara. Anda tunaikan umrah bersama keluarga hampir setiap tahun. Anda juga tidak lokek untuk menderma dan membantu orang yang memerlukan. Anda tunaikan zakat serta kewajipan-kewajipan terhadap keluarga, jiran dan lainnya. Hidup anda amat bahagia. Sekali-sekala anda terkena sakit. Anda tidak risau sebab anda punyai perlindungan takaful. Wang anda tidak terkesan walaupun anda terpaksa membayar bil hospital yang mencecah puluhan ribu ringgit kerana semuanya ditanggung oleh syarikat takaful. Sebaik keluar dari hospital anda kembali meneruskan rutin hidup anda seperti biasa.
Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Anda semakin lanjut usia. Harta dan asset anda terus meningkat. Namun persoalannya, apakah yang anda sediakan jika tiba-tiba anda dijemput Tuhan? Tidakkah anda risau kelak nanti harta yang bernilai jutaan ringgit akan menjadi punca perbalahan dan pertelingkahan antara anak-anak anda? apakah anda rasa dengan segala kebajikan yang anda lakukan selama ini sudah mencukupi? atau anda rasa ianya perlu ditambah bagi menjamin anda mempunyai bekalan yang cukup untuk hidup yang kekal abadi di akhirat nanti? Apakah anda sanggup meninggalkan anak-anak serta isteri tercinta ke hulu ke hilir, naik turun mahkamah kerana nak uruskan harta pusaka peninggalan anda?
Segala persoalan-persoalan di atas mampu diselesaikan dan anda tidak lagi perlu risau. Anda boleh ‘istirihat’ dengan aman dan damai ‘di sana’ insya Allah. Ya! Wasiat dan hibah adalah dua kaedah penyelesaian di atas.

Wasiat mampu menyelesaikan banyak permasalahan yang bakal berlaku sebaik anda pergi menemui Sang Pencipta. Dengan berwasiat anda telah merancang lebih awal dari perancangan waris-waris anda. Anda kena faham. Ramai anak, pasti banyak ragamnnya. Bukan kita tidak percaya kepada anak-anak dan juga isteri. Tapi biarlah kita berjaga sebelum terkena. Dah banyak sangat kes yang berlaku dalam masyarakat kita. Bila ayah meninggal anak beranak berantakan. Ada kes ibu saman anak. Anak saman ibu. Anak melarikan wang pusaka ayah dan banyak lagi. Puncanya? Antaranya ialah kerana Wasi atau Pentadbir (juga di kenali sebagai Executer) yang biasanya dilantik dari kalangan anak lelaki paling tua dalam keluarga TIDAK AMANAH!
Bagi mengelakkan perkara seperti ini dari berlaku maka JANGAN lantik anak-anak sebagai WASI. Bukan tak percaya anak, tapi supaya ‘pisang tidak berbuah dua kali’. Mungkin kes-kes pecah amanah yang berlaku bukan dari keluarga anda, namun ianya tidak mustahil turut ‘berjangkit’ jika tiada langkah-langkah ‘pencegahan’ dilakukan.
Melantik pihak lain sebagai wasi sebagai contoh Amanah Raya adalah salah satu langkah pencegahan yang terbukti amat berkesan. Ini kerana pihak tersebut tiada kepentingan dalam harta dan asset yang ditinggalkan berbanding anak. Bila melantik anak sulung lelaki sebagai contoh, dia ada kepentingan dalam harta tersebut. Wasi selain dari pemegang amanah, adalah juga pentadbir dan mempunyai kuasa sebagai executor atau pelaksana kepada harta yang ditinggalkan. Dalam erti kata lain, wasi ini mempunyai kuasa penuh dalam ‘mencairkan’ semua harta peninggalan anda dengan alasan untuk diagihkan kepada waris-waris yang lain.
Selamat sejahteralah anda, jika anak-anak  anda  benar-benar telah ditarbiah untuk takut pada Allah. Sebab mereka semestinya akan berlaku jujur menunaikan amanah dalam membahagikan harta sebaik dan seadil mungkin walaupun ‘godaannya’ lebih hebat dari godaan se orang wanita cantik dan gebu  lagi mempersona!

 Macamana nak buat wasiat?
Mudah saja. Anda pergi ke Amanah Raya sebagai contoh atau mana-mana syarikat atau peguam yang menawarkan servis penulisan wasiat. Sekarang ni tidak alasan untuk anda tidak membuat wasiat sebab anda boleh buat wasiat di mana-mana saja termasuk di bank-bank seperti bank Muamalat, Bank Islam dan banyak lagi.
Apa yang nak diwasiatkan?
Antara perkara penting yang perlu anda wasiatkan adalah perlantikan  WASI atau pentadbir (executor) seperti yang telah saya terangkan sebelum ini. Ini langkah paling kritikal. Tak guna anda buat wasiat sedangkan anda masih lagi menetapkan dalam wasiat bahawa yang akan jadi wasi adalah anak anda sendiri. Jika ini berlaku, ianya seakan TIDAK membuat wasiat sebab perkara utama yang anda ingin elakkan ialah pertelingkahan dan perbalahan yang MUNGKIN akan berlaku dalam pembahagian harta pusaka kelak.
Anda kena faham. Semasa anda hidup, anak-anak anda amat ‘soleh’ sekali di hadapan anda. Jika anda katakan kepada anak-anak sebagai contoh, “kalau ayah meninggal nanti, ayah nak kamu Along jadi pentadbir. Bahagilah sama rata. Tak kira yang lelaki ke perempuan ke, ayah nak semua dapat harta ayah yang tak seberapa ni sama rata. Ayah sayang kamu anak-anak sama saja lelaki dan perempuan. Sebab tu ayah nak bahagikan harta ni sama banyak. Sama juga dengan emak kamu. Bagilah harta ayah pada mak sama rata macam kamu bagi untuk adik beradik kamu”.  Kata anda kepada anak sulung anda dalam satu majlis bersama anak-anak dan isteri anda. Yang lain hanya mendengar. Mereka semua akan akur dan tunduk. Anak sulung anda juga begitu, kerana anda masih lagi bersama mereka.
 Tapi tiada siapa yang mampu menduga apa yang bakal terjadi seandai wang juta-juta ‘terhidang’ di hadapan mata? Apakah mereka masih mampu bertahan dan mengingati ‘wasiat’ anda kepada mereka? Jawapannya belum tentu. Sebab Itulah pentingnya melantik orang lain atau pihak lain yang tiada berkepentingan dan juga telah terbukti melalui latarbelakang dan sejarah kewujudannya mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang anda amanahkan seperti Amanah Raya dan yang seumpamanya.
Saya bukan ejen Amanah Raya. Dan saya pun tak dapat apa-apa manafaat dari menyebut Amanah Raya dalam tulisan saya ini. Saya sebut sebab saya memang pernah beberapa tahun sekitar tahun 2005-2007 menjadi ejen korporat Amanah Raya bahkan nama ‘bekas’ syarikat saya Syihab Excellence Agency Sdn Bhd masih lagi ada di dalam laman web Amanah Raya dalam ruangan ‘syarikat yang telah dibatalkan’ lesen kerana tidak aktif! Saya sebut ‘bekas’ sebab syarikat tersebut telah saya jual kepada se orang sahabat kerana saya terpaksa kembali ke bidang akademik.
Setelah selesai menulis perlantikan wasi dan anda telah melantik Amanah Raya sebagai contoh maka apabila anda telah ‘pergi’ nanti tiada siapa pun dari kalangan waris anda wang boleh membatalkan perlantikan ini dan semua harta pusaka anda akan diuruskan dan diagihkan oleh Amanah Raya atau ARB. Tapi ingat! Bukan PERCUMA tau? Sekarang ni mana ada yang percuma. Semuanya kena bayar. Usah anda risau dengan bayaran dan charges yang dikenakan oleh ARB. Ianya hanya sekitar 0.50% -4% dari nilai kasar harta pusaka anda. Mahal ker? Tidak begitu mahal kerana proses pentadbiran harta pusaka adalah satu proses yang amat rumit dan kadangkala mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk diselesaikan jika anda lakukannya sendiri. Bahkan ianya amat berbaloi, kerana dengan kaedah ini anda BERJAYA elakkan suatu ‘tragedi’ dari menimpa keluarga anda yang amat anda sayangi.
Ya! Dengan cara ini, pastinya tiada perbalahan antara waris-waris anda akan berlaku. Kalaupun ada mungkin sedikit kekecohan di pejabat ARB bila ada dari kalangan anak-anak yang tidak berpuas hati dan mahu mentadbir harta pusaka sendiri. Tapi semuanya itu tidak begitu kritikal sebab mereka sememangnya tidak akan dapat melakukan apa-apa selain berbuat kecoh!. Anda tersenyum ‘di sana’ kerana anda telah melakukan satu langkah yang amat bijak semasa hayat anda. Tahniah!
Selain perlantikan wasi atau pentadbir, anda juga perlu senaraikan semua HUTANG yang anda ada semasa wasiat itu ditulis. Ini amat penting selain dari takut berlakunya perbalahan dalam keluarga, penyenaraian HUTANG juga adalah salah satu dari kebaikan yang ada dalam penulisan wasiat. Maksudnya di sini, bila anda serahkan kepada ARB untuk uruskan harta pusaka, anda juga senaraikan semua hutang piutang anda, maka ARB akan terlebih dahulu melangsaikan hutang-hutang anda sebelum pembahagian harta pusaka dilakukan. Hutang anda dengan bank, hutang zakat pendapatan, nazar, fidyah, hutang dengan individu atau apa-apa saja bentuk hutang yang wajib anda bayar, maka hendaklah disenaraikan.
Anda kena faham bahawa HUTANG akan menyebabkan anda disiksa dengan teruk sekali di dalam kubur. Di dalam sebuah hadith diriwayatkan bahawa terdapat se orang sahabat Nabi yang meninggal dunia dalam keadaan berhutang sebanyak dua Dinar. Nabi s.a.w enggan mensolatkan solat jenazah ke atasnya sehinggalah se orang sahabat bernama Qatadah berjanji untuk melunaskan hutang sahabat tersebut. Setelah itu barulah Rasulullah s.a.w mensolatkan jenazah sahabat tersebut.
Beberapa hari selepas itu setelah Qatadah membayar hutang sahabat tersebut, maka Nabi s.a.w memaklumkan kepada beliau bahawa mayat sahabat tersebut sudah berhenti dari disiksa dan mayatnya kembali dalam keadaan dingin.
Jadi jangan KEDEKUT untuk membayar yuran yang dikenakan kerana ianya amat berbaloi. Azab Allah di dalam kubur adalah amat dahsyat. Bukan setakat 0.50%-4% yang akan sanggup anda bayar bahkan memberikan seluruh harta anda sekalipun anda akan sanggup untuk mengelakkan dari disiksa dalam kubur. Lagipun bukan anda yang bayar yuran perkhidmatan tu, waris anda yang bayar!
Selain dari HUTANG, harta yang anda miliki samada harta alih (movable) atau yang tak alih (immovable)  termasuk wang di bank, Tabung haji, saham, saham anda dalam mana-mana syarikat (bagi mereka yang memiliki syarikat), takaful, rumah, tanah dan semua asset anda yang mungkin anda beli secara ‘sembunyi’ kerana takut diketahui oleh pasangan masing-masing kerana sebab-sebab tertentu, semuanya perlu anda senaraikan dengan detail. Maksudnya nombor  akaun bank, nombor akaun Tabung haji, nombor  polisi takaful dan lain-lain hendaklah ditulis dengan terperinci. Begitu juga alamat di mana letaknya asset anda. Ini adalah bertujuan untuk memudahkan urusan pentadbir untuk mentadbir harta pusaka anda sebaik sahaja anda meninggal dunia. Waris anda tidak perlu bersusah payah naik turun mahkamah. Mereka tunggu saja di rumah. Pihak ARB akan memanggil mereka apabila semua urusan telah selesai.
Namun sebelum pembahagian dilakukan pihak ARB biasanya akan memanggil semua waris dan akan membacakan wasiat anda kepada semua ahli waris sebaik sahaja anda meninggal dunia. Jadi bila anda menulis wasiat, jangan saja tulis harta, hutang, wasi dan lain-lain, tapi tulislah juga wasiat-wasiat dan peringatan kepada anak-anak dan juga isteri agar jadi anak-anak yang soleh dan taat kepada ibu. Pesan juga agar jangan tinggalkan solat sebagai contoh dan doakan anda! Itu semua penting untuk dilakukan kerana anda sudah pergi.
Bagus juga wasiatkan sebahagian dari harta peninggalan anda untuk disedekahkan. Ini penting untuk kesejahteraan anda di alam akhirat nanti. Wasiatkan contohnya 10% daripada harta pusaka anda selepas ditolak hutang untuk disedekahkan kepada masjid, surau, pusat tahfiz dan sebagainya. Begitu juga kalau anda ada anak angkat yang sejak kecil anda pelihara dia, maka wasiatkanlah sebahagian dari harta peninggalan anda. Maksimum wasiat yang boleh anda buat untuk bukan waris ialah sepertiga dari keseluruhan harta pusaka anda.
Satu lagi perkara yang penting hendak ditulis dalam wasiat ialah nama-nama ahli waris serta jumlah atau peratusan harta yang hendak dibahagikan kepada mereka. Bagi saya, saya lebih cenderung untuk bahagikan harta saya yang tak seberapa ni secara sama rata antara isteri-isteri dan juga anak-anak. Ada orang tanya, eh! Boleh ker tetapkan bahagian dan berapa banyak yang nak diberikan kepada waris? Kan ada hadith yang sebut “Tidak boleh wasiat kepada ahli waris?”.  Jawapannya boleh. Tidak ada masalah. Ada hadith lain yang diriwayatkan oleh Al Darul Qutni mengatakan bahawa boleh ahli waris menerima wasiat dengan syarat ahli-ahli waris lain bersetuju. Jadi jika saya mahu wasiatkan supaya semua harta peninggalan saya dibahagikan sama rata antara ahli waris saya, dan tiada bangkangan dari sesiapa dari kalangan ahli waris, maka ianya adalah harus. Tapi kalau ada, contohnya anak lelaki saya komplen dan tak nak ikut wasiat saya tapi nak ikut faraid, tidak ada masalah. Bahagikan untuk dia secara faraid dan yang baki ikut wasiat. Selesai! Tapi anak itu akan jadi anak yang berdosa sebab langgar dan ingkar wasiat dan pesanan ayahnya!
Setelah semuanya selesai, jangan lupa untuk membuat salinan untuk rujukan anda. Saya nasihatkan supaya anda jangan dedahkan isi kandungan wasiat anda kepada sesiapa termasuk isteri yang anda kasihi bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini. Macam-macam boleh berlaku kerana dalam wasiat anda mungkin ada yang tidak puas hati. Orang yang tak puas hati bila tidak dapat mengawal emosinya boleh melakukan suatu yang diluar jangkaan. Justeru, eloklah dielakkan sebelum sampai masanya!
Selamat Berwasiat. Jangan Takut Berwasiat kerana orang yang berwasiat masih mampu hidup puluhan tahun selepas itu. Wasiat bukan tanda kita ‘nak mati’ tapi tanda orang yang bijak yang bersedia sebelum mati!

Wassalam.

Bersambung….

Artikel ini boleh juga dibaca di –www.drnikrahim.com-

~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Isnin   14 Mei   2016 / 7 Sya’ban 1437
#kstjj
#Kenapasayatidakjadijutawan
#jutawanmuslim
#jutawanmukmin
#sharingiscaring – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...