Monday, May 16, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 43)

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 43)
HIBAH ~ KAEDAH TERBAIK ELAK HARTA DIBEKUKAN?

 Salam sahabat yang dikasihi. Apa khabar hari ini? Moga anda semua berada di dalam rahmat Allah serta diberi perlindungan sepanjang masa serta dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang penuh dengan macam-macam bentuk cabaran… Ameen!

Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….dan kita sudahpun memasuki hari ke sembilan bulan Sya’ban menandakan tidak lama lagi kita sama-sama akan menyambut ‘  Ramadhan Al Mubarak. Moga Allah terus beri kita  peluang dan ruang   untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya. Ameen!
 Salam sahabat semua. Dalam Part ke 43 ini saya nak kongsi dengan anda satu kaedah terbaik yang patut  anda lakukan terhadap insan yang amat anda kasihi iaitu isteri dan juga anak-anak anda. Apa yang saya maksudkan di sini ialah hibah. Hibah secara umumnya adalah hadiah atau pemberian yang anda berikan kepada sesiapa saja samada kaum kerabat anda sendiri atau orang lain. Hibah boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah dan cara. Para ulama’ mentakrifkan hibah dari sudut bahasanya sebagai  satu bentuk  pemberian tidak kira sama ada dalam bentuk ain (material)  atau manafaat. Dari sudut syara’ pula, hibah ditakrifkan sebagai    satu akad pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang kepada orang lain dengan cara sukarela  semasa hayatnya  tanpa mengharapkan     sebarang bentuk balasan  atau disebut dalam bahasa Arabnya sebagai ‘iwad’.
Jadi kalau kita tengok kepada takrifan ini, kita boleh katakan, hibah boleh berlaku dalam berbagai bentuk asal saja ianya adalah pemberian yang tidak mempunyai maksud terselindung umpama ‘udang di sebalik batu’.
Melakukan hibah dengan ikhlas, walaupun kepada anak dan isteri adalah satu ‘ibadah’ dan amat digalakkan di dalam Islam. Justeru, usah rasa rugi bila memberikan sesuatu buat orang yang kita sayang. Usah fikir sangat apa yang akan dibuat dengan wang yang kita berikan sebagai hibah. Serahkanlah kepada kebijaksanaan mereka macamana nak guna duit itu. Walaubagaimanapun, sebagai se orang bapa atau suami anda perlu memberi peringatan kepada mereka supaya guna duit hibah yang ditinggalkan tanpa pembaziran dan digunakan di tempat-tempat yang Allah redha. Bukan apa. kalau mereka guna duit untuk kebaikan, maka anda akan terus menerus mendapat ganjaran pahala dari Allah s.w.t insya Allah.
Ada suami yang takut nak hibahkan harta dan wang kepada isteri sebab takut nanti bila dia mati maka isterinya jadi janda kaya dan akan berebut-rebutlah lelaki di luar sana untuk berkahwin dengan bekas isterinya. Ini cara berfikir yang kolot! Usah fikir apa yang isteri lakukan sebab sebaik saja anda berikan sesuatu kepadanya, maka anda sudah dapat pahala dari Allah. Fikirlah, macamana anda nak hidup dalam kubur nanti. Itu adalah lebih baik bagi anda.
Hibah ni hukumnya sunat. Maksudnya kalau buat dapat pahala. Memang pahala ‘tak penting’ untuk hidup di dunia. Anda akan tahu dan rasa pentingnya pahala bila anda berada di atas titian siratal Mustaqim. Bila anda terhoyong hayang melintasi titian sirat kerana amalan yang kurang dan dosa pulak bertimbun-timbun macam timbunan sampah sarap di tempat pembuangan sampah yang tidak dikutip bertahun-tahun lamanya, maka di sini anda amat-amat berharap kepada pahala dan amalan-amalan baik kerana pada saat genting ini tiada lagi yang berharga buat anda. Emas perak, wang dan permata sudah tiada ertinya. Jadi jangan perlekehkan pahala sebab nanti anda amat-amat memerlukannya. Pahala umpama titisan air di padang pasir yang kontang. Kalau di rumah, anda tak kisah walaupun membazir bergelen-gelen air, tapi saat anda berada di  padang pasir tandus yang panas terik bak neraka,  satu titis air anda rasakan begitu berharga sekali.
Selain dari ganjaran pahala yang kita harapkan, hibah juga mampu mengeratkan hubungan antara pemberi dan penerima hibah. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Berilah hibah, kerana dari hibah itu akan terhasilnya kasih sayang”.
Hadith ini dengan jelas menggambarkan kepada kita bahawa salah satu kaedah untuk rapatkan hubungan kita dengan seseorang ialah dengan memberi Hadiah atau hibah. Ini kerana manusia secara umumnya suka benda ‘free’ walaupun dia se orang yang kaya raya. Bila beri sesuatu kepada seseorang, pasti terpancar di wajahnya cahaya  kegembiraan. Ayah apabila berikan hadiah kepada anaknya, maka anak pastinya akan lebih menyayanginya. Tapi dalam bab memberi hadiah ini, ibu bapa perlu juga rasional. Usah berikan kepada anak anda suatu yang tidak sepatutnya sebelum sampai masanya yang sesuai. Usah beri suatu yang membawa mudharat kepada mereka. Memberikan kereta atau motosikal kepada anak sebagai hibah di kala usianya masih terlalu muda dan masih belum boleh memiliki lesen adalah hibah yang ‘kurang bijak’ dari ibu bapa.
Suami apabila membelikan rantai atau gelang emas kepada isteri tercinta, pastinya hubungan mereka semakin mantap. Hibah pencetus kasih sayang. Begitu juga bila isteri sekali sekala menghibahkan suatu kepada suaminya, maka suaminya pasti akan tersenyum lebar. Sama juga jika hibah ini berlaku di kalangan orang luar yang bukan dari kalangan keluarga sendiri. Ianya juga memberi impak yang amat besar dalam hubungan antara mereka.
 Jadilah orang yang suka memberi dari orang suka meminta. Nabi s.a.w bersabda di dalam satu hadith yang bermaksud: “Tangan di atas (yang memberi) adalah lebih baik dari tangan yang di bawah (yang menerima)”.
Mungkin ramai di kalangan anda semua yang sudah melakukannya tanpa disedari bahawa apa yang anda lakukan sebenarnya adalah hibah. Sebagai contoh, mungkin ada antara anda yang bukakan akaun tabung haji atau simpanan untuk anak-anak sejak dari awal usia lagi. Ini sebenarnya salah satu dari bentuk hibah walaupun anda tidak berniat semasa membuka akaun tersebut sebagai hibah. Ada yang menyediakan plan takaful  untuk setiap anak dan isteri. Ini juga boleh dikira sebagai hibah.
Namun untuk menjadikan satu-satu pemberian itu boleh dianggap hibah, maka nak kena ikut dulu syarat-syarat dan rukun-rukunnya. Antara rukun dan syarat yang mesti di dipenuhi semasa melakukan hibah ialah:
1)      Pemberi hibah (al-wahib)
 Pemberi hibah mestilah se orang yang layak atau mempunyai ahliyyah yang sempurna. Pemberi hibah mestilah seorang wang berakal, baligh dan juga mampu menguruskan harta dengan baik yang disebut dalam istilah Arabnya sebagai ‘rusyd’.
2)      Penerima hibah (al-mauhub lahu)
 Penerima hibah mestilah se orang yang ada kemampuan  untuk memiliki harta iaitu se orang yang mukallaf iaitu yang  sudah aqil dan baligh. Tapi kanak-kanak yang belum baligh masih boleh menerima hibah tetapi hibah itu mestilah diserahkan kepada wali atau penjaganya yang bertindak sebagai trustee atau pemegang amanah.
 3. Harta yang dihibahkan (al-mauhub)
Harta yang hendak dihibahkan itu mestilah suatu yang halal dan bernilai di sisi syarak. Maksudnya barang-barang tidak bernilai dari sudut hukum syara’  seperti alat-alat muzik sebagai contoh, mengikut pandangan ulama’   alat-alat tersebut tidak boleh dikira sebagai hibah. Begitu juga jika suatu yang hendak dihibahkan itu suatu yang haram seperti arak, dadah atau sebagainya. Maka ini tidak sah dijadikan hibah.
  4. Lafaz ijab dan Qabul (sighah)
Hibah sama macam pernikahan dan lain-lain urusan muamalat dalam Islam. Perlu ada lafaz ijab dan Qabul. Ijab bermaksud satu bentuk tawaran yang mana pemberi hibah akan menyebut semasa memberikan hibah dengan lafaz “aku hibahkan kereta ini kepada kamu”. Lalu penerima hibah berkata “aku terima hibah tersebut”. Sebaik sempurnanya lafaz ijab dan qabul ini maka, kereta yang dihebahkan itu akan bertukar hak milik dari pemberi hibah kepada penerima hibah.

 Boleh tak nak cancel hibah?
Soalan yang menarik untuk dikongsi. Mungkin ada di antara kita yang ada pengalaman ni. Dah bagi, lepastu menyesal dan nak cancel. Boleh ker? Ulama tak sekata dalam hukum penarikan balik hibah.  Kalau ikut  mazhab Hanafi, makruh  kalau tarik balik  hibah yang telah diberikan.   Mengikut mazhab  Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki pula, mereka berpendapat boleh tarik balik kalau harta atau barang yang dihebahkan itu belum diserahkan. Kalau diserahkan, maka sudah tidak boleh ditarik balik kecuali jika hibah tu diberikan oleh ‘usul (ayah, ibu, atuk, nenek dan ke atas) kepada furu’ (anak, cucu dan ke bawah). Imam Ahmad dan mazhab Zahiri, pulak mengatakan haram tarik balik hibah  kecuali hibah bapa (termasuk ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
 “Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik muntahnya...” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Nak pilih pendapat mana? Pilihlah yang mana pun kisah. Pandangan ulama’ berdasarkan hujah mereka masing. Tidak salah ambil mana-mana pandangan. Saya sendiri cenderung kepada padangan jumhur atau majority ulama termasuk Imam Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki yang memboleh hibah ditarik balik jika pemberi hibah itu di kalangan  ayah, atuk, ibu, nenek yang memberikan hibah kepada anak atau cucu mereka kerana jika mereka tidak dapat hibah, mereka masih lagi ada peluang untuk dapat harta pusaka bila ayah atau ibu mereka meninggal dunia.
Apa Istimewanya Hibah?
Hibah ada banyak sekali keistimewaannya. Antaranya ialah:
1.       Pemberian hibah tidak terhad kepada kumpulan tertentu sahaja. Berbeza dengan faraid yang hanya boleh diberikan kepada waris-waris yang layak sahaja.  Hibah juga berbeza dengan wasiat kerana dalam wasiat tidak boleh diwasiatkan harta kepada waris kecuali atas persetujuan ahli waris yang lain.
 2.Kadar pemberian hibah juga tidak terhad kepada jumlah tertentu. Berbeza dengan wasiat kerana dalam wasiat, harta yang diwasiatkan tidak boleh lebih dari satu pertiga dari harta pusaka bersih dan faraid mengikut kadar-kadar  yang telah ditetapkan oleh Islam.   
 3. Pemberi hibah mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk tetapkan kepada siapa harta itu hendak dihibahkan mengikut pertimbangannya. Sebagai contoh, se orang ayah ada RM100,000 di dalam akaun simpanananya dan dia mahu hibahkan wang tersebut kepada anak-anaknya dan juga isterinya. Jadi dia boleh bagi lebih kepada anak-anak yang masih belum bekerja dan hanya sedikit yang sudah bekerja. Berbanding dengan faraid, kedudukan ekonomi se seorang waris tidak langsung diambil kira.

 Demikianlah serba sedikit perkongsian tentang kehebatan hibah sebagai salah satu dari langkah perancangan kewangan Islam. Moga ada manafaatnya Insya Allah.

Wassalam.
 Bersambung….

Artikel ini boleh juga dibaca di –www.drnikrahim.com-

~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Isnin   16 Mei   2016 / 9 Sya’ban 1437
#kstjj

#Kenapasayatidakjadijutawan
#jutawanmuslim
#jutawanmukmin
#sharingiscaring – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...