Thursday, May 19, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART TERAKHIR)

 KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 44)
WAQAF ~ TIKET HIDUP BAHAGIA DI AKHIRAT

Salam sahabat yang dikasihi. Apa khabar hari ini? Moga anda semua berada di dalam rahmat Allah serta diberi perlindungan sepanjang masa serta dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang penuh dengan macam-macam bentuk cabaran… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….dan kita sudahpun memasuki hari ke sepuluh bulan Sya’ban 1437 H, menandakan tidak lama lagi kita sama-sama akan menyambut ‘  Ramadhan Al Mubarak. Moga Allah terus beri kita  peluang dan ruang   untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya. Ameen!
Part ke 44 adalah part terakhir dalam siri tulisan saya berhubung Pengurusan Kewangan Islam dengan tajuk khusus KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN?. Saya berdoa kepada Allah agar tulisan saya sejak part yang pertama lagi mampu memberi sedikit gambaran kepada anda semua betapa perancangan kewangan Islam adalah suatu yang amat penting yang wajib dilakukan oleh setiap orang bagi menjamin kehidupan yang lebih mengembirakan di masa-masa yang akan datang.
Di dalam siri Penutup tirai ini, saya akan berkongsi sedikit tentang waqaf kerana waqaf selain dari hibah adalah merupakan satu kaedah ‘pelaburan akhirat’ yang amat berbaloi untuk dilakukan. Ye lah, kalau masa hidup dunia kita dah senang lenang kerana kita pandai mengatur kewangan kita secara yang amat profesional, maka jangan lupa untuk menjadi ‘profesional’ juga bila merancang untuk hidup di akhirat yang kekal abadi. Harta yang kita kumpul tiada jaminan untuk bawa bahagian kepada kita di akhirat nanti, kecuali harta yang kita belanjakan di jalan yang diredhai Allah.
Bila kita dijemput Allah mengadapNya, kita mesti tinggalkan segalanya. Allah tidak melihat segala yang kita miliki di dunia. Allah tidak hairan langsung dengan jutaan ringgit, bahkan billion ringgit pun yang anda mililki kerana semua itu adalah ‘pinjaman’ sahaja. Allah beri anda pinjam dan Allah akan ambilnya kembali. Hidup di dunia tidak kekal. Kita tidak hidup menongkat langit. Kalau kita begitu serius merancang untuk hidup di dunia yang bakal kita tinggalakan, maka kenapa kita tidak juga merancang untuk hidup yang kekal abadi?
Jadi antara perancangan untuk hidup ‘selesa’ di akhirat ialah dengan cara mempastikan bahawa ‘saham’ anda terus membawa keuntungan. Jalan yang menjamin amalan dan pahala berterusan walaupun anda sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Saya selau pesan pada anak-anak. “Abi tak perlu bantuan anak-anak semasa hidup di dunia. Abi mampu berdikari dan berusaha mencari rezeki selagi masih ada kudrat. Tapi abi amat memerlukan bantuan anak-anak bila masuk dalam kubur nanti.” Ya, saat kita berada di alam barzakh, saat itu adalah saat paling genting buat kita semua. Saat di mana tiada siapa yang mampu membantu. Menangislah! Merintihlah! Meraunglah! Tiada siapa yang mendengarnya. Anda keseorangan. Yang akan menemani anda hanya tiga,  saat anda berada di dalam kubur seperti yang dijelaskan oleh Nabi s.a.w iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanafaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan baginya”. Bahagialah jika anda punya ramai anak yang sentiasa mendoakan keampunan dan kesejahteraan anda semasa di alam barzakh. Beruntunglah anda  jika selama anda hidup, anda telah mencurahkan ilmu-ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat kerana semua ini mampu membikin pusara anda ‘dingin dan nyaman’.
Bertuahlah, jika anda kaya di dunia dan kekayaan itu anda digunakan untuk perkara-perkara yang diredhai Allah seperti bersedekah, membantu mendirikan masjid, pusat tahfiz, derma kepada sahabat-sahabat yang ditimpa bencana perang di Gaza, di Syria, di Kasymir, di Burma dan lain-lain lagi serta lain-lain bentuk bantuan. Semua sumbangan dalam bentuk wang yang kemudiannya wang itu digunakan untuk membina atau membeli suatu yang kekal atau tahan lama seperti membina  masjid dan sebagainya termasuk di dalam kategori waqaf yang disebut oleh Nabi s.a.w sebagai sadaqatun jariah atau sedekah yang pahalanya tidak putus-putus diterima oleh penyumbangnya. Ini kerana selagimana suatu yang kita waqafkan itu masih digunakan, maka selagi itu anda akan meraih pahala meskipun kita  sudah sekian lama disemadikan di dalam kubur.
Wakaf secara umum adalah satu bentuk   penyerahan harta sama ada secara (sorih) terang, atau (kinayah) sindiran, di mana harta tidak boleh dijual atau dilupuskan. Hanya manafaat dari harta itu sahaja yang digunakan  untuk tujuan-tujuan kebajikan sama ada ianya berbentuk umum mahupun khusus. Dalam erti kata lain, waqaf bermaksud memberikan satu-satu harta Dari segi   untuk dimanfaatkan oleh orang lain dengan tujuan untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t dan  harta tersebut  hendaklah berada dalam keadaan yang baik dan kekal.   Bila satu-satu harta itu diwaqafkan, maka hilanglah hak milik pewaqaf dan harta tersebut akan menjadi hak milik masyarakat yang akan dimanafaatkan.
Waqaf adalah satu amalan yang amat digalakkan di dalam Islam. Allah berfirman di dalam al quran yang bermaksud:
“Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sebenarnya sehingga kamu belanjakan sebahagian daripada harta yang paling kamu sayangi dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”(Surah Ali ‘Imran, 3: 92)
Ayat ini menggambarkan kepada kita bahawa sesuatu kebajikan itu akan hanya mencapai martabat yang tinggi apabila harta yang dibelanjakan untuk jalan Allah itu dari harta yang disayangi dan bernilai pada tuan empunya harta tersebut. Maksudnya bukan harta yang sudah lapuk dan lusuh atau sudah tidak boleh dimanafaatkan lagi.
Bagi mempastikan bahawa harta yang dikeluarkan itu dikira sebagai waqaf, maka ianya tidak boleh dibuat secara semberono. Ianya mesti mengikut ketetapan Syara’. Hanya harta yang dikeluarkan mengikut syarat dan rukun yang sempurna akan dikira sebagai waqaf. Antara rujukn-rukun tersebut ialah:
1.      Pewaqaf
Pewaqaf atau disebut di dalam bahasa Arab sebagai “waqif’ mestilah se orang merdeka, baligh dan berakal serta mempunyai kelayakan untuk bersedekah menggunakan harta miliknya.
2.      Penerima Waqaf
Penerima waqaf atau dalam istilah Arab disebut sebagai muquf ‘alaihi  boleh dipilih atau ditentukan oleh pewaqaf itu sendiri samada individu tertentu atau untuk masyarakat umum.
3.      Harta yang diwaqafkan
Harta yang diwaqafkan (mauquf) mestilah suatu yang tertentu seperti bangunan sebagai contoh dan ianya masih boleh digunakan dan boleh dipindah milik dari pewaqaf kepada pihak yang menerima waqaf. Waqaf hanya sah jika pemiliknya sendiri yang mewaqafkan harta yang menjadi miliknya.
4.      Lafaz waqaf
Bagi menjadikan satu-satu sumbangan harta itu sebagai waqaf maka perlu ada aqad dengan lafaz yang jelas atau secara sindiran (kinayah). Sebagai contoh, pewaqaf mengatakan kepada pihak yang menerima waqaf, “saya waqafkan bangunan ini untuk dijadikan pusat tahfiz”.  Menurut pandangan ulama’ antara Syeikh Syed Sabiq bahawa dalam waqaf tidak perlu ada penerimaan waqaf atau qabul. Maksudnya bila seseorang malafazkan lafaz waqaf seperti di atas, maka sahlah waqaf tersebut. Namun bagi mengelakkan dari permasalahan yang mungkin berlaku di kemudian hari, antaranya  harta waqaf dituntut oleh waris, maka waqaf tersebut mestilah didokumenkan dengan lengkap.
Selain harta yang berbentuk kekal seperti tanah, rumah atau bangunan, waqaf juga boleh dibuat melalui wang tunai. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangannya yang  buat kali ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 di Kuala Terengganu telah memutuskan bahawa berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan dalam Islam.
Justeru jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk membuat persediaan bagi kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti.
Sekian Wassalam.

Artikel ini boleh juga dibaca di –www.drnikrahim.com-

~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Isnin   19 Mei   2016 / 12 Sya’ban 1437
#kstjj
#Kenapasayatidakjadijutawan
#jutawanmuslim
#jutawanmukmin
#sharingiscaring – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...