Harapan di sebalik RUU 355
Oleh
Dr Nik Rahim Nik Wajis *
Sabtu 18hb Feb 2017 yang lalu, satu peristiwa yang bersejarah telah dicatatkan di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Satu perhimpunan yang dikira
luar biasa dan unik. Dikatakan kira-kira 300,000 peserta telah hadir mengikut sesetengah riwayat hadir pada
perhimpunan yang membawa tema ‘Syariah Diperkasa, Rakyat Sejahtera’ anjuran Pas
ini. Perhimpunan ini dihadiri sebahagian besarnya oleh ahli-ahli Pas serta
penyokong parti tersebut. Negeri Kelantan diterajui oleh Pas telah mengishtiharkan
hari Ahad 19hb Feb 2017 sebagai cuti peristiwa bagi memberi ruang kepada
penyokong-penyokong Pas menghadiri perhimpunan ini.
Namun yang menjadikan perhimpunan ini unik dan luar biasa
bukan kerana jumlah peserta yang hadir, tetapi kerana ianya menggabungkan
dua 'musuh tradisi' politik antara Pas dan Umno. Jika sebelum ini kita lihat
Pas dan Umno umpama 'kucing dengan anjing' yang sentiasa bertelagah dalam
pelbagai isu, namun kali ini nampaknya kedua-dua pihak berjaya mengenepikan
perbezaan tersebut dan sama-sama menjayakan perhimpunan ini. Bahkan dalam satu
kenyataan akhbar, pihak kepimpinan Umno juga tidak menghalang ahlinya dari
menyertai perhimpunan ini.
Dalam perhimpunan ini para pemimpin utama Pas tampil memberi
ucapan termasuk Presiden Pas, Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang, Timbalan
Presiden, Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man, Ketua Dewan Muslimat, Ustazah
Nuridah Salleh, Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Selangor, Ustaz Ahmad Dusuki
Abd Rani, yang merupakan se orang penceramah selebriti TV dan se orang pemimpin
Pas yang sedang meningkat naik.
![]() |
Pimpinan muda PAS dan juga selebriti TV turut memberi ucapan |
Tidaklah menghairankan kenapa di dalam perhimpunan ini,
ucapan-ucapan dimonopoli oleh pihak kepimpinan Pas kerana ini adalah program
anjuran mereka manakala pihak-pihak lain termasuk pimpinan Umno seperti YB Dato
Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang turut memberi
ucapan serta beberapa tokoh peguam hanyalah sekadar ‘tetamu’ dalam majlis ini.
Juga satu keunikan apabila Bala Subramaniam A/L Nachiapan
(Ketua DHPP) turut dijemput memberi ucapan dalam program memperkasakan mahkamah
Syariah anjuran Pas ini. Ia mungkin sebagai satu indikasi bahawa Pas bukan
hanya untuk orang Islam bahkan juga mesra non-Muslim.
Dalam perhimpunan ini beberapa tokoh agamawan tersohor
tanahair turut memberi ucapan seperti Sahibu Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad
Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Idrus dan beberapa tokoh peguam.
![]() |
Menteri di Jabatan Menteri turut memberi ucapan |
Perhimpunan ini berjalan seperti yang
dijadualkan dan tiada suatu yang di luar jangka berlaku pada hari tersebut
seperti banjir kilat atau pihak polis atas alasan-alasan tertentu menarik balik
kebenaran tersebut dengan alasan keselamatan atau seumpamanya. Ini kerana pihak
polis telah pun memberi kelulusan kepada pihak penganjur untuk mengadakan perhimpunan
ini bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam pada hari tersebut. Namun
begitu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Sukri Kaman, mengingatkan
penganjur dan peserta perhimpunan agar mematuhi peraturan Akta Perhimpunan Aman
2012.
Secara umumnya, usaha mengadakan perhimpunan seumpama ini
haruslah dipuji. Ini kerana untuk membawa dua musuh yang bertelagah bukan suatu
yang mudah. Tambahan pula ia bertujuan untuk memperkasakan Undang-Undang
Mahkamah Syariah. Namun begitu, kita masih
belum pasti bagaimana akan berakhirnya episod RUU 355 yang dibawa usulnya pada 24 Nov 2016 yang lalu oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di
Dewan Rakyat. Usul ini adalah usul Rang
Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.
![]() |
Pemimpin Amanah mempunyai pandangan berbeza berhubung isu RUU355 |
Kita juga tidak pasti samada usul ini nanti akan dibentang
dan dibahaskan oleh parlimen atau sebaliknya memandangkan terdapat suara-suara
dari parti komponen BN sendiri yg secara keras menentang RUU 355 ini dari
dibentangkan di parlimen. MCA
sebagai contoh berpendapat Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah
Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) sepatutnya dibentang oleh kerajaan
bukan secara persendirian oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Kita juga tidak pasti
sejauh mana ‘keberanian’ pihak kerajaan untuk mengambil risiko kehilangan sokongan dari
rakan-rakannya dalam BN memandangkan pilihan raya umum ke 14 (PRU14) yang dilihat amat kritikal oleh pemerhati
politik, sudah tidak berapa lama lagi akan menjelang. Jun 2018 adalah tarikh
berakhirnya mandat pemerintahan BN dan selepas itu PRU14 akan diadakan.
Sejujurnya kita tidak tahu sejauh mana keikhlasan pihak-pihak
yg terbabit dalam membangkitkan isu RUU 355 ini. Banyak suara-suara dilontarkan
oleh pihak-pihak yang mempertikaikan cara RUU 355 ini diketengahkan. Bagi
mereka ia seakan satu sandiwara politik oleh pihak-pihak berkepentingan
memandangkan PRU 14 sudah semakin hampir.
Semua pihak dilihat cuba mengambil peluang ini untuk
menonjolkan diri agar dilihat sebagai juara dalam memperjuangkan Islam. Pas sebagai
contoh mengerah seluruh jentera parti untuk turun ke Kuala Lumpur bagi menunjukkan
sokongan. Kita tidak tahu berapa banyak kos yang dikeluarkan. Berapa kos yang dikeluarkan bukanlah isu di
sini kerana jika mereka datang dengan nawaitu yang ikhlas kepada Allah, pastinya
Allah tidak akan mensia-siakan pengorbanan mereka.
Tapi segalanya
bergantung kepada niat yang tersimpan nun jauh di sudut hati. Apakah nawaitu
para pemimpin dan para pengikutnya benar-benar kerana ingin memertabatkan Islam
dan mahkamah syariah atau sekadar satu propaganda politik. Namun begitu, itu
bukan urusan kita untuk membuat penghakiman kerana hanya mereka dan Allah yang
Maha Mengetahui apa yang tersirat di dalam hati setiap orang dari mereka.
Apa pun tanggapan yang lahir dari pihak-pihak yang kurang
bersetuju dengan kaedah RUU 355 ini ditangani, umat Islam harus berbangga. Ini kerana jika kesatuan seumpama ini boleh
diwujudkan tanpa mengira musim dan semua pihak boleh melupakan buat seketika
perbezaan fahaman politik mereka dan duduk semeja berbincang tentang isu yang
berkaitan dengan maslahah umah, maka kesatuan umat mempunyai peluang yang cerah
untuk direalisasikan.
Biarlah perhimpunan ini menjadi titik tolak yang membawa
kepada kesatuan ummah itu.. Ummah yang mampu bertolak ansur dalam
perkara-perkara yang mempunyai perbedaan dan bekerjasama dalam perkara yg boleh
dipersetujui bersama.
Tahniah kepada semua pihak yg terlibat dalam perhimpunan ini
termasuk Pas sebagai pihak penganjur, pihak pemerintah, NGO, para agamawan dan
semua para penyokong RUU 355. Moga RUU 355 menjadi realiti dan bukan hanya
sekadar mimpi di siang hari. Itulah harapan kami di sebalik RUU 355.
*Dr
Nik Rahim bin Nik Wajis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan
Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan juga penulis buku
“Kenapa Saya Tidak Jadi Jutawan” yang
diterbitkan oleh NAM Publications. Beliau boleh dihubungi melalui emel: drnikrahim@usim.edu.my
Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6018 3563 832 Nilai, Negeri Sembilan
Malaysia
No comments:
Post a Comment