<!-- Facebook Pixel Code --> <script> !function(f,b,e,v,n,t,s) {if(f.fbq)return;n=f.fbq=function(){n.callMethod? n.callMethod.apply(n,arguments):n.queue.push(arguments)}; if(!f._fbq)f._fbq=n;n.push=n;n.loaded=!0;n.version='2.0'; n.queue=[];t=b.createElement(e);t.async=!0; t.src=v;s=b.getElementsByTagName(e)[0]; s.parentNode.insertBefore(t,s)}(window, document,'script', 'https://connect.facebook.net/en_US/fbevents.js'); fbq('init', '1394243567541901'); fbq('track', 'PageView'); </script> <noscript><img height="1" width="1" style="display:none" src="https://www.facebook.com/tr?id=1394243567541901&ev=PageView&noscript=1" /></noscript> <!-- End Facebook Pixel Code -->

Friday, June 1, 2018

PEMIMPIN MUSLIM YANG ZALIM VS PEMIMPIN KAFIR YANG ADIL

  PEMIMPIN MUSLIM YANG ZALIM VS PEMIMPIN KAFIR YANG ADIL
Oleh
Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia
Email: dr_nikrahim@yahoo.com



Sejak beberapa hari yang lalu kecoh diperbahaskan tentang isu perlantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara. Meskipun nama beliau telah dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk diperkenankan, namun baginda mengambil keputusan untuk menolaknya. Dikatakan bahawa alasan penolakan adalah kerana Tommy bukan beragama Islam dan bukan juga berbangsa Melayu. Keputusan baginda disokong sebulat suara oleh Majlis Raja-Raja dan majoriti rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu yang sekaligus beragama Islam. Terdapat beberapa NGO juga turut memberi sokongan di atas penolakan ini. Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd. Azmi Abdul Hamid sebagai contoh menegaskan bahawa Tommy bukan sahaja bukan Melayu dan tidak beragama Islam, beliau juga dikatakan tidak fasih berbahasa Melayu. Justeru, tidak layak menduduki jawatan penting itu.
Netizen pula tanpa mengira latar belakang pendidikan bertindak sebagai pendebat aktif di alam maya. Berbagai tuduhan dilemparkan kepada pihak kerajaan atas pemilihan Tommy. Ada yang melabelkan kerajaan tunduk kepada tuntutan DAP dan berbagai lagi tuduhan liar dilemparkan. Ada juga pihak yang membuat petisyen yang sehingga artikel ini ditulis sudah berjaya mengumpulkan lebih dari 8,000 orang menyokong penolakan Tommy sebagai Peguam Negara atas alasan bukan Melayu dan bukan Islam.
Persoalan pokok yang menjadi perdebatan adalah kewajaran memilih bukan Melayu dan bukan Islam bagi menjawat jawatan penting yang melibatkan banyak perkara termasuk perundangan, kedaulatan raja-raja, kesucian Islam dan seumpamanya.
Sebenarnya isu ‘ketuanan Melayu’ bukanlah suatu yang baru di Malaysia. Slogan ini telah didakap dan dibelai sekian lama oleh orang Melayu khususnya Umno sejak ditubuhkan pada tahun 1946.  Justeru tidak mudah untuk mengenepikan sentimen ini dan kerajaan haruslah mengambil tindakan yang pro aktif dan berhemah dalam menangani permasalahan ini agar suatu yang buruk dapat dielakkan.
Dari perspektif Islam, keadilan adalah satu prinsip yang perlu ditegakkan. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada yang berhak dan apabila kamu berhukum di antara manusia, maka hendaklah kamu berhukum dengan adil”.
Al Nisa’: 58
Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w:  
“Sesungguhnya Allah SWT akan sentiasa bersama qadhi/ hakim/ pemerintah selagimana qadhi/ hakim/ pemerintah itu tidak berlaku zalim, apabila mereka berlaku zalim maka Allah akan melepaskan (tidak melindunginya) dan mereka  itu akan didampingi oleh syaitan”
Hadith riwayat Al Syaibani.
Dari kedua-dua ayat al Quran dan juga hadith ini, dapat disimpulkan bahawa keadilan  adalah suatu perkara asas yang tidak boleh dikompromi di dalam satu-satu pemerintahan, pentadbiran atau perlaksanaan sesuatu hukum.
Semua orang boleh menerima prinsip keadilan ini. Namun persoalan yang sering berlegar di minda masyarakat ialah apakah orang yang bukan Islam atau istilah yang agak kasar disebut sebagai kafir ini mampu membawa keadilan?
Untuk menjawab persoalan ini, mari kita sama-sama menelusuri seerah atau perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW. Ketika Nabi SAW berhadapan dengan berbagai tekanan dari pihak musyrikin Quraisy, Nabi SAW dengan wahyu dari Allah telah memerintahkan para sahabat untuk berhijrah ke Habsyah (Ethiopia). Hijrah ini berlaku pada bulan Rejab, tahun kelima selepas perlantikan Nabi SAW sebagai Nabi dan ianya berlaku sebelum berlakunya hijrah ke Madinah. Di dalam sebuah hadith Nabi SAW bersabda:
“Berhijrahlah kamu ke Habsyah kerana di sana terdapat se orang raja yang tidak menzalimi sesiapa. Habsyah adalah negeri yang benar sehinggalah Allah mengurniakan kamu jalan penyelesaian”.
Hadith riwayat Ahmad.
Berdasarkan kepada hadith ini ada beberapa perkara penting yang boleh dirumuskan:
Pertama: Orang yang bukan Islam seperti Yahudi atau Nasrani bukan semuanya dikategorikan sebagai musuh. Ini dibuktikan dengan arahan Nabi SAW kepada sahabat baginda untuk berhijrah ke Habsyah yang diperintah oleh Raja Najasyi yang beragama nasrani. Jika semua orang yang bukan Islam dikategorikan sebagai musuh, pastinya Nabi akan dilarang oleh Allah untuk berhijrah ke sana.
Kedua: Orang yang bukan Islam dianggap sesat dari sudut akidahya. Namun dari sudut-sudut yang lain mereka masih boleh dan mampu menjadi orang-orang yang baik, amanah, berintegriti serta adil kerana sifat-sifat tersebut turut menjadi tuntutan agama mereka.
Ketiga: Bukan menjadi satu kesalahan untuk hidup di bawah pentadbiran kerajaan yang bukan Islam selagimana umat Islam itu masih boleh melakukan amal ibadat mereka tanpa sebarang halangan.
Sebagai kesimpulannya, perlantikan Tommy sebagai Peguam Negara tidaklah menjadi satu isu atau kesalahan jika dilihat dari sudut Islam dengan syarat beliau boleh dan mampu menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik dan sempurna tanpa sebarang prejudis, menuruti peraturan dan perundangan negara serta perlembagaan di samping mampu berlaku adil kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.




































Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment