Monday, July 16, 2018

MANTAPKAN EKONOMI ANDA

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI
OLEH
DR NIK RAHIM NIK WAJIS
PESYARAH FAKULTI SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG, USIM
(PENGAMAL POLIGAMI SEJAK 2007)

 Mantapkan Ekonomi anda

(Amaran! Jangan teruskan niat anda untuk berpoligami jika anda tidak mampu memenuhi kehendak dan keperluan isteri pertama anda dari sudut kewangan)

Dalam keadaan ekonomi yang benar-benar mencabar kini, anda seharusnya tidak bergopoh gapah untuk terjun ke alam poligami. Anda harus membuat perkiraan yang teliti bagi mempastikan pelayaran hidup anda tidak terhenti secara tiba-tiba di tengah lautan dan akhirnya secara perlahan-lahan akan karam dan tenggelam ke dasar lautan.

Sekarang ini untuk perbelanjaan asas se orang isteri adalah sekitar RM2,000- RM3,000 sebulan bergantung kepada taraf hidup pasangan anda sebelum bernikah, samada sudah mempunyai anak atau sebaliknya. Jika saya mengambil contoh tempat saya tinggal iaitu di Nilai Negeri Sembilan, sewa rumah purata adalah sebanyak RM1,000 sebulan. Untuk masuk rumah baru anda perlukan sekurang-kurangnya RM3,500 untuk bayaran deposit rumah serta utiliti. Ini belum termasuk kelengkapan bagi rumah baru seperti peti ais, dapur, mesin basuh, perabot asas seperti almari pakaian, katil, tilam dan banyak lagi. Itu hanya perkara asas.

Jumlah keseluruhan boleh mencecah RM5,000. Selain dari perkara asas tersebut, anda juga kena masukkan perbelanjaan harian seperti makan minum, kenderaan, bil air, letrik, telefon dan lain-lain. Sememangnya poligami memerlukan pelaburan yang besar namun ianya amat berbaloi jika anda laburkan kepada isteri yang mampu membawa kebahagiaan kepada anda selain melahirkan zuriat yang solehah buat anda.

Bagi isteri yang memahami situasi anda, tanggungjawab anda tidaklah terlalu berat. Isteri anda mungkin hanya serahkan segalanya kepada anda kerana dia yakin anda adalah suami yang bertanggungjawab. Namun jika anda tersilap pilih dan isteri anda ‘berketurunan pisau cukur’ anda pasti akan merana sepanjang zaman!

Di hari pertama anda masuk ke rumah baru, anda diarah untuk beli perabot berjenama yang diimpot dari luar negara. Television mesti 40 inci. Segala-galanya mesti ada ‘class’. Segala-galanya mesti bersaiz besar dan berkualiti tinggi. Jika anda sememangnya mampu ia tidaklah menjadi isu. Tunaikan saja apa yang isteri anda mahu asalkan dia bahagia dan anda juga bahagia. Namun ramai juga yang mempunyai keinginan tinggi untuk berpoligami tapi kemampuan sangat terbatas. Gaji bulanan pun hanya cukup-cukup makan sahaja. Jika anda lelaki dalam kategori ini, cabaran anda pastinya lebih hebat dari mereka yang bergelar hartawan atau jutawan.

Latarbelakang keluarga wanita juga perlu diambil kira. Kalau isteri kedua dari golongan yang berada, pastinya ‘maintenance’ juga agak tinggi. Jadi berhati-hatilah dalam membuat pilihan agar anda tidak hidup dalam keadaan yang tertekan setiap masa akibat tuntutan yang berbagai dari isteri baru anda. Pilihlah yang sederhana. Tidak kaya dan tidak juga terlalu miskin. Beruntunglah jika isteri baru anda memahami keadaan ekonomi anda. Jika isteri anda gagal memahami maka pasti anda akan berhadapan dengan situasi yang amat sukar.

Anda dikira MAMPU jika anda mampu menyediakan perbelanjaan asas untuk isteri anda. Untuk berpoligami anda tidak semesti kaya raya. Saya tidak kaya. Tapi syukur kepada Allah kerana mentakdirkan saya memilki 3 orang isteri yang hebat. Walaupun hidup sederhana saja, tapi mereka menerima saya seadanya. Terima kasih adinda-adindaku semua yang kanda kasihi.
Bagaimana pula jika setelah dikira dan dicongak, kelihatan anda tidak mempunyai ‘dana’ yang mencukupi, apakah anda tidak boleh berpoligami dan harus melupakan impian yang anda pendam sekian lama? 

Jawapannya terserah kepada anda. Jika anda mampu menggandakan pendapatan anda sekali ganda dari pendapatan anda sekarang, ertinya anda telah mencapai tahap kemampuan yang diperlukan dari sudut kewangan. Sebagai contoh, gaji bulanan anda sekarang adalah RM3,000.   Dengan pendapatan sebegini anda jangan mimpi untuk berpoligami, kerana jumlah ini pun sebenarnya tidak begitu mencukupi untuk menanggung isteri serta anak-anak anda yang semakin hari semakin membesar dan semakin memerlukan banyak wang perbelanjaan. 

Jadi anda kena cari sumber pendapatan lain jika anda benar-benar serius untuk berpoligami. Ada sebahagian lelaki terus ‘give up’ dan mengalah bila melihat jumlah yang sebegitu besar untuk dicari pada setiap bulan. Namun bagi sesetengah yang lain pula, poligami menjadi sumber motivasi yang amat berkesan. Mereka mula ligat mencari idea. Ada yang bekerja siang dan malam untuk mendapatkan wang sampingan. Ada yang berniaga pada waktu malam. Waktu siang pula bekerja. Dan akhirnya berjaya mendapatkan pendapatan yang lebih besar dari gaji bulanannya. 

Jadi jika anda lelaki sebenar dan niat untuk berpoligami juga adalah benar, maka jangan mudah berputus asa. Hari ini orang berniaga secara online pun boleh jadi kaya raya. Justeru, Jadikan niat berpoligami anda sebagai senjata ampuh buat anda bergerak dengan lebih pantas mencari sumber kewangan demi menggapai cita-cita se orang lelaki sejati! Berpoligami….

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment