Sunday, July 15, 2018

PROSES UNTUK BERPOLIGAMI

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI
OLEH
DR NIK RAHIM BIN NIK WAJIS

SIRI KE 5


                                                          Proses untuk berpoligami

Jika anda bernasib baik anda akan berjaya melepasi tahap pertama ini (iaitu tahap mendapatkan kebenaran dari isteri anda untuk berpoligami). Isteri anda yang solehah itu meskipun kelihatan di wajahnya kesayuan dan kesuraman, dengan hati yang berat umpama beratnya memikul gunung Kinabalu, membenarkan anda untuk berpoligami. Namun kebenaran lisan atau ‘diamnya’ isteri anda tanpa protes bukan jaminan untuk anda berpoligami. Dalam Islam, diamnya se orang wanita setelah diminta keizinan bererti dia telah meredhai atau membenarkan dia dikahwini atau dalam kes poligami membenarkan suami berkahwin lagi.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Anak dara hendaklah diminta izin manakala janda hendaklah diminta kebenaran. Lalu para sahabat bertanya. “Bagaimana cara untuk mengetahui keizinan dari se orang gadis kerana mereka biasanya pemalu?” Maka jawab Nabi s.a.w “Diamnya mereka adalah tanda keredhaan mereka.”

Hadith riwayat Muslim.

Dalam meminta keizinan dari anak dara, ia adalah sunat dari sudut pandangan mazhab Syafie. Bapa atau datuk boleh mengahwinkan anaknya yang masih dara walaupun tanpa keizinan dari anak tersebut asal sahaja anak itu belum pernah bernikah. Namun jika sudah bernikah atau sudah berstatus janda, maka bapa atau datuk tidak harus menikahkannya kecuali setelah mendapat keizinan dari anaknya itu.

Poligami memerlukan setiap calon melalui proses kebenaran mahkamah. Meskipun dari sudut hukum syara’ se orang suami boleh sahaja berpoligami tanpa perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran dari mahkamah atau dari isterinya yang terdahulu. Mendapatkan keizinan dari isteri dan juga mahkamah bertujuan untuk mengelakkan suatu yang tidak diingini berlaku di kemudian hari. 

Bernikah tanpa izin atau restu dari isteri terdahulu akan menimbulkan banyak ketegangan dalam rumahtangga apabila pernikahan tersebut dihidu baunya oleh isteri yang sedia ada samada isteri pertama, kedua atau ketiga. Berdasarkan kepada kajian saya, untuk berpoligami, tentangan akan datang bukan sahaja dari isteri pertama, tetapi turut akan ada tentangan dari isteri-isteri yang lain samada kedua atau ketiga. 

Ada orang berkata, yang paling payah adalah untuk perkahwinan yang kedua sebab yang pertama akan menentangnya. Tapi bila masuk yang ke tiga sudah tidak ada masalah kerana yang pertama akan berkata kepada yang kedua, “padan muka kamu, dulu kamu rampas suami aku, sekarang giliran kamu pula untuk merasakan apa yang aku rasa sebelum ini”. Pandangan ini biasanya datang dari mereka yang tiada pengalaman. 

Bagi mereka yang pernah melalui proses berpoligami pastinya ia sangat berbeza. Kaedahnya sangat mudah. Jika suami memiliki se orang isteri, dan suami tersebut mempunyai sebiji kek yang sangat enak, maka si isteri akan mendapat bahagian yang sangat besar kerana hanya dia se orang yang akan menikmati kek tersebut. Namun bila ada se orang lagi isteri, maka kek tersebut terpaksa dibahagi dua. Dan jika ditambah lagi maka akan semakin berkuranglah kek tersebut untuk dinikmati. Justeru, adalah ‘normal’ untuk mana-mana isteri untuk memprotes perkahwinan suami mereka tanpa mengira di nombor berapa mereka berada. Apapun semuanya terpulang kepada ‘jenis’ isteri anda. Tajuk ini akan bahaskan secara lebih terperinci nanti insya Allah.

Kebanyakan mahkamah memerlukan kebenaran dari isteri secara rasmi barulah anda dibenarkan untuk berpoligami. Jika anda sudah mendapat kebenaran dari isteri sebelumnya tiba-tiba isteri bertukar fikiran semasa di mahkamah, maka hasrat anda untuk berpoligami juga akan menjadi pudar. Berdasarkan kepada pengalaman saya di Pahang, semua isteri akan dipanggil hadir ke mahkamah dan hakim mahkamah Tinggi Syariah akan bertanya persetujuan isteri atau isteri-isteri sebelum membuat keputusan muktamad. Jika isteri membantah dan anda pula gagal mematahkan hujah isteri, permohonan anda mungkin akan ditolak oleh mahkamah. Alhamdulillah, dalam kes saya, Yang Amat Arif Hakim telah membenarkan permohonan saya. Sebenarnya saya sendiri pun merasa sangat terkejut kerana bagi saya kebenaran yang dibuat oleh hakim terlalu mudah dan di luar jangkaan saya sama sekali. Alhamdulillah!


Sebaik keluar dari kamar hakim saya bertanya kepada tuan pendaftar tentang isu ini lantas beliau berkata “hakim berpandangan bahawa lelaki kalau memang dia sudah merancang untuk bernikah, dan dia pula berkemampuan, keluarga sebelah perempuan juga telah bersetuju, maka kita akan mudahkan. Jika tidak, mereka tetap akan bernikah juga. Daripada mereka menikah di Siam, biarlah mereka bernikah di sini supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari.” Saya menganggukkan kepala tanda memahami kata-kata dari tuan pendaftar tadi dan berlalu dengan perasaan yang sangat lega. Terima kasih adinda-adindaku! Fb 15.7.2018

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment