Wednesday, July 11, 2018

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI - SIRI 2

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI
OLEH
DR NIK RAHIM BIN NIK WAJIS

BAB PERTAMA

Langkah Pertama

AMARAN: jangan sekali-sekali anda 'skip' langkah pertama. Pastikan anda benar-benar bersedia dan LULUS langkah pertama sebelum memasuki langkah kedua dan seterusnya.

Persiapan Diri
   1.  Mantapkan Mental
Berpoligami bukan suatu yang mudah. Ia memerlukan kekuatan mental yang luar biasa. Ertinya, hanya orang yang mempunyai kekuatan mental yang luar biasa sahaja mampu berpoligami. Jika tidak, anda akan gugur di pertengahan jalan. Impian kebahagiaan yang ingin dikecapi hanya tinggal angan-angan kosong. Jika pun anda mungkin berjaya berpoligami, ianya mungkin tidak akan boleh bertahan lama. Jika anda berjaya mempertahankan pernikahan anda dengan yang pertama, mungkin anda terpaksa mengorbankan yang kedua. Pastinya akan ada yang akan menjadi mangsa.
Jika anda bermonogami, anda hanya perlu berhadapan dengan satu karenah. Jika anda mempunyai dua isteri, tiga atau empat, maka pastinya anda akan berhadapan dengan karenah yang berbeza kerana secara fitrahnya, manusia itu berbeza keinginan dan keperluannya. Jika mental anda tidak kuat anda akan sentiasa berada dalam keadaan stress yang luar biasa. Agak-agak berapa lama anda boleh bertahan jika anda balik ke rumah, isteri anda ‘complain’ itu dan ini. Memarahi anda kerana lewat balik dan mengatakan anda pergi ke rumah yang muda? Keesokan harinya anda ke rumah yang muda, lalu yang muda juga tidak puas hati dan mengatakan anda melebihkan isteri pertama. Bayangkan jika ini berlaku saban hari, apakah anda sanggup menghadapinya? Jika anda sanggup maka anda adalah orang yang saya cari! Anda adalah calon yang sesuai untuk berpoligami.

Kaedah Pemantapan Mental
Bagi mereka yang merasakan bahawa mereka tidak mempunyai mental yang kuat untuk berpoligami, usah risau. Masih ada kaedah dan cara penyelesaiannya. Lagipun anda tidak akan tahu kekuatan sebenar anda kecuali setelah anda mencuba bukan? Kekuatan mental boleh diperolehi melalui pengalaman. Ya! Pengalaman mematangkan diri kita. Ramai yang merasakan diri tidak mampu berlari 2.5KM tanpa henti sebelum memulakan larian. Namun jika tidak mencuba, maka sudah tentu sampai bila-bila pun kita tidak tahu kemampuan sebenar kita. Jika sudah mencuba, tapi ternyata tidak mampu maka kita harus mencari strategi baru jika ktra memang berhasrat untuk menghabiskan larian tersebut. Kita terus mencuba dan mencuba dan pastinya ia akan menghasilkan suatu keputusan yang di luar jangkaan. Sama juga dengan berpoligami. Kita harus mencuba dan mencari strategi yang sesuai untuk dilaksanakan bagi mencapai tujuan tersebut. Jangan mudah mengalah jika anda benar-benar berhasrat untuk berpoligami. Jangan hanya cakap besar di kedai kopi, tapi lutut menggeletar bila berhadapan dengan bini! Cakap tidak serupa bikin. Tidak berani untuk melaksanakannya. Jangan hanya berangan-angan kosong tanpa berusaha. Semua orang tahu, ‘usaha itu tangga kejayaan’.
Namun harus diingat, meskipun berpoligami ada persamaan dari sudut prinsipnya dengan larian tadi, namun secara praktikalnya ia jauh berbeza. Jika anda gagal menghabiskan larian, anda boleh terus mencuba dan mencuba. Tiada risiko besar menanti anda. Jika pun ada mungkin anda akan terlepas peluang pekerjaan yang memerlukan anda benar-benar sihat secara fizikal untuk menjawat jawatan tersebut.
Namun anda boleh mencuba pekerjaan yang lain. Memang benar, kalau anda gagal dalam pernikahan, anda juga boleh mencuba lagi, tapi kesannya tidak sama dengan larian tadi. Pernikahan memerlukan kos yang besar. Ada orang melaburkan ribuan ringgit hanya untuk ‘memikat’ pasangannya. Kalau pelaburan besar sebegini dibuat dan ia membuahkan hasil, anda harus bersyukur kerana ramai di luar sana yang melabur ribuan ringgit, namun akhirnya bunga yang ingin disunting dilarikan kumbang yang lebih muda dari anda.
Anda harus ingat, bila anda sudah bernikah dan bergelar ‘suami orang’ secara dasarnya ‘saham’ anda sudah jatuh jika dibandingkan dengan mereka yang masih bujang. Jadi anda harus berhati-hati membuat pelaburan kerana dalam proses pencarian dan pemburuan anda, pastinya anda akan menemui pelbagai jenis ragam wanita. Ada yang berlakon menyukai dan menyintai anda meskipun dia tahu anda sudahpun berumah tangga. Kerana dalam benak pemikirannya, anda boleh berikan kesenangan padanya. Apa yang dia mahu adalah harta anda. Spesis wanita sebegini banyak sekali di luar sana. Namun usah gelabah, jika niat anda ikhlas, pastinya Allah akan menemukan anda dengan wanita solehah seperti anda kerana anda juga se orang lelaki soleh bukan? Jika pilihan anda tepat, maka syurga dunia menanti anda. Namun jika sebaliknya, maka neraka dunialah bakal menjadi milik anda!
Pengamal poligami harus sentiasa bersiap sedia pada setiap masa. Umpama berada di medan perang. Anda mungkin di serang hendap oleh musuh tanpa mengira masa. Dan anda juga perlu mempersiapkan diri dengan ‘peluru’ yang bersesuaian. Lain isteri, lain peluru yang perlu digunakan agar lebih berkesan. Bagi sebahagian isteri, mendiamkan diri adalah ‘peluru’ yang paling ajaib. Hanya pekakkan telinga jika isteri menyerang. Senyum! Tak perlu kata apa-apa! Tapi mental anda harus mantap! Telinga anda harus ‘kebal’ menahan serangan bertali arus. Namun senjata ini jika digunakan di tempat dan rumah yang salah, ia akan menjadikan ‘peperangan’ semakin merebak kerana dianggap anda acuh tidak acuh dengan leteren yang dibuat oleh isteri. Jadi pandai-pandailah anda menguji ‘peluru’ mana yang paling sesuai untuk digunakan.
Air mata juga antara peluru yang kadangkala berkesan untuk menghadapi  isteri yang kadangkala sering menyerang anda. Air mata sememangnya menjadi menjata yang ampuh bagi isteri tapi suami boleh menggunakannya. Air mata boleh menggambarkan kemarahan melampau, kesedihan bahkan kadangkala kegembiraan yang luar biasa. Jangan risau, anda sebagai suami tidak akan dianggap ‘pengecut’ hanya kerana menangis di saat meluahkan perasaan anda!
Nasihat yang baik, pujuk rayu, serta peringatan tentang ayat-ayat Allah pastinya tidak boleh diabaikan. Sebagai se orang Muslim pastinya ini adalah ‘peluru’ yang harus digunakan pada setiap masa. Ayat-ayat Allah mempunyai keajaban yang amat luar biasa yang mampu ‘mencairkan’ hati yang membatu.
Kita semua meyakini bahawa di dalam ayat-ayat Allah itu terdapat penawar yang amat luar biasa. Di dalam al Quran Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman...."
(Al Israa' 82)

Kekuatan mental juga boleh dibina melalui kaedah ini. Keyakinan bahawa pernikahan yang dibina atas asas takwa dan meyakini bahawa ianya adalah satu ibadat juga mampu memberikan kekuatan kepada mental kerana kita yakin segala susah payah dilalui adalah merupakan satu saham di akhirat nanti. Kesabaran berhadapan dengan ‘serangan’ isteri adalah satu dugaan Allah terhadap hambaNya. Maka dengan keyakinan sebegini maka insya Allah akan terbinanya kekuatan mental dalam menghadapi pelbagai serangan mendatang.
Selain dari itu doa juga adalah satu kaedah yang amat berkesan dalam memantapkan kekuatan mental. Di dalam al Quran Allah berfirman:
"....Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku.." (Al Baqarah, 186)
Di dalam sebuah  hadith yang sahih Nabi S.AW. juga ada bersabda bahawa:
“Doa itu adalah senjata bagi orang yang beriman, tiang kepada agama dan cahaya bagi langit dan bumi’
(Hadith riwayat Al Hakim.)

Justeru jangan lupa banyakkan doa. Usah merasa hebat dengan apa saja kekuatan yang kita miliki kerana kita adalah insan yang lemah yang tidak mampu mengubah hati manusia. Namun berkat doa dan aura yang ada di dalamnya, segala kebuntuan dapat diatasi insya Allah.

 Jadi, jika anda merasakan sudah memiliki kekuatan itu, maka anda sudah melengkapi salah satu persediaan dan langkah untuk berpoligami. Tapi anda harus ingat, banyak lagi langkah-langkah yang harus anda tempuhi. Tidak mengapa kita buat perlahan-lahan agar anda tidak semput nanti!

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment