Wednesday, July 11, 2018

USAH MANSUHKAN HUKUMAN MATI MANDATORI

USAH MANSUHKAN HUKUMAN MATI MANDATORI
Oleh

Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia
Email: dr_nikrahim@yahoo.com

Dalam satu sidang media baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan meneliti semula beberapa undang-undang. Antara undang-undang tersebut ialah hukuman mati mandatori. Langkah ini menurut beliau perlu dilaksanakan kerana undang-undang tersebut tidak lagi bersesuaian dengan lanskap hari ini dan perlu dimansuhkan. Walaubagaimanapun ia masih di peringkat cadangan dan belum tentu ianya akan dilaksanakan.
Pastinya sebelum pihak kerajaan memperkenalkan undang-undang baru atau memansuhkan hukuman sedia ada, kajian menyeluruh hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Pandangan dari pakar perundangan samada sivil dan Syariah serta pengamal undang-undang dari kedua-dua bidang perlu diambil kira.

Merujuk kepada cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori terdapat beberapa aspek yang perlu diambil kira antaranya ialah keberkesanan hukuman tersebut dalam mengurangkan kadar jenayah berat seperti yang termaktub di dalam undang-undang. Antara jenayah yang membawa kepada hukuman mati mandatori merangkumi Kanun Keseksaan: Seksyen 121, 121A, 132, 194, 302, 305, 364, 396, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960: Seksyen 57(1), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta 37: Seksyen 3, 3A, 7(1)

dan Akta Dadah Merbahaya 1952: Seksyen 39B. Kajian terperinci haruslah dilakukan samada hukuman mati tidak lagi berkesan dan perlu diganti dengan hukuman yang lebih berkesan.
Hukuman mati mandatori seperti dapat dilihat di dalam peruntukan undang-undang di atas adalah melibatkan jenayah berat seperti pembunuhan yang diletakkan di bawah Kanun Keseksaan. Namun persoalannya apakah ada hukuman yang lebih sesuai untuk dikenakan kepada penjenayah dalam kes ini selain dari hukuman mati mandatori? Apakah hukuman penjara seumur hidup lebih setimpal dan lebih efektif dalam membendung kes jenayah seperti ini dari berluasa?
Menurut statistik yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan menyebutkan bahawa     purata kes bunuh setahun ialah sebanyak 500 kes. Ia satu jumlah yang amat menggerunkan kita semua. Ini bermaksud bahawa setiap hari pasti akan ada nyawa yang melayang. Statistik ini adalah berdasarkan kepada undang-undang sedia ada yang memperuntukkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan membunuh. Tidak dapat dibayangkan apakah yang akan berlaku jika sekiranya hukuman mati ini dimansuhkan.

Jika kita lihat negara-negara maju seperti Amerika Syarikat sebagai contoh pun masih melaksanakan hukuman mati mandatori. Berdasarkan kepada laporan dari Amnesty International dari tahun 2007 hingga 2012 terdapat 504 kes yang dijatuhkan hukuman mati dan 220 pesalah telah menjalani hukuman mati.

Jadi apakah alasan untuk kita mansuhkan hukuman ini?

Hukuman mati mandatori juga bukan satu hukuman yang asing jika dilihat dari perspektif undang-undang Islam. Islam memperuntukkan hukuman mati mandatori bagi kes yang melibatkan jenayah qisas iaitu bunuh dengan sengaja. Di bawah kategori hudud pula ia merangkumi jenayah murtad, zina bagi mereka yang sudah berkahwin, rompakan yang membawa kepada kematian, jenayah pemberontakan terhadap pemerintah (bughah) dan juga kes pengintipan untuk negara musuh di bawah kategori ta’zir.
Ibn Taimiyyah berpendapat bahawa orang yang melakukan kerosakan (fasad) dan kehancuran kepada orang ramai yang tidak dapat dikawal kejahatannya boleh dikenakan hukuman bunuh.
Hukuman mati juga adalah selari dengan maqasid Syariah bagi melindungi nyawa seseorang. Di dalam al Quran Allah s.w.t berfirman:

“Dan di dalam Qisas itu ada (jaminan) hidup bagimu wahai orang-orang yang berakal supaya kamu bertakwa”
Al Baqarah: 179.

Jika dilihat kepada undang-undang jenayah Syariah seperti hudud dan qisas didapati hukuman yang dikenakan terhadap pesalah adalah amat berat dan sebahagiannya membawa kepada hukuman mati. Ini adalah bertujuan untuk memberikan pengajaran kepada pesalah dan juga kepada masyarakat agar tidak melakukan jenayah tersebut. Hukuman mati pastinya menimbulkan kegerunan kepada mereka yang mempunyai niat untuk melakukan jenayah yang dikategorikan di bawah jenayah berat ini.
Justeru adalah diharapkan agar hukuman mati mandatori dikekalkan agar menjadi fakor penghalang (deterrent factor) kepada mereka yang berpotensi menjadi penjenayah khususnya jenayah berat yang memberi kesan yang besar kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment