Sunday, August 5, 2018

Bagaimana Untuk Mengetahui Bahawa Isteri Anda Bersedia Untuk Dimadu?

Bagaimana Untuk Mengetahui Bahawa Isteri Anda Bersedia Untuk Dimadu? 

Anda lebih tahu tentang isteri anda. Apa yang dia suka dan apa yang dia tidak suka. Isteri adalah insan yang paling akrab dengan anda. Anda kenal dia, dia juga kenal anda. “Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya”. Demikianlah akrabnya anda dan pasangan. Jadi untuk mengetahui samada isteri anda sudah bersedia atau sebaliknya terpulang kepada anda untuk membuat eksperimen.

Ada orang yang beraninya amat luar biasa. Tiada kiasan tiada selindung. Orang putih kata ‘straight to the point’. Kalau anda dari kategori ini, ayuh silakan sebab anda kenal diri anda dan kekuatan anda serta isteri anda. Tapi kaedah ini bukan semua orang boleh melakukannya. Jika anda se orang yang lemah lembut dan emosi pula sukar dikawal sebaiknya jangan gunakan kaedah ini kerana anda tidak pasti bagaimana reaksi isteri anda. Jika anda pasti isteri anda se orang yang mampu mengawal emosinya dan anda juga sanggup berhadapan dengan pelbagai kemungkinan setelah mendengar pengakuan anda untuk bernikah lagi, maka lakukan. Bismillah!

Di saat anda luahkan hasrat anda, berbagai kemungkinan akan berlaku dan ini banyak bergantung kepada sifat dan kekuatan mental dan emosi isteri anda. Mungkin ada yang buat acuh tak acuh saja sebab isteri anda tahu bahawa anda memang tak mampu untuk berpoligami. Dah lah ada ‘slip disc’, setiap minggu kena pergi hospital buat rawatan jantung, keadaan ekonomi pula teruk, maka isteri anda tidak akan mengambil pusing tentang kata-kata anda. Isteri menggangap anda hanya ‘bluffing’ dan hanya bergurau senda bagi mengeratkan lagi kasih sayang yang telah terbina sekian lama.

Ada juga yang tidak memberi apa-apa reaksi kepada anda. Isteri anda seakan tidak dengar apa yang anda katakan. Mungkin juga kerana isteri anda yakin anda hanya bergurau walaupun anda memang mempunyai kemampuan dari sudut fizikal dan kewangan tetapi anda tiada masalah dengan isteri anda dan anda bahagia bersamanya. Bahkan anda pernah berjanji bahawa anda tidak akan berkahwin lain. Saya mempunyai sahabat sebegini. Meskipun mendengar kawan-kawan lain  ‘galak’ bercerita pasal poligami, kawan saya ini tidak memperlihatkan minatnya dengan tajuk ‘panas’ kebanyakan lelaki ini. “Cukuplah se orang. Saya bahagia Sekarang” ujar sahabat saya bila saya ‘acah’ dia dengan soalan berkaitan poligami.

Ada isteri yang tidak memberi sebarang respon kepada perkataan anda, tetapi jauh di dalam hatinya menyimpan perasaan amarah dan benci dengan perkataan ‘poligami’ yang anda luahkan. Tetapi oleh kerana ‘takut’ atau hormat pada suaminya, maka dia memendam perasaan marah tanpa memperlihatkan riak di wajahnya.

Ada isteri yang terus ‘melompat’ apabila anda meluahkan perasaan untuk berpoligami. Tapi kerana hormatkan anda dan mungkin masih sayangkan anda, tindakan isteri anda tidaklah begitu melampau. Mungkin isteri anda akan menyisihkan diri untuk beberapa ketika kemudian kembali seperti sediakala. Jika anda punya isteri jenis ini, anda ada peluang yang cerah untuk mencuba lebih serius utuk berpoligami kerana isteri anda bukan jenis yang sangat agresif. Jika dipujuk rayu dan diberi penerangan secara konsisten dan jaminan bahawa anda akan menjaga kebajikannya, insya Allah isteri anda boleh menerimanya walaupun dengan hati yang amat berat kerana dia tahu, anda akan tetap berpoligami walaupun isteri anda menentangnya.

Ada juga isteri yang sangat agresif lagi pembengis. Muka menyinga sebaik saja anda maklumkan bahawa anda akan berkahwin lagi. “Langkah mayat saya dulu abang kalau nak kawin lain. Apa kurangnya saya bang. Dah 20 tahun saya jaga abang, saya sedia makan minum abang, saya layan abang dengan baik, saya beri abang anak 9 orang. Apa lagi yang abang mahu? Jerit Puan Munah kepada suaminya En Ali. Ini salah satu senario yang kerap berlaku bila suami menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi atau ada khabar angin yang didengar oleh si isteri. 

Jika ini jenis isteri yang anda miliki, pohon maaf tuan. Anda tidak layak untuk berpoligami. Kecuali anda mengambil keputusan yang drastik untuk menceraikan isteri anda. Bagi saya ini bukan satu cara yang matang dan bijak. “Usah musnahkan istana yang telah dibina sekian lama dibina untuk membina istana yang baru yang belum tentu akan berdiri teguh selamanya”. 

Ada suami yang nekad untuk berpoligami kerana sering dicabar oleh isterinya. “Kalau abang degil juga nak kawin, kawinlah tapi ceraikan saya” Herdik Puan Munah lagi. Apapun  ia terpulang kepada individu tersebut untuk menetukan jalan hidupnya. Cuma nasihat saya jika rumahtangga anda tiada masalah dan anda bahagia bersama isteri dan anak-anak anda, maka adalah lebih baik anda terus kekal bersama isteri anda. Jangan Jadikan alasan isteri telah tua maka anda berpoligami apatah lagi kalau perkahwinan tersebut membawa kepada perceraian kerana perkahwinan bukan hanya ketika muda. Perkahwinan adalah untuk sepanjang hayat. 

Ada isteri yang amat luar biasa. Belum lagi anda bersuara, dia pula yang lebih-lebih menawarkan anda berpoligami. Mungkin melihat kepada kemampuan anda atau simpati dengan susah payah yang dilalui oleh suami ditambah pula dengan keyakinan yang menebal bahawa se orang wanita tidak harus ‘tamak’ dalam perkahwinan. ‘Tamak’ di sini bermaksud merasakan bahawa suaminya adalah suaminya dan tak mungkin dikongsi dengan orang lain. 

Saya ada se orang sahabat yang berpoligami dengan cara yang amat harmoni. Isteri beliau yang tolong carikan isteri buat suaminya. “Saya cadang abang kawinlah sorang lagi dekat tempat abang kerja di Pahang. Saya kesihan tengok abang berulang alik setiap minggu ke Johor. Di sana tak ada siapa yang jaga abang.” Bisik Puan Hamidah (bukan nama sebenar) kepada suaminya En Ahmad (bukan nama sebenar). En Ahmad terpinga-pinga mendengar kata-kata isteri yang sangat disayanginya. Bukan tak ada niat untuk berkahwin setelah lebih 10 tahun berulang alik dari Pahang ke Johor. Tapi En Ahmad risau jika dia berkahwin lagi maka ia akan merenggangkan hubungan mereka suami isteri. Beliau menarik nafas lega bila isterinya sendiri yang menawarkan buatnya untuk berpoligami. “Tapi abang pilihlah perempuan yang saya kenal hati budinya supaya senang berurusan nanti” pesan Puan Hamidah. “Saya cadang abang kawin dengan Hayati (bukan nama sebenar) yang pernah kerja dengan abang dulu. Budak tu saya tengok baik sangat. Lemah lembut, akhlak pun bagus, kerja pun cekap” Tambah puan Hamidah. Pucuk dicita ulam mendatang. 

Memang Hayati inilah yang sering bermain di fikiran En Ahmad sejak sekian lama namun sukar sekali untuk beliau suarakan keinginannya kepada isterinya Puan Hamidah. Dipendekkan cerita, akhirnya En Ahmad melangsungkan perkahwinan dengan Hayati dan mereka hidup bahagia sehingga ke hari ini. Apa yang sangat menakjubkan, Puan Hamidah, isteri pertama En Ahmad yang pergi meminang dan menguruskan segala perkara berkaitan majlis pernikahan suaminya.

Jika ini jenis isteri yang anda miliki, bersyukurlah kerana anda sememangnya sudah ditakdirkan untuk berpoligami.


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment