Thursday, August 9, 2018

BILA ANDA PERLU BERPOLIGAMI SIRI 3

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI

SIRI KE 13

OLEH
DR NIK RAHIM NIK WAJIS
PESYARAH KANAN, FAKULTI SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG, USIM
(PENGAMAL POLIGAMI SEJAK 2007)

BILA ANDA PERLU BERPOLIGAMI SIRI 12

sambungan dari siri ke 12.



Sahabat pembaca yang dirahmati Allah.

Di dalam siri yang ke 11 dan 12 yang lalu saya telah kongsikan sebab yang mendorong se orang lelaki patut berpoligami antaranya isteri se orang yang mandul dan disahkan oleh pakar bahawa isteri anda tidak boleh melahirkan anak, Isteri ditimpa penyakit Yang Berpanjangan dan Isteri sukar dididik.  Atas sebab itu anda berpoligami. Tahniah!
Kita sambung bicara kita seterusnya....

Suami sentiasa bermusafir. 

Ada suami yang kadangkala amat sibuk dengan urusan perniagaan atau kerja dan sering saja bermusafir ke luar daerah atau ke luar negeri. Bila bermusafir bagi urusan perniagaan atau pekerjaan, agak sukar untuk membawa isteri bersama. Saya ada se orang saudara terdekat yang hampir 80% dari kehidupannya di luar negara sejak melangsungkan perkahwinan. Dubai, Cairo, London, Bangkok dan banyak lagi negara. 

Sememangnya itu tugas dan tanggungjawab beliau. Sekali sekali terasa juga kasihan melihat kesepian yang terpaksa dilalui oleh isteri dan anak-anaknya kerana seringkali ditinggalkan bersendirian. Kalau balik pun hanya beberapa hari kemudian terbang lagi. Tapi wanita itu sangat bersyukur kerana dikurniakan suami yang sangat bertanggungjawab. Nafkah zahirnya tidak pernah terabai. Namun dari dari sudut nafkah batinnya, beliau harus banyak bersabar dan memahami kehendak dan tuntutan kerja suami yang sebegitu rupa. Rumah yang disewakan pula di kawasan yang agak elit dan selamat. 

Meskipun sering berjauhan dari suami,  keluarga itu kelihatan sangat bahagia dan dikurniakan 9 orang anak! Apakah beliau ada ‘pasang’ isteri lain bagi memenuhi keperluan hidupnya  samada zahir dan batin? Ini tidak dapat saya pastikan dan saya pun tidak berminat untuk mengambil tahu takut pula timbul suatu yang tidak baik dalam perhubungan kami. Namun secara ikhlas saya katakan, jika saya berada di tempatnya, hampir pasti saya akan berkahwin lagi kerana saya rasa, saya tidak kuat untuk menahan kehendak naluri yang sentiasa berkobar. 

Ya! Kaum lelaki dijadikan oleh Allah berbeza. Ada yang sangat kuat kesabarannya dalam menahan gejolak nafsunya dan ada juga yang sangat lemah dan perlu segera dipenuhi. Jika tidak dipenuhi ‘potensi’ untuk terlibat dengan perzinaan itu amat tinggi apatah lagi iman pula senipis kulit bawang dan berada pula di negara luar yang jauh dari ‘intipan’ isteri atau pihak berkuasa agama. Moga Allah melindungi kita semua. 

Jadi apa solusi atau jalan penyelesaiannya? Sudah tentu berpoligami adalah   kaedah terbaik yang boleh dilakukan bagi mengelak perhubungan di luar ikatan perkahwinan yang sah yang membawa kepada kemurkaan Allah. Jiwa rasa tenang, dosa dapat dihindarkan, keperluan dapat dipenuhi, ada pula orang yang jaga makan minum dan tempat kediaman dan dalam masa yang sama hubungan dengan isteri pertama tetap kekal utuh. 

Alangkah hebatnya poligami. Ya! Poligami adalah penyelesai masalah, bukan pembawa masalah!

Justeru, para isteri tidak perlulah nak naik angin kerana suami berpoligami kerana keadaan dan keperluan suami berpoligami di saat ini amat jelas. Perlulah bertolak ansur  dan usah terlalu ego!

Suami Kuat Nafsu

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, lelaki dijadikan oleh Allah berbeza dari tabiat serta keinginan nafsunya. Ada lelaki yang tidak mempunyai masalah meskipun kehendak batinnya tidak terisi berbulan-bulan lamanya. Kesibukannya dengan tugasan harian atau perniagaanya menjadikan dia berada di satu alam lain yang seakan menjadi hijab kepada keinginan dan gejolak nafsunya. 

Hubungan seks dengan isteri bukan keutamaan dan agenda utamanya. Agenda utamanya adalah bisnes dan bisnes. Kerja dan kerja. Lain dari itu semuanya tidak begitu penting baginya. Lelaki seperti ini pastinya tidak perlu berpoligami dan pastinya isteri kepada lelaki ini boleh tidur lena meskipun jarang-jarang dapat memenuhi kehendak dan keperluan seksualnya. Asal saja suami tidak berpoligami, maka itu adalah kemuncak kebahagiaan baginya. Yang lain tidak begitu penting baginya. Beliau boleh bersabar. Tapi bukan dalm bab poligami!

Namun di sana terdapat lelaki yang dijadikan oleh Allah s.w.t mempunyai kekuatan yang sangat luar biasa dari sudut  seksualnya sehinggakan se orang isteri tidak mampu untuk memenuhi dan memuaskan  kehendak batinnya. Keadaan menjadi semakin kritikal dan meruncing di saat isteri mengalami putaran haid bulanan.  Seminggu terasa setahun baginya. Hari-hari berlalu terlalu perlahan. Fikirannya menjadi buntu. Gejolak nafsu yang membuak-buak amat sukar di kawal. 

Jika tidak mempunyai iman yang mantap, lelaki seumpama ini pastinya akan terjerumus ke lembah perzinaan jika saban bulan terpaksa mengharungi suasana yang amat mencengkam jiwa seperti ini. 

Jadi apa jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah ini? Ya benar! Poligami adalah solusi terbaik bagi lelaki dalam kategori ini kerana melalui poligami dia mampu menyalurkan keperluan seksual dengan cara yang yang diredhai Allah dan dalam masa yang sama  menjauhi maksiat zina yang akan  memberi kesan negatif sama ada dari segi agama, harta, kesihatan bahkan turut membahayakan isterinya melalui jangkitan penyakit-penyakit yang dikaitkan dengan penyakit-penyakit kelamin seperti Sifilis (Penyakit Raja Singa), Gonore (Kencing Nanah), HIV/AIDS dan lain-lain. 

Jumlah perempuan lebih ramai dari lelaki.

Jumlah wanita melebihi  lelaki juga dikira sebagai salah satu penyebab kenapa lelaki perlu berpoligami. Ini bertujuan memberi peluang kepada wanita agar turut  berpeluang untuk menikmati kehidupan di alam berumahtangga. Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada bertambahnya bilangan wanita berbanding lelaki. Antaranya ialah:

1. Kaum wanita   melahirkan anak perempuan lebih ramai berbanding anak lelaki. 

Dan ini sememangnya satu fakta yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa. Saya sendiri mempunyai 8 adik beradik dan hanya dua lelaki dan yang bakinya seramai 6 orang adalah perempuan. Anak saya pula ada seramai 15 orang dan dari jumlah tersebut hanya 6 lelaki dan selebihnya 9 orang lagi adalah perempuan.

2. Kaum lelaki pula lebih ramai yang mati dahulu.

Berdasarkan kepada satu  kajian  yang dibuat pada tahun 2016, usia wanita adalah lebih panjang dari lelaki. Sebagai contoh, bayi lelaki yang lahir pada tahun 2016 dijangka boleh hidup sehingga usia 72.6 tahun sedangkan bayi perempuan dijangka hidup sehingga umur 77.2 tahun. Selain itu, kematian pramatang dalam kalangan lelaki berumur antara 15 hingga 65 tahun juga dua kali ganda berbanding wanita kerana dikesan menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung, angin ahmar, bronkitis, asma, kanser dan kemalangan jalan raya. Jadi punca kematian bagi lelaki jauh lebih banyak berbanding wanita. Justeru wahai kaum lelaki berhati-hatilah!

3. Kaum lelaki terlibat dalam peperangan

Seperti yang kita tahu, sebahagian besar yang terlibat di dalam peperangan adalah lelaki. Justeru, jumlah lelaki yang gugur dalam peperangan menjadi jumlah wanita mendominasi jumlah lelaki dalam jangka masa yang panjang.

Melihat kepada senario ini maka poligami dikira sebagai satu kaedah dan jalan penyelesaian bagi wanita-wanita kerana wanita pada umumnya amat memerlukan perlindungan dari se orang insan bernama lelaki dan ianya dikira sebagai amal soleh berdasarkan kepada firman Allah s.w.t:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ  

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa ( maksiat ) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat Azab seksaNya ( bagi sesiapa yang melanggar perintahNya ).” 
(Surah al-Maidah : 2.)

Siapakan di antara kita yang dapat menafikan bahawa berpoligami itu adalah salah satu bentuk pertolongan sesama Islam dan ia adalah satu tugas yang sangat mulia.?


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment