Wednesday, August 8, 2018

BILA ANDA PERLU BERPOLIGAMI - SIRI 2

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI

SIRI KE 13

OLEH
DR NIK RAHIM NIK WAJIS
PESYARAH KANAN, FAKULTI SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG, USIM
(PENGAMAL POLIGAMI SEJAK 2007)

BILA ANDA PERLU BERPOLIGAMI?

sambungan dari siri ke 11.



Di dalam siri yang ke 12 yang lalu saya telah kongsikan salah satu sebab yang mendorong se orang lelaki berpoligami iaitu jika isteri se orang yang mandul dan disahkan oleh pakar bahawa isteri anda tidak boleh melahirkan anak. Atas sebab itu anda berpoligami. Tahniah! 

2. Isteri ditimpa penyakit Yang Berpanjangan
 Antara matlamat perkahwinan adalah untuk mencapai kebahagiaan dan keseronokan dalam hubungan antara suami dan isteri selain dari mendapatkan zuriat yang solehah. Matlamat ini amat sukar untuk dicapai sekiranya salah satu pihak samada suami atau isteri mempunyai masalah penyakit kronik yang berpanjangan dan tidak lagi mampu untuk melayan keinginan suami dari sudut layanan di rumah seperti menyediakan makan minum dan mengatur urusan harian rumahtangga, penjagaan anak, keinginan batin serta lain-lain. 

Meskipun terdapat suami yang sanggup untuk terus setia dengan isterinya dan mampu bersabar menahan kehendak zahir dan batinnya, namun terdapat juga lelaki yang tidak mampu bertahan lebih lama. Jika ditahan lebih lama mungkin ia menyebabkan kecelaruan kepada fikiran, tekanan perasaan yang dahsyat dan ia memberi kesan yang hebat terhadap hubungan dengan isteri tersebut serta anak-anak. Justeru, dalam situasi begini juga, terdapat suami yang berpoligami tetapi dalam masa yang sama tetap menunaikan tanggungjawabnya sebagai se orang suami dan terus mencurahkan kasih sayangnya yang berterusan. 

Dalam hal ini suami mempunyai alasan atau sebab yang kukuh untuk berpoligami dan ianya tidak sama sekali menyalahi hukum syara’. Bahkan tindakan ini juga dikira sebagai jalan keluar terbaik dan sangat mulia kerana dengan kaedah ini suami dapat menghindarkan diri dari   terjebak dalam kancah maksiat dan dalam masa yang sama perceraian dapat dielakkan. Win-win situation. Suami untung sebab dapat berkahwin dan menyalurkan kehendaknya melalui jalan yang sah dan mengikut hukum agama, isteri juga untuk kerana masih lagi mempunyai suami yang akan menjaga segala kebajikannya dan merawat penyakit yang dideritainya.

Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya si isteri berkeras tidak mahu membenarkan suaminya berkahwin lagi meskipun dia sendiri telah gagal menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya ditunaikan kerana penyakit yang dialaminya dan akibat dari itu suami terpaksa menceraikannya? Siapakah yang akan menjaga urusan hariannya? Makan minumnya? Membawanya ke hospital untuk mendapatkan Rawatan dan sebagainya. 

Justeru, bagi wanita dan juga isteri yang diduga dengan dugaan seperti ini seharusnya akur dengan ketetapan Allah dan meredhai suaminya berkahwin lagi demi memelihara rumahtangga yang dibina sekian lama. Poligami tidak seharusnya menjadi punca runtuhnya rumahtangga. Yang meruntuhkan rumahtangga adalah perceraian. Jadi berusahalah mencari jalan agar perceraian dapat dielakkan dan jika boleh, hapuskan kalimah ‘cerai’ dari dalam pemikiran kita agar ianya tidak berlaku sepanjang tempoh perkahwinan kita.


3. Isteri sukar dididik.
Saya selalu berkongsi pandangan dengan para pelajar saya bahkan juga dengan sahabat-sahabat, jika mahu memilih isteri pilihlah yang ‘dah siap’. Maksud saya di sini ialah memilih isteri yang telah dididik dengan didikan yang baik oleh kedua ibu bapanya. Ini pasti akan melicinkan lagi pelayaran bahtera kehidupan kita di hari-hari mendatang.
Wanita sama juga seperti anak-anak, ada yang mudah dan ada yang sangat sukar untuk dididik dan dibentuk. 

Bagi wanita yang ‘dah siap’ kerja suami amat mudah sebab isteri sudah faham dan tahu apa tanggungjawabnya. Dia tahu tanggungjawab terhadap Tuhan. Solat dijaga, amal ibadat dilakukan dengan sempurna, adab dan akhlak dikawal dengan baik, aurat ditutup dengan sempurna, pergaulan dengan lelaki yang bukan mahram cuba dielakkan kecuali jika ada keperluan yang mendesak, harta suami dijaga dengan penuh amanah, kehormatan suami pula dipelihara dengan sebaik mungkin. Layanan terhadap suami pula ‘tip top’. 

Senyuman menggoda sentiasa terukir di bibirnya meskipun kadangkala dia terluka akibat perbuatan suaminya, rumah dijaga dengan bersih. Rumah mereka umpama taman-taman syurga. Tiada pertengkaran, tiada herdik mengherdik, tiada pekik memekik. Yang ada cuma bait-bait cinta kedua pasangan. Sungguh indah suasana ini. Ini semua akan menjadi realiti dalam berumahtangga samada atas asas monogami atau poligami.
Bayangkan pula bagaimana suasananya jika anda memilih isteri yang salah. Isteri yang ‘belum siap’. 

Anda terpaksa lakukan segalanya. Jika yang belum menutup aurat, anda sebagai se orang muslim wajib menyuruhnya menutup aurat. Anda bertuah jika sebaik anda menyuruhnya menutup aurat lantas dia melakukan dengan rela hati. Dengan menguntum senyuman di bibir. Bahagialah anda kerana kerja anda menjadi mudah. Emosi anda tidak terganggu. Tapi bagaimana pula jika isteri anda tidak mahu atas alasan panas, tidak selesa, tidak cantik, ketinggalan zaman dan yang seumpamanya? 

Ya! Pastinya ia akan mengganggu fikiran anda. Anda akan merasa berdosa kerana setiap kali isteri anda keluar rumah, dia akan menjadi tontonan lelaki buaya dan anda hanya mampu melihatnya. Bagaimana pula dengan solat? Pergaulan dengan lelaki bukan mahram di tempat kerja? Hubungan dengan kawan-kawan lelaki di media sosial yang banyak sekali membawa bencana dalam rumahtangga? Terlalu banyak kesannya jika anda memilih wanita yang ‘belum siap’ sebagai isteri. Hidup anda menjadi amat sukar sekali.

Namun apa yang disebut di atas tidak semestinya 100% tepat sebab perempuan sama seperti kanak-kanak, mereka adalah berbeza. Ada yang mudah untuk dibentuk dan ada pula yang amat sukar untuk berubah. Apa yang perlu dibuat oleh se orang suami adalah mendidik tanpa jemu, menasihati tanpa henti, hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan, tahun demi tahun kerana proses pendidikan adalah proses yang amat panjang. Jangan mudah berputus asa.

Namun jika segala usaha tidak membuahkan hasilnya, nasihat dan teguran gagal mengubahnya, Amaran juga tidak mampu membuka hatinya maka jalan terbaik adalah berpoligami. Dengan berpoligami anda mempunyai peluang untuk hidup lebih aman dan bahagia setidak-tidaknya ketika anda bersama isteri kedua yang anda pilih dengan lebih cermat dan ‘sudah siap’ dan tidak perlu lakukan banyak perkara untuk memperbetulkannya. Sekarang anda mampu menarik nafas lega kerana sekurang-kurangnya sehari anda berada di ‘syurga’ meskipun hari-hari lain anda terpaksa terkurung di ‘neraka’.

Bagi isteri anda yang sukar dibentuk jangan sekali-kali dipinggirkan atau dibiarkan dengan cara hidup liarnya. Teruskan usaha. Banyakkan berdoa. Layanlah dia dengan baik meskipun anda sudah ketemu ‘syurga’ di tempat lain. Berlaku adillah meskipun sikap dan perangainya sangat anda benci. Ingatlah pesan Allah di dalam Al Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَرِثُوا النِّسَاءَ كَرْهًا وَلَا تَعْضُلُوهُنَّ لِتَذْهَبُوا بِبَعْضِ مَا آتَيْتُمُوهُنَّ إِلَّا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا “

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” 
(Surah an-Nisa’: 19)

BERSAMBUNG...


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment