Monday, August 27, 2018

PAKATAN HARAPAN 100 Hari Penuh Kontroversi

PAKATAN HARAPAN
100 Hari Penuh Kontroversi 
oleh
Dr Nik Rahim bin Nik Wajis
Pensyarah Kanan
Fakulti Syariah dan Undang-Undang, 
Universiti Sains Islam Malaysia
dr_nikrahim@yahoo.com


Sesungguhnya Kerajaan Pakatan adalah kerajaan yang penuh kontroversi. Kontroversi menurut Kamus Dewan adalah perselisihan atau pertelingkahan pendapat dan sebagainya yang biasanya berlarutan dan agak meluas di antara golongan (pihak dan lain-lain) yang berlainan pendirian (pendapat, fahaman dan sebagainya).

Namun tidak semua kontroversi boleh dianggap sebagai suatu yang negatif.  Kontroversi akan timbul apabila sesuatu kenyataan atau tindakan bercanggah atau tidak disukai oleh sesetengah pihak.  

Sebagai contoh, perlantikan YB Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan sebelum terlebih dahulu diisytiharkan bebas rasuah sepenuhnya oleh SPRM, telah menimbulkan kontroversi. Banyak persoalan timbul tentang sejauh mana ketelusan dan integriti kerajaan Pakatan Harapan dalam pentadbiran negara. Begitu juga dengan perlantikan Dato Seri Shafie Apdal yang diangkat menjadi Ketua Menteri Sabah sedangkan   siasatan SPRM ke atas beliau berhubung kehilangan RM7.5 bilion ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dahulu masih belum diputuskan. 

Perlantikan YB Mat Sabu sebagai Menteri Pertahanan juga menimbulkan kontroversi kerana beberapa sebab antaranya ialah kerana latarbelakang pengajian beliau yang bukan dari bidang ketenteraan. YB Mat Sabu   dikatakan berkelulusan Seni Kulinari dan sering pula dikenali dengan  kenyataan-kenyataan kontroversi beliau tentang Parti Komunis Malaya (PKM). 

Pemecatan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali dan perlantikan Tommy Thomas yang tidak fasih berbahasa Melayu juga menimbulkan kontroversi. Namun pastinya pihak kerajaan Pakatan Harapan mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

Beberapa kontroversi lain juga berlaku di kalangan para menteri yang dikira masih ‘mentah’ dalam politik dan pentadbiran negara. Ada menteri yang dilihat sebagai terlalu ‘tamak’ untuk mengendalikan semua perkara. Menteri Pendidikan sebagai contoh tidak perlu untuk membuat kenyataan akhbar berhubung perkara-perkara remeh seperti penukaran warna kasut dari putih kepada hitam, isu beg sekolah atau seumpamanya. Beliau sepatutnya hanya mengeluarkan arahan kepada pegawai bawahannya untuk disebarkan kepada umum dan diambil tindakan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Agama juga tidak sunyi dari kontroversi bahkan boleh dianggap sebagai “Raja Kontroversi’ dalam pemerintahan 100 hari Kerajaan Pakatan Harapan kerana beliaulah antara menteri yang paling menonjol akibat dari pelbagai kontroversi. Menteri Agama dilihat sebagai se orang yang sedikit ‘gelojoh’ dan tidak cermat dalam mengeluarkan pandangan atau ulasan. 

Di dalam satu ucapannya beliau menyebutkan bahawa hifzu al din (menjaga agama) yang merupakan salah satu dari maqasid al syari’ah juga termasuk menjaga agama-agama lain, maka dunia menjadi gegak gempita khususnya di kalangan akademia  yang tidak setuju dengan pandangan tersebut kerana rata para ulama ternama berpandangan bahawa yang dimaksudkan dengan hifzu al din itu hanyalah agama Islam manakala agama lain boleh diamalkan dengan aman tanpa sebarang gangguan. Menteri agama sekali lagi menimbulkan kontroversi serta tumpuan bila menjawab isu berkaitan penggunaan tandas bagi golongan mak nyah. LGBT.  

Beliau menyatakan bahawa  golongan ini boleh menggunakan tandas wanita. Maka ‘melompat’lah golongan wanita dalam melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan Menteri Agama. Meskipun Menteri Agama mengeluarkan kenyataan balas selepas itu, ia tidak dapat meredakan rasa tidak puas hati mereka yang terbabit dengan isu tersebut. Sehingga kini masih belum ada penyelesaian bagi isu ini.

Kontroversi sebenarnya boleh dielakkan atau sekurang-kurangnya boleh dikurangkan jika pada menteri membuat ‘home work’ sebelum berdepan dengan wartawan khususnya agar lebih bersedia untuk memberikan respon dalam satu-satu isu yang ditanya. Para Menteri juga harus melantik pegawai-pegawai kanan yang mahir dan cekap bagi membantu para menteri menangani isu-isu yang timbul. Justeru, setiap menteri di semua kementerian perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan pandangan dan mengelakkan diri dari mencetuskan kontroversi yang akhirnya akan menyukarkan perlaksanaan polisi dan perancangan kerajaan demi kepentingan rakyat jelata.  


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment