Sunday, February 10, 2019

DANA RM90 JUTA - bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah Dakwa Pernah Lihat Slip Transaksi Bank

Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh mendedahkan pernah melihat slip transaksi bank membabitkan dana daripada Umno ke akaun Pas, termasuk beberapa pemimpin parti itu.  Dakwanya, antara dokumen transaksi bank terbabit dibayar dari pejabat Umno kepada Pas Terengganu dan Jabatan Pilihanraya Pas Pusat serta penganjuran program parti.  

Menurutnya, jumlah sebenar tidak dapat disahkan kerana penyaluran dana kemungkinan sudah berlaku sejak 10 tahun lalu.  “Sebahagian daripada tuduhan itu, saya boleh sahkan berlaku, jumlahnya mungkin RM90 juta yang disebut-sebut daripada 1MDB atau lebih, namun mereka memang ada ambil duit daripada Umno. Ada yang boleh dibuktikan menerusi slip transaksi bank,” katanya, selepas merasmikan program ‘Lets Fit & Fun’ sempena pelancaran Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) Plus Mara Kedah, hari ini.  

Dr Ismail yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah mendakwa, antara slip transaksi yang dilihatnya berjumlah RM1 juta dan RM1.5 juta.  “Sebagai bekas ahli Pas seumur hidup, saya sangat memahami situasi yang berlaku dan mengenali rapat rakan-rakan dalam parti itu. Sebab itu mereka ketakutan apabila kes dibawa ke Mahkamah Tinggi London, kelak akan terdedah semua bukti termasuk rakaman suara didakwa milik Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang menafikan suara itu miliknya,” katanya.  Menurutnya, hanya perbicaraan di mahkamah dapat menentukan sama ada dakwaan itu fitnah atau sebaliknya.  

Dr Ismail berkata, penolakan Amanah terhadap Pas juga ada kaitan dengan isu dana terbabit. Dakwa beliau, Umno sudah lama menguasai Pas termasuk menyalurkan dana bermula sejak 2008, malah ia bukan perkara baharu kalangan pimpinan parti itu. “Perbezaan pemikiran pemimpin Pas ketika itu juga antara punca Pas berpecah seterusnya diwujudkan Amanah. Sejak 2008, bibit perpecahan terasa, ada yang setuju dengan pemikiran dan budaya (kerjasama Umno-Pas) namun sebahagian menolak. Ia berjaya memecahkan kami, akhirnya yang tidak sokong keluar parti dan tubuhkan Amanah,” katanya. 

 Dr Ismail mendakwa, pemikiran pemimpin Pas dikuasai Umno dan pada masa sama, Umno menggunakan wang sebagai umpan.  “Namun pertembungan pemikiran antara Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Nik Abdul Aziz dan Allahyarham Fadzil Noor membuka Pas kepada semua, tidak termasuk kemungkaran dilakukan Umno, pemikiran lain adalah bersama Umno demi Islam, namun Umno mengikat Pas dengan wang,” katanya.  

Menurutnya, kerjasama Umno-Pas juga sudah lama wujud secara senyap apabila diuarkan penubuhan kerajaan perpaduan di Selangor dan Perak pada 2008.  “Apabila Umno lakukan post mortem PRU 2008, mereka beroleh maklumat Pakatan Rakyat (PR) hanya perlu beberapa peratus sahaja untuk menang PRU13, menyebabkan mereka fikirkan cara untuk elak berlaku, iaitu pecahkan PR dan Pas paling mudah didekati,” katanya.  

Dr Ismail turut menolak dakwaan Nik Mohamad Abduh yang juga AJK Pas Pusat, kononnya isu RM90 juta sengaja ditimbulkan semula oleh pihak tertentu selepas melihat Pas sebagai saingan terhadap kerajaan PH.  “Ini soal integriti Pas, bukan isu Pas semakin mantap. Memang sukar ahli Pas terima dakwaan itu kerana didoktrin sejak awal. Bayangkan jika mereka berterusan gunakan sentimen agama dan bangsa untuk elak pengikut lari, pada masa sama kemungkaran dilakukan sebahagian pemimpin mereka didedahkan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian Online

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment