Saturday, February 9, 2019

PAS DAN UMNO WAJAR SEGERA ‘DIJABKABULKAN’

 PAS DAN UMNO WAJAR SEGERA ‘DIJABKABULKAN’
Oleh

Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia
Email: dr_nikrahim@yahoo.com


 Jika boleh diibaratkan Pas dan Umno sebagai pasangan yang sedang hangat dilamun cinta, maka sudah sampai masanya untuk pasangan ini disatukan di atas pelamin. Keserasian antara kedua mereka semakin terserlah dalam PRK Cameron Highland pada 26 Januari 2019 yang lalu yang menyaksikan calon BN Ramli Mohd berjaya memenangi PRK tersebut.  Ramli mendapat 12,038 undi menewaskan calon PH, M. Manogaran yang mendapat 8,800 undi. 

Ini bermaksud, calon BN yang mencatat majoriti yang bertambah dari 597 undi yang diperolehi oleh Dato' Sivarraajh Chandran dalam PRU14 kepada 3,238 undi dalam PRK yang lalu.    Majoriti 3,238 undi atau sebahagian besarnya itu tidak syak lagi adalah hasil sumbangan dari ahli Pas yang diarahkan oleh Presidennya YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang untuk mengundi calon BN. Ini dapat dilihat dengan jelas kerana undi yang perolehi oleh calon Pas pada PRU 14 ialah sebanyak 3,587 undi. 


Ini bererti jika Haji Hadi tidak memberi arahan kepada ahli Pas untuk memilih calon BN, maka keputusan tersebut mungkin tidak seperti yang termaktub sekarang ini meskipun BN mungkin masih lagi mampu untuk mempertahankan kemenangan bagi kerusi Cameron Highland ini. Ini kerana Negeri Pahang adalah negeri yang dianggap sebagai kubu kuat BN dan satu-satunya negeri yang kekal di bawah BN selain Perlis.

Kemenangan penuh bermakna ini boleh dianggap sebagai satu sumbangan yang besar dari seorang kekasih kepada kekasihnya. Ia juga adalah bukti kasih sayang Pas kepada Umno kerana sanggup memberi laluan kepada Umno untuk menang dengan lebih mudah dalam PRK kali ini.

Dulu Pas dan Umno ibarat kucing dengan anjing. Mereka adalah musuh ketat dek kerana ideologi dan agenda yang berbeza. Pas mahukan hudud dilaksanakan, Umno pula terus memperjuangkan kebangsaan Melayu. Dalam sebuah wawancara dengan sebuah akhbar tempatan pada tahun 2016, Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man dengan tegas mengatakan bahawa isu kerjasama antara Pas dan Umno yang digembar gemburkan   merupakan agenda media Umno, namun PAS tidak akan sekali-kali bekerjasama dengan parti yang didakwa mengamalkan rasuah itu. 


Beliau juga berkata isu kerjasama itu merupakan usaha untuk menyelamatkan Umno yang dianggap sedang berada dalam kelemasan.    Pas juga katanya tidak akan bekerjasama    dengan Umno kerana mereka ini mengamalkan rasuah. Malah, katanya tidak mungkin PAS akan bekerjasama dengan parti yang zalim terhadap rakyat dengan merujuk projek Lebuhraya Pantai Timur dan sekatan royalti minyak kepada Kelantan.
Namun kini segalanya sudah berubah. Dikala kebencian melanda, pastinya semua dibuat tidak kena. Namun bila kasih dan cinta meresap ke hati, segalanya mampu dilupai. 
Keakraban Pas dengan Umno seakan dicemburui oleh musuh politik mereka atau mereka yang tidak menyukai kerjasama ini diwujudkan kerana ia ternyata membawa impak yang besar dalam landskap politik tanahair. 

Apa tidaknya apabila dua parti ‘gergasi’ Melayu bersatu, pastinya ia menggugat dominasi parti-parti lain yang bergantung talian hayat mereka dengan parti-parti bukan Melayu. Dan ini sangat dibimbangi oleh golongan ini. Tuduhan Sarawak Report di dalam sebuah artikel bahawa Pas menerima wang sebanyak RM90juta menggemparkan negara. Bagaimana sebuah parti yang berlandaskan Islam menerima wang sebegitu banyak dari musuh politiknya sejak sekian lama? 

Tuduhan ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak Pas bahkan salah se orang pemimpin Pas yang mengakui menerima wang dari Umno turut menyatakan bahawa semua ini adalah angkara musuh-musuh politik mereka. Tuduhan ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh beliau. Tuduhan ini menyebabkan Haji Hadi Awang sebagai Presiden Pas mengambil keputusan menyaman Clare Rewcastle Brown dari Sarawak Report. 

Kes saman yang dibuat di London ini dikatakan telah memakan belanja antara RM2-3 juta. Namun tiba-tiba saman ini telah ditarik balik oleh Haji Abdul Hadi Awang atas alasan yang antara lain tidak mahu membazirkan wang. Antara penyelesaian yang dipersetujui kedua-dua pihak adalah Presiden PAS Abdul Hadi Awang menarik balik tuntutan terhadap Sarawak Report, manakala Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown menarik balik tuntutan balas terhadap Hadi. Selain itu, tiada perintah berkenaan kos dan kedua-dua pihak tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian ini.

Kini persoalan berlegar dalam minda rakyat Malaysia, apakah dengan menarik balik saman terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown dan beliau tidak perlu memadamkan artikel berkaitan tuduhan Pas menerima wang sebanyak RM90 bererti tuduhan itu adalah benar? Jika ianya benar, maka ia menjadi bukti yang semakin jelas bahawa telah wujud hubungan yang sangat intim antara Pas dan Umno. Umno sanggup   berbelanja besar bagi mempastikan cinta Umno kepada Pas berbalas dan Umno tidak bertepuk sebelah tangan.

Justeru, usah berselindung lagi. Isyhtiharkan kepada umum bahawa memang wujud jalinan kasih sayang ini sejak sekian lama dan kini tiba saatnya untuk diisytiharkan kepada umum. Tiada salahnya menerima wang dari Umno demi memertabatkan Islam dan bukan untuk tujuan peribadi. Mungkin ada yang akan terkejut dan tidak menyangka ia akan berlaku, namun dalam politik tiada yang mustahil. Lagipun Pas dan Umno pernah ‘berkahwin’ semasa era Perikatan pada tahun 1973 dulu. Ketika itu Umno di bawa pimpinan Tun Abdul Razak manakala Pas pula di bawah pimpinan Asri Muda. Jadi apa salahnya jika mereka merujuk kembali?




Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment