MENGGUNAKAN
ANJING PENGESAN COVID-19: APAKAH MALAYSIA BERSEDIA?
Oleh
Dr Nik Rahim
Nik Wajis
Pensyarah
Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti
Sains Islam Malaysia
Email:
dr_nikrahim@yahoo.com
Saya terasa amat teruja bila membaca satu
artikel di Berita Harian bertarikh 16 Mei 2020 yang menyebutkan bahawa terdapat
beberapa negara yang telah menggunakan perkhidmatan anjing terlatih bagi
mengesan Covid-19. Saya sangat teruja kerana dari satu sudut, meskipun manusia
diberi pelbagai kelebihan oleh Allah SWT, namun ada ketikanya kebijaksanaan
manusia tidak dapat mengatasi ‘kebijaksanaan dan kehebatan’ haiwan yang najis
seperti anjing. Ia memberi isyarat kepada manusia agar tidak mudah lupa diri
dengan apa yang mereka miliki kerana segalanya adalah milik Allah.
Namun dari sudut yang lain, penggunaan anjing sebagai satu kaedah mengesan menyerlahkan lagi kebijaksanaan manusia yang tidak pernah jemu mengkaji dan mencari jalan penyelesaian bagi merungkai permasalahan yang mereka hadapi. Kajian demi kajian dilakukan sehinggalah akhirnya mereka menemui kaedah ini. Salah satu kajian telah dijalankan United Kingdom dengan suntikan dana sebanyak £500,000 (RM 2.6 juta) dari kerajaan Britain. Kajian ini diketuai oleh London School of Hygiene & Tropical Medicine, bersama-sama pertubuhan kebajikan itu dengan Universiti Durham. Anjing-anjing Covid itu dikatakan mampu menyumbang kepada satu 'keputusan yang pantas' dan menyaring sehingga 250 individu sejam.
Satu
lagi kajian turut dijalankan di Fakulti Perubatan Haiwan Universiti
Pennsylvania, Amerika Syarikat. Seekor
anjing Covid bernama Blaze menunjukkan kemampuan luar biasa mengesan bau dari
mereka yang dijangkiti Covid-19.
Kini
terdapat beberapa negara yang telah menggunakan kaedah ini termasuk United
Kingdom, Amerika Syarikat, Finland dan yang lebih menarik adalah Emirate Arab
Bersatu (UAE) yang merupakan negara Islam pertama yang menggunakan pendekatan
ini.
Persoalan
yang mungkin bermain diminda rakyat Malaysia khususnya umat Islam, apakah
Malaysia akan mengikut langkah UAE dan juga negara-negara lain untuk
menggunakan anjing sebagai satu langkah bagi menyekat penularan Covid-19 yang
tidak diketahui bilakah ianya akan berakhir?
Persoalan
ini sengaja dilontar kerana sebahagian besar umat Islam amat senstif dengan
anjing bahkan sebahagian mereka melihat anjing dengan pandangan yang jijik dan
menjengkelkan. Pendirian demikian diambil
mungkin akibat dari pengetahuan dan kefahaman mereka yang amat terhad tentang
hukum syarak. Sebahagian mereka mungkin hanya bergantung kepada hadith yang diriwayatkan
dari Abu Hurairah dimana Rasulullah SAW bersabda, “Jika anjing menjilat bejana
seseorang dari kamu, maka cucilah sebanyak 7 kali, dan salah satu dirinya adalah dengan air tanah” (HR. Muslim).
Berdasarkan
kepada hadith ini, para ulama meletakkan anjing dalam kategori yang sama dengan
babi iaitu dalam kategori najis mughalazah (najis berat). Disebabkan oleh
pegangan dan keyakinan bahawa anjing adalah najis mughalazah, maka pandangan
umat terhadap anjing menjadi sangat negatif dan menganggap bahawa anjing adalah
makhluk yang jijik, keji dan hina dan tidak boleh didekati apalagi menggunakan
perkhidmatannya termasuklah sebagai anjing pengesan Covid atau seumpamanya.
Mereka
tidak menyedari bahawa pandangan mereka itu adalah salah dan menyeleweng dari
ajaran Islam yang sebenar. Ini kerana tidak nas dari Al Quran atau hadith yang menghalang
dari menggunakan perkhidmatan apa-apa binatang meskipun ianya najis seperti
anjing untuk tujuan-tujuan tertentu yang membawa kebaikan kepada manusia.
Berhubung
dengan hukum penggunaan anjing, Imam Shafi'i pernah menyatakan bahawa:
“Tidak dibenarkan pemeliharaan anjing
melainkan bagi seorang pemburu, pekebun, penternak binatang atau sesiapa yang
berada dalam situasi yang serupa dengan mereka.”
Manakala Imam Al-Mawardi pula berpendapat:
Hukum memelihara anjing adalah tidak
dibenarkan, melainkan terdapat kemanfaatan baginya. Apabila terbukti
kemanfaatannya maka dibenarkan pemeliharaan anjing.
Apabila melihat kepada kedua-dua pandangan
ini maka jelaslah bahawa penggunaan
anjing bagi perkara-perkara yang boleh membawa kepada
kebaikan seperti membantu pihak keselamatan mengesan penjenayah, dadah, bahan
letupan seperti bom atau periuk api, mengesan mangsa bencana alam seperti gempa
bumi atau tsunami, dan sebagainya adalah dibenarkan di dalam Islam dan termasuk
jugalah menggunakan anjing sebagai alat pengesan Covid-19.
Namun begitu satu perkara yang perlu diambil
perhatian ialah tentang hak dan kebajikan anjing yang digunakan dalam tugasan
ini. Ini kerana anjing juga boleh dijangkiti dengan virus
Covid-19 seperti yang dilaporkan dalam beberapa buah akhbar baru-baru ini. Jangan pula kerana ingin menyelamatkan
manusia, maka haiwan seperti anjing pula menjadi mangsa. Langkah pencegahan
mestilah diambil kira agar anjing-anjing yang digunakan dapat dihindarkan dari
terkena jangkitan virus Covid-19. Ini bertepatan dengan firman Allah:
“Tidak aku utuskan kamu (Wahai Muhammad)
kecuali untuk membawa rahmat ke seluruh alam” – Al Anbiya’ - 107
Nabi SAW juga bersabda:
“Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa
sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada
seluruh alam)." (Hadith riwayat Ad-Darimi)
Para ulamak mentafsirkan perkataan ‘alam’
sebagai semua makhluk ciptaan Allah SWT di atas muka bumi ini termasuk manusia,
jin, haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan. Semua mereka akan mendapat rahmat dari
syariat yang diturunkan oleh Allah SWT. Dalam erti kata lain, semua makhluk
tidak boleh dizalimi termasuk anjing meskipun perbuatan tersebut boleh membawa
kepada kebaikan buat manusia. Apa erti kebaikan jika ada makhluk yang tersiksa
kerananya.
No comments:
Post a Comment