Saturday, June 12, 2021

Pelajar perlu diberi kefahaman tentang hakikat masyarakat majmuk di Malaysia


Peristiwa 13 Mei yang berlaku pada tahun 1969, mengorbankan 196 nyawa dari pelbagai kaum. Peristiwa hitam ini berpunca daripada tindakan provokasi penyokong pembangkang yang didominasi kaum Cina, yang merayakan kejayaan mereka dalam pilihanraya umum. Meskipun ada pihak yang mempertikaikan perkara ini, namun apa yang penting adalah pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa tersebut.

Peristiwa seumpama ini mungkin akan berulang sekiranya langkah pencegahan tidak diambil. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik dari merawat. Antara langkah pencegahan yang boleh diambil ialah memberi kefahaman kepada para pelajar sejak dari awal persekolahan tentang hakikat masyarakat majmuk yang unik di Malaysia. Negara Malaysia adalah Negara merdeka yang dimiliki bersama oleh semua warga negara Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Semua rakyat berhak untuk menikmati kemakmuran, keamanan serta kemudahan dalam negara secara saksama. Meskipun terdapat beberapa keistimewaan yang diberikan kepada orang-orang Melayu, namun hak-hak kaum lain tidak diabaikan.

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), yang baru dilantik iaitu Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam misi 100 hari menerajui USIM menekankan tentang perkara ini. Sebagai sebuah universiti yang para pelajarnya hampir 100% berbangsa Melayu dan beragama Islam, kefahaman tentang masyarakat majmuk sememanganya sangat wajar diberikan perhatian. Akibat kurangnya pergaulan dengan bangsa dan penganut agama lain, sebahagian pelajar menganggap bangsa lain sebagai penumpang dan tidak wajar diberikan layanan sama seperti orang-orang Melayu bahkan lebih dahsyat lagi apabila melihat bangsa lain sebagai musuh yang harus diperangi dan dimusuhi. Lebih memburukan lagi keadaan apabila terdapatnya campur tangan orang-orang politik yang sering mengapi-apikan sentimen perkauman sempit untuk meraih sokongan tanpa mengira kesan buruk yang bakal menimpa rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Para pelajar haruslah diyakinkan bahawa segala apa yang berlaku di atas muka bumi ini adalah dengan kehendak Allah Yang Maha Mencipta dan Dialah yang mentakdirkan bumi Malaysia ini didiami oleh berbagai kaum dan agama. Justeru mengingkari ketetapan Allah adalah melanggar prinsip akidah Islam.
Berada di bumi yang dihuni pelbagai budaya dan agama pada hakikatnya memberi banyak faedah bagi mereka yang celik akal dan minda serta agama. Perkara ini jelas disebut di dalam al Quran di dalam surah al Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa semua manusia dicipta dari tanah dan taraf dan martabat mereka adalah sama di sisi Allah. Yang membezakan darjat mereka adalah urusan-urusan berkaitan agama.

Umat Islam sewajarnya mengambil peluang dari perbezaan ini untuk belajar dan memanfaatkan kelebihan-kelebihan yang ada pada penganut agama lain untuk diterap dan diamalkan bagi meningkatkan mutu serta nilai pencapaian mereka bukan pula memendam rasa dengki dan iri hati serta kebencian.
Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari bahawa Nabi SAW pernah menziarahi se orang pemuda Yahudi yang pernah berkhidmat kepada Baginda. Lalu Baginda duduk di sisi kepala pemuda itu lalu berkata:

“Masuklah kamu ke dalam agama Islam.” Lalu pemuda Yahudi itu melihat kepada bapanya. “Taatilah kamu kepada Abal Qasim (gelaran Nabi SAW) kata bapa pemuda Yahudi itu. Lalu kanak-kanak itu terus memeluk Islam. Setelah itu Nabi SAW lantas keluar dan bersabda: Segala pujian bagi Allah yang telah menyelamatakan pemuda itu dari azab api neraka.”

Dengan akhlak dan keperibadian sebeginilah yang menjadikan Islam tersebar luas di pelusuk bumi. Justeru, sebagai umat Islam yang kasihkan Nabi SAW, maka hendaklah kita jadikan baginda sebagai model terbaik khususnya berkaitan hubungan kita dengan masyarakat bukan Islam.

Penulisan oleh USIM Writers Pool (UWP) ini bagi menyemarakkan Misi 100 Hari Naib Canselor, YBhg. Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin.

Salam Ukhuwah dari saya. Prof Madya Dr Nik Rahim Nik Wajis +6018 356 3832 (Call/Whatsapp) / +6014 820 7111 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment