Friday, June 11, 2021

PENERBIT HARUS BERLAKU ADIL KEPADA PENULIS

PENERBIT HARUS BERLAKU ADIL KEPADA PENULIS

Prof Madya Dr Nik Rahim Nik Wajis

Presiden

Persatuan Penulis-Penulis Ebook Muslim

Antarabangsa (International Association of Muslim

Ebook Writers) – IME

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM.

“Berapa royalti yang dibayar oleh pihak penerbit ‘A’ kepada Dr untuk buku ni?” Tanya saya kepada salah seorang peserta bengkel Ebook anjuran DNR Training Academy baru-baru ini. Walaupun agak keberatan pada mulanya untuk menjawab soalan saya, namun setelah melihat saya begitu serius untuk mengetahui berapa royalti yang dibayar kepada beliau sebagai penulis, akhirnya beliau mengalah. “10% Dr. Itu pun kadang-kadang bayaran agak liat untuk dibuat” Jelas  beliau yang merupakan pensyarah berkelulusan PhD dari sebuah universiti tempatan. Sebenarnya ini bukanlah kes pertama yang saya temui. Banyak lagi keluhan yang saya dengar dari para penulis yang tidak begitu berpuasa hati dengan layanan yang diberikan kepada mereka sebagai penulis oleh pihak penerbit tidak kira penerbit picisan atau penerbit yang sudah gah namanya di persada tanah air.

Royalti sebanyak 10% adalah terlau rendah dan sangat tidak masuk akal bagi seorang penulis. Sedangkan penerbit mengaut keuntungan besar bahkan mungkin mencecah sehingga 300% dari satu-satu  buku yang diterbitkan. Tidak hairanlah jika terdapat penerbit yang kaya raya hasil dari jualan buku para penulis mereka khususnya dari kalangan ahli akademik.

Penerbit seakan mengambil kesempatan ke atas  ahli akademik yang mengejar KPI mereka saban  tahun. Mungkin mereka berpandangan bahawa para ahli akademik tidak begitu mementingkan royalti kerana apa yang mereka kejar adalah KPI. Mungkin atas sebab ini para penerbit semakin galak menekan para ahli akademik kerana dari sudut pandang mereka para ahli akademik sudah berpuasa hati dengan apa yang mereka terima.

Berdasarkan sedikit pengalaman sebagai penerbit yang menerbitkan sendiri buku yang saya tulis, antaranya buku Kenapa Saya Tidak Jadi Jutawan, kos bagi mencetak  buku jika dibuat dalam kuantiti melebihi 1,000 naskhah adalah sekitar RM6.00 sahaja. Jadi untuk mencetak 1000 naskhah modalnya adalah RM6,000. Jika semua buku ini habis dijual, maka jumlah keseluruhan jualan adalah RM30,000. Jika penulis diberikan 10% dari jumlah ini, maka   penulis hanya akan mendapat RM3,000 sahaja, sedangkan penerbit akan mendapat untung kasar sebanyak RM21,000 iaitu melebihi 300% keuntungan kasar setelah ditolak royalti kepada penulis dan kos percetakan.  Satu jumlah yang 7 kali ganda lebih besar dari yang diperolehi oleh seorang penulis.   Dengan jumlah ini, kebanyakan penulis akan berpuasa hati kerana jumlahnya boleh dikatakan banyak juga bagi seorang pensyarah. Manakala bakinya akan dikaut oleh penerbit.

Penerbit mungkin akan memberi alasan bahawa mereka yang mengeluarkan modal dan berhadapan dengan risiko kerugian. Kita boleh bersetuju dengan perkara ini, namun adalah disarankan agar mereka lebih adil dalam melayan para penulis yang menjadi sumber pendapatan dan kekayaan mereka. Membayar jumlah yang sangat kecil seakan meletakkan ilmu yang dimiliki oleh ahli akademik di tempat yang sangat rendah. Meskipun ilmu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit, namun idea, sumbangan, keringat serta usaha para penulis harus dihargai.

Justeru saya menyeru kepada semua penerbit untuk berlaku lebih adil dalam melayan para menulis agar mereka terus boleh menyumbang ilmu mereka demi ketamadunan negara dan sekaligus mengangkat kedudukan penerbit ke tahap yang lebih tinggi.

Pihak NGO seperti GAPENA perlu lebih peka dengan situasi ini begitu juga pihak kerajaan juga wajar melihat isu ini dengan lebih dekat dan jika perlu, diwujudkan kadar royalti minimum bagi  setiap penerbit untuk diberikan kepada para penulis. Ini pastinya akan melonjakkan lagi jumlah penulis yang akan tampil untuk menulis dan sekaligus akan memeriahkan lagi industri buku negara.

 


Salam Ukhuwah dari saya. Prof Madya Dr Nik Rahim Nik Wajis +6018 356 3832 (Call/Whatsapp) / +6014 820 7111 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment