Thursday, September 1, 2022

KEMERDEKAAN MALAYSIA: PAHLAWAN-PAHLAWAN YANG TIDAK WAJAR DILUPAKAN

KEMERDEKAAN MALAYSIA: PAHLAWAN-PAHLAWAN YANG TIDAK WAJAR DILUPAKAN Prof Madya Dr Nik Rahim Nik Wajis Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM. KEMERDEKAAN MALAYSIA: PAHLAWAN-PAHLAWAN YANG TIDAK WAJAR DILUPAKAN Hanya tinggal beberapa hari saja lagi, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama akan sama-sama menyambut hari ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke 65. Masa begitu pantas berlalu. 65 tahun yang lalu, pada 31hb Ogos 1957, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan kalimat keramat ‘Merdeka’ pada Upacara Pemasyhuran Kemerdekaan negara. Upacara bersejarah ini turut disaksikan oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka. Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan secara rasmi tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1957. Pemasyhuran Kemerdekaan negara tentunya diraikan dengan penuh kemeriahan. Apa tidaknya. Setelah sekian lama dijajah, rakyat Tanah Melayu akhirnya beroleh kemerdekaan. Kegembiraan mereka tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Namun usah sekali kita lupa kepada jasa dan pengorbanan para pejuang tanah air yang berjuang dengan darah dan air mata demi sebuah kemerdekaan. Sesungguhnya kemerdekaan ini disaluti dengan darah dan keringat serta kudrat para pejuang tanah air yang kini telah pergi buat selamanya. Sejarah perjuangan rakyat Tanah Melayu telah bermula sejak zaman kesultanan Melaka sekitar tahun 1400. Semasa zaman kegemilangannya, tanah jajahan Melaka meliputi sebahagian besar Pantai Timur Semenanjung Malaysia hingga ke Sumatra. Kedudukan Melaka yang sangat strategik menjadikan Melaka sebagai tumpuan pedangan-pedangan dari Timur jauh dan Asia Barat bahkan juga menarik minat penjajah untuk menjajah Tanah Melayu. Pada tahun 1511 bermulanya era penjajahan Tanah Melayu apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis. Selepas itu Tanah Melayu jatuh pula ke bawah jajahan Belanda pada tahun 1641 dan British pada tahun 1824. Sudah menjadi lumrah manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Mereka mendambakan kebebasan dan benci kepada sebarang bentuk penjajahan dan penindasan. Justeru tidak hairanlah kenapa terdapat ramai dari kalangan mereka bangkit berjuang menentang penjajahan. Antara pahlawan yang bangkit menentang penjajahan, khususnya penjajahan British adalah Dol Said. Beliau telah bangkit menentang pentadbiran British bagi mempertahankan kemerdekaan Naning. Seorang lagi pejuang yang namanya terpahat dalam sejarah perjuangan kemerdekaan adalah Haji Hassan bin Panglima Mat Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut. Beliau gugur sebagai pahlawan semasa menentang British di Kelantan. Dato' Bahaman, atau nama sebenarnya Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh juga antara nama pahlawan Melayu yang sering meniti di bibir rakyat Malaysia sebagai pahlawan ternama. Beliau adalah seorang pahlawan Melayu terkemuka di Pahang semasa zaman pendudukan British. Beliau juga merupakan salah seorang Orang Besar bagi Sultan Pahang, dan berpengaruh di kawasan Semantan, Pahang. Mat Kilau juga nama yang sering menjadi buah mulut rakyat Malaysia khususnya apabila menceritakan tentang kemerdekaan negara. Beliau merupakan seorang pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajah British di Pahang. Seorang lagi pahlawan tanah air yang turut menyumbang dalam menentang penjajahan adalah Dato Maharajalela. Beliau adalah individu yang merancang dan membuat pakatan untuk membunuh J.W.W Birch, Residen British Perak. Beliau dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 20 Januari 1877 di Taiping., Satu lagi individu yang turut sama berjuang bagi mencapai kemerdekaan adalah Rosli Dhobi (18 Mac 1932–2 Mac 1950). Beliau merupakan seorang pejuang kemerdekaan Sarawak. Beliau berketurunan Melayu, berdasarkan darah bapanya yang berketurunan Palembang manakala ibunya berketurunan Melayu Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949. Selepas beberapa bulan dalam penjara di Kuching, Rosli akhirnya mati di tali gantung pada 2 Mac 1950. Seorang lagi pejuang kemerdekaan yang tidak patut dilupakan adalah Rentap. Meskipun nama beliau tidak segah Mat Kilau atau Dato Bahaman, namun jasa beliau dalam perjuangan menentang penjajahan tidak wajar dilupakan. Rentap adalah merupakan seorang pahlawan Dayak (Iban) terkenal dalam sejarah Sarawak. Dia merupakan salah seorang pemimpin penentang kepada pemerintahan Raja Putih James Brooke. Pahlawan seterusnya yang tidak wajar dilupakan adalah Datu Paduka Mohammad Salleh bin Datu Balu atau lebih dikenali sebagai Mat Salleh. Beliau merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam penentangan terhadap penjajahan British di Sabah. Beliau memang terkenal dengan sifat kepahlawanan dan keberanian berperang. Beliau dikatakan pernah dilantik menjadi Wakil Kesultanan Sulu di Sungai Sugut dan daerah Tambunan ialah sebahagian daripada daerah di bawah kekuasaannya. Turut tidak wajar dilupakan adalah Leftenan Adnan Saidi yang telah terkorban semasa mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan tentera Jepun. Pertempuran di Bukit Candu yang terletak di Pasir Panjang, Singapura itu menyaksikan gugurnya seorang perwira Melayu yang begitu digeruni oleh musuh. Sebaik tentera Jepun berundur Parti Komunis Malaya pula cuba mengambil alih pentadbiran Tanah Melayu. Mereka menggunakan kekerasan dengan membunuh dan melakukan keganasan. Namun PKM gagal dalam usaha mereka. Akhirnya British kembali menguasai Tanah Melayu. Pada 1hb April 1946, pihak British telah menubuhkan Malayan Union dan ini telah menimbulkan kemarahan rakyat Tanah Melayu pada ketika itu kerana pihak British telah merampas hak dan menghapuskan sistem monarki dan juga hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu. Akhirnya British telah bersetuju untuk menyerahkan pentadbiran Tanah Melayu kepada rakyat Tanah Melayu sendiri. Dengan gabungan 3 etnik utama rakyat Tanah Melayu yang terdiri dan Melayu, China dan India, akhirnya satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian London telah dimeterikan pada 8hb Februari 1956 dan dalam perjanjian tersebut tanah Melayu adakan memperolehi kemerdekaan pada 31hb Ogos 1957. Sesungguhnya kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini terlalu mahal harganya. Ia adalah hasil dan natijah dari pengorbanan dan perjuangan serta penentangan yang tidak putus-putus dari para pejuang ke atas penjajah. Sebahagian nama mereka disebutkan dalam artikel ini dan masih ramai tidak disebutkan. Jasa dan pengorbanan mereka pastinya akan terus kekal dalam lipatan sejarah kemerdekaan tanah air dan tidak wajar sama sekali dilupakan. Sebagai menghargai jasa para pejuang ini, pihak kerajaan wajar mengabadikan nama mereka dalam berbagai bentuk antaranya menggunakan nama-nama mereka untuk jalan-jalan utama negara, bangunan-bangunan bersejarah dan lain-lain. Selain dari itu pihak kerajaan juga wajar menyalurkan bantuan kewangan khususnya bagi mereka yang memerlukan dan lain-lain bantuan kepada anak cucu para pahlawan ini sebagai menghargai jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh datuk nenek mereka. Juga menjadi satu kewajaran bagi pihak kerajaan untuk meraikan anak cucu pahlawan tanah air dalam satu majlis yang gilang gemilang bagi mengimbau kembali sejarah perjuangan generasi terdahulu. Keluarga Malaysia Teguh Bersama Ke 65 Salam Ukhuwah dari saya. Prof Madya Dr Nik Rahim Nik Wajis +6018 356 3832 (Call/Whatsapp) / +6014 820 7111 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BELI EMAS RM10 DI QUANTUM METAL? BIAR BETUL....

  Prof Madya Dr Nik Rahim Nik Wajis  Founder DNR Gold Team Salam sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tingg...