Sunday, January 15, 2023

KABINET PERPADUAN NASIONAL (KPN) RUMAH SUDAH SIAP PAHAT MASIH BERBUNYI

KABINET PERPADUAN NASIONAL (KPN)

RUMAH SUDAH SIAP PAHAT MASIH BERBUNYI

OLEH

PROF MADYA DR NIK RAHIM NIK WAJIS 

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

 


Berakhir sudah siri penantian seluruh rakyat Malaysia. Penantian pertama yang cukup mendebarkan adalah keputusan PRU15 yang berlangsung pada 19hb November 2022 yang lalu. Seperti yang dijangkakan oleh ramai penganalisis politik, tidak ada satu parti pun yang berjaya membentuk kerajaan. Pakatan Harapan  (PH) hanya memperolehi 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 kerusi, GRS 6, Warisan 3, Bebas 2, manakala PBM dan KDM masing memenangi 1 kerusi.

Penantian kedua yang tidak kurang mendebarkan adalah pembentukan kerajaan yang bermula dengan langkah melantik Perdana Menteri. Terdapat 3 calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili PN dan Datuk Seri Ismail Sabri mewakili BN. Bagi membentuk kerajaan, mahu tidak mahu perlu ada persepakatan di antara parti-parti politik bagi mendapatkan sekurang-kurangnya 112 kerusi bagi memperolehi majoriti mudah dan seterusnya membentuk kerajaan. Namun jalan yang dilalui kelihatan amat sukar. Berbagai pihak mendakwa masing-masing telah mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan, namun mereka gagal membawa bukti yang kukuh ke hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (YDPA). Oleh kerana semua parti gagal mendapat sokongan yang mencukupi, semua pemimpin utama parti telah dipanggil mengadap. Baginda mencadangkan agar diwujudkan satu persepakatan dalam membentuk satu kerajaan perpaduan yang menggabungkan parti-parti politik meskipun yang berlainan dari sudut ideologi serta pendekatan mereka demi kemaslahatan rakyat dan negara.   Namun cadangan dari Baginda YDPA telah ditolak oleh Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin atas alasan tidak mahu mengorbankan prinsip perjuangan dan tidak mungkin akan bersama dengan gabungan yang ada DAP di dalamnya. Meskipun tindakan ini dilihat sebagai satu bentuk penderhakaan kepada YDPA, namun kita harus menghormati keputusan yang dibuat oleh PN kerana mereka tegas mempertahankan prinsip perjuangan mereka.

BN yang pada awalnya memberi gambaran akan memberikan sokongan kepada PH akhirnya membuat keputusan tidak akan menyertai mana-mana gabungan dan bersedia untuk menjadi pembangkang yang berwibawa. Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.   Keputusan untuk tidak menyertai mana-mana gabungan oleh BN  menyebabkan ‘hung parliament’ atau Parlimen tergantung tidak dapat dihentikan. Keadaan ini tidak harus dibiarkan berlarutan dalam tempoh yang lebih lama kerana ia akan memberi impak yang besar kepada ekonomi dan kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat jelata. Justeru, YDPA telah memanggil mengadap pimpinan tinggi BN dan menitahkan agar BN bergabung dengan mana-mana parti gabungan demi kemaslahatan dan keharmonian rakyat dan negara. Baginda YDPA juga telah memanggil mesyuarat khas Majlis Raja-Raja bagi membincangkan siapakah calon yang paling layak untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10.

Akhirnya, dengan kehendak Allah SWT dan kebijaksanaan YDPA serta Raja-Raja Melayu, selepas 5 hari berlalu, sebuah KPN terbentuk apabila BN bersetuju untuk bergabung dengan PH. Demikianlah berakhirnya satu penantian dan satu drama yang amat mendebarkan. Lebih mendebarkan adalah bagi YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10 setelah hampir suku abad menanti saat ini.

 Berlalu sudah dua penantian yang sangat mendebarkan. Namun ada satu lagi penantian yang turut menjadi perhatian rakyat iaitu pengumuman barisan kabinet perpaduan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Benar sekali, penantian itu satu yang menyiksakan. Kali ini pemilihan barisan kabinet amat rumit kerana PH yang mempunyai kerusi terbesar tidak boleh bertindak bebas melantik barisan menteri kabinet. Ini kerana mereka tidak mempunyai kerusi majoriti yang membolehkan mereka berbuat demikian. Pemilihan Menteri kabinet ditentukan sendiri oleh parti-parti gabungan dalam KPN. 

Penantian ketiga akhirnya tiba ke penghujungnya apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan kabinet KPN. Berbagai reaksi diberikan oleh para penganalisis politik. Ada yang menyokong, namun ramai pula yang mengkritik. Netizen juga tidak kurang hebatnya dalam memberikan pandangan mereka masing-masing. Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara pemimpin politik yang mengkritik keras barisan kabinet KPN. Beliau menyifatkan barisan kabinet yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim amat mengecewakan kerana memasukkan kleptokrat dalam senarai jemaah Menteri. Namun kritikan beliau telah dijawab segera oleh Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil. Beliau melahirkan rasa kecewa dengan serangan yang dibuat terhadap Perdana Menteri. Beliau menjelaskan bahawa perlantikan menteri selain dari gabungan PH bukan dibuat oleh Perdana Menteri, akan tetapi dibuat oleh parti-parti gabungan.

Apapun kritikan dan tohmahan yang dilemparkan kepada kabinet yang dibentuk hasil dari permuafakatan parti-parti gabungan KPN, tindakan segera harus dilakukan. Kesetiaan dan komitmen semua parti gabungan dalam KPN mesti terus kukuh dan tidak mudah runtuh dan terburai dek tawaran-tawaran dunia yang menggiurkan. Kepentingan rakyat dan negara perlu diberi keutamaan. Rakyat dahagakan perubahan dan pembelaan. Kos sara hidup yang tinggi menghimpit kehidupan mereka. Tindakan pantas harus dilakukan. Masa untuk berbulan madu dan berpolitik sudah berakhir. Kini adalah masa untuk menabur bakti kepada rakyat yang telah memberikan kepercayaan. Usah diulang kesilapan lalu kerana umat Islam tidak harus jatuh ke dalam lubang yang sama sebanyak dua kali.

Bagi rakyat pula, mereka harus berikan sokongan terhadap usaha-usaha yang bakal dilakukan oleh pihak KPN yang baru ditubuhkan. Cukuplah membakar api kebencian antara kaum dan agama. Kita semua rakyat Malaysia meskipun berbeza dari sudut agama dan bangsa. Berilah peluang kepada barisan kabinet KPN yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana apa sahaja yang mereka lakukan, kita semua sebagai rakyat akan menikmatinya meskipun kita tidak mengundi atau menyokong mereka. Sokongan dan dokongan dari rakyat  akan memudahkan urusan pihak kerajaan melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab dengan lebih efektif dan efisien. Usahlah menjadi seperti pepatah Melayu – Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi.


Salam Ukhuwah dari saya. Prof Madya Dr Nik Rahim Nik Wajis +6018 356 3832 (Call/Whatsapp) / +6014 820 7111 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Salam sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak hairanlah sejak sekian lama, emas di...