Sunday, September 17, 2017

Tragedi Kebakaran: Takdir atau Kecuaian Manusia

Oleh

Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia

Sedih dan Tragis! Itulah ungkapan yang mampu diucapkan. Kebakaran yang berlaku di   Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di awal pagi Khamis 14hb September 2017 amat menusuk kalbu. Lebih 20 jiwa suci terkorban. Secara zahirnya kita boleh mengatakan bahawa itu semua adalah qadha dan qadar yang telah termaktub sejak azali dan kita sebagai se orang yang beriman, harus akur tanpa soal dan menerimanya dengan redha akan ketentuanNya.
Namun tidak salah untuk meneliti sebab dan punca yang membawa kepada mala petaka ini. Artikel  ini tidak bermaksud untuk menuding jari atau mencari kesalahan mana-mana pihak kerana itu semua tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi. Nyawa anak-anak yang terkorban juga mustahil dapat dikembalikan.

 Apa yang ingin dikongsikan di sini adalah dari aspek  punca kenapa peristiwa tragis seperti ini berlaku dan bagaimana kaedah terbaik yang boleh dilakukan oleh semua pihak sebagai satu langkah berjaga-jaga agar peristiwa hitam seperti ini tidak berulang kembali.
Berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Soiman Jahid,  pemeriksaan awal mendapati bahawa  pusat tahfiz itu belum mendapat kelulusan pihak berkuasa. Ini bermaksud pusat tahfiz tersebut beroperasi secara ‘haram’. Haram di sini bukan bermaksud haram dari sudut hukum tetapi dari sudut perundangan.
Mungkin ada yang mengatakan bahawa adalah tidak adil untuk melabelkan sebuah pusat tahfiz seperti itu kerana di situlah tempatnya anak-anak diajar mengaji, menghafaz dan memahami ayat-ayat Allah. Namun kita harus sedar bahawa dengan menjalankan operasi pusat tahfiz secara ‘haram’ ia akan mengundang banyak risiko antaranya adalah risiko kebakaran seperti yang telah berlaku. Persoalannya, apakah al Quran mengajar umatnya agar lalai dan cuai dalam menguruskan sesuatu? Jawapannya pasti tidak. Justeru, pihak yang mengendalikan mestilah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa manakala pihak berwajib pula  haruslah bertindak lebih tegas demi menyelamatkan nyawa anak-anak yang tidak berdosa, kerana melindungi nyawa adalah salah satu dari maqasid Syariah yang penting di dalam Islam.
Di dalam kenyataan yang sama oleh pihak bomba juga menyebutkan bahawa kemungkinan punca kebakaran adalah disebabkan litar pintas dan gegelung ubat nyamuk. Meskipun ini mungkin bukanlah punca sebenar yang membawa kepada tragedi ini, namun aspek ini wajib diberi perhatian. Kebakaran yang berpunca dari gegelung ubat nyamuk bukan kali pertama berlaku. Namun ramai yang tidak memberi perhatian serius. Bak kata pepatah, sudah terhantuk baru tengadah!
Mungkin akibat Kekurangan dana, maka banyak pusat-pusat tahfiz pesendirian menggunakan khidmat pendawaian dari mereka yang kurang profesional bagi menjimatkan kos. Akibatnya banyak kes yang membawa kebakaran disebabkan oleh pendawaian yang tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan dan akhirnya membawa bencana yang sepatutnya boleh dielakkan. Menurut kenyataan dari pihak bomba juga, pusat tahfiz tersebut juga  tidak mempunyai peralatan memadam kebakaran. Ini juga boleh dianggap kecuaian yang sepatutnya dielakkan.
 Meskipun kita tidak menafikan keikhlasan para pemilik pusat-pusat tahfiz untuk memertabatkan Al Quran, namun sebagai pemilik yang diamanahkan oleh ibu bapa, perlulah lebih bertanggungjawab bukan hanya sekadar mendidik dan mengajar mereka dengan ajaran-ajaran al Quran, tapi dalam masa yang sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Takziah kepada semua ibu bapa dan keluarga anak-anak yang terkorban, moga Allah meletakkan anak-anak tersebut di dalam syurga penuh kenikmatan. Ameen!

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6018 3563 832 Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia

Bagaimana Tercapai Kemerdekaan Hakiki



Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6018 3563 832 Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...