Monday, March 21, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 13)




Al KISAH BERSAMA ‘GANGSTER KL”
Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa. Ameen!
Menyambung bicara kita tentang buruknya tabiat suka berhutang, kali ini saya cuba bawa anda semua untuk melihat betapa buruk dan ruginya akibat dari berhutang khususnya yang melibatkan institusi kewangan dan lebih parah kalau melibatkan ALONG! Na’uzubillah min zalik!
Saya yakin rata-rata dari kita ada buat loan kereta. Dan saya berani mengatakan bahawa 80% daripada kereta yang ada di atas jalanraya sekarang ini adalah ‘kereta bank”. Apa tidaknya, setiap kereta yang dipinjam melalui bank, anda tidak punya hak milik mutlak. Dari segi undang-undang, kenderaan anda boleh ditarik bila-bila masa selepas 2 bulan 21 hari, anda tidak membuat ansuran bulanan. Saya mempunyai pengalaman yang amat memeritkan sekitar tahun 2007 sebaik pulang dari Miri Sarawak setelah perniagaan takaful dan wasiat tidak menjadi. Bisnes yang saya usahakan selama kira-kira 2 tahun terpaksa ‘bungkus’.
Kereta yang saya ‘ambil alih’ pembayarannya dari kekanda saya iaitu kereta Produa Kembara tiba-tiba hilang! Siasat punya siasat, rupanya kereta tersebut telah ditarik oleh bank dan akhirnya dilelong. Apa yang menyedihkan saya, ialah kereta itu adalah milik kekanda saya Poknik. Dan tambah menyedihkan apabila kereta tersebut hanya tinggal 2 bayaran sahaja lagi untuk dilangsaikan. Tapi apa nak buat, dah nasib badan!
Kes ‘tarik’ yang lebih dramatik saya alami tidak lama selepas itu iaitu kereta yang saya ‘ambil alih’ pembayarannya dari se orang saudara kepada sahabat baik saya. Saya tidak menyalahkan mereka. It was my fault! Saya yang salah sebab gagal membuat bayaran bank seperti yang sepatutnya. Bukan saya tidak mahu atau sengaja mengingkari perjanjian dengan pemilik asal kereta tersebut, tetapi krisis kewangan yang menyerang bertubi-tubi membawa kepada keadaan itu berlaku. Sahabat semua pasti masih ingat tentang habit buruk saya yang suka bebelanja? Ya! Ini adalah salah satu dari kesannya. Memang parah!
Berbalik kepada kisah penarikan kereta penuh dramatik tersebut, saya didatangi oleh tuan punya kereta dengan begitu bengis sekali. Beliau datang membawa ‘gangster’ ke rumah saya. Lelaki berbadan gelap dan berkulit sawo matang memang kelihatan begitu menggerunkan. Saya hanya berserah kepada takdir. Melihat cara kedatangan mereka, saya dapat merasakan bahawa suatu yang buruk pasti akan berlaku. Saya tidak fikir mereka datang untuk berbincang dan berunding. Saya cuma mampu berdoa dan pasrah kepada Allah. Kalau ditakdirkan saya dipukul dan dicederakan, maka saya pasrah sebab saya memang tidak mampu untuk melawan!
“Ya Allah selamatkan diriku yang lemah ini dari segala mala petaka dan keburukan dari menimpa diriku” Saya terus berdoa dan merayu kepada Allah. Saya benar-benar pasrah. Saya melihat isteri dan anak-anak begitu gementar sekali. Muka mereka pucat lesi. Kaku dan tidak berkata apa-apa. Mereka meminta kunci dari saya dan mengambilnya dengan kasar sekali. Tiada lagi rasa hormat kepada orang yang lebih tua, bengis seperti singa yang kelaparan. Lupa bahawa saya adalah kawan baik kepada saudaranya.!
“Apa masalah ni? Tanya lelaki gempal kepada saya dengan bengis sementara pemilik kereta memeriksa kereta. Mengoyak dengan ganas sekali stiker bisnes yang saya tampal pada bonet kereta Wira berwarna hitam itu. Saya tunduk dan diam buat seketika. Darah gemuruh mengalir deras seluruh tubuh saya. Rasa sejuk seluruh anggota. Badan rasa tidak bermaya. Perlahan saya menjawab. “Dik, abang mintak maaf banyak-banyak. Memang abang akui, ini salah abang sebab dah dua kali tidak bayar hutang kereta dekat bank. Tapi Percayalah, abang bukan sengaja buat macamtu. Abang memang langsung tak ada duit untuk bayar hutang kereta ni. Makan minum anak-anak kat rumah pun tak cukup. Kalau adik nak amik kereta ni, amiklah.” Kata saya sambil menundukkan muka dengan nada yang paling lembut. Suara saya bergetar-getar. Tidak pernah saya rasa seperti ini sepanjang hidup saya dan tidak pernah ada orang melayan saya seburuk dan sebengis ini.
“OO…begitu ceritanya! Jawab lelaki ‘sado’ tersebut. Agak lembut suaranya. Saya agak terkejut dengan cara dia bercakap sebab semasa mula-mula datang tadi macam nak menerkam saja. “Oklah bang, saya faham dengan situasi abang. Saya pun bila tengok muka abang ni tak sampai hati nak buat apa-apa. “ katanya semacam simpati melihat saya yang sejak tadi dalam kegelisahan.
Allahu Akbar! Ya Allah…tidak dapat saya gambarkan betapa lega perasaan saya bila lelaki tersebut berkata demikian. Dalam hati saya berbisik, walaupun muka bengis, tapi ada juga unsur-unsur kebaikan dan kelembutan dalam dirinya. Bagus juga ada muka ‘kesian’. Mungkin juga berkat doa ayahnda bonda, isteri dan anak-anak yang tidak putus-putus berdoa! Terima kasih untuk insan-insan tercinta ini!
Saya menghulurkan tangan kepada lelaki tersebut dan sekali lagi memohon maaf tentang apa yang berlaku. Saya juga memohon maaf kepada pemilik kenderaan tersebut atas segala kesusahan yang terpaksa beliau hadapi. Tapi ternyata, perasaan amarahnya tidak dapat dibendung lagi. Tanpa sepatah kata, dia menghidupkan enjin kereta tersebut dan terus memecut pergi!
Jadi Wahai para sahabatku!
Jika anda semua mampu untuk mengelakkan diri dari terjerumus ke dalam lembah ‘hutang’ elaklah sebab hutang membawa padah yang buruk kepada anda dan keluarga anda. Biarlah pengalaman yang saya lalui menjadi pengajaran kepada anda semua!
Wassalam
“Saya mahu anda jadi Jutawan dengan tips yang saya kongsikan.”
Artikel ini boleh juga anda baca di ~ www.drnikrahim.com ~
‘JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Nilai, Negeri Sembilan
Isnin 21 Mac 2016 / 12 Jamadil Akhir 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 12)


ANDA SUDAH BERUSAHA BERJIMAT TAPI MASIH BELUM MELIHAT NATIJAHNYA?
Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa. Ameen!
Mungkin ramai di antara pembaca yang mengalami keadaan seperti ini. Dah buat macam-macam. Dah cuba adjust sana-sana sini. Dah potong perbelanjaan yang tidak perlu, tapi amat mengecewakan....masih belum dapat melihat extra money...
Berdasarkan kepada pengalaman saya, ini adalah petanda bahawa perbelanjaan anda sememangnya tidak seimbang dengan pendapatan yang anda perolehi. Anda akan selalu berada dalam keadaan defisit. Belanja lebih dari income...bukan anda mahu sebegitu tapi sememangnya sudah ditakdirkan.
Sebagai contoh anda pendapatan cuma RM2,000 tapi anda memang perlukan perbelanjaan asas sebanyak RM2,500 sebulan. Jadi anda akan sentiasa berada dalam keadaan defisit setiap masa.
So what to do? Untuk selesaikan kemelut ini? Ada yang terpaksa berhutang dan meminjam sana sini. Ada yang menggunakan kad kredit untuk menampung kekurangan dan tidak kurang pula yang terpaksa meminjam dengan Along. Akhirnya anda bukan menyelesaikan masalah tapi menambah lagi masalah. Ketahuilah bahawa hutang pembawa kekusutan kepada pemikiran anda. Menjadikan anda se orang yang amat kecil dan kerdil pada pandangan pemberi hutang. Mereka kejar dan buru anda. Mereka buru dan ugut anda dengan berbagai ugutan walaupun anda berhutang dengan institusi perbankan yang berasaskan Islam. Ya..walaupun anda berurusan dengan perbankan Islam. Saya punya pengalaman yang cukup pedih dan rasanya untuk berurusan dengan bank yang sama. Biarlah menjadi rahasia saya, bank mana yang saya maksudkan...
Anda kena faham...bank, atas apa namanya....atas apa sistemnya Islamic atau bukan Islamic..matlamatnya mencari laba dan keuntungan semaksima mungkin. Bank bukan badan kebajikan. Bank tak akan layan orang miskin yang tak mampu melunaskan hutang yang dipinjam. Bank memang tidak berperi kemaknusiaan jika anda gagal membayar hutang mereka. Mereka cuma berhenti memburu anda setelah semua hutang anda dengan mereka dilangsaikan. Bank tidak peduli walaupun anda terpaksa merempat di kaki lima kerana rumah anda dilelong oleh mereka.
Jadi elakkan berhutang kecuali jika anda betul-betul yakin boleh membayarnya dalam tempoh yang dipersetujui bersama. Jangan guna kredit kad kerana ini akan menimbus anda hidup-hidup. Jangan tertipu dan terpedaya dengan tawaran penuh muslihat dari pihak bank yang membenarkan anda membayar hanya 5% sahaja dari jumlah kredit yang anda gunakan kerana 5% yang bayar adalah interest sahaja manakala hutang sebenar anda masih ditakuk sama tanpa sebarang perubahan.
Anda akhirnya bekerja siang dan malam semata-mata untuk mengayakan bank. Tidak hairan mengapa bank-bank besar seperti Maybank, Public bank dan lain-lain mengaut untung sehingga melebihi RM1billion pada setiap tahun. Keuntungan itu sebahagian besar adalah terhasil dari interest yang dikenakan kepada anda. Usah merasa seronok bila hanya perlu bayar 5% sebulan kerana anda sebenarnya sedang diperdaya oleh pihak bank tanpa anda sedari....
Wassalam
~ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Gombak Selangor ( Dalam perjalanan menaiki bas dari Jerantut ke KL)
20 Mac 2016
Anda juga boleh meMbaca tulisan saya di ~www.drnikrahim.com

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 11)


Salam sahabat semua...alhamdulillah kita bertemu sekali lagi. Moga anda telah menghadam semua tips yang saya kongsi sebelum ini.
Dalam siri yang lalu saya telah kongsikan salah satu elemen utama dan paling penting untuk jadi kaya @jutawan iaitu berjimat cermat iaitu dengan cara mengawal gejolak nafsu ingin berbelanja secara melampau dan berlebihan. Percayalah...jika anda sudah mampu mengawal nafsu dari berbelanja dalam perkara-perkara yang TIDAK PENTING maka pastinya secara perlahan-lahan anda akan melihat suatu yang amat mengejutkan anda.....for the 1st time...anda dapati ada lebihan dari duit gaji atau pendaptan bulanan anda! tahniah! Anda telah berjaya mengharungi ujian yang pertama dan bersedialah untuk menghadapi langkah-langkah seterusnya menuju singgahsana kegemilangan sebagai se orang jutawan.
Mungkin ada dari anda yang sedang struggle dan berjuang untuk mengawal perbelanjaan..tapi masih belum menampakkan hasilnya...belum nampak exra money apabila sampai di hujung bulan.
Jangan putus asa. Cuba lagi. Dont Give up! kerana road to millionaires club dipenuhi dengan ranjau dan duri. Tidak mengapa untuk bersusah payah dahulu kerana pastinya akan anda kecapi kemanisannya kemudian hari. Jangan Lupa pesan Allah di dalam al Quran:
" Sesunguhnya bersama kesukaran itu ada kesenangan."
Kata orang, bukan senang nak hidup senang.
Malam tadi saya bepesan kepada salah se orang anak saya - Nik Amru Al Aass bersama se orang sahabat baiknya Zakuan.
" Biar susah sikit semasa muda. Semasa muda kita masih sihat, masih banyak kudrat, masih bebas ke sana ke mari mencari rezki kerana belum ada banyak komitmen. Berjimat semasa muda. Jangan boros sebab akibat dari keborosan, akan membawa seribu satu macam kesengsaraan semasa usia merangkak senja. Di kala tubuh semakin lesu tidak bermaya, kesihatan semakin meruncing, komiment kewangan tinggi menimbun..jika di saat ini jika masih terpaksa membanting tulang...memang sungguh malang....".
Moga kedua-dua anak ini mampu mengawal diri dari terjerumus ke lembah 'keborosan' ameen!
Bagi mereka yang merasakan begitu sukar untuk berjimat cermat kerana budget cukup-cukup saja bahkan kerap kali budget sudah kering kontang sebelum gaji bulan berikutnya keluar...cuba duduk sekali lagi bersama pasangan masing-masing dan berbincang.
Untuk berjaya dalam merancang penjimatan keluarga, mesti ada persepakatan dari pasangan masing-masing bahkan kadangkala perlu melibatkan anak-anak juga. Mustahil untuk berjaya berjimat cermat kalau hanya suami yang melakukannya sedang isteri pula mempunyai "high taste" dan demand itu dan ini tanpa melihat kepada kemampuan suami. Begitu juga sebaliknya. Kalau isteri begitu berhati-hati dalam berbelanja, suami pula habiskan wang di tempat yang tidak berfaedah seperti merokok, vaping dan seumpamanya, maka sukar juga untuk berjaya. Jika kedua-dua pasangan sudah bersatu hati, masing-masing bertekad untuk mengentikan tabiat buruk dalam berbelanja, ianya masih belum menjamin kejayaan pasangan tersebut untuk berjimat dan menabung jika anak-anak pula 'hantu shopping'. Pendek kata, anak-anak juga perlu dididik menghargai setiap sen wang yang diperolehi. Ajar mereka cara untuk berjimat cermat. Berikan gambaran dan matlamat yang jelas kenapa perlu berjimat. Tunjukkan kepada mereka gambaran kehidupan yang lebih bahagia dan ceria di masa-masa akan datang hasil dari penjimatan yang dilakukan. Jika ini berjaya drealisasikan, insya Allah...tugasan untuk berjimat cermat pastI menjadi amat mudah. Semudah anda berbelanja!
Bagi mereka yang masih belum nampak hasil selepas berusaha gigih mengurangkan perbelanjaan, cuba tuliskan di atas sehelai kertas jumlah gaji bersih yang anda dan pasangan terima setiap bulan. Listkan pula komitmen bulanan anda seperti bayaran ansuran rumah atau sewa, ansuran kereta, bayaran yuran persekolahan anak, bayaran gaji amah, bil air dan letrik dan lain-lain perbelanjaan. Selepas itu anda buatkan dua list berasingan. List pertama untuk bayaran wajib dilakukan dan List kedua bayaran untuk perkara-perkara yang tidak wajib seperti Astro! bukan tidak wajib bayar , tapi tidak wajib ada di rumah anda khususnya jika kewangan anda sememangnya dalam keadaan parah! Rumah saya sudah bertahun-tahun tidak ada Astro tapi kehidupan kami sekeluarga tetap ceria dan bahagia. Jika anda rasa Astro itu penting, berikan saya 10 hujjah. Jika anda berjaya membawa hujjah yang meyakinkan, maka anda boleh teruskan, jika tidak hentikan saja perkhidmatan astro anda atas nama penjimatan. Anda screen satu persatu List kedua anda dan nilai setiap satu dari sudut kepentingannya. Jawablah dengan ikhlas kerana anda sedang melalui saat genting dalam mengurus kewangan rumahtangga anda.
Jika masih belum juga mampu melihat hasilnya...tidak mengapa..saya akan berikan anda tips yang lain pula insya Allah di siri-siri yang akan datang.
"Saya mahu anda jadi jutawan melalui tips yang saya kongsikan"
Wassalam
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Batu 35 Batu Balai Jerantut Pahang.
20 Mac 2016
Anda juga boleh membaca tulisan-tulisan saya di www.drnikrahim.com

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? - PART 10


4 TIPS GERENTI KAYA YANG TIDAK SAYA LAKUKAN
Salam sahabat yang dikasihi...selamat bertemu kembali. Terima kasih kerana terus membaca perkongsian dari saya. Jika anda rasa tulisan ini bermanafaat untuk anda, kenapa tidak anda share dengab sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh sesuatu yang berguna untuk dijadikan panduan dan landasan dalam hidup bagi mengharungi rona-rona kehidupan yang amat mencabar ini.
Sahabat yang dikasihi.
Berdasarkan kepada pengalaman saya yang hanya sekelumit ini, terdapat 4 rukun utama untuk jadi kaya @jutawan. Mungkin ada pembaca akan bertanya, kalau tak buat macamana nak share? Sebenarnya keempat-empat tips di atas memang telah saya lakukan dan saya punyai sedikit sebanyak pengalaman di dalamnya. Cuma apa yang malang...ianya saya lakukan selepas 'kejatuhan' saya dari singgahsana kemewahan yang pernah saya duduki. Tentu sekali impaknya jauh berbeza jika saya lakukan semuanya itu semasa berada di puncak.
Rukun pertama ialah BERHEMAH BILA BERBELANJA ATAU BERJIMAT CERMAT.
Rukun ini telah lumat kita bicarakan di dalam episod-episod yang lalu. Cuma saya ingin menambah beberapa point penting bagi memantapkan lagi keberkesanan tips yang saya kongsikan sebelum ini dengan sahabat semua.
Kenapa Kita Sering berbelanja lebih dari keperluan (boros)?
Di antara sebab kenapa kita berbelanja lebih dan kadangkala melampau adalah kerana orang lain. Ya..kita berbelanja lebih kerana orang lain dan bukan untuk diri kita sendiri. Jika anda bukan jenis spesis sebegini anda patut bersyukur kerana di luar sana ramai sekali yang tergila-gila mendambakan pujian dan sanjungan orang lain.
Gila glemer..gila publisiti murahan!
Bila ke restoran kadangkala orang jenis ini sengaja pesan makanan yang mahal-mahal supaya dilihat orang dia se orang yang hebat dan berada. Bila membeli pakaian, ianya dilakukanya dengan matlamat untuk bermegah-megah dengan kawan-kawan sepejabat atau sekeliling mereka. Lalu dibeli pakaian berjenama yang berharga ratusan ringgit bahkan mungkin mencecah ribuan ringgit... Bila beli rumah maka dibeli rumah yang mewah walaupun mereka sedar bahawa ianya akan membebankan diri mereka sendiri di kemudian hari. Namun glemer punya pasal dibutakan mata...dipekakkan telinga dari mendengar nasihat orang lain di samping kononnya untuk menjaga status dan kedudukan kerana bimbang dikatakan tiada standard dan lain-lain lagi. Bila membeli kenderaan pula dibeli kenderaan melebihi keperluan demi untuk menjaga status sebagai se orang pegawai kerajaan atau seumpamanya. Bila bercuti, maka lokasinya pasti ke luar negara. Bukan untuk kepuasan diri dan keluarga tapi semata-mata untuk menunjuk-nunjuk dan bermegah pada tetangga dan rakan taulan.
Betapa tidak bernilainya hidup kita jika membiarkan orang lain menguasai hidup kita secara 'remote control'. Orang yang berada di luar sana sebenarnya tidak peduli pun apa makanan yang kita makan, apa jenama pakaian yang kita pakai, apa kereta yang kita pandu, berapa mahal rumah yang kita diami, di mana kita pergi bercuti. Kita saja yang PERASAN orang memerhatikan dan memberi perhatian kepada kita.
Kalaupun ada yang memberi perhatian ia hanya untuk seketika. Kala kita membeli kenderaan baru yang mewah, pakaian baru yang berjenama dan lain-lain, berapa kali kita akan bercerita dengan kawan-kawan dan sahabat kita? Mungkin hanya sekali. Kita tak mungkin mengulangi cerita yang sama setiap hari kerana ia boleh memualkan sahabat kita. Jadi perhatian yang kita mahu sebenaranya adalah satu yang tidak kekal. Namun kesan dari sikap suka berlagak sombong dan riak ini selain ianya adalah dikutuk oleh agama, ia juga adalah faktor penyebab kepada kemusnahan cita-cita kita untuk menjadi jutawan. 'PERSETANKAN apa orang kata. SAYA TIDAK PEDULI apa orang kata. This is my life and I am in control of my life! ini kekuatan saya. Prinsip saya - saya tidak ambil pusing dengan apa orang lain kata. Selagimana apa yang saya buat adalah betul mengikut hukum syara' dan undang-undang, saya akan buat. Saya lebih tau dan arif dengan hidup saya, dengan tuntutan kewangan saya, tentang komitmen kewangan saya dan lain-lain. Jika saya senang, itu adalah kehidupan saya dan jika saya tersungkur gugur ke bumi, itu juga adalah hidup saya. Saya tahu tidak ada sesiapa yang akan mengulurkan tangan untuk membantu kecuali kaum keluarga, anak cucu, jiran tetangga dan mereka yang mengenali saya.
Jadi usah fikir tentang apa yang orang lain kata tentang anda. Hidup anda, andalah yang menentukan haluan dan hala tujunya.
Wassalam
Bersambung.....
~ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Stesen Bas Pekeliling. KL.
19 Mac 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? – PART 9


AL KISAH TENTANG SE ORANG JUTAWAN YANG KEDEKUT DAN BAKHIL
Salam sahabat yang dikasihi kerana Allah…
BERDASARKAN Kepada pengalaman cetek saya, terdapat beberapa asas perkara yang WAJIB dilakukan jika mahu jadi kaya @jutawan. Perkara-perkara asas ini jika berjaya dilakukan saya berani jamin, anda akan jadi orang kaya – mengikut standard anda. Saya kena sebut –standard- di sini sebab kita kena faham bahawa Allah menjadikan kita ni berbeza. Mana mungkin orang yang gajinya RM1,000 akan sama-sama jadi kaya seperti orang yang berpendapatan RM10,000 sebulan dan nilai harta dan assetnya juga sama!. This cannot be! Kita kena berpijak di bumi nyata. Walaupun kita mungkin berjaya membujuk diri untuk berjimat cermat dan menabung, pastinya orang yang bergaji ciput tidak mungkin dapat menabung dalam jumlah yang sama dengan mereka yang bergaji puluhan ribu atau ratusan ribu sebulan. Tapi – BERJIMAT CERMAT – adalah prinsip asas yang semua orang wajib memegangnya kerana ini asas untuk jadi kaya mengikut standard masing-masing.
Kaya bukan bergantung kepada berapa banyak income yang anda dapat setiap bulan tetapi berapa banyak yang anda simpan dan laburkan. Anda yang bergaji RM1,000 sebulan mungkin akan lebih kaya dari mereka yang bergaji RM10,000 jika anda berjimat cermat dan menyimpan dan kemudian melaburkan wang tersebut di tempat yang selamat dan menjanjikan pulangan yang berpatutan berbanding mereka yang bergaji RM10,000 jika sekiranya mereka tidak menabung bahkan berjoli ke sana kemari. Tapi…kalau yang bergaji RM10,000 untuk turut menabung…sorry to say..anda KALAH dari sudut jumlah wang yang disimpan.
Dan secara jujurnya…pelaburannya juga turut jauh lebih besar dari pelaburan anda. Ini fakta yang anda tidak boleh nak komplen. Apa yang penting adalah ANDA! Jangan lihat orang yang lebih tinggi kedudukannya daripada anda kerana anda akan sentiasa merasa tidak puas hati. Dan lebih teruk apabila hasad dengki menular masuk ke dalam hati. Lihatlah orang yang sama gaji dengan anda, tetapi malangnya mereka tidak berjimat cermat dan menabung seperti anda..maka anda pasti akan merasa amat-amat bersyukur kerana anda lebih KAYA darinya tanpa mengira berapa banyak Nilai kekayaan anda! Yang penting anda lebih KAYA dari mereka yang suka menghabiskan wang dari menyimpan wang!
Bila anda sudah melepasi ujian paling getir – mengawal gejolak nafsu untuk berbelanja ikut suka tanpa berfikir panjang – maka anda sudah menyediakan tapak yang kukuh untuk anda bina kekayaan. Kekayaan perlu ada asas yang kukuh agar binaan yang bakal ditegakkan nanti akan terus kekal walau seganas mana badai melanda. Berjimat cermat adalah foundation atau landasan paling asas yang mesti dipertahankan meskipun anda sudah menempah tempat di Millionaires Club! Asas ini mesti terus menerus diabadikan dalam hidup anda. Jika landasan ini musnah, maka kekayaan yang telah anda bina sejak sekian lama juga pasti akan turut musnah. Bila anda sudah bergelar jutawan tidak bererti anda sudah boleh melupakan amalan berjimat cermat, kerana jika anda gagal di saat ini dan kembali semula kepada tabiat buruk yang lampau, nescaya anda akan kembali semula ke garisan permulaan dan ianya akan mengambil masa yang amat panjang untuk anda kembali berada di garisan penamat.
Ingat! Kekayaan adalah berdasarkan kepada apa yang anda simpan bukan apa yang anda dapat. Berapa banyak wang yang anda miliki ia pasti akan habis walaupun jumlahnya berjuta-juta. Kecuali jika anda super rich macam Bill Gates atau lain-lain Billionaires dunia yang wang dan assetnya memang tidak akan habis jika dibelanjakan walau semewah mana ianya dibelanjakan. Tambahan pula wang terus berterus menerus datang mencurah-curah tanpa henti. Menurut satu sumber, asset yang dimiliki oleh Bill Gates pada 2015 ialah sebanyak $72 billion atau bersamaan RM288 billion. Ini bermaksud jika pelaburannya hanya memberi keuntungan sebanyak 6%, maka pulangan yang bakal diperolehi oleh beliau ialah sebanyak kira-kira $114.16 atau RM456.64 bagi setiap saat sepanjang hidupnya tanpa henti.
Jadi jika anda bukan Bill Gates atau ada hubungan dengan beliau yang bakal menerima harta pusaka bila beliau meninggal dunia, anda masih perlu tunduk kepada basic principle dalam membina kekayaan iaitu – berjimat cermat dan berhemah dalam perbelanjaan.
Saya berpeluang bergaul dan bersahabat dengan se orang jutawan yang amat saya kagumi. Saya menganggapnya sebagai sahabat, mentor dan guru dalam bidang perniagaan dan pengurusan kewangan. Cory (bukan nama sebenar) se orang wanita Muslim yang berasal dari negara jiran. Suatu hari saya dan beberapa sahabat lain seramai 5 orang yang sama-sama dalam perniagaan jualan langsung (MLM), disponsor oleh beliau ke Sabah. Semua perbelanjaan di tanggung sepenuhnya oleh beliau. Tiket kapal terbang, tempat tinggal di hotel 5 bintang, makan minum..semua ditanggung beres!
Sampai di KLIA, kami bertemu di counter check in. Semua sudah selesai check in. Saya sahaja agak terlewat kerana ada masalah excess luggage. Saya tunggu-tunggu dengan harapan kawan saya ni offer untuk bayar sebab dia yang sponsor semuanya. Tapi memang kecewa betul…dia buat tak tau jer. Siap membebel lagi. Why you bring so many things with you” why don’t you plan your journey properly? Look at me, I have only one hand luggage. Wherever I travel, this is only luggage I bring with me! Aduhai…rasa macam nak balik jer. Belum apa-apa lagi dah kena bebel! Sakit hati betul. Hati saya membengkak tapi terpaksalah control ‘macho’ buat seketika. Nak balik pun dah terlambat. Dengan berat hati..saya keluarkan juga wang untuk membawa excess luggage sekitar RM200. Tak kan nak tinggalkan pakaian yang dibawa di apot pula…
Sebaik sampai di Sabah, kami check in di sebuah hotel di tengah-tengah Bandaraya Kota Kinabalu. Setelah berehat seketika dan menikmati makan tengahari, kami berkumpul dalam satu kumpulan dan diberi tugasan untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan satu bisnes di internet. Tanpa berlengah lagi saya kembali ke bilik hotel dan menggunakan perkhidmatan internet di hotel tersebut. Lega! Sebab sekitar sejam, tugasan yang diberikan usia semuanya.
Setelah dua hari berada di hotel tersebut dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan mencabar, tiba masanya kami bersiap untuk kembali ke Kuala Lumpur. Semasa check out saya ditegur dengan keras oleh Cory kerana menggunakan perkhidmatan internet yang begitu mahal di hotel. “Why don’t you go out and find internet service which only costs you RM5.00 per hour rather than using hotel internet that cost you RM50.00 for the same period of time? Alahai! Nak merujuk pun ada…ye lah bila dah masuk 5 series ni bila kena tembak macamtu mulalah! Apapun saya kuatkan diri…banyak cakap nanti balik KL tambang sendirilah jawabnya! Dalam hati saya merungut..”Ish! kedekut betullah si Cory ni…RM50 pun berkira….apalah sangat RM50 tu berbanding income dia yang mencecah ratusan ribu ringgit bahkan kini mencecah hampir setengah juta sebulan! Amazing kan?
Beberapa bulan selepas kembali dari Sabah, saya bertemu beliau di pejabatnya di Shah Alam Selangor untuk membincangkan strategi bisnes. Sewaktu itu saya memang tidak bekerja. Saya memang menjalankan bisnes secara sepenuh masa sebaik kembali ke Malaysia setelah tamat kontrak di Brunei dan menamatkan perniagaan di Miri sekitar tahun 2008-2010. Dalam perbincangan tersebut saya dicadangkan untuk membantu beliau meluaskan perniagaan di Sabah dan beliau sanggup membayar gaji kepada saya sebanyak RM5,000 sebulan selama 6 bulan. Saya sahut cabaran tersebut dan selang beberapa hari saya terbang ke Sabah dengan satu misi – melebarkan sayap perniagaan MLM kami di sana. Semua perbelanjaan ditanggung oleh beliau – tiket penerbangan, tempat tinggal di sebuah rumah sewa, kereta sewa, pengiklanan dan lain-lain perbelanjaan. Saya Cuma tanggung makan minum sahaja. Ini tidak termasuk gaji bulanan sebanyak RM5,000. Luar biasa! Tidak pernah saya temui se orang ‘leader’ dalam mana-mana bisnes MLM yang se ‘generous’ beliau.
Namun dua peristiwa terdahulu benar-benar memberi kesan kepada jiwa saya. Bagi saya meskipun dia bayar gaji saya dengan jumlah yang agak lumayan dan menanggung perbelanjaan saya semasa di Sabah, persepsi saya terhadap kawan saya ni memang belum dapat dipadamkan dari kotak pemikiran saya. Memang dia ni jenis kedekut dan bakhil! Cuma kadang-kadang saya terfikir juga…kalau kedekut dan bakhil kenapa dia sanggup sponsor kami ke Sabah dan bayar gaji dan sponsor semua perbelanjaan saya selama 6 bulan yang mencecah puluhan ribu ringgit?
Akhirnya saya ketemu Jawapannya bila kembali dari Sabah dan bertemu beliau untuk membentangkan ‘laporan’ perkembangan perniagaan kami di Sabah. Saya sebut ‘kami’ bukan kerana saya partner dalam perniagaan beliau atau beliau adalah pemilik kepada syarikat MLM tersebut. Beliau adalah leader saya dalam perniagaan tersebut. Jadi bila beliau bantu saya kembangkan bisnes ini, maka secara automatik beliau mengembangkan bisnes beliau juga kerana apa sahaja yang saya dapat, beliau juga turut akan mendapat labanya melalui komisyen yang diberikan oleh syarikat.
“Actually I ada something yang tak puas hati dengan You!” Kata saya secara terus terang tanpa berselindung. Memang cara saya macam tu. Saya tak suka berkias-kias bila mahu jelaskan sesuatu. Short cut. Tak perlu pusing-pusing. Jimat masa! “Dulu masa di Sabah, you tegur I pasal excess luggage. Dan you tak nak bayar. Dan satu lagi you tegur I pasal RM50 yang you terpaksa bayar sebab I guna internet dekat hotel. Sedangkan bukan besar sangat pun jumlah dia berbanding your income yang ratus-ratus ribu yang you dapat setiap bulan.” Saya hamburkan habis rasa tak puas hati saya yang terbuku selama ini tanpa censor! Malas..dah tak larat nak simpan persepsi buruk ini dalam Kepala. I just wanna let it go! Nak fikir benda lain yang lebih banyak faedahnya dari buang masa fikir benda-benda remeh temeh macam ni.
Beliau melihat saya sambil tersenyum. “Dr Nik, it is not about how much you spend, but how you spend your money.” Kalau suatu perkara itu perlu dan penting, I akan spend regardless of the amount. I bayar gaji you, I sponsor semua belanja you dekat Sabah…why? Because I see you as a big potential. And this is important for my business. Furthermore, it was not easy to get money. I terpaksa bersusah payah sejak zaman muda I lagi. So I will not spend my money unless kalau benar-benar perlu dan penting!
Nah! Sekarang baru saya faham kenapa dia beria-ia menegur dan memarahi saya. Rupanya bukan kedekut atau bakhil..tetapi BERHEMAH DALAM BERBELANJA!
Pelajaran yang amat berharga buat saya dan pastinya untuk anda semua di luar sana. Berjimat cermatlah…meskipun anda sudah bergelar jutawan kerana anda tidak tahu apa yang bakal berlaku di masa yang akan datang!
Wassalam
“Saya mahu anda menjadi jutawan dengan tips yang saya kongsikan”
‪#‎kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – share jika anda fikir tulisan ini mampu memberi manafaat kepada sahabat-sahabat anda yang lain!
Tulisan ini boleh juga dibaca di – www.drnikrahim.com
~Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Nik Wajis -
Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia
Nilai Negeri Sembilan
Jumaat 18 Mac 2016 / 9 Jamadil Akhir 1437

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? – PART 8 -

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? – PART 8
MENGGALI RAHASIA KEBOROSAN DIRI
Salam sahabat yang dikasihi kerana Allah.
Sudah beberapa hari saya memerah otak, berfikir, merenung, mengimbas kembali lembaran-lembaran hidup saya yang pernah terlukis dan terpahat dalam sejarah hidup saya. Alangkah indahnya jika saya diberi peluang untuk membuat ‘lawatan’ ke episod-episod kehidupan lampau – bukan untuk merobahnya kerana ia adalah suatu yang mustahil tetapi untuk belajar dan membuat koreksi diri dan juga berkongsi segala pengalaman tersebut bersama khalayak agar ianya boleh dijadikan panduan.
Saya benar-benar ingin tahu, apakah faktor pendorong yang menjadi punca keborosan saya. Bonda pernah meluahkan rasa bimbang ini kepada isteri saya suatu hari. Saya masih gagal menemui jawapan tepat kepada persoalan ini. Namun ada beberapa kemungkinan yang boleh saya kongsikan di sini.
Pertama: Latar belakang keluarga yang susah
Saya percaya ini adalah salah satu dari puncanya. Saya umpama se ekor harimau yang garang dan sedang kelaparan. Saya terkurung begitu lama dalam sangkar yang sungguh menyiksakan. Saya cuma diberi seketul daging yang amat kecil oleh penjaga zoo setiap hari sedangkan saya mendambakan se ekor rusa yang segar di padang rumput yang tersergam luas tanpa jaring-jaring yang membunuh kebebasan ini. Pastinya seketul daging itu tidak mampu memberi kepuasan. Tidak lain hanya sekadar mampu memberi saya tenaga untuk terus hidup. Saya terus barangan-angan untuk mendapatkan se ekor rusa dara yang begitu enak rasanya. Angan-angan dan impian ini tanamkan sedalamnya dalam lubuk jiwa. Saya yakin suatu hari saya pasti dibebaskan dan saya begitu optimis, rusa dara impian saya pasti jadi milik saya. Akan saya buru. Akan saya kerahkan seluruh tenaga dan kekuatan saya untuk mencapai cita-cita tersebut. Akhirnya pihak zoo membuat keputusan untuk membebaskan saya dan kembalikan saya ke tempat asal saya. Tempat saya nikmati kehidupan dengan bebas dan tanpa sebarang sekatan. Saya berlari pantas. Rusa dara terus menerjah minda saya. Saya terus berlari dan mencari. Saya memang penat, tapi saya tidak peduli. Apa yang penting impian saya pasti akan direalisasikan. Saya mahu ianya berlaku hari ini. Bukan esok. Bukan lusa tapi hari ini. Menjelang senja, saya sudah kepenatan. Tetapi tidak semena-mena, saya lihat satu susuk tubuh persis rusa dara yang sering bermain di fikiran saya. Ya! Benar….si rusa dara idaman hati beta sudah menjelma di hadapan mata! Apalagi, dengan sepenuh tenaga saya menerkam si rusa dara. Zap! Sekali cakaran singgah di leher si rusa dara…terus terkulai layu tidak bermaya. Saya terus membaham si rusa dara..begitu gelojoh dan pelahap sekali kerana gejolak nafsu untuk menikmati daging enak dan segar si rusa dara sudah dipendam sekian lama…
Demikian kisah si harimau yang kelaparan dengan si rusa dara…itulah saya…si harimau yang begitu mengimpikan suatu yang tidak pernah menjadi miliknya. Di dalam hidup saya mengimpikan terlalu banyak perkara…kalau semasa berada di kampung semasa kanak-kanak dahulu..jarang-jarang kami boleh makan ayam…kami jarang dapat pakaian yang cantic-cantik…bila ke sekolah hanya naik basikal buruk yang dipinjam dari ayahnda….bilik tidur kami pun tanpa kipas dan berlampu kerana pada masa itu elektrik pun belum ada…hanya pelita ayam yang menyinari rumah kami…saya ingat semasa di sekolah rendah saya berpeluang hanya sekali ke Kuala Lumpur itu pun setelah puas menangis dan merayu pada bonda…bila meningkat dewasa, keinginan semakin bertambah….mahu berkahwin isteri cantik…mahu kereta mewah…mahu rumah besar dan selesa..mahu melancong ke luar negara…mahu rumah lengkap dengan perabot-perabot mahal dan berkualiti…mahu makan enak-enak..mahu shopping sepuas-puasnya dan lagi dan lagi….listnya terlalu panjang untuk ditulis di sini…namun semua itu terhalang oleh satu sebab – MONEY!. Saya tidak punya wang….jadi semuanya hanya menjadi khayalan dan impian yang kekal terpahat dalam minda sehinggalah akhirnya MONEY is there for you to spend bila saya mula bekerja di Brunei. Almaklum saja, orang kampung yang tak pernah melihat duit yang banyak. Dia akan jadi ‘mabuk duit’. Tak tahu apa yang nak buat dengan yang banyak kecuali berbelanja! Dan belanja! Dan Belanja!
Kedua: Tiada Ilmu berkaitan dengan perancangan Kewangan
Betul sekali…bahkan tidak keterlaluan jika saya mengatakan – KEJAHILAN- dalam ilmu perancangan kewangan menjadi PUNCA UTAMA dan PEMUSNAH segala cita-cita saya untuk menjadi jutawan! Seikhlasnya saya ingin menyatakan bahawa ilmu saya tentang perancangan kewangan adalah ZERO! Saya adalah jahil murakkab. Jahil yang bertingkat-tingkat kejahilannya. Saya tidak diajar untuk menabung walau pun ayahnda bonda memang sering menyuruh kami menabung. Masih ingat semasa kanak-kanak setiap anak diberikan Tabung yang diperbuat dari buluh untuk dijadikan sebagai Tabung. Namun kami tidak diberi penjelasan dan gambaran yang jelas kenapa perlu menabung dan apa yang akan dibuat dengan wang tabungan tersebut. Saya cuma mengenali sedikit sebanyak tentang pelaburan bila mula-mula berjinak dengan beberapa syarikat jualan langsung yang menggalakkan supaya membaca buku-buku motivasi. Antara buku-buku yang saya baca ialah Rich Dad Poor Dad oleh Robert Kiyosaki. Buku ini adalah buku yang memainkan peranan utama yang merobah cara saya berfikir tentang wang Sepertimana yang saya jelaskan sebelum ini. Selain itu saya juga membaca buku The Magic of Thinking Big oleh David J. Schwartz, See You at The Top oleh Zig Zagler, Guide to Investing, juga oleh Robert Kiyosaki dan beberapa buku ditulis oleh penulis tempatan seperti buku-buku berkaitan pelaburan hartanah oleh Azizi Ali dan lain-lain.
Cuma yang agak malang, ilmu yang saya perolehi ini hanya terhasil setelah ‘KEROSAKAN’ teruk berlalu dalam hidup saya dan sekaligus menghalang laluan saya untuk join ‘Millionaires Club’. Namun saya tidak menyesal. Biarlah saya tidak jadi jutawan, tetapi jika perkongsian ini membawa anda menjadi Jutawan saya pasti akan bergembira dengan kejayaan anda. Cuma satu permintaan saya – bacakan al fatihah – buat saya jika anda sudah bergelar JUTAWAN!
Ketiga: Tiada Perancangan Dalam Kewangan
Point ini sebenarnya berkait rapat dengan point di atas iaitu kurangnya ilmu atau JAHIL dalam ilmu perancangan kewangan. Ye lah! Macamana nak rancang kalau tak tau apa benda yang nak dirancangkan? Jadi akibat tidak merancang, maka terjadilah apa yang terjadi. Saya pun hairan. Kenapa saya tak boleh belajar dari apa yang diceritakan oleh Allah di dalam al Quran tentang mimpi Nabi Yusof A.S sedangkan saya bergelar ‘Ustaz’ dan boleh memahami Bahasa Arab dan Al Quran? Di dalam kisah Nabi Yusof ini, diriwayatkan bahawa Raja Mesir pada masa itu bermimpi melihat tujuh ekor sapi gemuk di makan tujuh ekor sapi kurus. Lalu baginda, melalui se orang utusan menyampaikan mimpi tersebut untuk ditafsirkan. Lalu Nabi Yusof A.S berkata kepada utusan tersebut:
" Wahai sahabatku. Ketahuilah bahawa kamu harus menanam tanaman selama tujuh tahun sebab sesudah itu akan datang musim kemarau selama tujuh tahun pula”. Kisah ini sebenarnya memberi peringatan kepada kita tentang peri pentingnya membuat perancangan kerana kita tidak tahu apa yang bakal terjadi di masa-masa yang akan datang….
Insya Allah di dalam part dan babak seterusnya saya akan kongsikan pula apa bentuk perancangan yang harus dibuat bagi mengelak malapetaka yang mungkin akan menimpa anda sekiranya anda GAGAL melakukannya! Saya sudah GAGAL! Tetapi saya tidak mahu anda GAGAL! Sebab itu saya dedahkan kelemahan diri, bukan untuk menagih simpati, tapi sekadar ingin berkongsi, agar segala MUSIBAH dapat dijauhi.
Wassalam
“Saya mahu anda jadi JUTAWAN melalui tips yang saya kongsikan”.
Salam Ikhlas dari saya
Ustaz Dr Nik Rahim Abu Umair Al Nikmy
Nilai, Negeri Sembilan
8 Jamadil Akhir 1437= 17 Mac 2016

Wednesday, March 16, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 7)


Salam ukhuwah..salam kasih sayang untuk semua sahabat. Moga Allah meredhai kita semua. Ameen!
Apa khabar sahabat semua? pastinya sihat dan ceria serta bersemangat untuk merobah diri untuk menjadi insan yang lebih baik dari hari ke hari. Terima kasih dan tahniah kepada sahabat yang membaca tulisan saya sejak dari Part 1 lagi. Jika anda terus membaca itu tandanya anda memang serius dan ikhlas untuk memperbaiki tabiat buruk anda yang sukar mengawal nafsu untuk terus menerus 'enjoy' berbelanja. Saya doakan anda berjaya. Bagi yang tidak membaca, mereka samada sudah mengamalkan apa yang saya kongsikan atau mempunyai kaedah tersendiri untuk mengawal nafsu boros dan suka menghabiskan wang ini atau mereka sememangnya 'born millionaires' - duit tak habis nak makan sehingga 7 jenerasi...:o)
Saya sebenarnya masih tercari-cari apakah sebenarnya mempengaruhi kotak pemikiran saya sehingga menjadi manusia 'boros' seperti ini. Nak kata ayah bonda saya yang mempengaruhi trend perbelanjaan saya jauh sama sekali sebabnya ayah bonda saya amat sederhana sekali kehidupan mereka sejak saya kecil sehinggalah kini. They have nothing much to spend!
Cuma saya dididik menjadi se orang yang pemurah kerana itu sifat ayah bonda. Apakah menjadi pemurah menyebabkan kita jadi miskin? I dont think so! saya tidak fikir itu penyebabnya. Bahkan saya yakin apa yang sering diungkapkan - the more you give the more you get! Jika bukan di dunia 'reward' yang diperolehi, di akhirat sudah pasti. Saya tiada rasa sangsi atau ragu tentang itu.
Jadi apa puncanya? Secara ikhlas saya ingin kongsikan kepada sahabat semua, sifat boros dan suka bebelanja tanpa pertimbangan waras akal ini bukan bermula di zaman mewah saya di Brunei antara tahun 1999-2005 bahkan ianya berputik dan berkembang segar sejak saya belajar di Mesir pada tahun 1984-1989 lagi. Saya bersyukur kerana rezki saya agak murah berbanding kekanda saya yang telah pun berada di Mesir setahun sebelum itu. Saya mempunyai 2 sumber kewangan. Satu dari Yayasan Pahang dan satu lagi dari Al Azhar Mesir. Berkat usaha gigih dan doa kedua ayah bonda saya berjaya mendapat keputusan yang agak cemerlang dalam peperiksaan tahun pertama Fakulti Syariah, Universiti Al Azhar Mesir dan dikurniakan Biasiswa oleh Kementerian Pendidikan. Syukur Alhamdulillah. Dengan kedua-dua wang biasiswa dan bantuan dari Al Azhar, saya hidup agak mewah bahkan mampu membantu kanda saya meneruskan pengajian beliau.
Saya pernah dimarahi oleh kekanda saya kerana mahu membeli perabot rumah yang tidak begitu penting pada pandangan beliau. Saya akur sebab saya memang hormat dengan the only Brother yang saya ada ini. Tapi keinginan hati untuk beli motor besar tidak mampu dihalang oleh beliau. Dengan duit biasiswa, saya beli sebuah motosikal Honda 200 CC yang jarang-jarang dimiliki oleh pelajar Malaysia apalagi pelajar-pelajar Al Azhar yang rata-rata amat sederhana pendapatan mereka. Hati seronok bukan kepalang. Berulang-alik ke kuliah dengan penuh semangat!
Selepas 5 tahun bertungkus lumus belajar di Al Azhar, alhamdulillah saya pulang dengan segolong ijazah dan 2 sijil lahir 2 anak yang dilahirkan di Mesir - Nik Umairah dan Nik Umair yang baru saja melangsungkan perkahwinan baru-baru ini. Saya bersyukur kerana belanja perkahwinan semua menggunakan duit biasiswa saya tanpa membebankan ayahnda bonda saya! Cuma bila berbicara tentang -berjimat cermat- tindakan saya berkahwin terlalu awal - juga mungkin boleh dipertikaikan kewajarannya. Namun saya tetap bersyukur kerana dapat melakukan amalan sunnah lebih awal dari kekanda saya yang dikenali dengan nama Poknik.
Saya sepatutnya bertugas sebagai guru agama di sekolah kerajaan kerana begitulah perjanjiannya. Namun kerana cita-cita saya tinggi menggunung untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Phd maka saya ligat mencari jalan bagaimana untuk meleraikan ikatan 'kawin paksa' dengan Kementerian Pendidikan. Akhirnya setelah membuat perbincangan panjang lebar dengan pihak JPA maka akhirnya saya direlakan untuk berhijrah ke UIA melalui perpindahan kontrak setelah UIA bersetuju untuk mengambil saya sebagai tenaga pengajarnya pada tahun 1990 dengan gaji sebanyak RM1,110 sebulan.
Maka bermulalah babak baru dalam hidup saya sebagai kakitangan universiti dan pekerja sepenuh masa. Dengan gaji RM1,110 dan bekerja di Kuala Lumpur, dan terpaksa menanggung isteri dan dua anak, pendapatan tersebut jauh dari mencukupi. Kami sekeluarga terpaksa akur dengan keadaan kewangan pada masa itu dan redha untuk tinggal di rumah setinggan dengan bayaran sewa sebanyak RM300 sebulan. Tapi nafsu boros tak pernah faham situasi yang dilalui oleh 'tuannya'. Sebaik pindah ke rumah baru 'setinggan' di Kg Nakhoda Batu Caves Selangor, nafsu boros datang berbisik manja. Hai boss! Tak kan rumah kosong jer..mesti nak ada katil, tilam, kerusi meja, dapur, peti ais, radio, tv dan macam-macam lagi. Satu persatu disebut begitu jelas sekali.
Terperangkap dengan jerat nafsu, saya mula mencongak. Gaji memang tak cukup nak beli semua tu. Kalau nak beli satu item setiap bulan mahu setahun baru complete...ish..lama sangatlah...akhirnya si nafsu datang lagi dan kali ini ditemani sahabat karibnya - syaitan. Mereka bergabung untuk membujuk saya membeli semua sekali gus dengan cara berhutang. Akur! Saya akur dan tunduk..saya kecundang akhirnya...barang-barang 'keperluan' yang tidak begitu 'PENTING' memenuhi ruang rumah setinggan saya. Nafsu dan syaitan bergelak ketawa kerana berjaya meracuni pemikiran saya. Akhirnya saya menanggung hutang ribuan ringgit. Kerja siang malam hanya nak lunaskan hutang yang kini mula berarak sekeliling pinggang. Rimas dan lelah tapi apa nak buat..sudah terjebak..terpaksa digagahi juga menempuhinya...
Selepas kira-kira setahun di UIA saya dihantar ke Glasgow Caledonian University Scotland UK untuk menyambung pelajaran di dalam bidang Undang-Undang Jenayah Islam. Saya angkut semua anak-anak yang pada masa itu sudah ada 3 orang dan juga isteri. Dengan berbekalkan wang elaun yang disediakan oleh JPA kami sekeluarga hidup agak sederhana sahaja tambahan pula kos sara hidup di UK pada masa itu amat tinggi sekali. £1.00 pada masa itu bersamaan dengan RM8.00. Bayangkan betapa kecilnya jumlah yang diperolehi bila ditukar ke UK currency.
Namun...saya benar-benar hairan...kerana dalam keadaan kewangan yang tidak menentu seperti ini pun saya masih begitu mudah dimanipulasi oleh si Nafsu terkutuk dan syaitan yang durjana...saya tewas sekali lagi. Kegilaan saya kali ini adalah KERETA. Bayangkan betapa hebat 'kegilaan' saya pada masa itu...dalam tempoh 4 tahun dari penghujung tahun 1991 sehingga awal tahun 1996 saya memiliki 5 buah kereta secara bergilir gilir! Bermula dengan kereta Ford Granada 2.8, diikuti dengan Rover, kemudiannya Volvo 740 bersama dengan Honda Prelude dan berakhir dengan kereta Volvo 740 sekali lagi yang saya bawa pulang ke Malaysia.
Selepas 4 tahun berada di UK, akhirnya saya kembali ke Malaysia dengan membawa sijil Phd, 2 sijil kelahiran kerana 2 lagi anak dilahirkan semasa di UK iaitu anaknda Nik Amrah Al Afiefah dan Nik Aamirah Al Mardhiyyah. Sebaik pulang ke Malaysia saya sudah mempunyai 5 anak yang perlu saya tanggung...namun perubahan dalam sikap boros saya masih belum nampak bayangnya!
Demikianlah betapa sukarnya merobah sikap buruk dari dalam diri kita...perlu kesabaran yang luar biasa..sokongan dan dokongan dari keluarga dan juga teman-teman...dan yang paling penting..PERTOLONGAN DARI ALLAH YANG MAHA ESA......saya mengakui saya terlalu lemah untuk menghadapi godaan nafsu dalam berbelanja...namun bersyukur kerana akhirnya Allah menemukan saya jalan pulang.
Alhamdulillah....
wassalam
"Saya mahu anda menjadi jutawan mukmin melalui tips yang saya kongsikan".
Ikhlas ~
Ustaz Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Nilai, Negeri Sembilan.

Tuesday, March 15, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 6)




Salam ukhuwah..salam kasih sayang untuk semua sahabat..moga berada di bawah rahmat Allah pada setiap masa. Ameen! Dalam part 6 ini perbincangan kita masih berlegar tentang isu berjimat cermat. Macamana? Ada tak yang cuba praktis apa tips yang saya berikan dalam siri yang lepas? Jika ada pohon kongsikan ya untuk manafaat bersama. Bagaimana hasilnya? Tahniah jika anda berjaya memujuk nafsu supaya tidak berbelanja membeli suatu yang tidak PENTING! You are the BOSS! Anda HEBAT! Tapi TAKZIAH jika anda masih gagal mengawal nafsu dari terus dikuasai oleh keinginan yang membuak untuk terus berbelanja walaupun anda sedar bahawa ianya tidak PENTING! Teruskan perjuangan..jangan mudah putus asa. Untuk berubah kita perlu membuat perubahan dari dalam diri. Minda kena berubah. Perlu kepada perubahan paradigma atau paradigm shift. Cuba pandang jauh ke hadapan. Cuba bayangkan dalam masa 10 tahun akan datang. Bagaimana kehidupan anda..isteri..anak-anak...pengajian mereka...kesihatan mereka...dan lain-lain keperluan jika tabiat buruk anda kekal sebegini? Sekarang anda sihat..masih muda dan penuh bertenaga...Anda tak risau apa-apa sebab suatu yang buruk belum menimpa anda. Cuba bayangkan sejenak apa jadi jika anda ditimpa musibah seperti sakit, kemalangan, hilang pekerjaan dan lain-lain? apakah anda bersedia? Semasa saya berada di puncak' kemewahan dahulu iaitu semasa berada di Brunei dengan gaji bulanan sekitar RM10,000 saya berfikir sama seperti anda sekarang. Tak kisah. just spend and spend. Enjoy dengan nikmat kurniaan Allah. Saya amat berkeyakinan bahawa saya akan berada di Brunei selama-lamanya dan terus menikmati pendapatan lumayan tanpa cukai pendapatan, tanpa GST, tanpa toll dan lain-lain bebanan kewangan. Bahkan saya sentiasa menanam impian untuk terus menjadi rakyat negara Brunei Darussalam yang begitu perihatin tentang rakyatnya. Saya merasakan bahawa kontrak saya akan terus disambung kerana semasa di Brunei saya banyak menabur bakti kepada masyarakat Brunei melalui perkongsian ilmu yang cetek ini melalui radio dan television, ceramah, forum dan lain-lain. Namun jangkaan saya jauh meleset. Beberapa bulan sebelum kontrak yang kedua saya tamat, saya dimaklumkan bahawa permohonan saya untuk memperbaharui kontrak tidak disokong oleh dekan pada masa itu kerana sebab-sebab yang tidak perlu saya nyatakan di sini. Biarlah ia menjadi rahasia saya bagi mengelakkan dari mendedahkan keaiban sesama Islam. Saya cuba bertahan di Brunei. Alhamdulillah, salah se orang bekas pelajar saya yang memiliki firma guaman sendiri mempelawa saya untuk menyertai firma beliau sebagai peguam Syar'ie. Saya membuat permohonan untuk mendapatkan lesen amalan guaman dengan bantuan bekas pelajar saya dan alhamdulillah setelah beberapa menunggu dengan penuh debaran, akhirnya permohonan saya diluluskan. Pucuk dicita ulam mendatang. Saya terus terima lamaran tersebut. Dengan gaji yang ditawarkan sekitar RM10,000 sebulan juga, saya merasa begitu teruja. Tabiat lama yang suka hidup dalam kemewahan kembali lagi. Saya ke show room. Pajero sudah. Mercedes pun sudah. Teringin mahu memiliki Lexus pula. Kami membuat perjanjian untuk 'test drive'. Subhanallah...Lexus memang benar-benar menyentap jiwa anda. "Macam dalam syurga dunia" kata saya kepada isteri semasa kami sama-sama menikmati kemewahan kereta yang begitu sinonim dengan kereta orang kaya itu. Namun satu lagi kejutan berlaku kepada saya dan famili setelah kontrak dengan tempat lama ditamatkan. Saya dimaklumkan bahawa sebagai bekas pegawai yang pernah bekerja dengan kerajaan Brunei, saya tidak dibenarkan bekerja di mana-mana sektor swasta kecuali setelah berlalu 3 tahun dari tarikh penamatan kontrak terdahulu. Gelap gelita terasa dunia ketika itu. Kaku...tidak tahu apa yang perlu di buat. Mahu terus tinggal di Brunei sudah tidak mampu kerana sudah tiada pekerjaan. Akhirnya kami membuat keputusan untuk berhijrah ke Miri, Sarawak dan memulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan. Maka bermulalah episod ngeri dalam kehidupan kami. Akibat hidup bermewah-mewah, tidak banyak wang simpanan yang mampu dijadikan bekal semasa di Miri. Lebih malang bila biz tidak menjadi. Selepas 2 tahun berada di Miri, akhirnya terpaksa membuat keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur. Tanpa pekerjaan, hidup di Kuala Lumpur jauh lebih mencabar....ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Masalah kewangan begitu meruncing sekali. Pernah hampir-hampir diisytiharkan muflis akibat berhutang melalui kad kredit. Pengalaman pahit yang saya lalui adalah berpunca dari satu sebab utama - tidak berjimat cermat- dan tidak merancang untuk masa akan datang yang entah terang, entah mendung, entah gelap gelita.....moga anda tidak menjadi seperti saya! Moga ada manafaatnya. Ameen Bersambung. "Saya mahu anda jadi jutawan melalui perkongsian tips saya ini" #kenapasayatidakjadijutawan #sharingiscaring #kayauntukakhirat Dr Nik Rahim Abu Umair Al Nikmy. Nilai Negeri Sembilan. 15 Mac 2016.

Monday, March 14, 2016

"KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN?" - PART 1 - PART 5

Salam sahabat semua,Moga dirahmati Allah setiap masa.
Dah lama saya pendam. Nak sangat kongsi dengan sahabat semua "Kenapa Saya Tidak Jadi Jutawan?" Sedangkan saya sebenarnya sudah terlalu hampir untuk menggapai status 'jutawan' itu sekitar tahun 1996-2005 semasa berada di Brunei Darussalam. Soalan ini nanti akan saya jadikan topik buku tulisan saya insya Allah. Namun sebelum buku tersebut menjadi realiti saya akan kongsikan dengan sahabat apabila saya punyai ruang masa yg mengizinkan.


"KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN?"
(Part 1)
Salam sahabat semua. Bila kita sebut tentang jutawan, pasti tergambar dalam imiginasi kita gambaran kemewahan yang amat sinonim dengan status mereka yang bergelar jutawan. Berkereta mewah, berumah besar yang tersergam indah, berpakaian jenama terkenal, terbang ke sana kemari, makan minum tanpa had dan macam-macam lagi gambaran-gambaran indah yang sering diimpikan oleh ramai orang.
Namun tidak ramai yang mampu menggambarkan atau tidak tahu bagaimana sebenarnya liku-liku perjalanan yang dilalui atau ciri-ciri yang dimiliki oleh para jutawan tersebut sebelum mereka menggapai title tersebut.
Berdasarkan kepada pengalaman saya terdapat 3 elemen penting yang perlu ada bagi setiap individu yang mempunyai impian untuk bergelar jutawan.
Pertama: Berjimat cermat.
Orang yang boros dan berbelanja secara tidak berhemah usah mimpi untuk jadi jutawan walau sebesar mana pendapatan yang mereka perolehi. Saya bercakap tentang orang biasa macam saya dan sebahagian besar pembaca dan bukan mereka yang 'born millionaires'. Saya akan ceritakan pengalaman saya dalam isu yang kritikal ini dalam siri yang akan datang insya Allah.
Dr Nik Rahim Abu Umair Al Nikmy.
Merapoh, 12Mac 2016.

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN?
Part 2.
Salam sahabat semua. Sebelum saya kongsi tentang pengalaman saya tentang elemen pertama yang menjadi asas utama untuk menjadi jutawan iaitu "berjimat cermat" saya ingin berkongsi dahulu tentang sebab kenapa saya begitu serius untuk menjadi jutawan.
Saya dari keluarga yang susah. Ayahnda dan bonda saya hanya orang kampung biasa. Hidup kami amat sederhana. Makan dan pakai seadanya. Sebaik selepas solat subuh ayah terus ke kebun mak pula uruskan anak-anak. Begitulah rutin ayah bonda saban hari sehinggalah usia ayah bonda merangkak senja. Saya dapat rasakan betapa sukarnya ayah bonda yang terpaksa membanting tulang demi sesuap nasi dan menanggung perbelanjaan persekolahan anak-anak seramai 9 orang. Setiap kali apabila cuti sekolah kami anak-anak dikerah ke kebun untuk membantu meringankan beban ayah bonda.
Bertolak dari rasa simpati tersebut saya bertekad untuk merobah keadaan ini. Saya tidak rela melihat ayah bonda terus menerus memerah keringat demi kami. Saya menanam azam untuk belajar sehingga ke peringkat paling tinggi dengan harapan bila bekerja nanti mampu merobah nasib ayah bonda serta adik beradik yang hidup dalam kesukaran pada saat itu.
Pada tahun 1996 saya memperolehi ijazah P.hd dari sebuah universiti di Scotland dan bekerja di salah sebuah universiti di Malaysia. Namun sangkaan saya bahawa dengan berkelulusan P.hd saya mampu meraih gaji yang lumayan rupanya meleset begitu jauh sekali. Ya! Gaji P.hd saya jauh dari mencukupi apalagi untuk membantu ayah bonda dan juga kaum kerabat. Dari situ saya berazam dan tidak berhenti berusaha untuk jadi kaya..untuk jadi jutawan..bukan untuk saya tapi untuk ayah bonda saya...untuk kaum kerabat saya..untuk jiran tetangga saya...untuk agama..untuk saudara seagama yang ditindas di Gaza Palestine...di Syria..di Burma...di mana sahaja. Saya tidak mahu hanya memperoleh pahala niat semata-mata. Saya mahu infaq dan memberi manafaat sebanyaknya semasa saya hidup selari dengan hadith Nabi s.a.w " Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manafaat kepada manusia lain."
Jadi sebagai conclusion...saya perlu jadi jutawan...saya perlu jadi kaya...agar saya boleh berbakti kepada semua.
Wallahu a'lam.
Bersambung di part ke 3 insya Allah.
Dr Nik Rahim Abu Umair.
12 Mac 2016 - stesen bas Machang Kelantan.

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (Part 3)
Salam sahabat. Moga dirahmati Allah selalu. Ameen.
Mungkin ramai yang tersenyum sinis bila saya sebutkan dalam tulisan saya di dalam part 1 bahawa saya sudah terlalu hampir untuk menjadi jutawan. Pasti ramai yang tertanya-tanya, apa yang menyebabkan saya begitu yakin akan bergelar jutawan pada masa sekarang ini?
Baiklah..begini ceritanya..semasa saya bekerja di sebuah universiti sebaik menamatkan Phd pada tahun 1996 saya dilantik untuk memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pemakanan dan Perkhidmatan universiti dan diberikan eluan bulanan sebanyak RM2000. Jawatan ini diwujudkan oleh Jabatan Rektor bagi menjamin kualiti pemakanan dan perkhidmatan warga universiti. Ini berlaku pada tahun 1998-1999. Hati saya tersangat gembira sebab jumlah itu agak besar dan kehidupan saya dan keluarga sedikit demi sedikit mula bertukar menjadi sedikit mewah. Namun "kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari." Jawatan yang disandang hanya selama 9 bulan tiba-tiba dimansukhkan akibat pergolakan politik pada masa itu. Presiden telah ditukar. Bila presiden ditukar maka secara lumrahnya rektor yang dilantik oleh presiden juga turut bertukar dan ini turut membabitkan saya kerana jawatan saya diwujudkan oleh rektor. Saya turut terkesan dengan konflik politik yang saya bukan sebahagian darinya. Saya diarahkan kembali ke jabatan dan meneruskan kembali tugas hakiki saya iaitu sebagai pensyarah di bahagian Syariah.
Akibat dari ini saya kehilangan RM2000 secara tiba-tiba. Bayangkan betapa sukar kehidupan bila kehilangan sejumlah wang yang sebegitu besar dalam keadaan pelbagai komitment kewangan telah dilakukan termasuk ansuran rumah, perbelanjaan keluarga, ibu bapa di kampung dan lain-lain. Nafas saya menjadi sesak. Apa yang patut saya lakukan? Fikir punya fikir akhirnya saya membuat keputusan untuk berhijrah. Tapi ke mana? Saya membuat beberapa pencarian dan akhirnya saya membuat keputusan untuk bekerja di Brunei.
Maka bermulalah episod paling indah dalam hidup saya dan keluarga. Pada tanggal 1hb Julai 1999 saya memulakan tugas di sebuah universiti di Brunei Darussalam. Saya bersyukur kepada Allah kerana dalam tempoh 6 tahun bekerja di Brunei saya berjaya mengumpulkan sebanyak RM740,000.00 termasuk gaji, bonus, gratuiti dan lain-lain. Setelah ditolak RM240,000.00 untuk perbelanjaan keluarga,membayar hutang lapok termasuk membayar balik sejumlah wang kepada pihak kerajaan kerana terpaksa membatalkan kontrak dengan tempat kerja lama, menghantar wang elaun bulanan kepada ayah bonda tercinta, maka masih terbaki RM500,000.00 atau dalam erti kata lain - setengah juta- maka atas asas ini saya berani mengatakan bahawa jika wang sebanyak ini ada di tangan se orang investor atau business man, saya yakin hanya dalam masa kurang dari 10 tahun, jumlah ini akan berganda menjadi RM1juta. Untuk contoh yang paling mudah jika saya membeli dua buah rumah teres sekitar tahun 2005 selepas saya ditamatkan perkhidmatan di Brunei Darussalam, dan nilai kenaikan hanya sebanyak 10% setahun, nilai rumah tersebut kini sudah melebihi 100% kenaikan. Ini bermakna nilai dua buah rumah yang dibeli pada 2005 kini sudah bernilai RM1juta. Dan saya sudah bergelar jutawan!
Cuma persoalannya, kenapa ini tidak berlaku kepada saya? Kenapa saya tidak invest wang tersebut? Atau melibatkan diri dalam perniagaan?
Insya Allah akan saya jawap semua persoalan ini dalam siri-siri akan datang insya Allah.
" saya mahu jadikan anda se orang Jutawan melalui tips yang saya kongsikan ini"
Dr Nik Rahim Abu Umair Al Nikmy
12 Mac 2016
Kemuning, Machang Kelantan.

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN?- PART 4
Sahabat yang dikasihi. Di dalam siri yang lalu saya ada menyebutkan bahawa -berjimat cermat- adalah elemen paling penting untuk menjadi se orang jutawan. Jika anda tiada elemen ini dan sentiasa boros belanja hingga lupa dunia,lupakan saja impian anda kerana anda MUSTAHIL untuk mencapainya kecuali anda sememangnya ' born millionaires'.
Terus terang saya katakan, saya memang dalam kategori ini. Saya memang amat boros. Belanja hingga lupa dunia. Saya pernah habiskan sekitar RM20,000 hanya dalam beberapa bulan - bershopping sakan - melalui satu portal online shopping yang amat terkenal pada masa itu iaitu e-bay. Saya pernah beli video recorder yang belum lagi sampai ke Malaysia pada masa itu. Saya beli bola boling kegemaran saya dari US. Peralatan untuk sukan equestrian dan berbagai-bagai lagi barang-barang kesukaan saya. Pernah suatu hari isteri menegur. Kata isteri tak baik abang membazir. Saya terus tanya isteri, apa definisi membazir? Isteri terkedu dan kelu tak terkata. Saya kata membazir itu kalau kita beli kemudian kita tidak pakai atau beli suatu yang tidak memberi manafaat kepada kita sedangkan apa yang dibeli pada pandangan saya ketika itu amat bermanafaat. Jika soalan itu ditanya kepada saya sekarang, pasti saya akan bersetuju 100% dengan pandangan isteri. Sejak itu isteri tidak lagi berani menegur dan saya semakin galak berbelanja.
Suatu hari bonda saya bertanya: " sejak duduk Brunei kerap balik..". Memang betul. Saya akui saya memang lebih kerap balik semasa bekerja di Brunei berbanding semasa bekerja di Kuala Lumpur. Bila balik mesti singgah berihat di KL untuk dua tiga hari santai di hotel 5 bintang. Sewaktu itu saya selalu beranggapan tidak salah untuk 'reward' diri sendiri setelah berpenat lelah mencari rezki. Lagipun kalau belanja RM3,000 baru B$1,000. Tak jejas pun gaji bulanan saya yang berjumlah B$4000 pada masa itu.
Salah satu 'kegilaan' saya semasa di Brunei ialah membeli kenderaan mewah. Mungkin sedikit sebanyak ada pengaruh syarikat jualan langsung dalam diri saya yang menyebabkan saya selalu mengidamkan kereta mewah. Kereta Pajero adalah kereta impian saya. Sebaik mendapat free interest loan dari universiti saya terus memburu kereta impian saya. Akhirnya Pajero V6 menjadi milik saya.
Namun nafsu memiliki kereta mewah tak pernah padam dari dalam diri saya. Meskipun memiliki kereta Pajero tersebut mata saya sering menjeling kepada kereta yang lebih mewah dan lebih "power". Sebaik tamat kontrak yang pertama saya dianugerahkan gratuiti oleh pihak universiti sebanyak B$40,000. Dengan duit ini saya 'sambar' sebuah kereta Mercedes C280. Wah..kereta Merc ini ternyata lebih mewah, bergaya dan jauh lebih 'power' dari Pajero. Saya amat berpuas hati dan pastinya amat bersyukur kepada Allah atas kurniaan ini.
Meskipun gaya hidup saya agak mewah, saya tidak lupa ayahnda dan bonda di kampung. Setiap bulan tidak kurang RM1,000 saya hantar kepada ayah bonda untuk perbelanjaan mereka. Saya juga bantu ayah bonda untuk tunaikan fardhu haji ke Mekah. Selain itu saya sempat juga membeli sedikit aset di kampung. Belanja sekolah anak-anak juga amat mewah pada ketika itu. Pernah saya hadiahkan wang sebanyak B$500 atau lebih kurang RM1,500 kepada anak yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan sekolah rendah. Ahamdulillah.
Jika sahabat semua melihat gaya dan trend saya berbelanja, pasti sahabat semua dapat menelah bahawa inilah antara 'pemusnah impian' saya untuk menjadi jutawan. Saya akui saya memang tak dapat dan tak kuat untuk mengawal NAFSU untuk berbelanja. Memang telahan anda benar sekali...inilah pemusnah No.1 kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi jutawan. Yakinlah...JIKA ANDA MAMPU MENGAWAL NASFU BERBELANJA DAN MENGAMALKAN SIFAT SUKA BERJIMAT CERMAT, ANDA PASTI AKAN HIDUP LEBIH MEWAH DAN SENANG BERBANDING ORANG LAIN YANG TIDAK MAMPU MENGAWAL NASFU BELANJA MEREKA...WALAUPUN MUNGKIN ANDA TIDAK MAMPU MENJADI JUTAWAN.
Sekian Wassalam - bersambung.
" saya ingin anda menjadi jutawan dengan mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang sama yang pernah saya lakukan suatu masa dahulu"
Ikhlas
Dr Nik Rahim Abu Umair
Kota Bharu Aiport
13 Mac 2016.

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 5)
Salam ukhuwah untuk semua sahabat yang dirahmati Allah. Moga dirahmati Allah selalu.
Ramai yang mungkin bersetuju dengan saya termasuk sifu2 dalam bidang financial planning bahawa - berjimat cermat adalah rukun paling utama untuk jadi kaya - untuk jadi jutawan. So, kalau anda memang betul serius nak jadi jutawan, anda WAJIB melatih diri untuk berjimat cermat. Sifirnya amat mudah. Bila kita berjimat cermat maka secara lumrahnya akan ada lebihan dari pendapatan kita. Bila ada lebihan maka itu dinamakan saving atau simpanan. Bila ada duit simpanan maka ada peluang untuk buat pelaburan dan bila ada peluang untuk buat pelaburan maka pastinya ada peluang untuk jadi kaya.
Tapi macamana nak berjimat cermat kalau otak dok fikir nak belanja saja? Saya ada membaca satu buku tentang perancangan kewangan dan dalam buku tersebut pengarang menyebutkan bahawa cara terbaik untuk buat saving ialah dengan cara 'forced saving'. Maksudnya bila dapat saja gaji, bayar untuk diri sendiri dulu. Ambil 5-10% dari gaji atau pendapatan bulanan dan asingkan. Simpan duit tersebut di tempat yang susah untuk diambil contohnnya dalam akaun bank yang tiada cawangan yang berhampiran dan jangan buat ATM kad. Dengan cara ini maka kita tiada pilihan kecuali terpaksa 'berjimat'. Alhamdulillah ini merupakan ide yang amat bagus dan saya yakin ramai yang berjaya menabung melalui 'forced saving' seperti ini.
Namun malang 'it didnt work for me'. Cara ini langsung tidak berkesan kepada saya. Kenapa yer? Tidak lain adalah kerana saya belum lagi berjaya untuk merawat 'penyakit' suka berbelanja. Jadi bila saya masih gagal mengawal nafsu berbelanja, maka sudah tentu wang gaji yang diperolehi tidak cukup. Bila wang gaji tidak cukup untuk belanja dapur, persekolahan anak dan lain-lain, agak-agak duit mana yang akan saya cari? pinjam kawan? pinjam duit mak ayah? puasa sampai akhir bulan? jawapannya - mustahil! Mana mungkin pinjam duit kalau saving kita masih ada? Letaklah duit kat mana saja..soroklah dekat bawah tujuh lapisan bumi pun pasti akan berusaha untuk menggali dan mendapatkannya dan akhinya 'back to square one!'. Gagal lagi! Kena mula lagi dari '0'. Kalau macam ni punya cerita, memang gelaplah masa depan..tak merasalah nak jadi jutawan!
Jadi apa nak buat sekarang?
Baiklah..saya kongsikan apa yang saya pernah buat dan alhamdulillah saya berjaya berjimat cermat meskipun jalan untuk menggapai cita-cita untuk menjadi jutawan kelihatan terlalu sayup dengan usia yang sudah menjangkau 5 series ini. Namun usia tidak pernah menghalang saya mengejar cita-cita tersebut bahkan semakin hari semakin membara dalam jiwa kerana bagi saya, kaya bukan untuk dunia...saya kaya untuk membina jambatan kukuh menuju syurga insya Allah.
Saya amat terhutang budi dengan Mr Robert Kiyosaki kerana bukunya " Rich Dad Poor Dad" telah banyak merobah cara saya berfikir dan cara saya mengatur kewangan saya. Ide yang ditulis oleh beliau benar-benar menjadikan saya se orang yang 'baru' dalam bertindak dan lebih matang dalam mengurus perbelanjaan. Moga Allah memberi hidayah kepada beliau dan menjadikan beliau se orang Muslim yang taat. Ameen.
Robert Kiyosaki menyarankan agar kita bertanya kepada diri sendiri setiap kali kita mahu berbelanja, apakah barang yang hendak aku beli ini 'penting'? atau tidak. Kalau diri anda sememangnya sudah pass ujian kelayakan menjadi insan yang tunduk dan patuh dan punyai tekad yang amat kuat untuk berjimat cermat, pastinya anda akan memberi jawapan yang ikhlas bila soalan itu diajukan kepada anda oleh diri anda sendiri!. Pelik sikit bunyi bila anda bertanya kepada diri anda sendiri kan? tapi pada hakikatnya ia boleh dilakukan. Cuba anda ajukan apa-apa saja soalan, kepada diri anda sendiri. Sebagai contoh, mahu tak kamu jadi jutawan? anda pasti akan mendapat jawapan yang jelas walaupun tanpa suara,
Di dalam diri kita ada nafsu dan nafsu sentiasa cuba mengheret kita ke arah kebinasaan seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran sebagai nafsu ammarah. Namun nafsu sebenarnya tidak sehebat mana jika kita se orang yang kuat berpegang kepada prinsip agama dan prinsip hidup yang jelas. Nafsu akan menuruti tuannya.
Berbalik kepada soalan yang perlu dilontarkan setiap kali kita mahu membeli sesuatu samada ianya 'PENTING' atau tidak, maka jika anda kata ianya tidak penting, maka nafsu anda akan akur dan tunduk walaupun mungkin nafsu anda cuba membawa kepada anda berbagai hujah untuk mempengaruhi anda. You are the BOSS! tunjukkan kehebatan anda dengan tidak tunduk kepada nafsu anda. Nafsu anda adalah HAMBA kepada anda dan anda bukan HAMBA kepada NAFSU!
Sebagai contoh jika anda ke shopping mall walaupun pada asalnya cuma nak 'window shopping' saja tapi tiba-tiba anda tengok ada sales. Kasut yang branded yang memang sering anda intai setiap kali ke shopping mall walaupun sudah penuh almari kasut anda dengan kasut-kasut yang anda bukan pakai pun kecuali sekali sekala sahaja!
Sebaik melihat SALES...Nafsu anda akan cuit anda...BOSS ada sales lah! kalau anda kata NO! mungkin nafsu akan akan cuba berdebat dan bertanya balik, why not? Kenapa pulak tak boleh? Maka anda jawab sebab tak penting. Kenapa tak penting? Ni kan sales..boleh jimat duit...nafsu anda cuba pertahankan. Hello! anda cuba bagi nafsu sedar dari dari 'mimpi'nya... tu yang penuh almari tu tak cukup ker? Membazirlah you ni, membazir tu saudara syaitan, tau tak?? Alamak...terkantoilah macam ni!....akhirnya nafsu anda akan akur dan melupakan hasrat untuk membeli kasut baru tersebut. Anda terselamat!
Percayalah kalau anda berjaya mendidik diri anda dengan didikan sempurna dan bertekad untuk tidak membeli suatu yang tidak PENTING,..bawalah ribuan ringgit dalam poket..kad kredit gold dan platinum sekali pun..anda akan hilang 'selera' untuk bershopping sebab bila nafsu jeling saja kepada apa-apa barang, anda akan tanya kepada nafsu..penting ker? Dan nafsu anda akan kalah....Sebab nafsu anda tahu jawapannya! ianya TIDAK PENTING!
Baiklah...macamana pula nak tau penting atau tidak suatu barangan untuk dibeli itu? Apa neraca pertimbangan untuk kita tahu samada apa yang mahu dibeli itu penting atau tidak? mudah saja...suatu barangan itu adalah PENTING jika anda terpaksa hidup dalam keadaan kesusahan jika tidak beli barangan tersebut.
Sebagai contoh, anda baru kerja 6 bulan dengan gaji RM2,500 sebulan. Anda perlu kenderaan untuk ke tempat kerja kerana tempat kerja anda terlalu jauh dari laluan kenderaan awam. Jadi adalah PENTING untuk anda beli kenderaan. Tapi kenderaan apa yang PENTING? Jika anda se orang lelaki, sebenarnya membeli motosikal adalah PENTING dan bukan sebuah kereta apatah lagi jika anda masih bujang.
Apa yang anda perlu dan PENTING untuk anda adalah sebuah kenderaan dan bukan sebuah kereta. Salah se orang dari anak saya yang saya train to be a millionaire bekerja selama lebih 7 tahun dan hanya menaiki 'cub chai' saja dan alhamdulillah keadaan ekonominya jauh lebih baik dari kebanyakan teman sekerjanya. Baru-baru ni beliau membeli 4 buah kereta untuk disewa hatta kereta yang digunakannya juga turut disewa jika keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.
Saya amat optimis jika anda bersifat profesional dan ikhlas pada diri sendiri dan menjawab dengan jujur soalan:
'APAKAH PENTING UNTUK SAYA MEMBELI BARANGAN INI?
setiap kali anda ingin berbelanja, dan anda bertindak mengikut jawapan yang ikhlas itu, maka pastinya anda telah berjaya membina sebuah jambatan kukuh yang mampu membawa anda menyeberang menuju status JUTAWAN Insya Allah.
Jika anda tidak percaya, cuba ke shopping complex sekarang dengan membawa beberapa ratus ringgit di dalam poket anda dan sebaik anda melihat suatu yang anda sukai anda bertanya soalan di atas dan jawab dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab, saya yakin anda tidak akan membelinya jika ianya bukan PENTING untuk anda!
Selamat mencuba dan kongsikan pengalaman anda di sini!
"Saya mahu anda menjadi JUTAWAN melalui tips yang saya kongsikan di sini"
Wassalam
Dr Nik Rahim Abu Umair Al Nikmy
Nilai, Negeri Sembilan
14 Mac 2016
Nota: sebahagian besar tulisan ini dibuat semasa perjalanan balik saya melalui bas dari KLIA2 ke KTM Nilai.


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +60148207111 Mantin, Negeri Sembilan Malaysia

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...