Monday, March 21, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 13)




Al KISAH BERSAMA ‘GANGSTER KL”
Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa. Ameen!
Menyambung bicara kita tentang buruknya tabiat suka berhutang, kali ini saya cuba bawa anda semua untuk melihat betapa buruk dan ruginya akibat dari berhutang khususnya yang melibatkan institusi kewangan dan lebih parah kalau melibatkan ALONG! Na’uzubillah min zalik!
Saya yakin rata-rata dari kita ada buat loan kereta. Dan saya berani mengatakan bahawa 80% daripada kereta yang ada di atas jalanraya sekarang ini adalah ‘kereta bank”. Apa tidaknya, setiap kereta yang dipinjam melalui bank, anda tidak punya hak milik mutlak. Dari segi undang-undang, kenderaan anda boleh ditarik bila-bila masa selepas 2 bulan 21 hari, anda tidak membuat ansuran bulanan. Saya mempunyai pengalaman yang amat memeritkan sekitar tahun 2007 sebaik pulang dari Miri Sarawak setelah perniagaan takaful dan wasiat tidak menjadi. Bisnes yang saya usahakan selama kira-kira 2 tahun terpaksa ‘bungkus’.
Kereta yang saya ‘ambil alih’ pembayarannya dari kekanda saya iaitu kereta Produa Kembara tiba-tiba hilang! Siasat punya siasat, rupanya kereta tersebut telah ditarik oleh bank dan akhirnya dilelong. Apa yang menyedihkan saya, ialah kereta itu adalah milik kekanda saya Poknik. Dan tambah menyedihkan apabila kereta tersebut hanya tinggal 2 bayaran sahaja lagi untuk dilangsaikan. Tapi apa nak buat, dah nasib badan!
Kes ‘tarik’ yang lebih dramatik saya alami tidak lama selepas itu iaitu kereta yang saya ‘ambil alih’ pembayarannya dari se orang saudara kepada sahabat baik saya. Saya tidak menyalahkan mereka. It was my fault! Saya yang salah sebab gagal membuat bayaran bank seperti yang sepatutnya. Bukan saya tidak mahu atau sengaja mengingkari perjanjian dengan pemilik asal kereta tersebut, tetapi krisis kewangan yang menyerang bertubi-tubi membawa kepada keadaan itu berlaku. Sahabat semua pasti masih ingat tentang habit buruk saya yang suka bebelanja? Ya! Ini adalah salah satu dari kesannya. Memang parah!
Berbalik kepada kisah penarikan kereta penuh dramatik tersebut, saya didatangi oleh tuan punya kereta dengan begitu bengis sekali. Beliau datang membawa ‘gangster’ ke rumah saya. Lelaki berbadan gelap dan berkulit sawo matang memang kelihatan begitu menggerunkan. Saya hanya berserah kepada takdir. Melihat cara kedatangan mereka, saya dapat merasakan bahawa suatu yang buruk pasti akan berlaku. Saya tidak fikir mereka datang untuk berbincang dan berunding. Saya cuma mampu berdoa dan pasrah kepada Allah. Kalau ditakdirkan saya dipukul dan dicederakan, maka saya pasrah sebab saya memang tidak mampu untuk melawan!
“Ya Allah selamatkan diriku yang lemah ini dari segala mala petaka dan keburukan dari menimpa diriku” Saya terus berdoa dan merayu kepada Allah. Saya benar-benar pasrah. Saya melihat isteri dan anak-anak begitu gementar sekali. Muka mereka pucat lesi. Kaku dan tidak berkata apa-apa. Mereka meminta kunci dari saya dan mengambilnya dengan kasar sekali. Tiada lagi rasa hormat kepada orang yang lebih tua, bengis seperti singa yang kelaparan. Lupa bahawa saya adalah kawan baik kepada saudaranya.!
“Apa masalah ni? Tanya lelaki gempal kepada saya dengan bengis sementara pemilik kereta memeriksa kereta. Mengoyak dengan ganas sekali stiker bisnes yang saya tampal pada bonet kereta Wira berwarna hitam itu. Saya tunduk dan diam buat seketika. Darah gemuruh mengalir deras seluruh tubuh saya. Rasa sejuk seluruh anggota. Badan rasa tidak bermaya. Perlahan saya menjawab. “Dik, abang mintak maaf banyak-banyak. Memang abang akui, ini salah abang sebab dah dua kali tidak bayar hutang kereta dekat bank. Tapi Percayalah, abang bukan sengaja buat macamtu. Abang memang langsung tak ada duit untuk bayar hutang kereta ni. Makan minum anak-anak kat rumah pun tak cukup. Kalau adik nak amik kereta ni, amiklah.” Kata saya sambil menundukkan muka dengan nada yang paling lembut. Suara saya bergetar-getar. Tidak pernah saya rasa seperti ini sepanjang hidup saya dan tidak pernah ada orang melayan saya seburuk dan sebengis ini.
“OO…begitu ceritanya! Jawab lelaki ‘sado’ tersebut. Agak lembut suaranya. Saya agak terkejut dengan cara dia bercakap sebab semasa mula-mula datang tadi macam nak menerkam saja. “Oklah bang, saya faham dengan situasi abang. Saya pun bila tengok muka abang ni tak sampai hati nak buat apa-apa. “ katanya semacam simpati melihat saya yang sejak tadi dalam kegelisahan.
Allahu Akbar! Ya Allah…tidak dapat saya gambarkan betapa lega perasaan saya bila lelaki tersebut berkata demikian. Dalam hati saya berbisik, walaupun muka bengis, tapi ada juga unsur-unsur kebaikan dan kelembutan dalam dirinya. Bagus juga ada muka ‘kesian’. Mungkin juga berkat doa ayahnda bonda, isteri dan anak-anak yang tidak putus-putus berdoa! Terima kasih untuk insan-insan tercinta ini!
Saya menghulurkan tangan kepada lelaki tersebut dan sekali lagi memohon maaf tentang apa yang berlaku. Saya juga memohon maaf kepada pemilik kenderaan tersebut atas segala kesusahan yang terpaksa beliau hadapi. Tapi ternyata, perasaan amarahnya tidak dapat dibendung lagi. Tanpa sepatah kata, dia menghidupkan enjin kereta tersebut dan terus memecut pergi!
Jadi Wahai para sahabatku!
Jika anda semua mampu untuk mengelakkan diri dari terjerumus ke dalam lembah ‘hutang’ elaklah sebab hutang membawa padah yang buruk kepada anda dan keluarga anda. Biarlah pengalaman yang saya lalui menjadi pengajaran kepada anda semua!
Wassalam
“Saya mahu anda jadi Jutawan dengan tips yang saya kongsikan.”
Artikel ini boleh juga anda baca di ~ www.drnikrahim.com ~
‘JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Nilai, Negeri Sembilan
Isnin 21 Mac 2016 / 12 Jamadil Akhir 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...