Tuesday, April 5, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 28)


AL KISAH USTAZ PEMBOHONG, PEMBAWA AJARAN SESAT!

Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….Allah masih lagi memberi peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya.
Hari ini masuk hari ke 28 saya menulis berhubung tajuk KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN?. Jutaan terima kasih kepada sahabat yang mengikuti tulisan saya sejak part 1 lagi. Tahniah! Jika sekiranya anda telah beroleh manafaat dan sudah  memulakan langkah dan tindakan ke arah memperbaiki diri dari sikap-sikap negatif dari dalam diri. Jika saya menulis dalam siri-siri awal dahulu tentang peri pentingnya menabung dan berjimat cermat dan ini telah anda lakukan, ucapkan tahniah kepada diri anda. Anda perlu bersyukur kepada Allah kerana melorongkan jalan buat anda.
Namun jika anda masih terlalu berat untuk merobah diri dari sifat-sifat negatif tersebut yang mungkin telah sebati dalam diri, TAKZIAH saya ucapkan! Anda perlu MEROBAH diri anda sekarang kerana tidak ada sesiapa dalam dunia ini yang mampu mengubahnya. Saya tidak mampu mengubah anda. Yang saya mampu sekadar memberi peringatan dan berkongsi pengalaman dan tunjukkan kepada anda betapa buruk dan busuknya sikap suka berbelanja tanpa berhemah dengan boros, tapi saya tidak boleh merobah anda. Isteri anda juga tidak mampu merobah anda. Isteri anda mungkin hanya mampu  membebel saban hari kerana ‘muak’ dengan karenah anda. Ibu bapa anda juga tidak mampu mengubah anda. Apa lagi majikan anda. Yang boleh merobah kehidupan anda kepada keadaan yang lebih baik atau lebih buruk adalah ANDA! Allah berfirman di dalam al Quran yang bermaksud:
“Allah tidak akan merobah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka sendiri yang merobahnya”
Dalam siri kali ini saya akan berkongsi dengan anda tentang keperluan untuk melabur setelah anda berjaya melalui atau melaksanakan dua rukun terdahulu iaitu; pertama – berjimat cermat dan yang kedua memiliki perlindungan takaful. Maka setelah anda ‘LULUS’ dengan cemerlang dalam kedua-dua pra-syarat untuk kaya@jutawan, maka anda ini akan memulakan langkah yang lebih advance lagi iaitu rukun ketiga – pelaburan.
Ya! Anda perlu melabur. Bila saya kata melabur bukan bermaksud ‘menyimpan’ dan membiarkan wang anda membeku dalam akaun bank dan mengharapkan pulangan yang bersifat ‘belas kasihan’ dari bank sebanyak 2 % setahun. Itu bukan melabur namanya. Melabur maksudnya meletakkan wang anda di dalam satu-satu aktiviti perniagaan yang mampu memberikan anda pulangan yang berbaloi. Pelaburan boleh juga berlaku apabila anda menjadi share partner atau rakan kongsi dalam satu-satu business venture. Pelaburan juga boleh dilakukan dengan meletakkan wang anda di dalam satu-satu syarikat yang berdaya maju dan syarikat akan memberikan anda sebahagian dari keuntungan mereka kepada anda setiap tahun jika syarikat itu buat untung. Juga dikira pelaburan jika anda guna wang anda untuk memulakan perniagaan sendiri. Membeli aset pada harga rendah dan menjualnya apabila harga meningkat juga adalah pelaburan. Begitu juga jika anda membeli emas, melibatkan diri dalam pasaran saham, forex dan sebagainya, semuanya itu boleh dikatagorikan sebagai aktiviti pelaburan iaitu aktiviti yang mampu menjana keuntungan yang berpatutan dengan jumlah wang yang anda laburkan.
Tapi anda harus INGAT! Meletakkan wang dalam SKIM CEPAT KAYA (SCK) juga adalah pelaburan. Ya PELABURAN JAHANAM! Pelaburan yang MELEBURKAN anda. Semalam saya berbincang dengan se orang bekas pelajar saya, Man (bukan nama sebenar) yang masih lagi belajar di tahun akhir di USIM. Beliau mengaku pernah ‘TERKENA’ dengan SCK bukan hanya sebagai pelabur tetapi sebagai agen yang mencari pelabur-pelabur baru. Akhirnya hingga kini menderita kerana terpaksa membayar balik sebanyak RM20,000 kepada pelabur yang dicarinya. Jika tidak dibayar, sesuatu yang amat buruk akan berlaku kepada beliau dan keluarga. Sungguh menyeramkan!
Bercerita tentang SCK ni, saya ada pengalaman yang amat memualkan bila teringat kembali peristiwa yang berlaku sekitar tahun 2009-2010 yang lalu. Iaitu sebelum saya bertugas di Maahad Tahfiz Negeri Pahang. Suatu hari saya dihubungi oleh se orang individu yang tidak saya kenali – Shaari (bukan nama sebenar) . Katanya beliau dapat no phone saya dari se orang Ustaz Jaafar (bukan nama sebenar)  yang bertugas di Brunei pada masa itu. Saya memang mengenali Ust Jaafar yang berasal dari Kelantan yang amat rapat dengan saya. Sudah berpuluh tahun beliau di Brunei sebagai guru al Quran. Shaari mengajak saya bertemu untuk berbincang suatu yang amat penting untuk ummah. “Wah! Luar biasa ini. Berbicara tentang ummah? Why me? Saya sekadar insan biasa, ilmu yang ‘seciput’  ini tidak sehebat mana berbanding ramai lagi nama-nama besar di persada tanah air?”  Saya bercakap se orang diri.
Saya bersetuju untuk bertemu beliau. “Dr, kita jumpa di Hilton dekat KL Sentral jam 3ptg hari ni.” Kata En Shaari. Dari pejabat saya di Gombak, saya bergegas menaiki LRT ke KL Sentral. Sebaik sampai saya bersalaman dengan beliau dan saya diperkenalkan dengan se orang lagi individu. Saya tak ambil kisah sangat dengan lelaki yang dibawa bersama. Melihat cara berpakaian selekeh dan berselipar Jepun,  saya meneka bahawa lelaki tersebut adalah  pemandu kepada Shaari yang berpakaian kemas dan segak. Siap dengan 3 pieces suit lagi. “Wah, bukan calang orang En Shaari ni”, bisik saya sambil melemparkan senyuman. Saya dijemput duduk dan beliau memanggil waiter untuk memesan minuman. Tidak lama selepas itu, minum kami dibawa. Cappuccino memang menjadi kegemaran saya. “Terima kasih Dr kerana luangkan masa untuk bertemu kami. Saya Shaari, CEO, DINA Business Ventures Sdn Bhd (bukan nama syarikat sebenar) dan ini Ustaz Tengku Mansur, Pengerusi dan pengasas syarikat DINA Business Ventures Sdn Bhd.” Kata Shaari memulakan bicara.“ Ha? Ustaz? Pengerusi? Pengasas? Macam ni rupa dan cara berpakaian? Biar betul?” bisik saya dalam hati.  Saya mengangguk-anggukan kepala sambil melemparkan senyuman yang hambar kepada lelaki yang tadi saya sangka sebagai pemandu. Memang dari luarannya, lelaki yang bernama Ustaz Tengku Mansur ni sukar dipercayai sebagai se orang Ustaz. Tidak nampak langsung ‘ketokohannya’ dalam bidang agama jika melihat dari penampilannya. Apatah lagi sebagai Pengerusi dan pengasas kepada sebuah syarikat yang besar. Saya Cuma mengagak syarikat yang diasaskan oleh lelaki ini adalah syarikat yang besar. Kalau tak besar mana mampu minum-minum di hotel bertaraf 5 stars ini. “Ustaz Tengku Mansur dapat gelaran Tengku dari Istana Kelantan” Tambah Shaari apabila melihat saya seakan tidak percaya dengan apa yang dikatakan tentang lelaki tersebut. “Dapat gelaran Tengku dari Istana Kelantan? “Emm….ada ker gelaran Tengku ni boleh dibagi macam tu saja macam gelaran Dato dan lain-lain” saya berfikir dalam hati. Terasa juga nak tanya soalan cepu emas tu, tapi saya tangguhkan dulu soalan tersebut. Mungkin saya saja yang tak tahu.
Kami meneruskan perbualan. Dalam kepala saya masih berlegar mencari jawapan. “Betul ker lelaki yang duduk bersebelahan Shaari ni se orang Ustaz, Pengerusi dan Pengasas kepada sebuah syarikat dan ada gelaran Tengku pulak tu?  Entah-entah proxy saja kot?” saya terus berfikir.  Saya berkeyakinan bahawa lelaki ini cuma sebagai proxy kepada Shaari berdasarkan kepada perwatakan luarnya.
“Kami sebenarnya ada hajat. Kami nak mintak pertolongan Dr untuk ke Brunei. Kami sebenarnya disaman oleh kerajaan Brunei. Operasi syarikat  yang kami jalankan  di Brunei dituduh   menjalankan perniagaan yang bercanggah dengan undang-undang Brunei. Sebagai se orang yang pernah bekerja di Brunei dan mempunyai latar belakang undang-undang Islam, kami nak mintak bantuan Dr untuk bantu kami” jelas Shaari tanpa dipinta.
“Brunei? Wah! Bagus ni” bisik saya di dalam hati. “Semasa Dr di sana, kami akan tanggung semuanya. Tiket kapal  terbang, makan minum, tempat tinggal bahkan elaun, semuanya akan kami bayar. Kami akan bagi Dr duit poket sebanyak B$1,000 dan elaun harian sebanyak B$500.” Kata Shaari sambil menjeling dan tersenyum kepada lelaki yang berada di sebelahnya. “Masya Allah! Banyak tu!” bisik saya dalam hati. Saya rasa macam bermimpi di siang hari. Wang itu amat bermakna buat saya kerana kebetulan pada masa itu perniagaan saya dalam takaful merudum teruk.
Saya amat bersyukur kepada Allah kerana berkat doa dari keluarga dan ayahnda bonda, akhirnya Allah membuka jalan rezeki yang agak lumayan dalam keadaan yang amat tidak diduga. “Macamana Dr Nik?” tanya Shaari mengejutkan saya dari lamunan.
“Jangan risau Dr Nik. Itu arahan ambo. Shaari mesti ikut arahan ambo” tiba-tiba lelaki tersebut bersuara dalam loghat Kelantan.  Shaari yang mendengar kata-kata lelaki tersebut mengangguk-angguk kepala tanda bersetuju. “ Baiklah, saya bersetuju untuk membantu sekadar yang mampu.” Jawab saya ringkas. Saya menghabiskan minuman sambil  meminta Shaari untuk memperkenalkan lelaki tersebut dengan lebih terperinci. Lama juga kami bersembang. Akhirnya saya meminta diri kerana terpaksa pulang ke pejabat. “apa-apa nanti saya akan telefon Dr dan berikan maklumat terperinci tentang perjalanan kita nanti ke Brunei”. Terang Shaari mengakhiri perbualan kami dan setelah bersalaman dengan beliau dan Ustaz Tengku Mansur, saya melangkah pergi meninggalkan mereka berdua. Fikiran saya masih ligat berputar. Berbagai persoalan timbul dalam benak pemikiran saya khususnya tentang lelaki ‘misteri’ yang bersama Shaari tadi.


Bersambung….


~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Selasa  5 April  2016 / 27 Jamadil Akhir 1437

#Kenapasayatidakjadijutawan
#jutawanmuslim
#jutawanmukmin
#sharingiscaring – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...