Tuesday, April 19, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 36)

SEJAUH MANA BAGUSNYA PELABURAN DALAM EMAS?
Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….Allah masih lagi memberi peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya.
Di dalam siri yang lalu saya berkongsi dengan anda semua tentang peri buruknya SKIM CEPAT KAYA yang wajib dijauhi oleh mereka yang prihatin dengan hukum halal dan haram yang telah ditetapkan oleh Allah.
Sebenarnya banyak lagi instrumen pelaburan yang boleh kita sertai yang juga mampu memberi pulangan yang amat baik tanpa perlu melibatkan diri dalam skim-skim yang mencurigakan.
Namun sebelum membuat pelaburan kita harus faham konsep asas dalam pelaburan. Antaranya ialah kemungkinan berlakunya kerugian. Rugi dalam pelaburan tidak bermakna pelaburan itu tidak halal. Ini kerana untung dan rugi adalah dua sifat pelaburan yang sentiasa bergerak seiring. Adakalanya untung dan adakalanya rugi. Mana ada pelaburan yang sentiasa untung dan tiada juga pelaburan yang sentiasa rugi jika kita lakukan pelaburan dengan ilmu.
Jadi sebelum melabur pergilah 'bertapa' untuk menuntut ilmu secukupnya. Melabur sama keadaanya dengan cerita hero filem Melayu zaman-zaman dulu. Mereka pergi merantau menuntut ilmu dengan mahaguru-mahaguru tersohor. Bila ilmu sudah penuh di dada barulah mereka pulang untuk menuntut bela. Di saat itu ratusan 'orang jahat' mampu ditewaskan walaupun tanpa sebarang bantuan. Bahkan 'berjuang' se orang diri.
Sama juga dalam pelaburan. Jangan masuk medan jika ilmu hanya sekelumit atau menuntut ilmu dengan mereka yang ilmunya setaraf dengan anda. Carilah ilmu dengan mereka yang telah terbukti berjaya dalam pelaburan mereka.
Jangan pula belajar dengan guru yang salah. Pakar dalam perniagaan emas sebagai contoh mungkin sangat mahir dalam perniagaan tersebut tapi tidak semestinya mampu memberi nasihat yang tepat mengenai pelaburan di dalam stock market sebagai contoh.
Belajarlah sehingga benar-benar mahir dalam satu-satu bidang pelaburan supaya kita boleh mengurangkan risiko. Semua paburan ada risiko. "No risk no gain" kata orang putih. Kalau takut dengan risiko simpan saja duit anda di bank atau tabung haji. Tapi anda kenalah 'bersyukur' dengan pulangan yang ciput sesuai dengan risiko anda.
Di dalam pelaburan ' the higher the risk, the higher the income'. Lagi tinggi risiko lagi tinggi keuntungan. Tapi sekali lagi anda harus punyai ilmu yang cukup sebelum terjun dalam satu-satu pelaburan.
Jangan jadi macam saya. Ilmu hanya 'sejemput' tapi berangan tinggi untuk melabur. Akhinya LEBUR. Ini berlaku sekitar tahun 2012-2013 apabila saya diperkenalkan oleh se orang sahabat tentang perniagaan emas. Beliau pun masih 'mentah' dalam pelaburan emas ini. Salah satu pelaburan yang beliau ceburi telah diisytihar oleh Bank Negara Malaysia sebagai SCAM! Nasib baik saya tak sertai skim tersebut. Saya cuma membeli beberapa gram emas sahaja kerana memang tak ada duit untuk dilaburkan.
KERUGIAN BESAR saya berlaku apabila 'guru' yang sama memperkenalkan satu kaedah pelaburan melalui al rahnu (sistem pajak gadai Islam). Kebetulan pada masa itu saya baru saja menjual rumah di Taman Permata Hulu Kelang, Kuala Lumpur. Alhamdulillah setelah ditolak hutang dengan bank, saya masih lagi boleh bawa balik RM40,000 TUNAI!
Saya bersyukur kerana saat itu tabiat 'gila berbelanja' sudah lenyap dari diri saya. Saya sudah punyai kekuatan untuk mengawal 'nafsu berbelanja'. Dah taubat nasuha! Jadi wang yang saya ada memang saya peruntukkan 100% untuk pelaburan emas yang saya kira sebagai pelaburan 'cinta pandang -pertama' saya.
Sahabat saya tersenyum lebar bila saya maklumkan kepada beliau saya ada RM40,000 untuk dilaburkan dalam emas. Apa tidaknya, beliau adalah se orang 'pengedar' yang baru beberapa bulan memulakan perniagaan emas. Jadi saya beli emas sebahagian besarnya dari beliau dan atas nasihat beliau meletakkan semua emas saya di al rahnu.
" untuk memaksimakan jumlah pemilikan emas, Dr letak emas ni di al rahnu. Lepas tu ambil 70% dari al rahnu sebagai pinjaman dan dengan duit tu beli lagi emas dan letakkan lagi di al rahnu". Demikian 'nasihat' yang diberi oleh sahabat saya. Saya akur saja nasihat ' tok guru emas' saya sebab saya pun memang tak ada maklumat lengkap berhubung pelaburan melalui kaedah al rahnu ini.
Enam bulan berlalu. Sampai masa untuk saya tebus emas di al rahnu. Pada masa itu harga emas dalam trend peningkatan. Harga emas sentiasa naik. "Wah! Bagusnya pelaburan emas melalui kaedah al rahnu ini." Teriak saya dalam hati bila dapat beberapa ribu ringgit keuntungan selepas ditolak upah menyimpan. Saya dapat untung kerana semasa saya meletakkan emas enam bulan yang lalu harga emas adalah rendah. Jadi bila harga emas naik semasa saya tebus emas tersebut maka saya ada lebihan tunai di situ.
Saya semakin bersemangat untuk terus melabur. Emas yang saya tebus saya letak kembali di al rahnu. Bahkan wang keuntungan yang saya perolehi dari pelaburan pertama juga saya laburkan dalam emas. Bukan itu sahaja, wang baki dari pembelian pertama dulu pun saya laburkan semuanya. Memang saya sudah jadi amat 'obses' dengan emas. Semua anak-anak saya kempen beli emas dan simpan di al rahnu. Ketiga-tiga anak saya Nik Umair, Nik Amru dan Nik Aamirah yang sudah bekerja semuanya beli emas dan letak di al rahnu.
Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Harga emas yang diharapkan terus meningkat tiba-tiba bertukar arah. Harganya menjunam jatuh. Setelah enam bulan berlalu, tiba masa untuk ditebus. Tapi saya pohon kepada pihak al rahnu supaya dipanjangkan tempoh bayaran ke tempoh maksimum iaitu 9 bulan dengan harapan harga emas akan naik secara perlahan-lahan.
Namun malang, harapan hanya tinggal harapan. Harga emas terus menjunam. Lebih teruk dari harganya 3 bulan yang lalu. Ini bermakna saya bukan sahaja terpaksa menebus emas saya di al arahnu dengan harga yang jauh lebih murah sehingga perbezaan antara nilai emas dan pinjaman saya dengan al rahnu begitu besar.
Saya terpaksa guna duit saya dari sumber lain untuk langsaikan hutang dengan al rahnu. Begitu juga dengan semua anak-anak saya. Saya terpaksa memohon maaf kepada mereka kerana memberikan nasihat dan strategi yang salah kepada mereka.
Namun 'kerugian' dalam pelaburan emas tidak sedikit pun merobah keyakinan saya terhadap emas sebagai salah satu instrumen terbaik dalam pelaburan. Harga Dinar emas masih tetap stabil kerana tidak boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak. Cuma untuk menggunakan kaedah al rahnu saya terpaksa berfikir panjang kerana kaedah ini dikira 'short term' investment kerana terpaksa menebus dalam masa yang kurang dari setahun sedangkan emas adalah pelaburan jangka panjang.
Anda memerlukan masa antara 3-5 tahun bahkan lagi lama anda simpan emas lagi bagus. Laburlah dalam emas dengan cara membeli dan menyimpan sendiri emas milik anda. Cuma pastikan ianya disimpan di tempat yang benar-benar selamat. Ini adalah kaedah terbaik. Gunakan kaedah leverage. Anda beli emas secara istiqamah secara bulanan sebagai alternatif kepada menyimpan wang tunai.
Jangan guna khidmat al rahnu kecuali anda memang memerlukan tunai untuk tujuan tertentu sebagai contohnya untuk kemasukan anak ke universiti, untuk dijadikan modal perniagaan dan seumpamanya.
Menyimpan emas juga adalah kaedah efektif dan terbaik untuk pelaburan jangka panjang. Sebagai contoh gaji anda RM3,000 sebulan anda boleh keluarkan antara 10-15% dari gaji anda yang tidak anda perlukan untuk dilaburkan dalam emas. Sebaik dapat gaji anda terus ke kedai emas dan belilah emas dalam nilai tersebut. Beli emas yang solid yang tidak mempunyai banyak corak bagi mengelakkan anda membayar upah yang mahal.
Selamat Melabur...
Wassalam
Bersambung….
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Kuantan, Pahang.
Jumaat 15 April 2016 / 6 Rajab 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...