Tuesday, April 19, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 35)

SKIM CEPAT KAYA ADALAH HARAM...HARAM..HARAM!
Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….Allah masih lagi memberi peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya.
Di dalam siri yang lalu saya berkongsi dengan anda semua tentang sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dengan Skim Cepat Kaya (SCK). Meskipun saya amat kesal kerana tanpa sebarang perancangan dan tanpa diduga saya termasuk ke dalam 'perangkap' SCK walaupun bukan sebagai pelabur tapi sebagai penasihat syariah dalam syarikat yang menjalankan operasi SCK, dari sudut yang pula saya merasa amat 'bertuah' kerana saya berpeluang melihat sendiri bagaimana SCK ini beroperasi. Bergaul sendiri dengan pengururusan tertinggi syarikat, melihat sendiri bagaimana ianya beroperasi, plan-plan yang ditawarkan, kaedah promosi, produk yang ditawarkan, bagaimana kaedah untuk mengabui mata pelabur melalui perlantikan peguam dan alim ulama sebagai penal Syariah, penggunaan pendekatan berunsur ruhi dan mistik dan pelbagai lagi kaedah samada syar'ie atau tidak itu tidak penting kepada golongan manusia yang 'sakit' seperti ini. Matlamat utama mereka hanya satu - maksimumkan KEUNTUNGAN! bagi mereka MATLAMAT MENGHALALKAN CARA.
Ada beberapa sudut yang perlu diambil kira sebelum anda melibatkan diri dalam mana-mana pelaburan. Meskipun matlamat utama dalam satu-satu pelaburan adalah KEUNTUNGAN, namun kita perlu tanya diri kita apakah jenis keuntungan yang mahu kita cari? Apakah KEUNTUNGAN DUNIAWI SAJA? jika anda se orang yang tidak kisah dengan dosa dan pahala, tidak kisah di mana anda akan tinggal di akhirat nanti syurga atau neraka, atau tidak kisah untuk merengkok dalam penjara untuk beberapa tahun, maka anda tidak ada masalah untuk menyertai SCK kerana melalui SCK sememangnya anda mampu membuat untung besar. Kalau anda punyai modal besar macam syarikat DINA, anda boleh saja menjadi syarikat yang menawarkan pelaburan SCK. Jika tidak anda mungkin boleh jadi agen yang menawarkan SCK kepada orang ramai. Pendapatan sebagai agen juga agak lumayan. Semasa dalam DINA dulu, syarikat pernah menawarkan sehingga 30% komisyen untuk para agen. Kalau ada yang masuk RM100,000 anda layak dapat komisyen RM30,000. Itu baru satu orang. Di Kelantan pernah ada se orang taukeh berbangsa Cina melabur sebanyak RM1juta dalam DINA. alangkah bertuahnya agen yang bawa dia masuk. RM300,000 komisyen dalam tangan. Oleh nerana anda tak kisah makan duit HARAM anda tak perlu tahu dari mana wang komisyen itu diambil dan ke mana wang tersebut dilaburkan. Anda pun tak kisah kalau wang yang dilaburkan itu dari wang tabung masjid, atau dari tabung anak yatim, atau dari duit simpanan pelajaran anak-anak. Kerana bagi anda yang PENTING anda untung.
Ramai yang tahu dan sedar bahawa skim yang mereka sertai adalah SCK, namun mereka teruskan juga kerana mereka tahu kalau mereka sertai SCK di peringkat awal mereka pasti mampu meraih untung besar hasil dari 'kerugian' mereka yang masuk kemudian.
Saya pernah bertemu se orang pakcik semasa dalam DINA, beliau telah 'terkena' sebanyak 12 kali bermula dengan skim Pak Man Telo. Selepas 12 kali terkena baru beliau insaf!
SCK adalah skim yang HARAM dari semua sudut. Ianya skim yang berasaskan PENIPUAN. Walaupun mereka tidak ada apa-apa perniagaan, mereka tetap mengatakan bahawa mereka punyai perniagaan. Dan jika mereka punyai perniagaan seperti DINA yang ada kilang besi, kilang dan ladang kenaf, kilang membuat pakaian berjenama dan lain-lain, perniagaan tersebut terlalu kecil dan tidak mungkin mampu untuk membayar keuntungan yang besar yang telah dijanjikan dan dikontrakkan.
Ramai juga yang merasakan bahawa transaksi yang ada kontrak itu adalah transaksi yang 'legal' dan mengikut undang-undang. Helo Bro! meminjam dengan ALONG pun anda kontrak tau! Tapi tengok apa yang mereka lakukan kalau hutang tidak dibayar. Bunuh pun mereka sanggup!
Jadi jika skim yang anda sertai adalah skim yang berasaskan penipuan maka sah lah bahawa skim tersebut adalah skim yang HARAM. Ramai yang tak sanggup bagi makan daging 'babi' pada anak-anak dan isteri di rumah bahkan rasa jejek sangat bila troli di pasar raya digunakan untuk bawa daging 'kerbau pendek' itu. Tapi bawa balik wang hasil SCK ke rumah tak rasa apa-apa pulak! Sedang kedua-duanya adalah HARAM!
SCK juga adalah skim yang amat zalim. Bayangkan semasa DINA beroperasi, syarikat tersebut telah menipu lebih 5 ribu orang dan mengutip melebihi RM200 juta! Jika wang itu datang dari pak-pak menteri yang kaya raya kira oklah sikit. Tapi yang menjadi masalah skim sebegini rata-rata disertai mereka yang dhoif ekonomi mereka tapi berangan besar untuk kaya dengan pantas dan SEGERA.
Semasa di Mesir sekitar tahun 1980an saya pernah sertai satu SCK dan yang paling best 'taukeh' nya adalah se orang pelajar aliran Syariah di Universiti Al Azhar Mesir. Saya dimaklumkan oleh Ustaz tersebut bahawa beliau melabur dengan syarikat Sony di Saudi. Saya yang begitu naif saat itu melaburkan sebanyak USD500. Nasib juga itu saja duit yang saya ada setelah ditolak wang belanja untuk beberapa bulan hasil dari duit biasiswa yang saya terima. Selepas 6 bulan, saya buat keputusan untuk keluarkan duit sebab nak beli motor besar. Masya Allah...dari USD500 yang saya laburkan sudah 'beranak' jadi USD1,000. Suka hati tak terkira..maka saya beli sebuah motisikal Honda 200cc. Mungkin agaknya duit yang saya dapat tidak berkat, motor kesayangan saya dicuri hanya selepas satu tahun dibeli.
Selain penipuan dan kezaliman, SCK kaya juga ada unsur riba kerana menetapkan keuntungan terlebih dahulu dan menjanjikan pulangan dengan kadar peratusan tertentu walaupun perniagaan belum lagi dimulakan.
Dengan beberapa sebab di atas, maka jelaslah bahawa SCK adalah satu skim yang haram dan WAJIB dijauhi.
Wassalam
Bersambung….
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Kuantan, Pahang.
Jumaat 15 April 2016 / 6 Rajab 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...