Friday, April 29, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 38)


UNIT TRUST- ANTARA PELABURAN TERBAIK?
Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….Allah masih lagi memberi peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya.
Seminggu yang lalu, sakit lama saya – slip disc- kembali ‘menziarahi’ saya. Terpaksa ambil MC walaupun amat berat untuk ‘pospon’ kelas-kelas yang telah lama dijadualkan. Setahun lalu, juga dalam bulan April, selepas setahun bersama USIM saya juga terpaksa ambil MC. Seakan ‘anniversary’ pulak sakit saya ni. Apapun syukur, kerana ianya tidaklah terlalu serius sehingga saya tidak mampu berjalan. Cuma saya perlu rihat secukupnya supaya proses penyembuhan berlaku dengan lebih pantas.
Dalam Part 38 kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua, satu lagi bentuk pelaburan yang saya kira antara yang terbaik di samping emas yang memang ternyata ‘hebat’ dan punyai sejarahnya tersendiri. Pelaburan yang saya maksudkan ialah pelaburan dalam Dana Ekuiti (Unit Trust - UT).
Ramai yang agak keliru dan menganggap unit trust dan Amanah Saham (AS) adalah sama. Insya Allah sekejap lagi akan saya kongsikan. Tapi sebelum itu saya nak kongsi sikit tentang penglibatan saya dengan UT.
Baru-baru ini saya dah isi borang untuk menyertai Cimb Wealth Advisor (CWA) di bawah leader hebat Puan Fiona Tahir. Tapi setakat ini belum ada jodoh. Kerana sebab-sebab tertentu saya terpaksa membatalkan ujian yang sepatutnya diambil walaupun bayaran penuh telah dibuat. Bukan sikit jumlahnya - RM300.00. Rugi juga rasanya sebab bukan senang nak dapat duit tu! Tapi apa nak buat, dah ditakdirkan belum ada jodoh!
Biasanya sebab utama saya masuk dalam mana-mana syarikat unit trust adalah kerana saya sendiri mahu atau ada perancangan untuk melabur. Saya berpandangan, dengan menjadi ejen dapat juga saya merasa komisyen walaupun tidak seberapa. Itulah sebabnya saya ‘tidak berjaya’ dalam mana-mana syarikat unit trust terdahulu sebab ‘matlamat’ saya bukan nak jual, tapi nak pakai sendiri.
Pertama kali saya join syarikat unit trust adalah sekitar tahun 1997 semasa bekerja sebagai se orang penyarah di sebuah univesiti di Kuala Lumpur atas jemputan se orang sahabat baik saya. TA Unit Trust. Ini syarikat UT pertama yang saya sertai. Mungkin ramai yang tak pernah dengar syarikat ni. Kalau anda perasan, pejabat TA terletak tak jauh dari KLCC. Tinggi juga menaranya. Tapi ramai yang tak perasan. Sepanjang lebih setahun dalam syarikat TA, saya tak pernah pun jual tapi menjadi ‘client’ sahaja. Selepas TA Unit Trust, saya join ARB Unit Trust. Nasib saya di sini pun sama. Inilah masalah yang menjadi penghalang kepada kejayaan saya dalam mencapai kejayaan seperti orang lain dalam perniagaan seumpama ini. “Hangat-hangat tahi ayam”. Semangat saya tak kekal lama.
Apapun ‘nasib’ saya dalam unit trust sebagai advisor atau ejen, ia sikit pun tak merobah padangan saya terhadap ‘kehebatan’ melabur dalam UT bahkan ia satu pelaburan yang amat berbaloi untuk jangka masa panjang. Semasa dalam TA, saya mencarum menggunakan peruntukan yang dibenarkan oleh KWSP. Nak melabur duit cash pun tak pernah ada ‘extra’ akibat sifat saya yang boros ketika berbelanja. Sahabat yang ikuti tulisan saya sejak part pertama, pasti masih ingat bagaimana saya boleh belanja sehingga RM20,000 di internet sahaja melalui portal e-bay sekitar tahun 1999-2005.
Setelah melabur dalam TA selama kurang lebih 10 tahun, saya dapati keuntungan yang saya perolehi melebihi 100%. Alhamdulillah!
Banyak sekali syarikat-syarikat di luar sana yang menawarkan produk pelaburan UT. Antara yang masyhur ialah CWA atau CIMB wealth Advisor, Public Mutual dan banyak lagi.
Baiklah, sekarang saya akan kongsikan pula apa itu Amanah Saham (AS)? Saya pasti anda pasti ‘familiar’ dengan istilah AS kan? AS banyak sekali diterbitkan oleh pihak kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB). Anda pasti selalu dengar tentang Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Bumiputera dan lain-lain. Ini adalah beberapa produk yang dikeluarkan oleh PNB
Terdapat beberapa perbezaan ketara antara AS dan Unit Trust (UT). Antaranya AS dijual dengan harga tetap sebagai contoh Amanah Saham Bumiputera (ASB) dijual dengan harga RM1.00 bagi setiap unit. Jika anda melabur sebanyak RM1,000 maka anda akan dapat 1000 unit. Apabila anda membuat keputusan untuk menjualnya selepas 10 tahun sebagai contoh, anda masih lagi mendapat 1,000 unit bernilai RM1,000. Dari satu sudut anda telah mendapat satu bentuk ‘security’ di sini kerana anda tidak perlu risau tentang risiko kerugian. Pelaburan dalam ASB amat sesuai bagi mereka yang ‘kurang berani’ mengambil risiko dalam pelaburan mereka. Pulangan dalam ASB sejak beberapa tahun lalu adalah sekitar 8% setahun tidak jauh dari pulangan yang diagihkan oleh Tabung Haji kepada pendepositnya. Cuma ada sedikit isu berkaitan kepatuhan syariah dalam pelaburan ASB. Ramai yang beranggapan ianya tidak patuh syariah atau dalam erti kata lain ianya bukan pelaburan yang halal kerana ASB membuat pelaburan di dalam beberapa institusi yang tidak patuh syariah yang terlibat dengan penjualan arak, perjudian, pengambilan riba dan sebagainya. Jadi saya personally berpadangan, adalah lebih baik untuk kita mencari pelaburan yang jelas halalnya kerana Nabi s.a.w pernah bersabda “ Setiap daging yang tumbuh dari rezki yang haram, maka nerakalah lebih berhak baginya”.
Manakala UT pula ia agak berbeza kerana harganya tidak ‘fixed’ atau ditetapkan. Jadi ‘risiko’ untuk rugi tetap ada tapi pulangannya amat ‘berbaloi’. Saya mula melabur melalui KWSP pada sekitar tahun 1997 dan sehingga kini saya telah beroleh lebih dari 100% keuntungan pelaburan saya. Cuma yang bagusnya saya tak boleh ambil keuntungan atau mengeluarkan wang tersebut sebelum mencecah umur pencen yang ditetapkan iaitu 55 tahun. Two more years to go!
Satu perkara yang perlu difahami oleh pelabur UT ialah bahawa walaupun UT sememangnya melibatkan bursa saham yang mana risiko kerugiannya amat tinggi, namun ia berbeza dengan UT kerana UT adalah himpunan saham-saham terbaik yang dipilih begitu teliti oleh syarikat-syarikat pengeluar produk unit trust ini yang digelar sebagai ‘Fund Manager’. Jika harga saham di Bursa Saham boleh jatuh mendadak dari RM1.00 seunit kepada RM0.10 seunit, maka ini tidak akan berlaku kepada UT. Penurunannya tidak mendadak kerana ianya bukan pelaburan dalam saham tertentu sahaja tetapi gabungan saham-saham terbaik. Kalau pun jatuh UT ia tidak seteruk harga saham. Kalau pun harga menurun, penurunannya mungkin dari RM1.00 seunit kepada RM0.90 atau RM0.80 seunit. Namun berdasarkan kepada performance unit trust secara keseluruhannya, harga UT akan meningkat kembali. Sebab itu jika anda mahu melabur dalam UT, pastikan anda menggunakan ‘wang extra’ yang tidak anda perlukan dalam tempoh 3-5 tahun sekurang-kurangnya kerana kalau anda menjualnya semasa harga sedang menurun anda akan mengalami kerugian. Kerugian dalam pelaburan sememangnya sudah sinonim. Kerugian datang dalam satu pakej dengan keuntungan. Cuma anda perlu memahami terlebih dahulu kaedah-kaedah bagi mengelakkan kerugian tersebut atau sekurang-kurangnya ‘meminimumkan’ kerugian.
Beberapa tips yang dikongsikan oleh otai-otai dalam pelaburan UT. Antaranya ialah:
Pertama, belilah semasa harga rendah dan menjualnya apabila harga naik. Itu pun nak kena buat calculation yang betul. Kena tolak campur caj perkhidmatan yang perlu anda bayar antara 5%-6.5% bagi pelaburan tunai dan 3% bagi pelaburan melalui skim KWSP. Sebab itu anda perlu melabur dalam jangka masa panjang supaya anda boleh ‘cover’ balik caj tersebut.
Kedua, jangan melabur ‘gedebuk’ sekali gus. Sebagai contoh kalau anda ada RM10,000 jangan laburkan sekaligus kecualilah jika harga semasa memang betul-betul rendah. Ini dipanggil Dollar Cost Averaging. Maksudnya anda pecah-pecahkan jumlah tersebut dan melabur secara berasingan mungkin secara bulanan kerana dengan cara ini adalah boleh dapat harga purata bagi pelaburan anda.
Ketiga, pilih fund dengan betul. Jangan harap 100% kepada ejen. Sebab ejen ni dia kira nak ‘close’ jer. Tapi bukan semualah. Pilih ejen yang berpengalaman. Selain dari itu boleh juga buat search dekat internet untuk lihat ranking dan juga performance syarikat atau Fund Manager.
Keempat, Elak dari membeli fund yang baru keluar kerana new fund masih belum diketahui performance dia. Jadi kalau nak beli, belilah yang dah terbukti performancenya. Ini pun bukanlah satu jaminan. Sebab performance yang lalu tidak semesti akan sama dengan performance yang akan datang. Tapi sekurang-kurangnya kita boleh membuat ‘prediction’ atau andaian kerana sudah ada sejarah yang lampau.
Selamat Melabur!
Bersambung….
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Mantin, Negeri Sembilan
Khamis 28 April 2016 / 20 Rajab 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment