Tuesday, April 19, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 34)

DIDAKWA & DIJATUHKAN HUKUMAN OLEH MAHKAMAH
Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….Allah masih lagi memberi peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya.
Di dalam siri yang lalu saya berkongsi dengan anda semua tentang serbuan yang dibuat oleh pihak PDRM dan juga Bank Negara Malaysia ke atas semua premis DINA di seluruh Negara. Semua yang tertuduh dan saksi telah dipanggil memberi keterangan termasuk saya. Sebaik saja selesai disoal siasat, hati saya semakin tidak tenteram. Hati saya amat berat mengatakan bahawa suatu yang lebih buruk pasti akan berlaku. Telahan saya memang tepat. Kesemua mereka yang terlibat secara langsung dengan DINA telah didakwa dan didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Shaari dipenjara selama 15 bulan. Begitu juga dengan peguam Ramlan. Beliau turut dikenakan hukuman yang sama oleh Hakim S.M.Komathy Suppiah. Ust Mansur bagaimanapun berjaya melarikan diri dan terus diburu oleh Polis.
Di Brunei, mahkamah juga mendapati bahawa Ramlan yang merupakan Presiden DINA Brunei dan Haji Yusof iaitu bapa mertua beliau telah dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Brunei. Ramlan dipenjara selama 4 tahun. Manakala Haji Yusof selama 3 tahun. Shaari yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah DINA di Brunei turut dikenakan hukuman penjara selama 6 tahun oleh mahkamah.
Saya menarik nafas panjang. Saya hairan bagaiamana seorang yang mempunyai latar balakang agama, sanggup bertidak sedemikian rupa menipu orang ramai seakan telah hilang ketakutan kepada azab Allah di akhirat nanti. Saya dimaklumkan oleh jiran-jiran saya di Jerantut, Pahang bahawa Hj Mat (bukan nama sebenar) yang merupakan ayah kepada Ustaz Mansur merupakan guru agama yang amat aktif menyampaikan kuliah di Daerah Jerantut dan Kuala Lipis Pahang.
Saya juga merasa amat hairan, bagaimana setelah melakukan solat hajat sebanyak 12 rakaat, saya masih ditunjukkan rupa parasnya yang berseri-seri di permukaan langit sehingga saya berkeyakinan bahawa itu adalah petunjuk dari Allah. Peristiwa sebegini bukan sekali saya alami. Kali pertama saya alami ialah semasa bemalam di rumah Ustaz Mansur ketika menghantar kereta Mercedes CLS yang dihadiahkan oleh Shaari kepada Ustaz Mansur. Malam tesebut saya juga bermimpi berjumpa beliau dan saya juga menangis teresak-esak.
Satu lagi peristiwa yang hingga kini tidak dapat saya lupakan ialah kejadian saya dibawa ke alam ‘ruh’ oleh dua orang anak muridnya yang dikenali dalam DINA sebagai Mejar dan Laksamana. Saya menangis teresak-esak kerana merasakan Allah begitu hampir dengan saya.
Saya juga hairan kenapa begitu ramai yang sangat taasub kepada ‘ustaz’ tersebut dan sanggup mencium tangannya? Astaghfirullah! saya beristighfar panjang. Dalam hidup saya tidak pernah saya menyesali perbuatan saya mencium tangan seseorang. Tapi yang satu ini, terasa geli geleman bila saya mengingati kembali peristiwa tersebut. Memang saya amat menyesal!
Beberapa hari selepas hukuman dijatuhkan ke atas semua yang tertuduh, saya menelefon Dr Nik Syukri, bekas penasihat Syariah DINA sebelum saya yang juga merupakan kaum kerabat saya. Kami bertemu di sebuah restoran mamak di area Gombak. Beliau mempunyai selera yang sama dengan saya. Kami suka daging kambing. Sambil menjamu selera, saya memulakan cerita saya semasa dalam DINA. “Ana bukan tak percaya pada enta Syeikh bila enta kata Ust Mansur ni penipu dan lain-lain, tapi tak tau kenapa, hati ana sangat kuat meyakininya. Ana solat hajat 12 rakaat minta Allah tunjukkan siapa sebenar Ust Mansur ini…ana hairan kenapa rupanya yang Allah tunjuk” cerita saya kepada Dr Nik Syukri. “Ana pun macam tu juga Dr. Ana juga dapat mimpi yang sama. Ana yakin dia pakai jin!” jawab Dr Nik Syukri dengan tegas. “Biar betul?” kata saya seakan tidak mempercayai kata-kata Dr Nik Syukri. “Bukan ana sorang saja yang melalui pengalaman macam tu, ramai lagi. Ramai orang terpikat dangan Mansur ni sebab dia boleh berubat. Dia berubat pakai jin. Bila pesakit sembuh, maka mereka ni lah yang akan jadi anak murid tegar dia” jelas Dr Nik Syukri lagi. Penjelasan Dr Nik Syukri itu menjelaskan banyak perkara yang sebelum ini berlegar-legar dalam kepala saya.
Rupanya bila kita berdoa kepada Allah supaya diberi pertunjuk, tidak semestinya Allah tunjuk melalui mimpi. Syaitan dan jin, berdasarkan pengalaman saya, masih boleh menguasai pemikiran kita bahkan mampu masuk dalam mimpi kita bagi tujuan menyesatkan kita.
Satu pengejaran berguna yang saya kutip dari pengalaman bersama DINA. Dengan pengalaman ini saya sudah bertaubat dan insaf dan tidak lagi akan melibatkan diri dalam skim seumpama ini. Skim yang nampak sangat ‘Islamic’ tetapi manusia sanggup menggunakan agama bagi memenuhi nafsu serakah mereka. Sekarang ini saya memang anti skim cepat kaya dan saya akan memeranginya habis-habisan kerana ia adalah satu penipuan, ia juga satu kezaliman!
Elakkan Skim Cepat Kaya, Ana pasti lebih bahagia!
Ameen!
Bersambung….
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Jerantut Pahang.
Khamis 14 April 2016 / 5 Rajab 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...