Tuesday, April 5, 2016

~ KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 21)


POLIGAMI DALAM  MLM?

Ada orang kata, kalau nak masuk MLM kena masuk syarikat yang baru buka sebab kita boleh book nama kita antara yang teratas. Nanti semua orang akan duduk di bawah kita. Bagi mereka yang mempunyai banyak pengalaman dalam perniagaan MLM mereka pasti tersenyum mendengar pandangan seumpama ini kerana kenyataan ini adalah jauh dari hakikat kebenaran sebenar! Seperti yang saya kongsikan dalam siri yang lalu, tidak kurang 10 kali saya keluar masuk MLM. Kadang-kadang masuk ikut syarikat lain dan keluar pulak dari syarikat lain. Adakalanya dua tiga syarikat saya masuk dalam masa yang sama. Saya ‘BERPOLIGAMI’ dalam perniagaan MLM. Kalau berkahwin dengan cara POLIGAMI pun begitu sukar untuk berjaya dan membahagiakan semua isteri-isteri,  samalah keadaanya jika kita berada dalam syarikat MLM. Pilih syarikat MLM, sama macam pilih isteri atau suami. Pilih satu dan yang terbaik adalah yang paling bagus sebab anda akan hidup bersamanya selama-lamanya. Anda tak mahu hidup bersama hanya beberapa ketika kemudian nampak yang lain terus jatuh hati dan ‘kawin’ lain. Anda harus ‘stick’ kepada yang satu dan berikan perhatian kepadanya sepenuh hati. Anda pasti akan bahagian insya Allah!
Kalau anda masuk 2 atau tiga syarikat MLM sekaligus anda pasti tidak mampu untuk memberikan perhatian secara khusus atau ‘fokus’. Dalam bisnes jika anda gagal memberi fokus anda pasti gagal. Kalau pun anda berjaya, kejayaan anda tidaklah boleh begitu dibanggakan oleh anak cucu anda di kemudian hari nanti. Se orang mentor saya semasa dalam perniagaan takaful, Bro Danial Abdullah selalu berpesan kepada saya: “Dr Nik, you kena fokus dalam bisnes ni kala u nak berjaya. Cuba you tengok kanta pembesar, masa bila ianya boleh membentuk cahaya yang boleh membakar? Bila cahaya itu fokus kepada satu arah. Jika you alih-alihkan kanta itu, pasti kanta itu tidak mampu membakar objek yang ada di bawahnya.”.
Berniaga dalam MLM sebenarnya sama seperti berpoligami, anda perlu bahagikan masa anda dengan adil dan saksama dan anda  kena ingat anda hanya ada 24 jam sehari semalam. Anda kena bahagikan wang anda juga dengan adil dan saksama walau berapa pendapatan anda. Anda perlu lakukan berbagai usaha untuk membahagiakan semua isteri-isteri anda. Saya bercerita melalui pengalaman dalam kedua-dua bidang ‘poligami’ ini.
Berbalik kepada perniagaan MLM, Dalam kebanyakan hal, anda akan gagal memberikan yang terbaik yang sepatutnya anda berikan jika anda memiliki lebih dari satu perniagaan samada perniagaan MLM atau yang berbentuk konvensional.  Sebab itu yang terbaik anda pilih yang TERBAIK di antara yang ada. Mengikut ‘mazhab’ qadim (lama) saya dalam perniagaan, saya guna logik begini.   Kalau saya ada hanya satu produk atau satu jenis perniagaan, maka potential client saya menjadi lebih kecil berbanding jika saya punyai banyak bisnes atau produk. Kalau saya offer satu produk dan bakal klien tidak berminat, maka saya akan offer produk-produk yang lain. Untung-untung satu produk ‘melekat’. Itu logik yang saya pakai. Macam supermarket! Tetapi ternyata ianya tidak membawa saya ke mana-mana. Akhirnya semua bisnes yang saya buat terkubur!
Perniagaan secara umumnya sama seperti mendaki gunung. Anda akan sampai ke kemuncaknya bila anda terus mendaki dan mendaki tanpa henti walaupun anda hanya melangkah setapak ke hadapan pada setiap hari. Lambat laun anda pasti akan sampai jua ke kemuncak yang menjadi kebangaan dan impian setiap pendaki. Benar! Anda lambat sampai berbanding orang lain, tetapi anda tetap SAMPAI! Namun berdasarkan pengalaman saya, antara sebab kegagalan saya dan ramai lagi usahawan MLM adalah kerana tabiat seperti ‘KATAK’ yang suka melompat ikut suka hati saja. Buat Sekejap dalam satu MLM, lepas tu bila ada orang kata ada lagi MLM baru muncul yang lebih menarik dan lebih mudah untuk berjaya, maka si katak tadi terus melompat ke lubuk yang lain yang disangka lebih meriah dengan berbagai-bagai tawaran dan Pakej istimewa. Bila dah lompat, rupanya indah khabar dari rupa. Baru dua tiga bulan dalam bisnes, baru nak masuk gear satu, syarikat sudah bungkus kerana didakwa terlibat dengan SKIM CEPAT KAYA!
Pengusaha bisnes MLM gaya ‘katak’ ini mustahil berjaya. Dalam bisnes MLM anda perlu menjadi seperti ‘ULAR SAWA’. Walaupun anda merangkak Perlahan-lahan, bahkan jauh Perlahan dari si katak, namun anda tetap konsisten mencari makanan dan akhirnya anda pasti akan menemui ‘rezki’ anda – se ekor katak yang sering melompat-lompat ke sana kemari tanpa ada matlamat yang jelas.
Saya belum berjumpa dengan pengusaha MLM bersifat seperti ‘katak’ yang berjaya dalam bisnes mereka. Yang pasti, mereka yang konsisten dan istiqamahlah yang meraih kejayaan yang besar dalam bisnes mereka. Ramai sekali leaders yang saya kenali dalam pelbagai jenis bisnes MLM dan lainnya berjaya kerana mereka berpegang teguh pada yang satu bisnes walau sehebat mana badai melanda. Saya kagumi dengan se orang leader dalam Shaklee yang amat dikenali oleh semua ahli. Haji Roslan namanya. Semasa saya menyertai Shaklee pada tahu 1990 beliau sudah pun menyertainya dan sudah beroleh pendapatan yang agak lumayan dan kini setelah lebih 26 tahun beliau masih setia bersama Shaklee. Manakala saya pula keluar masuk Shaklee kerana pelbagai sebab dan akhirnya saya sehingga kini tidak berjaya.  Saya juga kagum dengan Puan Cory dari 4Life yang kini sudah 16 tahun bersama 4life. Bermula dari Singapura, ke Malaysia, Indonesia dan kini seluruh dunia beliau mempunyai rangakaiannya. Jadi tidak hairanlah jika pendapatannya kini sudah mencecah setengah juta ringgit pada setiap bulan!
Se orang lagi leader yang saya kagumi dan saya banyak belajar darinya ialah Bro Danial Abdullah dari Etiqa Takaful. Saya pernah menyertai etiqa sekitar tahun 2004, iaitu lebih kurang 12 tahun yang lalu. Kerana sifat suka melompat, saya keluar dari etiqa dan menyertai syarikat takaful yang lain. Berjayakah saya dengan cara suka melompat seperti ini? Jawapannya pasti tidak!
Selain stick to ONE..atau kekal dengan satu syarikat yang merupakan pra syarat untuk berjaya dalam bisnes MLM, anda juga harus pandai memilih syarikat mana yang ingin disertai. Jangan masuk semberono sahaja. Jangan juga masuk dalam bisnes MLM hanya kerana ‘nak jaga hati’ kaum kerabat atau sahabat. Anda tidak akan berjaya! Anda kena buat penyelidikan. Lihat bukti-bukti kejayaan para leadersnya. Tengok produknya. Jika produknya sudah berpuluh tahun ada dalam market, itu tandanya syarikat ini adalah syarikat yang teguh. Tengok background syarikat. Bila ditubuhkan. Saya lebih suka menyertai syarikat yang bertaraf antarabangsa. Bukan kerana tidak menyokong produk tempatan, tetapi anda lihat sendiri, mana syarikat tempatan yang mampu bertahan lama! Saya suka masuk syarikat MLM yang sudah ‘berusia’ kerana ia sudah matang dan established. Bukan syarikat-syarikat baru yang sedang mencari-cari tapak. Syarikat-syarikat yang nilai jualan sudah mencecah berbilion Ringgit pasti lebih teguh dari syarikat yang baru mampu menjual puluhan ribu ringgit!
Anda kena ingat, kejayaan anda dalam syarikat MLM bukan kerana anda berada di atas, tetapi bergantung kepada usaha anda, komitment anda, keyakinan anda dengan syarikat, produk dan plan perniagaannya, kesungguhan anda mencari ahli-ahli baru, leadership quality yang ada pada anda, konsistensi anda. Ini yang menjamin kejayaan anda. Sebagai contoh, upline anda sudah 10 tahun berada dalam syarikat tetapi tidak begitu komited dengan bisnesnya. Kemudian anda masuk di bawahnya. Dan sebagai se orang yang mempunyai impian yang tinggi, anda begitu komited berusaha. Anda benar-benar gigih berusaha siang dan malam tanpa rasa penat dan jemu. Pada pandangan anda, pendapatan siapa yang lebih tinggi? Jika anda menjawab, upline anda yang lebih tinggi pendapatannya, maka anda sebenarnya terkeliru dengan skim cepat kaya atau skim cepat kaya yang berselindung di sebalik syarikat MLM. Syarikat MLM sebenarnya tidak menjadikan ‘seniority’ sebagai tiket untuk berjaya dan mendapat pendapatan lumayan.




Wassalam – Bersambung…..
“Saya mahu anda jadi Jutawan dengan tips yang saya kongsikan.”
Artikel ini boleh juga anda baca di
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Selasa  29 Mac 2016 / 20 Jamadil Akhir 1437

#Kenapasayatidakjadijutawan
#jutawanmuslim
#jutawanmukmin
#sharingiscaring – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...