Tuesday, April 5, 2016

~ KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 20)


BISNES KONVENSIONAL VS MULTI LEVEL MARKETING (MLM) AKA JUALAN LANGSUNG

Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!

Saya tahu ramai yang nak berniaga dan ramai yang barangan-angan menjadi se orang peniaga yang berjaya – yang bergelar JUTAWAN! Ada yang masih tercari-cari apa bisnes yang nak dibuat..ada yang sedang  merancang bila akan memulakan bisnes..bahkan Mungkin hari ini merupakan hari pertama mereka memulakan bisnes. Tahniah! Kepada anda kerana mengikut jejak Rasulullah s.a.w dalam berniaga.
Kalau anda tanya saya, apa jenis bisnes yang saya paling suka atau paling minat? Maka jawab saya MLM atau bisnes berbilang tingkat. Bila sebut MLM atau jualan langsung ramai sekali yang agak skeptical dan ‘menjuihkan’ bibir mereka. Bagi mereka bisnes MLM ni bisnes low class. Bisnes yang memaksa anda untuk menjaja produk siang dan malam. Amat sinonim MLM dengan ‘Meniaga Larut Malam’ bagi menampakkan betapa ‘teruknya’ bisnes  MLM ini.
Saya tidak tahu berapa banyak pengalaman yang anda lalui dalam MLM. Sebab ramai sekali mereka yang terus memberikan berbagai ‘cop’ kepada MLM dengan berbagai label sedangkan mereka sendiri TIDAK FAHAM pun apa itu MLM!  Semuanya menggambarkan betapa negatifnya bisnes ini pada pandangan mereka. Bahkan ada setengah pak-pak Ustaz yang terus mengharamkan bisnes MLM kerana menurut mereka bisnes ini ‘mengayakan’ orang di atas atau upline. Semua ini adalah tanggapan-tanggapan buruk terhadap bisnes MLM yang jauh menyempang dari kebenaran.
Pun begitu, secara jujur saya INGIN MENGAKUI  kepada anda semua, bahawa saya adalah HARDCORE bisnes MLM. Dalam sejarah perniagaan saya, MLM sentiasa  di hati. Saya tidak pernah serik untuk keluar masuk syarikat-syarikat MLM sehingga ke hari ini!
 Sejarah penglibatan saya dalam syarikat MLM bermula pada tahun 1990 sebaik pulang dari menamatkan pengajian dalam bidang syariah di Al Azhar Universiti, Mesir. Syarikat MLM pertama yang saya sertai adalah Shaklee. Pada masa itu Shaklee baru saja berusia 2 tahun di Malaysia.  Bukanlah minat sangat pada masa itu untuk sertai mana-mana bisnes apatah lagi bisnes MLM. Bukan faham sangat pun sebenarnya. Tapi kerana ‘terpedaya’ dengan potensi income yang amat luar biasa, saya kecundang dengan ‘ceramah motivasi’ one of the leaders yang diperkenalkan oleh kekanda saya Poknik yang juga hardcore MLM. Secara umumnya saya masuk kerana mengikut kekanda saya. Dengan bermodalkan RM5,000 dengan menggunakan kad kredit, saya memulakan langkah perniagaan MLM saya. Saya memang amat serius berusaha. Saya travel dari satu tempat ke satu tempat. Saya sering drive dari KL ke Kota Bharu dan banyak lagi destinasi lain demi mempromosikan bisnes ini. Namun rezeki tidak menyebelahi saya. Belum pun sempat saya mengecapi ‘nikmat’ keuntungan dalam Shaklee, kekanda saya mengambil keputusan untuk berhenti kerana tidak puas hati dengan upline beliau! Saya yang ‘menumpang’ leadership beliau terpaksa mengambil langkah sama walaupun beliau pada masa itu beliau sudah layak mendapatkan bonus kereta!
Banyak sekali bisnes yang kami sama-sama ceburi antaranya Cellfood. Semasa berada dalam Cellfood saya pernah terbang ke Thailand untuk Mempromosikan bisnes ini tapi sekali lagi rezeki tidak menyebelahi saya. Kami kemudiannya menyertai  Score A. Separuh jalan kami berhenti. Sebab yang hampir sama. Tidak puas hati dengan leader. Kemudian kami sertai Score A sekali lagi dengan pelaburan mencecah puluhan ribu ringgit. Namun nasib yang sama menimpa kami. Kami gagal lagi.  
Serik kerana asyik gagal, saya mengambil keputusan bergerak sendirian. Tidak lagi mahu terikat dengan kanda saya Poknik. Selepas itu saya menyertai  Amway. Sebanyak 3 kali saya mencuba, namun rezki saya masih belum tertulis dalam MLM.   Sekitar tahun  2009-2010 dalam saya mencari-cari syarikat MLM untuk disertai, akhirnya terjumpa dengan 4Life. Alhamdulillah, saya ketemu se orang leader yang amat prihatin dengan downlinenya. Saya diberi berbagai bentuk bantuan termasuk tiket penerbangan, elaun bulanan sebanyak RM5,000, bayaran sewa rumah, pengiklanan dan lain-lain semasa dihantar ke seluruh Sabah untuk Mempromosikan perniagaan 4life. Entah di mana silapnya saya masih gagal menemui rentak yang betul dalam perniagaan MLM.
Saya dan kekanda saya pernah suatu hati berbincang, apa lagi bisnes MLM yang hendak kami ceburi namun kerana sering saja gagal, kami membuat keputusan untuk tidak lagi menyertai mana-mana syarikat MLM. Kami merasakan bahawa MLM bukan punca rezki kami! Kami sudah serik! NO MORE MLM!
Lama kami menjauhi syarikat MLM walaupun kami sering dipujuk rayu oleh ramai ahli dari berbagai-bagai syarikat MLM. Kerana mereka melihat kami mempunyai potensi sebagai ‘leader’ walaupun kami tidak pernah berjaya! Pelikkan?

Setelah sekian lama berihat, saya kembali jatuh hati dengan ‘JANDA LAMA’ saya – iaitu syarikat MLM  lama yang saya serta pada tahun 1990 iaitu Shaklee. Isteri saya yang sebenarnya menyertainya terlebih dahulu. Apa yang yang menyebabkan saya tertarik dengan Shaklee ini ialah kerana majority leadersnya membuat promosi melalui online tanpa perlu melakukannya secara face to face. Semua promosi, penerangan, training dan lain-lain dibuat sepenuhnya secara online. Kemunculan media social seperti FB, Whatsapp, Telegram dan lain-lain teryata memberi nafas baru kepada MLM. Saya pun begitu teruja dengan kaedah baru ini dan langsung menyertai Shaklee buat kali kedua sebagai downline kepada isteri saya.
Dengan kombinasi team baru ini saya bersyukur, untuk pertama kali dalam sejarah perniagaan MLM, kami memperolehi pendapatan sehingga RM4,000 dalam satu bulan. Saya dan isteri layak untuk pertama kali menyertai konvensyen yang diadakan di Sunway Lagoon secara percuma. Saya dan isteri sudah dapat merasakan bahawa akhirnya dengan berkat kesungguhan dan kesabaran, KEJAYAAN pasti akan menjadi milik kita.
Kami mula membina impian untuk mendapat pendapatan yang lebih besar. Kami mahu bebas. Saya mahu meletakkan jawatan sebagai pensyarah. Kenapa tidak, leader kami pada masa itu memperolehi pendapatan bulanan sehingga RM500,000! Kalau kami dapat 10% dari pendapatan leader kami pun, kami amat bersyukur dan berpuasa hati!
Kami membuat pelaburan lebih besar dalam pengiklanan kerana ia adalah asas kejayaan online bisnes. Irfan Khairi dalam satu seminar yang saya sertai berkata, rahasia kejayaan dalam online bisnes ada 3. Pertama: Promosi. Kedua: Promosi. Ketiga: Promosi.

Namun dalam kerancakan kami membuat promosi, suatu yang menyayat hati berlaku kepada umat Islam di Palestine. Pihak Zionis Isreal telah menyerang umat Islam di sana dengan begitu ganas dan tanpa peri kemaknusiaan. Ramai sekali yang terbunuh termasuk kanak-kanak, orang-orang tua dan juga wanita yang tidak berdosa menjadi korban. Ketika ini keluar satu posting yang ditulis oleh Ustaz Zaharudin Abdul Rahman di FB beliau yang mempersoalkan tentang kewajaran untuk memboikot Shaklee kerana kaitannya dengan Yahudi. Saya membuat beberapa kajian dan sah! CEO Shaklee sememangnya se orang Yahudi dan merupakan Board of Directors kepada satu organisasi Yahudi yang secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan  regim zionis di Israel.
Saya dan isteri telah berbincang panjang, lalu membuat keputusan untuk memboikot Shaklee dan saya sendiri menulis satu artikel di dalam blog saya – Kenapa saya Boikot Shaklee? Akhirnya keahlian saya dalam Shaklee dibatalkan. Bagi saya ini adalah sedikit sumbangan yang saya dapat berikan sebagai tanda sokongan kepada saudara-mara se Islam saya di Palestin. Memang amat sukar untuk membuat keputusan ini dalam keadaan pendapatan yang sudah agak lumayan pada masa itu. Moga Allah terima sedikit pengorbanan kami sebagai amal soleh. Ameen!

Selepas dibuang dari Shaklee, saya mencari-cari bisnes MLM lain untuk diceburi dan akhirnya sekali lagi saya sertai 4life bersama dengan upline saya yang amat saya kagumi.

Pembaca pastinya tertanya-tanya, kenapa saya seolah begitu terpukau dengan perniagaan MLM sedangkan banyak lagi bisnes lain yang juga menjanjikan pulangan yang jauh lebih lumayan? Ok! Ini jawapan saya. Ada beberapa sebab utama kenapa saya begitu ‘tergila-gila’ dengan bisnes MLM.
Pertama: modal yang kecil
Ikhlas saya katakan, bahawa saya tidak mempunyai modal yang banyak untuk memulakan perniagaan. Meskipun saya memang amat meminati bidang perniagaan, namun ketiadaan modal menjadikan saya ‘terpaksa’ menyertai MLM. Dalam MLM anda tidak perlu ribuan ringgit untuk memulakan perniagaan. Dalam 4life sebagai contoh anda hanya perlukan modal sekitar RM600 sahaja. Dalam RCC Stevia anda Cuma perlukan modal sebanyak RM140 untuk menjadi pengedar. Namun potensi pulangan boleh mencecah puluhan bahkan ratusan ribu dalam jangka masa panjang apabila rangkaian anda mula membesar dan berkembang.
Kedua: Tiada Risiko
Benar! Dalam MLM tiada langsung risiko yang terpaksa anda tanggung. Anda keluarkan modal untuk membeli produk dan produk tersebut amat berkualiti. Apa yang anda perlu buat hanya makan produk tersebut dan kongsikan kebaikannya kepada sahabat anda, kaum kerabat anda, jiran tetangga anda. Baginilah kaedah bagaimana berkembangnya perniagaan anda dari hari ke hari.
Ketiga: Tiada Belanja Penyelenggaraan
Dalam bisnes MLM anda tidak perlu menyewa pejabat, membayar sewa pejabat, membayar gaji pekerja, membayar bil elektrik, air dan lain-lain. Anda boleh ke mana-mana cawangan syarikat di seluruh dunia dan menggunakan fasiliti yang disediakan secara percuma.
Keempat: Tiada Risiko ditipu
Dalam bisnes konvensional, ramai peniaga rugi bukan kerana bisnes tidak maju dan berdaya saing tetapi mereka ditipu oleh staf dan rakan kongsi mereka. Ini tidak berlaku kepada bisnes MLM. Anda sentiasa berjiwa tenang!
Kelima: Anda tidak perlu berada di lokasi tertentu
Kalau anda buka restoran, anda perlu sentiasa berada di situ bagi mempastikan pekerja anda berkerja dengan betul. Anda kena pastikan klien anda berpuas hati dengan makanan dan servis yang anda sediakan. Anda kena berada di kaunter pembayaran bagi mempastikan staf anda tidak melarikan wang anda kecuali jika anda mampu mencari pekerja yang benar-benar amanah.
Keenam: Anda tidak perlu bekerja selama-lamanya
Dalam MLM yang best part ialah bila organisasi anda sudah berkembang luas. Leaders yang anda latih sudah mampu berdikari. Saat ini anda hanya perlu menziarahi mereka. Aturkan pertemuan dengan mereka. Memberi mereka motivasi dan bimbing mereka sehingga mereka berjaya mencapai apa yang anda capai. Sebagai contoh kalau anda sudah mencapai suatu tahap yang mana bonus anda sudah mencecah setengah juta ringgit seperti leader saya Cory, anda akan terus-menerus  menikmati bonus tersebut  meskipun anda bercuti selama setahun! Ianya amat berbaloi dengan susah payah yang anda lalui bertahan-tahun lamanya!

Ya! Sebab itulah MLM is always in my heart!

Wassalam – Bersambung…..
“Saya mahu anda jadi Jutawan dengan tips yang saya kongsikan.”
Artikel ini boleh juga anda baca di
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Isnin  28 Mac 2016 / 19 Jamadil Akhir 1437

#Kenapasayatidakjadijutawan
#jutawanmuslim
#jutawanmukmin
#sharingiscaring 
– jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...