Tuesday, April 19, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 33)

SYARIKAT DINA DISERBU POLIS DAN BANK NEGARA  

Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….Allah masih lagi memberi peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya.
Semalam saya tidak menulis kerana beberapa sebab. Pertamanya kerana agak sibuk melayan keluarga. Keduanya kerana 'memberi laluan' kepada berita sensasi berhubung siri ceramah oleh Dr Zakir Naik yang mendapat perhatian luar biasa umat Islam gara-gara salah satu ceramahnya di'ban' oleh PDRM kerana kononnya menyentuh sensitiviti agama lain. Beberapa laporan polis dibuat terhadap Dr Zakir Naik dibuat kononnya beliau berfahaman Wahabi dan menyokong keganasan bahkan se orang Profesor berbangsa India dari sebuah parti politik melabel Dr Zakir Naik sebagai ' syaitan'. Ini pastinya menimbulkan kemarahan luar biasa umat Islam. Jadi jika saya membuat posting semalam pastinya ianya akan 'tenggelam' dalam kesibukan perbincangan tentang Dr Zakir Naik.
Dalam siri ini saya akan menyambung kisah tentang peristiwa awal yang membawa kepada 'keruntuhan' DINA iaitu serbuan yang dibuat oleh pihak polis cawangan jenayah komersial dari Bukit Aman dan juga Bank Negara Malaysia.
Pada hari bersejarah dan penuh debaran tersebut saya tiada di pejabat DINA kerana kebetulan pada masa tersebut saya ada tugasan rasmi di Sarawak. Saya cuma mendengar berita yang 'menyayat hati' ini melalui beberapa orang sahabat yang menghubungi saya melalui SMS. "Pejabat DINA di seluruh Malaysia diserbu oleh Polis dan Bank Negara. Dr tak perlu ke pejabat sehingga dimaklumkan kelak". Demikian bunyi SMS yang saya terima. Jantung saya bergoncang. Hati saya resah gelisah. Otak saya beputar ligat. Berfikir. Apa yang harus saya buat di saat itu. Saya cuba menelefon Shaari. Tiada jawapan. Saya menelefon peguam Azlan. Hanya voice message system yang saya dengar. Saya menelefon pejabat DINA juga tiada siapa yang menjawab.
"Salam Dr, sila datang ke Balai Polis Serai Wangi (bukan nama sebenar) dengan segera". Message dari Shaari. Allahu akbar! Apa sudah berlaku? Jiwa saya benar-benar menjadi tidak tenteram. Apa akan jadi pada syarikat? Apa akan jadi pada Ustaz yang amat kami hormati? Bagaimana pula dengan para pelabur? Berbagai persoalan tinbul dibenak pemikiran saya. Dalan perjalanan menuju ke Balai Polis Dang Wangi, saya tidak berhenti berdoa kepada Allah agar tidak ada apa-apa perkara yang buruk berlaku.
Sebaik sampai di Balai Polis Serai Wangi saya lihat semua pengurusan tertinggi DINA ada di sana termasuk Ust Mansur. Shaari dan Peguam Azlan juga ada di sana dan beberapa individu lain yang tidak dikenali juga ada bersama. "Apa yang dah berlaku Yie? Tanya saya pada Shaari. " Semua pejabat kita diserbu secara serentak. Habis computer dan dokumen kita dirampas. Sekarang mereka panggil pengurusan tertinggi dan beberapa staf untuk diambil keterangan" bisik Shaari pada saya. Perlahan saja suaranya. Kelihatan wajahnya agak lesu. Tidak seceria selalu. Sama juga dengan Peguam Ramlan. Dia juga kelihatan sugul. Suasana di Balai Polis pada saat itu umpama baru berlakunya kematian.
Tidak lama kemudian Ustaz kelihatan keluar dari bilik penyiasatan. Mukanya amat serius. Saya bersalaman dengan beliau sambil melemparkan senyuman seperti biasa. Namun hampa. Senyuman saya tidak berbalas. "memang kes serius ni" bisik saya dalam hati. Saya dimaklumkan mereka sudah berada di Balai Polis Serai Wangi ini sejak jam 9.00 pagi lagi. Ustaz adalah individu pertama dipanggil memasuki bilik siasatan. Hampir tiga jam beliau disoal siasat oleh polis dan juga pegawai penyiasat dari Bank Negara Malaysia.
Jam sudah hampir 12.00 tengahari. Giliran Shaari pula dipanggil ke bilik siasatan. Kami menunggu dengan sabar. Tepat jam 1.30 tengahari, Shaari kelihatan keluar dari bilik siasatan dan terus menuju kepada kami yang berkumpul di bahagian luar balai. " "Mereka minta kita datang balik jam 2.30ptg" kata Shaari.
Kami beredar menuju ke sebuah masjid yang terletak tidak jauh dari Balai Polis tersebut untuk menunaikan solat Zohor. Seusai solat kami menuju ke kedai makan mamak yang terletak betul-betul bersebelahan masjid. Kami tidak banyak bercakap. Masing-masing kelihatan sedang berada di dalam satu dunia lain. Hanya tubuh mereka berada di situ. "Ruh" mereka sedang berada di suatu tempat yang terasing. Sebaik makan Shaari cepat-cepat memanggil pelayan restoran untuk membuat bayaran. Memang itu sudah sinonim dengan beliau yang amat pemurah.
Kami bergegas kembali menuju ke Balai Polis Seri Wangi. Sebaik kami sampai, se orang pegawai polis berpangkat inspektor memanggil Ramlan masuk ke dalam bilik. Semasa dalam perjalanan balik dari kedai makan tadi saya sempat bertanya kepada Ramlan tentang keseriusan kes yang melibatkan DINA ini. "Usah risau Dr, ini semua rutin biasa. Saya suspek ada orang buat laporan tentang DINA. Sebab tu polis buat penyiasatan.” kata Ramlan. Kelihatan cuba meyakinkan saya dengan kata-katanya. "Nanti Dr, bagitau saja apa yang sebenar. Tak perlu takut sebab kita bukan menipu. Kita buat ini semua untuk membantu masyarakat". Kata Ramlan lagi seakan mahu menenangkan jiwa saya. Memang ikhlas cakap. Saya memang nervous ke tahap maksimum. Apa tidaknya. Saya tidak pernah disiasat oleh polis. Alhamdulillah sehingga kini saya masih tiada rekod jenayah!
"En Nik Rahim Nik Wajis!". Pegawai Polis yang berpangkat inspektor tadi memanggil nama saya sebaik Ramlan keluar dari bilik penyiasatan. Saya bergegas masuk. Hati saya berbisik dan berdoa agar tiada yang buruk berlaku terhadap saya dan semua kepimpinan dalam DINA. Lebih 6 bulan saya berada dalam DINA semasa serbuan dibuat. Namun saya tidak melihat wujudnya unsur-unsur penipuan yang dilakukan. DINA mempunya 'real business'. Saya sendiri melawat kilang besi dan kenaf milik DINA di Kelantan. Kilang membua baju-baju berjenama di Brunei dan berbagai-bagai lagi projek kerjasama yang dibuat dengan syarikat dan individu.
Meskipun terdapat beberapa isu yang sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan saya, namun ianya bukanlah suatu yang 'major' dan serius pada pandagan saya saat itu seperti tabiat 'heavy smoking' yang menjadi suatu yang begitu 'common' di semua pejabat DINA hinggakan semasa meeting di dalam bilik berhawa dingin pun mereka merokok! Bahkan saya juga akhirnya turut tumpas!
Satu lagi perkara 'pelik' yang saya perhatikan ialah ketaasuban ahli DINA kepada Ustaz Mansur. Bahkan saya sendiri saat itu. Pernah semasa di Brunei Lapangan Terbang Brunei menjadi kecoh apabila ratusan ahli DINA berkampung di sana untuk menyambut ketibaan Ustaz Mansur yang dijangka tiba pada hari tersebut. Siap dengan bunga manggar seperti menyambut ketibaan pembesar negara!
Satu lagi ketaasuban ialah perbuatan mencium tangan Ustaz oleh semua ahli DINA termasuk saya kerana saya memang payah nak cium tangan orang kecuali ayahnda bonda dan para ulama'. Saya amat tidak suka mencium tangan pemimpin kerana tiada sebab yang syar'ie untuk saya melakukannya. Saya ingat cuma sekali saya mencium tangan pemimpin itupun pemimpin luar Malaysia iaitu Sultan Brunei Darussalam.
"Boleh Encik terangkan kepada kami tentang penglibatan Encik dalam syarikat DINA?" tanya pegawai penyiasat kepada saya mengejutkan saya dari lamunan. Sempat juga saya mengelamun seketika sambil menunggu selesainya perbincangan antara pegawai penyiasat dengan pegawai dari Bank Negara Malaysia.
Saya menjelaskan kepada mereka apa yang satu tahu tentang DINA. Saya dimaklumkan bahawa saya dipanggil pada hari tersebut hanya sebagai saksi dan bukan sebagai se orang suspek! fuh..saya menarik nafas lega. Namun saya tetap risau tentang nasib yang bakal dialami oleh Ustaz Mansur, Shaari dan Ramlan yang mungkin akan didakwa atas tuduhan pengambilan deposit tanpa lesen yang sah....
Bersambung!
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Rabu 13 April 2016 / 3 Rajab 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.
Artikel ini juga boleh dibaca di - www.drnikrahim.com -

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...