Tuesday, May 26, 2020

BEKALAN TAKWA PELINDUNG GODAAN SELEPAS RAMADHAN

RAMADHAN BEKALAN DI HARI MENDATANG
Oleh



Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia
Email: dr_nikrahim@yahoo.com

Kita baru saja meninggalkan bulan yang sangat mulia di sisi Allah iaitu bulan Ramadhan al mubarak. Sebaik meninggalkan Ramadhan, nasib setiap mereka yang melaluinya tidak sama. Ada yang beroleh ganjaran yang sangat lumayan kerana sepanjang Ramadhan, mereka ini mengambil peluang sebaiknya dengan menyibukkan diri mereka dengan beribadat. Mereka bukan sahaja berpuasa, tetapi mempastikan puasa mereka mencapai kualiti terbaik. Puasa diisi dengan amal ibadat bukan sahaja yang wajib tetapi amalan sunat seperti solat tarawih, tahajud, witir dan lain-lain. Golongan ini juga menjadikan al Quran teman sejati mereka sepanjang Ramadhan. Setiap kali ada masa terluang, mereka akan penuhi dengan membaca al Quran serta mentadabur ayat-ayatnya. Tidak cukup dengan itu, golongan bertuah ini menjadi insan paling bermurah hati membelanjakan harta mereka untuk bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan. Mereka juga amat menjaga tata tertib dan adab-adab berpuasa. Segala anggota dijaga agar tidak terbabas lalu terjebak ke lembah dosa. Mata dipelihara dari melihat perkara yang diharamkan oleh Allah. Lidah tidak menuturkan sesuatu yang tidak selari dengan ajaran agama. Tiada maki hamun, tiada kata nista. Telinganya pula hanya mendengar perkara yang baik dan berfaedah. Masa juga dipenuhi dengan perkara-perkara bermanfaat. 
Ternyata golongan ini adalah golongan terpilih. Golongan yang sangat beruntung kerana segala apa yang mereka lakukan pada hakikatnya adalah cerminan kepada sifat takwa mereka kepada Allah. Mencapai ketakwaan adalah satu objektif yang mesti dicapai bagi semua muslim yang berpuasa. Gagal mencapai takwa setelah berpuasa adalah gambaran kegagalan mencapai objektif puasa kerana ianya jelas disebut di dalam Al Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana yang diwajibkan keatas mereka yang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Al-Baqarah: 183


Ibn Kathir dalam menghuraikan ayat ini menyebutkan bahawa puasa itu bermaksud menahan diri dari makan dan minum serta melakukan persetubuhan dengan isteri dengan niat semata-mata kerana Allah yang mana dengan cara itu ia akan mampu membersihkan jiwa dan mensucikannya dari segala perkara-perkara yang buruk serta akhlak yang keji.
Ini bermaksud bahawa puasa bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga serta meninggalkan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, sebaliknya perlu mensucikan segala anggota dari sifat-sifat yang tercela. Dalam erti kata lain, seluruh tubuh perlu berpuasa. Berpuasa dengan cara meninggalkan segala bentuk kemungkaran. Apabila ini berlaku, barulah takwa itu akan muncul dalam diri mereka yang berpuasa.
Mereka yang mencapai tahap takwa tertinggi sepanjang Ramadhan sesungguhnya telah menyiapkan bekalan yang mencukupi bagi menghadapi hari-hari selanjutnya bila berada di luar ramadhan. Ini kerana takwa adalah bekalan terbaik buat mereka yang beriman. Allah SWT berfirman:
“Berbekallah kamu kerana sebaik bekalan (al zaad) itu adalah takwa.”
 Al-Baqarah: 197.
Sebaik keluar dari bulan Ramadhan, kita semua akan berhadapan dengan cabaran yang sangat getir. Kita akan kembali bergelut dengan godaan syaitan yang sekali lagi akan bergabung dengan nafsu untuk memusnahkan keimanan kita dan menarik kita ke neraka. Jika di dalam bukan Ramadhan yang lalu kita begitu lemah meskipun hanya berdepan dengan satu musuh iaitu nafsu, bagaimana pula kita akan mampu berhadapan dengan 2 musuh yang sentiasa mengintai-intai peluang untuk memusnahkan kita?
Justeru bekalan takwa yang dijana dari Ramadhan adalah senjata paling ampuh bagi menentang godaan nafsu dan syaitan kerana takwa itu seperti yang disebutkan oleh para ulama sebagai ‘wiqayah’ atau pelindung bagi pemiliknya dari sebarang godaan nafsu dan syaitan serta dari perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. 


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Saturday, May 16, 2020

SOLAT JUMAAT 12 ORANG: DARI MANA ASASNYA?

SOLAT JUMAAT 12 ORANG: DARI MANA ASASNYA
Oleh
Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia
Email: dr_nikrahim@yahoo.com

Terdapat sedikit kekecohan berlaku di medan media sosial apabila ada beberapa negeri seperti Johor dan Selangor yang mula membenarkan solat Jumaat diadakan kembali setelah beberapa minggu tidak dibenarkan akibat penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan. Isu yang dibincangkan bukan hanya berkisar tentang kebenaran untuk kembali mendirikan solat Jumaat yang merupakan syiar Islam yang dihidupkan saban minggu, tapi kepada jumlah ahli jemaah yang dibenarkan menghadiri solat jumaat yang bakal diadakan. Persoalan yang hangat diperdebatkan ialah tentang jumlah jemaah yang dibenarkan hadir iaitu seramai 12 orang sahaja. Suasana ini timbul disebabkan ianya satu norma baru yang tidak pernah dihadapi oleh penduduk Malaysia yang beragama Islam. Sejak sekian lama rata-rata umat Islam berpegang kepada mazhab Syafie yang menjadikan jumlah 40 orang sebagai syarat sahnya solat Jumaat. Penulis masih teringat suatu ketika dahulu semasa di kampung di negeri Pahang, tuan imam terpaksa mengira jumlah ahli jemaah sebelum memulakan solat Jumaat bagi mempastikan jumlahnya mencukupi 40 orang. Ada kalanya, solat Jumaat terpaksa ditukar kepada solat zohor kerana jumlah jemaah tidak mencukupi 40 orang.
Ia satu gambaran bahawa di Malaysia, umat Islam sangat patuh kepada mazhab Syafie. Namun itu semua sudah tinggal sejarah. Kini umat Islam sudah semakin terdedah kepada pelbagai maklumat dan informasi dan ini menjadikan mereka lebih terbuka dan tidak terlalu ‘taksub’ kepada mazhab.
Solat Jumaat dengan jumlah 12 orang jemaah sebenarnya ada asasnya namun ia bukan dari pandangan Imam Syafie. Menurut mazhab Syafie dan Hanbali, jumlah minimum bagi solat Jumaat ialah 40 orang. Manakala mazhab Hanafi pula menyatakan bahawa sah solat Jumaah dengan kehadiran sekurang-kurangnya 3 orang tidak termasuk imam. Di sisi mazhab Maliki pula jumlah yang wajib hadir bagi solat Jumaat ialah 12 orang tidak termasuk imam. Jadi berdasarkan kepada pandangan-pandangan ini, jelaslah bahawa pandangan mazhab Maliki telah diambil sebagai sandaran kepada jumlah jemaah yang dibenarkan untuk solat Jumaat iaitu seramai 12 orang. Pengambilan mazhab lain yang bukan mazhab yang menjadi pegangan seseorang dipanggil talfiq.  Sebagai contoh seseorang  mengambil wuduk ikut cara Mazhab Hanafi tetapi solat pula mengikut  cara mazhab Syafie.  Menurut pandangan ulamak, talfiq dalam bentuk sebegini adalah diharuskan kerana kedua-dua amalan iaitu wuduk dan solat telah sempurna dilakukan menurut mazhab tertentu. Adapun talfiq yang tidak dibenarkan ialah talfiq dalam kes yang melibatkan perkahwinan. Sebagai contoh seseorang berkahwin tidak menggunakan wali kerana menuruti mazhab Hanafi, wanita boleh mengahwinkan dirinya sendiri tanpa wali.. Saksi juga tidak diperlukan berdasarkan kepada mazhab Maliki. Jadi yang tinggal cuma, lelaki dan wanita yang hendak berkahwin. Talfiq jenis ini diharamkan kerana ia boleh membawa kepada perzinaan.






Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Wednesday, May 13, 2020

DERMA DARAH BOLEH PANJANGKAN USIA?

DERMA DARAH BOLEH PANJANGKAN USIA
Oleh
Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia
Email: dr_nikrahim@yahoo.com


Tidak diragui lagi bahawa menderma darah adalah satu ‘asbab’ usia seseorang boleh dipanjangkan dengan izin Allah SWT. Apabila seseorang terlibat dalam kemalangan yang melibatkan kecederaan yang serius atau berlakunya pendarahan yang teruk, maka disaat itu keperluan mangsa kepada darah adalah amat kritikal untuk menggantikan darah yang telah banyak hilang akibat kemalangan atau pendarahan tersebut.
Dikala mangsa sedang bertarung antara hidup dengan mati, tiba-tiba ada insan yang berhati mulia sanggup berkorban untuk menderma darahnya, maka natijah dari itu mangsa tersebut mampu menyambung kehidupannya. Ia pastinya suatu yang amat bernilai yang tidak boleh dibayar dengan wang ringgit.
Menurut sebuah portal kesihatan, jumlah purata darah bagi orang dewasa adalah sekitar 4.5 – liter. Manakala bagi kanak-kanak pula adalah sekitar 2.6. liter. Seseorang itu masih mempunyai peluang untuk hidup sekiranya dia kehilangan sekitar 30% atau 1.35 – 1.65 liter untuk dewasa atau 0.78 liter bagi kanak-kanak. Apabila seseorang kehilangan 40% dari kandungan darah dalam badannya maka pada kebiasaanya dia akan mati kerana otak tidak lagi mempunyai bekalan oksijen yang mencukupi untuk hidup.
 Hari ini kehidupan kita terdedah kepada berbagai-bagai tragedi kemalangan yang menyebabkan keperluan kepada darah amat kritikal. Darah adalah kehidupan. Menurut satu laporan akhbar, kutipan darah di Pusat Darah Negara menurun sehingga 40 peratus sejak penularan pandemik Covid-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk, kempen menderma darah patut diteruskan dengan menuruti semua SOP yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan penularan Covid-19.
Menderma darah selain memberi cahaya kehidupan yang baru bagi mangsa, ia juga sebenarnya turut akan menyambung ‘usia’ para penderma. Kenapa tidak? Apabila seseorang itu menderma darah, maka darah tersebut akan menjadi asbab kesihatan mangsa kembali pulih seperti sedia kala. Oleh kerana penderma darah yang menjadi asbab kepada keadaan itu, maka setiap amalan baik yang dilakukan oleh mangsa itu akan dinikmati ganjaran pahalanya kerana ia dianggap sebagai satu ‘sunnah’ atau amalan yang baik yang menjadi punca kepada kebaikan yang dilakukan oleh mangsa.
Sama seperti seseorang yang mengajak orang lain melakukan kebaikan, maka jika orang diajak itu melakukan kebaikan, maka orang yang melakukan perbuatan itu akan mendapat ganjaran pahala bahkan orang yang mengajak itu turut akan menikmati ganjaran pahala sama seperti pelaku amalan tersebut tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang beramal tersebut.
Ganjaran pahala ini akan terus berkekalan sehinggalah orang tersebut meninggal dunia. Bahkan ia mungkin akan terus menikmat ganjaran pahala sekiranya ada perkara-perkara baik yang terus boleh dimanfaatkan oleh ahli keluarga dan masyarakat selepas kematiannya. Inilah yang dimaksudkan dengan panjangnya usia penderma darah apabila menderma darah mereka kerana mereka sebenarnya terus ‘hidup’ meskipun sudah berada di alam barzakh hasil dari kebaikan yang terhasil dari pendermaan darah.
Nabi SAW bersabda:
“Barangsiapa yang menghidupkan satu sunah yang baik, maka baginya pahala dan pahala orang yang melakukannya tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang yang melakukan amalan tersebut”
Hadith Riwayat Muslim.
Dalam hadith yang lain Nabi SAW bersabda:
“Barangsiapa yang menunjukkan satu amalan yang baik, maka baginya pahala sama seperti orang yang melakukan perkara tersebut”
Hadith Riwayat Muslim.
Selain ganjaran pahala yang berlipat ganda, banyak keistimewaan yang ditawarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan kepada penderma darah antaranya ialah mendapat rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 10 tahun dan wad kelas dua seumur hidup selepas 10 tahun di wad kelas satu. Ini pastinya satu kelebihan buat para penderma darah. Namun untuk menarik lebih ramai penderma, pihak kerajaan patut menawarkan lebih banyak tawaran menarik seperti rebat cukai pendapatan, rebat tol, bil elektrik dan air yang dilakukan dengan kerjasama syarikat swasta.
Pihak hospital juga patut menawarkan hadiah-hadiah menarik kepada penderma yang mencapai jumlah tertentu pendermaan darah. Pihak majikan samada dalam sektor kerajaan atau swasta juga boleh memasukkan menderma darah sebagai salah satu aktiviti yang diiktiraf sebagai sumbangan kepada masyarakat.
Dengan pelbagai tawaran menarik seperti ini, adalah diyakini minat masyarakat untuk menderma darah akan meningkat dan sekaligus mampu menyelesaikan masalah Kekurangan darah di Pusat Darah Negara.







Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...