Thursday, March 21, 2019

Tragedi Christchurch: Apa sikap Kita Umat Islam?





Tragedi Christchurch: Apa sikap Kita Umat Islam?
 Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia
Email: dr_nikrahim@yahoo.com




 Tragis! Satu kalimah yang boleh diungkap bagi menggambarkan tragedi pembunuhan kejam terhadap  umat Islam di Christchurch, New Zealand  ketika menunaikan solat Jumaat beberapa hari yang lalu. Bukan seorang dua yang menjadi mangsa kerakusan Brenton Tarrant, se orang  pengganas berhaluan paling kanan (neo-Nazi ) yang merupakan rakyat  Australia ini, tapi 49 nyawa yang tidak berdosa dan mencederakan 50 yang lain ketika mereka sedang menunaikan solat Jumaat di tiga buah masjid berlainan.

 Apakah dosa mereka sehingga diperlakukan sedemikian rupa? ‘Dosa’ mereka hanyalah kerana mereka itu beragama Islam dan pembunuhnya pula adalah se orang individu yang sangat membenci Islam dan penganutnya. Peristiwa hitam itu turut dirakam secara langsung oleh pembunuh ini bagi menyampaikan mesej kebenciannya kepada Islam dan penganutnya kepada dunia dan menjadikan sentimen anti pendatang sebagai objektif utama pembunuhan.

Namun begitu, menurut beberapa pemimpin Islam di New Zealand, serangan yang berlaku tidak menggambarkan sikap sebenar New Zealand dan penduduknya meskipun majoriti mereka beragama Kristian. Bahkan sebahagian penduduk Kristian, berdasarkan satu laporan turut mengawal masjid-masjid di New Zealand khususnya di kawasan terbabit bagi menjaga keselamatan umat Islam yang melakukan ibadat. Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand sendiri mengutuk serangan ini dan menganggapnya sebagai satu serangan pengganas paling buruk dalam sejarah New Zealand.

 Menurut mereka lagi umat Islam sudah lama bertapak di New Zealand  dan mereka tidak pernah mengalami apa-apa masalah sebelum ini. Berdasarkan sejarah kedatangan umat Islam ke New Zealand, ia bermula dengan kedatangan pencari gali emas Muslim China pada 1870-an.  Sejumlah kecil pendatang Muslim dari India dan Eropah Timur turut berhijrah ke New Zealand dari awal 1900-an hingga 1960-an. Skala besar penghijrahan orang Islam bermula pada tahun 1970-an dengan kedatangan etnik India daripada Fiji, diikuti pada 1990-an oleh para pelarian dari Afrika dan Timur Tengah.

Justeru sebagai umat Islam kita harus mengawal emosi kita agar tidak melakukan sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Islam. Meskipun pembunuh merupakan se orang penganut Kristian, kita tidak seharusnya melabel semua penganut Kristian mempunyai kebencian yang sama terhadap umat Islam. Ramai yang berfahaman dengan fahaman yang salah tentang ayat al Quran yang menyebut bahawa:
“Tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu (Muhammad s.a.w) mengikuti agama mereka”
Al- Baqarah: 120

Ayat ini tidak bermaksud bahawa sebagai se orang Muslim kita mesti memusuhi semua penganut-penganut agama lain hanya kerana ada sebahagian dari mereka bertindak di luar batas kemanusian seperti yang berlaku di Christchurch.

Menurut Ibn Abbas r.a, ayat ini diturunkan berhubung dengan penukaran kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah dimana di saat pertukaran tersebut  kaum Yahudi di Madinah   sangat-sangat mengharapkan agar Nabi s.a.w terus bersolat dengan mengadap ke Baitul Maqdis iaitu Kiblat semua Nabi-nabi dari Bani Israel. Apabila Allah s.w.t memerintahkan agar Nabi s.a.w menukar kiblat ke Kaabah di Mekah, maka mereka mula berputus asa dengan Nabi s.a.w kerana Nabi enggan menurut agama mereka maka turunlah ayat ini.

Para ulama juga menyebutkan bahawa perkataan ‘redha’ di dalam ayat di atas  adalah berkaitan dengan akidah mereka yang bukan Islam. Dalam erti kata lain, orang Yahudi dan Nasrani tidak akan beriman dengan apa yang kita imani dan mereka yang mempunyai kepercayaan yang berbeza dengan kepercayaan kita sebagai umat Islam. Namun dari sudut yang lain mereka secara umumnya tidak ada masalah dengan umat Islam samada dari sudut sosial, berurusan dalam perniagaan dan lain-lain. Nabi Muhammad s.a.w adalah contoh terbaik dalam menyantuni mereka yang bukan Islam dengan melayan mereka dengan layanan yang baik tanpa sebarang prejudis.

Lihat saja bagaimana Nabi s.a.w melayan Yahudi yang buta yang saban hari mencerca baginda tetapi baginda  pada setiap hari pula menghantar dan menyuapkan makanan buatnya sehingga akhirnya   Yahudi itu memeluk Islam kerana terpesona dengan keindahan dan keluhuran akhlak Nabi s.a.w.

Justeru, dalam suasana kita berkabung dan berada dalam kesedihan serta kemarahan yang meluap-luap terhadap pelaku jenayah yang  kejam ini, kita harus menahan diri dari melakukan sesuatu yang boleh memberi  imej yang buruk terhadap Islam. Biarlah sebahagian mereka yang bukan Islam menuduh umat Islam sebagai pengganas dan sebagainya, kita sebagai umat Islam harus membuktikan bahawa segala tanggapan mereka adalah salah dan kita yakin lama kelamaan masyarakat di luar sana akan sedar tentang sifat Islam yang sebenar. Islam adalah agama yang mementingkan keamanan.



Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...