Friday, April 29, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 38)


UNIT TRUST- ANTARA PELABURAN TERBAIK?
Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….Allah masih lagi memberi peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya.
Seminggu yang lalu, sakit lama saya – slip disc- kembali ‘menziarahi’ saya. Terpaksa ambil MC walaupun amat berat untuk ‘pospon’ kelas-kelas yang telah lama dijadualkan. Setahun lalu, juga dalam bulan April, selepas setahun bersama USIM saya juga terpaksa ambil MC. Seakan ‘anniversary’ pulak sakit saya ni. Apapun syukur, kerana ianya tidaklah terlalu serius sehingga saya tidak mampu berjalan. Cuma saya perlu rihat secukupnya supaya proses penyembuhan berlaku dengan lebih pantas.
Dalam Part 38 kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua, satu lagi bentuk pelaburan yang saya kira antara yang terbaik di samping emas yang memang ternyata ‘hebat’ dan punyai sejarahnya tersendiri. Pelaburan yang saya maksudkan ialah pelaburan dalam Dana Ekuiti (Unit Trust - UT).
Ramai yang agak keliru dan menganggap unit trust dan Amanah Saham (AS) adalah sama. Insya Allah sekejap lagi akan saya kongsikan. Tapi sebelum itu saya nak kongsi sikit tentang penglibatan saya dengan UT.
Baru-baru ini saya dah isi borang untuk menyertai Cimb Wealth Advisor (CWA) di bawah leader hebat Puan Fiona Tahir. Tapi setakat ini belum ada jodoh. Kerana sebab-sebab tertentu saya terpaksa membatalkan ujian yang sepatutnya diambil walaupun bayaran penuh telah dibuat. Bukan sikit jumlahnya - RM300.00. Rugi juga rasanya sebab bukan senang nak dapat duit tu! Tapi apa nak buat, dah ditakdirkan belum ada jodoh!
Biasanya sebab utama saya masuk dalam mana-mana syarikat unit trust adalah kerana saya sendiri mahu atau ada perancangan untuk melabur. Saya berpandangan, dengan menjadi ejen dapat juga saya merasa komisyen walaupun tidak seberapa. Itulah sebabnya saya ‘tidak berjaya’ dalam mana-mana syarikat unit trust terdahulu sebab ‘matlamat’ saya bukan nak jual, tapi nak pakai sendiri.
Pertama kali saya join syarikat unit trust adalah sekitar tahun 1997 semasa bekerja sebagai se orang penyarah di sebuah univesiti di Kuala Lumpur atas jemputan se orang sahabat baik saya. TA Unit Trust. Ini syarikat UT pertama yang saya sertai. Mungkin ramai yang tak pernah dengar syarikat ni. Kalau anda perasan, pejabat TA terletak tak jauh dari KLCC. Tinggi juga menaranya. Tapi ramai yang tak perasan. Sepanjang lebih setahun dalam syarikat TA, saya tak pernah pun jual tapi menjadi ‘client’ sahaja. Selepas TA Unit Trust, saya join ARB Unit Trust. Nasib saya di sini pun sama. Inilah masalah yang menjadi penghalang kepada kejayaan saya dalam mencapai kejayaan seperti orang lain dalam perniagaan seumpama ini. “Hangat-hangat tahi ayam”. Semangat saya tak kekal lama.
Apapun ‘nasib’ saya dalam unit trust sebagai advisor atau ejen, ia sikit pun tak merobah padangan saya terhadap ‘kehebatan’ melabur dalam UT bahkan ia satu pelaburan yang amat berbaloi untuk jangka masa panjang. Semasa dalam TA, saya mencarum menggunakan peruntukan yang dibenarkan oleh KWSP. Nak melabur duit cash pun tak pernah ada ‘extra’ akibat sifat saya yang boros ketika berbelanja. Sahabat yang ikuti tulisan saya sejak part pertama, pasti masih ingat bagaimana saya boleh belanja sehingga RM20,000 di internet sahaja melalui portal e-bay sekitar tahun 1999-2005.
Setelah melabur dalam TA selama kurang lebih 10 tahun, saya dapati keuntungan yang saya perolehi melebihi 100%. Alhamdulillah!
Banyak sekali syarikat-syarikat di luar sana yang menawarkan produk pelaburan UT. Antara yang masyhur ialah CWA atau CIMB wealth Advisor, Public Mutual dan banyak lagi.
Baiklah, sekarang saya akan kongsikan pula apa itu Amanah Saham (AS)? Saya pasti anda pasti ‘familiar’ dengan istilah AS kan? AS banyak sekali diterbitkan oleh pihak kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB). Anda pasti selalu dengar tentang Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Bumiputera dan lain-lain. Ini adalah beberapa produk yang dikeluarkan oleh PNB
Terdapat beberapa perbezaan ketara antara AS dan Unit Trust (UT). Antaranya AS dijual dengan harga tetap sebagai contoh Amanah Saham Bumiputera (ASB) dijual dengan harga RM1.00 bagi setiap unit. Jika anda melabur sebanyak RM1,000 maka anda akan dapat 1000 unit. Apabila anda membuat keputusan untuk menjualnya selepas 10 tahun sebagai contoh, anda masih lagi mendapat 1,000 unit bernilai RM1,000. Dari satu sudut anda telah mendapat satu bentuk ‘security’ di sini kerana anda tidak perlu risau tentang risiko kerugian. Pelaburan dalam ASB amat sesuai bagi mereka yang ‘kurang berani’ mengambil risiko dalam pelaburan mereka. Pulangan dalam ASB sejak beberapa tahun lalu adalah sekitar 8% setahun tidak jauh dari pulangan yang diagihkan oleh Tabung Haji kepada pendepositnya. Cuma ada sedikit isu berkaitan kepatuhan syariah dalam pelaburan ASB. Ramai yang beranggapan ianya tidak patuh syariah atau dalam erti kata lain ianya bukan pelaburan yang halal kerana ASB membuat pelaburan di dalam beberapa institusi yang tidak patuh syariah yang terlibat dengan penjualan arak, perjudian, pengambilan riba dan sebagainya. Jadi saya personally berpadangan, adalah lebih baik untuk kita mencari pelaburan yang jelas halalnya kerana Nabi s.a.w pernah bersabda “ Setiap daging yang tumbuh dari rezki yang haram, maka nerakalah lebih berhak baginya”.
Manakala UT pula ia agak berbeza kerana harganya tidak ‘fixed’ atau ditetapkan. Jadi ‘risiko’ untuk rugi tetap ada tapi pulangannya amat ‘berbaloi’. Saya mula melabur melalui KWSP pada sekitar tahun 1997 dan sehingga kini saya telah beroleh lebih dari 100% keuntungan pelaburan saya. Cuma yang bagusnya saya tak boleh ambil keuntungan atau mengeluarkan wang tersebut sebelum mencecah umur pencen yang ditetapkan iaitu 55 tahun. Two more years to go!
Satu perkara yang perlu difahami oleh pelabur UT ialah bahawa walaupun UT sememangnya melibatkan bursa saham yang mana risiko kerugiannya amat tinggi, namun ia berbeza dengan UT kerana UT adalah himpunan saham-saham terbaik yang dipilih begitu teliti oleh syarikat-syarikat pengeluar produk unit trust ini yang digelar sebagai ‘Fund Manager’. Jika harga saham di Bursa Saham boleh jatuh mendadak dari RM1.00 seunit kepada RM0.10 seunit, maka ini tidak akan berlaku kepada UT. Penurunannya tidak mendadak kerana ianya bukan pelaburan dalam saham tertentu sahaja tetapi gabungan saham-saham terbaik. Kalau pun jatuh UT ia tidak seteruk harga saham. Kalau pun harga menurun, penurunannya mungkin dari RM1.00 seunit kepada RM0.90 atau RM0.80 seunit. Namun berdasarkan kepada performance unit trust secara keseluruhannya, harga UT akan meningkat kembali. Sebab itu jika anda mahu melabur dalam UT, pastikan anda menggunakan ‘wang extra’ yang tidak anda perlukan dalam tempoh 3-5 tahun sekurang-kurangnya kerana kalau anda menjualnya semasa harga sedang menurun anda akan mengalami kerugian. Kerugian dalam pelaburan sememangnya sudah sinonim. Kerugian datang dalam satu pakej dengan keuntungan. Cuma anda perlu memahami terlebih dahulu kaedah-kaedah bagi mengelakkan kerugian tersebut atau sekurang-kurangnya ‘meminimumkan’ kerugian.
Beberapa tips yang dikongsikan oleh otai-otai dalam pelaburan UT. Antaranya ialah:
Pertama, belilah semasa harga rendah dan menjualnya apabila harga naik. Itu pun nak kena buat calculation yang betul. Kena tolak campur caj perkhidmatan yang perlu anda bayar antara 5%-6.5% bagi pelaburan tunai dan 3% bagi pelaburan melalui skim KWSP. Sebab itu anda perlu melabur dalam jangka masa panjang supaya anda boleh ‘cover’ balik caj tersebut.
Kedua, jangan melabur ‘gedebuk’ sekali gus. Sebagai contoh kalau anda ada RM10,000 jangan laburkan sekaligus kecualilah jika harga semasa memang betul-betul rendah. Ini dipanggil Dollar Cost Averaging. Maksudnya anda pecah-pecahkan jumlah tersebut dan melabur secara berasingan mungkin secara bulanan kerana dengan cara ini adalah boleh dapat harga purata bagi pelaburan anda.
Ketiga, pilih fund dengan betul. Jangan harap 100% kepada ejen. Sebab ejen ni dia kira nak ‘close’ jer. Tapi bukan semualah. Pilih ejen yang berpengalaman. Selain dari itu boleh juga buat search dekat internet untuk lihat ranking dan juga performance syarikat atau Fund Manager.
Keempat, Elak dari membeli fund yang baru keluar kerana new fund masih belum diketahui performance dia. Jadi kalau nak beli, belilah yang dah terbukti performancenya. Ini pun bukanlah satu jaminan. Sebab performance yang lalu tidak semesti akan sama dengan performance yang akan datang. Tapi sekurang-kurangnya kita boleh membuat ‘prediction’ atau andaian kerana sudah ada sejarah yang lampau.
Selamat Melabur!
Bersambung….
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Mantin, Negeri Sembilan
Khamis 28 April 2016 / 20 Rajab 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

Wednesday, April 20, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 37)


LAGI LAGI EMAS!

Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….Allah masih lagi memberi peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya.
Sembilan hari saya menyepi. Tiada tulisan yang saya kongsikan dengan sahabat semua tentang KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN. Kesibukan menguruskan keluarga di samping urusan-urusan kerja menjadikan saya agak sukar untuk memberikan perhatian kepada enulisan saya. Namun, Alhamdulillah  kini saya kembali lagi bersama sahabat semua.
Dalam part yang ke 36 yang lalu saya ada menyentuh dengan ringkas tentang salah satu pelaburan yang paling bagus iaitu pelaburan di dalam emas. Kali ini saya cuba kongsi beberapa lagi kelebihan yang ada dalam emas, yang tidak ada pada pada lain-lain galian dan juga fiat money atau duit kertas. Duit kertas adalah duit yang dikeluarkan oleh satu-satu negara. Di Malaysia, Ringgit Malaysia (RM) adalah dikira sebagai fiat money sama seperti lain-lain mata wang seperti Dollar Amerika, Pound Sterling, Euro dan lain-lain lagi.
Kehebatan emas sudah lama diketahui oleh umat manusia. Di dalam Al Quran, Allah s.w.t ada menyebut tentang dinar yang merupakan matawang yang diperbuat dari emas.
"Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu ‘dinar’ sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya". (Surah Ali Imran : 75)
Di dalam hadith, yang diriwayatkan oleh  Al Thabarani,  Rasulullah SAW telah bersabda:
"Akan datang suatu masa pada umat manusia, dimana pada saat itu orang yang memiliki kuning (emas) dan putih (perak), dia tidak disusahkan oleh kehidupan."  
Di dalam hadith yang lain pula  yang diriwayatkan oleh  Imam Ahmad,  Rasulullah SAW telah bersabda:


"Akan datang suatu masa pada umat manusia, dimana saat itu tidak berguna selain wang emas (Dinar) dan wang perak (Dirham) ." (HR. Ahmad).
Berdasarkan ayat al Quran dan juga hadith ini jelas betapa hebatnya KUASA emas dan juga perak.

Menurut sejarawan, emas pertama kali digunakan  sebagai matawang ialah pada tahun 700 sebelum Masihi oleh penduduk Kerajaan Lydia di Barat Turkey.
Kelebihan yang ketara tentang emas ialah dari sudut  nilainya yang sentiasa meningkat walaupun kadangkala ianya terdedah kepada kejatuhan nilainya. Namun berdasarkan kepada sejarah lampau, nilainya akan naik semula selepas kejatuhan tersebut.
Harga emas paling teruk jatuh pada awal pada awal November 2015 dan ini dikenali sebagai tragedi November 2015 di mana harga emas jatuh ke paras paling rendah dalam tempoh 6 tahun. Harga emas pada masa itu bernilai hanya USD$1,051.   Tetapi sekarang satu auns emas bernilai sudah meningkat kepada $1,248 Dollar Amerika (harga emas pada 20 April 2016).
 Semasa Perjanjian Brettonwoods  yang berlangsung di Bretton Woods, New Hampshire pada tahun 1944, harga satu auns (31.10 gram)  emas hanya  $35 Dollar Amerika.
Perjanjian Brettonwoods adalah merupakan satu perjanjian antara Amerika dan beberapa sekutunya dari negara blok Eropah yang menyaksikan kelahiran Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa dan Organisasi Perdagangan Dunia pada tahun tersebut.
Negara-negara dunia berlumba-lumba  meneroka dan mencari emas di negara masing-masing. Afrika Selatan sebagai contoh, sejak tahun 1880-an lagi  telah menjadi pengeluar emas dunia. Pada tahun 1970, pengeluarannya  mencapai hingga 70 % dari keperluan dunia, iaitu    sekitar 1000 tan, namun pengeluaran  di tahun 2004 hanya 342 tan kerana sebab-sebab tertentu.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir pernah mencadangkan agar Dinar emas digunakan di pasaran global  sebagai salah satu kaedah untuk mengatasi masalah penyangak mata wang yang berleluasa di setiap pasaran saham. Anda pasti ingat penyangak matawang antarabangsa yang berbangsa Yahudi yang dikenali sebagai George Soros kan?
Meskipun amat jelas kehebatan emas di sisi mereka yang memahaminya, namun tidak semua orang akan menerimanya. Sebagai contoh Negara Turki yang diketuai oleh Mustafa Kamal Ataturk telah membatalkan penggunaan dinar emas sebagai mata wang dan menukarnya dengan syiling dari barat pada 1924.
Di antara kelebihan emas boleh diringkaskan seperti di bawah ini:
Pertama, emas adalah aset yang nyata yang boleh dipegang (Tangible Asset). Ini tentunya tidak ada bezanya dengan fiat money atau duit kertas yang kita pegang setiap hari.
Kedua, emas sangat mudah ditukar dengan duit bila saja kita perlukan. Ini memang benar. Kalau dulu sebagai contoh Ringgit Malaysia di terima di beberapa negara jiran seperti  Singapura, Brunei, Thailand dan lain-lain namun akibat kejatuhan nilai Ringgit yang begitu teruk, sesetengah pengusaha perniagaan sudah tidak mahu menerima Ringgit Malaysia. Tapi jika anda mempunyai emas, anda pastinya tidak berdepan dengan masalah ini.
Ketiga, emas adalah satu bentuk pelaburan yang PASTI menguntungkan. Peniaga emas sebagai contoh TETAP UNTUNG walaupun emas di kedai mereka tidak laku kerana  apabila harga emas meningkat, mereka boleh sahaja menjual emas tersebut dan mengambil keuntungan melalui kaedah ini. Sebenarnya emas sudah menjadi bahan pelaburan sejak harganya mula-mula diselaraskan pada tahun 1717 oleh Sir Isaac Newton.
Bagus juga untuk kita tahu serba sedikit tentang faktor yang membawa kepada kenaikan harga emas. Secara umumnya terdapat  tiga faktor utama iaitu  pertama penyusutan nilai dollar Amerika. Bila saja  nilai dollar Amerika menyusut, maka harga emas akan naik dan  apabila dollar Amerika stabil harga emas pula akan menyusut. Jadi kalau anda menyimpan banyak emas, banyak-banyaklah bedoa supaya Dollar Amerika jatuh, lagi teruk jatuh lagi bagus!
Kedua, harga emas pada kebiasaanya akan naik selari dengan kadar inflasi. Jadi apabila inflasi naik, harga emas juga akan naik selaras dengan kadar inflasi tersebut.
Dan faktor ketiga ialah kenaikan harga petroleum juga akan menyebabkan harga emas naik.   Jadi jika harga petroleum jatuh. dijangka emas juga akan turun tetapi pada tahap minimum.
Keempat, emas juga sangat mudah untuk digadaikan atau dijadikan cagaran. Kadangkala suri rumah membeli barang-barang kemas hanya sekadar untuk ‘melawa’ atau sebagai hiasan semata-mata.   Tetapi bila terdesak, mereka boleh saja menggadaikan barang kemas tersebut dan menyelesaikan masalah kewangan mereka dan menebusnya kembali bila keadaan ekonomi sudah bertambah baik. Jadi kalau ada duit lebih, beli emas dan simpan.
Semasa balik ke Kelantan baru-baru ini saya berkesempatan ke Pasar Siti Khadijah. Di sini anda masih lagi berpeluang melihat  makcik-makcik peniaga memakai gelang emas penuh di lengan. Masya Allah! Baru saya tahu bahawa makcik-makcik ini amat ‘arif’ tentang nilai emas. Bila dapat untung hasil perniagaan, mereka akan beli emas dan simpan. Ternyata mereka mengaut keuntungan yang besar apabila nilai emas semakin meningkat. Cuma kaedah memakai gelang emas di lengan mungkin bukan lagi satu kaedah yang BIJAK untuk menyimpan  sebab dengan kadar jenayah  yang sebegitu membimbangkan seperti sekarang ini, silap-silap haribulan, bukan sahaja emas yang HILANG tetapi LENGAN juga turut hilang!
Kelima, emas adalah satu simpanan yang berbentuk peribadi.   Tidak ada orang yang tahu   berapa banyak emas yang kita miliki tidak seperti wang khususnya jika disimpan di bank. Jadi kita akan lebih selamat. Jadi jangan pula anda heboh-heboh bila dah menyimpan emas. Saya berani cerita sebab saya dah jual semuanya!
Keenam, emas boleh dijadikan sebagai kaedah pelaburan yang sangat efektif kerana dengan modal yang kecil kita sudah boleh memulakan pelaburan dalam emas.  Contohnya anda boleh memulakan pelaburan serendah 3 gram emas yang berharga kira-kira   RM519 (harga pada 20hb April 2016) atau lebih rendah dari itu.
Selain itu emas juga mudah dipindahkan (portable), tahan lama (durable) terhadap segala bentuk cuaca bahkan kalau ditakdirkan rumah terbakar sekalipun emas masih boleh diselamatkan kerana emas tidak akan lebur kecuali jika kepanasan mencecah 1000 darjah Celsius.!
Namun begitu terdapat juga beberapa kekurangan dalam emas. Antaranya ialah:
Pertama, emas mesti disimpan dengan selamat. Oleh kerana anda kena simpan, maka anda tidak mampu untuk menjadikan ia sebagai hiasan dan menikmati keindahan emas tersebut. Ini kerana kalau anda membeli emas hiasan tetapi dalam masa yang sama adalah untuk pelaburan, maka anda tidak boleh memakai kesemuanya kerana ia akan mengundang risiko dirompak. Selain dari itu anda  harus juga jaga ‘iman’ kerana memakai barang kemas secara berlebihan ‘sampai ke lengan’ sebagai contoh boleh menimbulkkan rasa riyak dan takabur serta ujub dan bangga diri dan ini merosakkan iman anda. Buat apa kaya kalau iman rosak. Emas berkilo pun tak ada makna kalau di akhirat kena masuk neraka!
Kedua, emas mempunyai risiko untuk rugi khususnya apabila anda menyimpan untuk jangkamasa singkat. Sebab itu sebelum anda mula menyimpan emas, pastikan wang perbelanjaan anda CUKUP kerana jika tidak anda mungkin terpaksa menjual atau menggadai emas simpanan anda sebelum sampai masa yang sepatutnya. Anda melabur untuk dapatkan keuntungan jadi elakkan situasi begini berlaku kepada anda. Untuk memperolehi keuntungan yang maksimum anda perlu menyimpan antara 3-10 tahun. Satu tempoh yang agak lama bagi sesetengah orang. Namun bagi mereka yang arif tentang kehebatan pelaburan dalam emas, mereka tidak kisah untuk menunggu kerana pulangannya amat berbaloi. Secara purata seseorang yang melabur jangka panjang mendapat pulangan dalam masa lima tahun sebanyak 30.5 peratus. Rasanya pelaburan di pasaran saham sendiri tidak boleh memperolehi keuntungan sebanyak itu.

Ketiga, emas berisiko tinggi dari sudut keselamatannya. Jadi pastikan anda menyimpan emas di tempat yang selamat. Usah riya’ dan bercerita dengan semua orang anda mempunyai berkilo-kilo emas kecuali jika anda terlibat dalam perniagaan emas dan anda lakukan semua itu untuk menjualnya. Jika emas yang anda simpan banyak jumlahnya adalah patut untuk anda mempunyai peti keselamatan di rumah. CCTV juga adalah satu kaedah yang baik untuk menjaga keselamatan harta anda yang amat bernilai itu.
Memasang penggera keselamatan juga patut dilakukan di rumah anda. Jika anda tidak mahu melakukan ini semua, anda boleh menyimpan barang-barang kemas anda atau barang-barang berharga anda di bank-bank terpilih atau syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan  penyimpanan seperti Royal Safe Deposit Boxes dan yang seumpamanya.  
Jika anda menggunakan khidmat al rahnu Bank Rakyat, upah simpanan adalah di antara 0.65 – 0.85% dari nilai barang kemas anda. Berbaloi untuk membayar upah ini berbanding barang kemas anda  DICURI! Tapi jangan guna kaedah ini jika anda tidak memerlukan wang untuk diniagakan atau seumpamnya yang boleh menambah nilai pelaburan anda.
Bersambung….


~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Isnin   20 April  2016 / 12 Rajab  1437

#Kenapasayatidakjadijutawan
#jutawanmuslim
#jutawanmukmin
#sharingiscaring 
– jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

Tuesday, April 19, 2016

~ KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 24)


NAK KAYA? PENUHI DULU RUKUN-RUKUNNYA!
Sapa tak nak kaya! Semua orang nak kaya. Cuma tahap keinginan saja yang berbeza. Ada orang memang betul-betul serius nak kaya. Plan untuk jadi kaya. Buat semua perkara yang orang kaya dah buat. Akhirnya kaya. Tapi ramai juga yang GUGUR sebelum mencapai sasarannya! Mungkin belum sampai masanya. Kita kena faham, Allah buat semua perkara berdasarkan waktunya. Lihat saja di sekeliling kita. Semuanya mempunyai waktunya tersendiri. Solat ada waktunya. Puasa, zakat, haji dan lain-lain ibadat, semuanya ada waktu. Kalau buat satu-satu amalan tidak mengikut waktu yang ditetapkan maka amalan itu tidak sah dan akan ditolak walau sehebat mana amalan tersebut.
Jadi sama juga keadaanya. Orang kaya akan kaya bila sampai masanya untuk jadi kaya. Selagimana masanya belum tiba, maka MUSTAHIL dia akan jadi kaya. Bila tiba masanya? Allahu a’lam. No body knows! Tak ada siapa yang tahu. Sama juga dengan jodoh dan kematian kita. Kita tak tahu kan bila akan tiba? So, apa yang penting kita buat dan berusaha sebaik mungkin. Jika masanya tiba dan ianya memang tertulis, ianya pasti akan jadi milik kita.
Kalau dalam ibadat seperti solat, puasa, haji dan lain-lainnya, terdapat rukun dan syarat yang wajib dipatuhi bagi menjadikan amalan kita sah, maka sama juga untuk jadi kaya @jutawan, pasti ada rukun dan syaratnya. Rukun dan syarat pertama telah kita sentuh sebelum ini iaitu berjimat cermat dan menabung. Jika anda telah melakukan ‘rukun’ ini insya Allah, anda telah menempah tiket untuk menyertai ‘Millionaires Club’. Jika belum, baliklah dulu ke rumah. Buat perancangan yang teratur. Disiplinkan diri dan keluarga untuk berjimat dan menabung. Potong perbelanjaan dalam perkara-perkara yang tidak penting. Kalau dah mula boleh simpan duit pada setiap bulan, maka harapan dan impian untuk anda jadi jutawan adalah cerah!
Rukun Kedua dalam perancangan kewangan yang wajib dilakukan ialah MEMILIKI PERLINDUNGAN. Ya perlindungan! Perlindungan adalah asas dalam perancangan kewangan kerana tanpa perlindungan, wang yang anda simpan akan lebur sebelum sempat untuk labur. Dalam kegawatan ekonomi dan keadaan persekitaran serta gaya hidup yang amat tidak sihat pada hari ini, setiap individu amat terdedah kepada berbagai bentuk risiko. Di awal pagi kita pergi bekerja. Kita terdedah kepada risiko kemalangan di jalan raya. Pernah satu hari saya keluar dari rumah di Sri Palma Villa, Mantin menuju ke pejabat saya di USIM, Nilai, saya bertembung dengan 3 kemalangan. 3 kemalangan dalam tempoh kurang dari 30 minit dalam jarak perjalanan hanya kira-kira 20 minit! Saya melihat mangsa terbaring di atas jalan raya berlumuran darah. Memang mengerikan. Dalam hati sentiasa berdoa agar Allah lindungi!
Apabila kita terlibat dalam kemalangan jalanraya sebagai contoh atau ditimpa penyakit kronik, ianya membawa derita kerana menanggung kesakitan yang tidak terhingga. Saya pernah melalui saat yang genting sebegini semasa berumur 20 tahun. Ya! Lebih 33 tahun yang lalu. Tapi kesakitannya masih lagi terasa hingga kini. Kesan-kesan parut masih jelas kelihatan. Cuma saya agak bernasib baik kerana kecederaan walaupun agak parah, tetapi tidak membawa ‘KECACATAN’ kekal sehingga meletakkan saya dalam kategori ‘OKU’. Alhamdulillah! Jika tidak SAHAM saya pasti jatuh, tambahan pula masa tu saya belum lagi kawin!
Selain dari kesakitan yang terpaksa anda tanggung, anda juga terpaksa menanggung bebanan kos perubatan dan rawatan termasuk bayaran wad, ubat-ubatan, konsultasi pakar, terapi dan lain-lain mengikut kecederaan dan penyakit yang anda hidapi. Jika anda bekerja dengan kerajaan atau swasta anda pada kebiasaanya akan diberikan rawatan dengan bayaran yang minimal kerana kosnya, sebahagian besar ditanggung oleh majikan. Tapi bagaimana jika anda bekerja sendiri? Siapa yang bakal menanggung beban kewangan tersebut? dan jika kos perubatan dan rawatan nda anda ditanggung oleh majikan, untuk berapa lama? Adakah pihak majikan akan tanggung anda sepanjang hidup? Bagaimana pula dengan pekerjaan anda? Berapa lama pihak majikan anda sanggup bayar anda GAJI BUTA tanpa melakukan apa-apa pekerjaan? Bagaimana jika majikan anda membuat keputusan untuk memberhentikan anda dan tempat anda diisi dengan orang lain?
Baiklah, jika pada waktu berlakunya kemalangan, atau waktu anda ditimpa penyakit anda mempunyai simpanan tunai berjumlah RM50,000 dan anda sebenarnya bercadang untuk pergi haji, selebihnya anda mahu laburkan dan sebahagian yang lain pula anda mahu jadikan modal perniagaan, apakah dalam keadaan gawat seperti ini anda mampu untuk meneruskan perancangan anda untuk melabur dan berniaga atau mengerjakan haji walaupun nama anda SUDAH NAIK? Bagaimana anda mahu melabur sedangkan anda perlukan wang untuk membuat rawatan segera. Bagaimana anda nak buat bisnes atau pergi haji sedangkan anda terlantar di hospital? Mahu tidak mahu anda TERPAKSA gunakan wang tersebut untuk membuat rawatan.
Bergantung kepada jenis kecederaan dan penyakit yang anda hidapi. Kalau anda terpaksa buat pembedahan pintas jantung atau bypass kosnya sekitar RM30,000-RM50,000. Jadi jika ini terpaksa anda lakukan, maka simpanan bertahan-tahun anda akan habis SEKELIP MATA!
Jika ditakdirkan anda sembuh semula dan mampu kembali bekerja dengan gaji sekitar RM2,000 sebulan sebagai contoh, anda perlu lebih kurang 15 tahun untuk menabung untuk mencapai jumlah RM50,000. Itu pun jika anda masih mampu menabung. Jika tidak, maka musnahlah segala cita-cita dan perancangan anda! Anda tidak lagi mampu untuk menunaikan haji. Anda pastinya sudah tidak dapat melabur. Berniaga pun terpaksa anda lupakan. Anda masih dikira bernasib baik kerana Allah berikan anda kesembuhan. Bagaimana keadaanya jika anda akhirnya terus lumpuh dan tidak mampu lagi lagi untuk bekerja? Keadaannya pasti jauh lebih dahsyat!
Kenapa keadaan sedemikian berlaku kepada anda dan kebanyakan ORANG MELAYU! Saya sebut Melayu sebab rata-rata ORANG MELAYU amat rendah kesedaran dalam merancang kewangan mereka khususnya berhubung pengambilan skim perlindungan. Bila cerita pasal perlindungan maka yang saya maksudkan ialah takaful. Apa syarikat yang anda sertai tidak penting. Yang penting ialah takaful. Anda WAJIB ambil takaful jika anda adalah se orang Islam. Bahkan HARAM bagi anda mengambil insuran konvensional! Ya, HARAM! So kalau anda sudah tersilap ambil beberapa tahun dulu, maka anda WAJIB cancel! Tukar. Buat baru. Rugi? Memang anda rugi di dunia, tapi anda UNTUNG di akhirat kerana mengambil polisi yang halal. jika dulu anda mungkin ada alasan untuk mengambil insuran konvensional kerana pada masa itu masih belum ada takaful. Tapi kalau anda masih mahu terus kekal dengan polisi HARAM, apa anda nak jawab di hadapan Allah nanti?
Bila anda ambil insuran konvensional, maka wang perlindungan yang anda tinggalkan itu adalah WANG HARAM! Saggupkah anda tinggalkan WANG HARAM pada anak-anak anda selepas kematian anda sedangkan anda begitu serius menjaga makan minum mereka dari makanan-makanan yang haram?
Apa yang saya perkatakan ini adalah berdasarkan kepada hukum syara’. Fatwa pun sudah diwartakan sejak tahun 1979 lagi bahawa mengambil insuran konvensional adalah HARAM!
Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 yang bersidang pada 15-16 Feb 1979 telah membincangkan mengenai insurans. Persidangan telah memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:
Mengandungi gharar (ketidak-tentuan)
Mengandungi unsur judi.
Mengandungi muamalah riba.
Saya mempunyai pengalaman yang agak mendebarkan berkaitan isu ini. Semasa saya aktif memperomosikan produk takaful di Miri Sarawak, antara tahun 2005-2007, saya diberi peluang untuk menyampaikan khutbah Jumaat di masjid Besar Miri, Masjid Al-Muttaqiin. Kebetulan saya agak baik dengan Pengerusi masjid tersebut iaitu Tuan Haji Anuar. Beliau juga adalah salah se roang klien saya buat beberapa ketika. Saya memilih tajuk “Kepentingan Perancangan Kewangan Islam”. Dalam khutbah tersebut saya nyatakan bahawa mengambil insuran konvensional adalah HARAM berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan. Sebaik usai solat Jumaat, saya terus ke pejabat. Tanpa saya sedari rupanya ada 3 orang lelaki yang merupakan ahli jamaah yang sama-sama menunaikan solat Jumaat tadi mengekori saya. “Ish! Kenapa pulak mereka mengekori saya. Mungkin nak mengambil takaful kot atau nak tanya pasal takaful” saya cuba memujuk hati saya yang sudah semakin laju debarannya. Sebaik sampai saya park kereta dan terus naik ke pejabat yang terletak di tingkat satu. Hanya beberapa minit selepas saya memasuki pejabat, loceng pejabat saya berbunyi. Saya bergegas ke luar dan sah! 3 lelaki Melayu yang mengekori saya. Pada mulanya saya teragak-agak untuk membuka pintu kaca tersebut kerana risau suatu yang buruk akan berlaku. Nampak muka ketiga-tiga lelaki tersebut hati saya semakin cemas. Muka mereka tidak begitu friendly sangat. Saya tawakal pada Allah. Pada masa itu staf saya pun belum lagi balik. Mereka keluar makan tengahari agaknya. Saya buka pintu dan mereka meluru masuk dengan agak tergesa-gesa. “Kami datang nak bincang sikit” salah se orang dari 3 lelaki tersebut mula bersuara. Memang serius muka dan suaranya. Kopiah sudah tidak ada lagi atas kepala. Saya membawa mereka masuk ke pejabat saya. “tak mengapa, kita bincang sini saja”. Saya pun tak tahu kenapa mereka begitu tergesa-gesa. Ajak masuk ke pejabat saya pun tak mahu. Akhirnya kami duduk di bahagian luar pejabat. Di kawasan staf-staf saya membuat kerja-kerja mereka.
“Kenapa you cakap insurans tu haram? You tau tak berapa ramai klien kami yang ambil insurans dengan kami sejak sekian lama?. Kenapa you tiba-tiba bagitau dalam khutbah insuran tu haram? Macamana kalau klien-klien kami lari dan tak mahu lagi bersama kami? Sapa yang nak tanggung semua kerugian kami? Aduhai! Bertubi-tubi soalan ditembak ke aras saya. Rupa-rupanya mereka dari syarikat insurance yang dah lama beroperasi di Miri. “Kalau you nak berniaga, Berniagalah secara profesional. Jangan pulak guna agama untuk tarik klien”. Tambah salah se orang dari mereka. “Sorry tuan. Ini bukan soal bisnes. Saya sampaikan khutbah untuk beri kesedaran kepada umat Islam supaya kembali kepada Islam. Tinggalkan perkara-perkara haram termasuk dalam kewangan juga”. Jawab saya dengan tenang. Memang langsung tak terlintas bab bisnes. Dalam khutbah pun saya tak sebut suruh amik produk takaful yang saya jual. Saya Cuma sebut berhijrahlah kepada takaful. Ambillah produk takaful dari mana-mana syarikat kerana takaful itu adalah halalan toyyiba! Halal lagi baik.
‘Ah! Jangan banyak cakaplah. Cukuplah khutbah yang awak bagi tadi kat masjid. Jangan cuba nak jadi hero. Minggu depan awak pegi khutbah balik dan bagitau insurans tak haram!” bentak se orang lelaki sawo matang yang tadinya hanya tunduk membisu. Menahan kemarahan agaknya. “Astaghfirullah! Apa dah jadi ni. Ada pulak mintak suruh sebut insurans tu halal. Ish mustahil. Saya tak akan melakukan perkara itu.” Saya bercakap bersendirian. “Mintak maaf Tuan. Saya memang tidak boleh nak pegi balik bagi khutbah dan bagitau ahli jamaah bahawa insurans tu halal. So sorry! Memang saya tidak boleh. Lagipun macam saya cakap tadi. Ini bukan pendapat saya. Ini Majlis fatwa milik kerajaan yang keluarkan. Saya Cuma menyampaikan saja. Lagipun dalam bisnes ni, kita tidak boleh paksa klien untuk terima apa yang mereka tak mahu. Rezki tu di tangan Allah. Kita hanya berusaha tuan. Saya mintak maaf banyak-banyak. Saya pun tak perasan ada orang Islam yang buat insuran konvensional.” Terang saya panjang lebar. Mereka hanya tunduk. Dari riak wajah mereka sudah kelihatan semakin tenang. Tiada lagi kebengisan di wajah mereka.
Akhirnya mereka beredar. Walaupun suasana agak tegang pada peringkat awal pertemuan tadi, namun saya bersyukur kerana Allah bantu selesaikan konflik ini dengan tenang sekali.
Wassalam – Bersambung…..
“Saya mahu anda jadi Jutawan dengan tips yang saya kongsikan.”
Artikel ini boleh juga anda baca di
www.drnikrahim.com ~
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Jumaat 1 April 2016 / 23 Jamadil Akhir 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

~ KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 25)


SIMPAN DI TABUNG HAJI (TH) BELUM TENTU BOLEH NAIK HAJI?
Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Mungkin ramai yang mengerutkan dahi mereka bila baca tajuk bicara kita kali ini. Mana mungkin, menyimpan dalam Tabung Haji (TH) belum tentu boleh naik haji! Bukankah TH dijamin oleh kerajaan? Mungkin dah ramai yang tahu dan faham, bahawa konsep yang diamalkan oleh TH ialah simpanan berdasarkan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah iaitu konsep simpanan yang mana TH sebagai penjaga (custodian), bersetuju untuk menjaga wang tersebut. Dalam kontrak ini, pendeposit telah memberi keizinan kepada TH untuk menggunakan/meminjam wang mereka bagi tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya. Kesan daripada kebenaran ini, TH/kerajaan akan menjamin wang yang diletakkan di bawah jagaannya. Dari sudut keuntungan yang diperolehi, ia adalah milik penuh TH. Keuntungan yang diagihkan kepada pendeposit adalah menurut budi bicara TH termasuk juga memberi pulangan yang berlainan kepada para pendeposit.
Maksudnya di sini, kalau TH jatuh bankrap dan collapse, kerajaan akan bayar balik simpanan anda. Kalau macam tu kenapa pulak kata ‘belum tentu’ dapat naik haji kalau duit dah cukup dan nama pun dah ‘naik’?
Jawapannya mudah saja! Kalau anda mati, boleh ke anda naik haji walaupun duit anda lebih dari cukup dan nama anda pun sudah terpilih? Kalau anda sakit macamana? Kalau duit yang dah cukup tu anda terpaksa guna untuk rawat penyakit anda atau mungkin bukan anda, tapi isteri tercinta anda, atau suami yang anda kasihi, atau anak-anak yang menjadi penawar duka anda, atau ibu bapa yang kini sedang terlantar? Sebenarnya terlalu banyak yang boleh jadi ‘penghalang’ kepada anda untuk menunaikan haji.
Saya sebut TH hanya sekadar menjadikan contoh. Contoh yang mudah anda fahami sebab majoriti umat Islam yang ada kesedaran tentang kewajipan menunaikan rukun Islam ke 5 itu ‘WAJIB’ ada menyimpan dalam TH. Saya kata ‘tidak ada jaminan’ atau ‘belum tentu’ boleh naik haji bukan nak menggambarkan bahawa TH kini tidak boleh dipercayai walaupun terdapat segelintir yang mengeluarkan wang simpanan mereka dari TH kerana ragu atau sangsi tentang kewibawaan pengurusan yang ada.
Situasi ini berlaku apabila Lembaga Tabung Haji dilaporkan membeli tanah milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) yang sedang dibangunkan.
Namun itu mungkin hanya sejumlah yang kecil sahaja dan ianya tidak mampu memberi apa-apa kesan yang siginifikan terhadap jumlah deposit yang tersimpan di TH.
Apa yang ingin saya kongsikan ialah tentang betapa terdedahnya kita kepada pelbagai risiko yang datangnya pantas seperti kilat menyambar. Terlalu pantas. Bila anda sedar segalanya sudah terlambat. All GONE! Inilah yang bakal berlaku jika anda tidak merancang dengan teliti.
Memang amat bagus jika anda dah ada keinginan yang membuak-buat untuk menyimpan dan menabung kerana itu adalah rukun yang pertama untuk anda jadi kaya @jutawan, namum rukun menabung ini TIDAK SEMPURNA tanpa rukun kedua ini iaitu TAKAFUL. Kenapa takaful? Sebab takaful adalah satu produk yang berbentuk HALALAN TOYYIBAN. Halal lagi baik. Macamana pulak dengan insurans konvensional? Insurans konvensional mungkin ada TOYYIBAN atau kebaikannya namun yang pasti ianya bukan HALALAN tapi HARAMAN atau dalam bahasa kampungnya HARAM!. Dalam siri yang lepas saya dah jelaskan tentang isu ini dan kenapa insurans konvensional itu haram.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapalah saya beria-ia sangat ‘mempromosi’ produk takaful? Apakah ada ‘udang di sebalik mee? Sebenarnya saya tiada muslihat atau niat tersirat. Saya kongsi semua ini only for ONE reason. Satu saja matlamat saya. Saya ingin menjadi PENYELAMAT kepada anda di luar sana. Ya! PENYELAMAT! Sebab ramai sekali umat Islam yang terlalu JAHIL tentang perancangan kewangan Islam. Saya tak malu untuk mengaku bahawa saya juga macam anda suatu ketika dulu. JAHIL tapi buat-buat pandai!. Akhirnya merana sepanjang hidup. Saya tak mahu anda jadi seperti saya. Saya selalu pesan kepada anak-anak saya dan juga pelajar-pelajar saya bahkan juga dengan teman-teman rapat saya:
~ JANGAN SEKALI-KALI BUAT SILAP DALAM KEHIDUPAN KERANA IA AKAN MENGAMBIL MASA YANG AMAT PANJANG UNTUK MEMPERBAIKINYA BAHKAN KADANGKALA KITA LANGSUNG TIDAK BERPELUANG MEMPERBAIKINYA SEHINGGALAH KITA PERGI MENEMUI PENCIPTA KITA – ALLAH~
Malam tadi saya pulang agak lewat ke rumah. Lebih kurang jam 12.30 pagi baru sampai. Kebetulan sempat bersembang dengan anak lelaki saya Nik Amru Al-Aass. Beliau berterima kasih kepada saya kerana memberi nasihat dan teguran yang “TEPAT PADA MASANYA”. Saya berjaya ‘menyelamatkan’ wang beliau sebanyak RM3,000 yang diperuntukkan untuk membeli handphone model terbaru Samsung!
Inilah matlamat saya dan saya berdoa agar Allah terima ia sebagai amal soleh. Saya dah berusia 53 tahun pada bulan Oktober 2016 ini dan bagi saya tiada matlamat yang lebih besar untuk saya capai sebelum saya mengadap Al Khaliq – Yang Maha Pencipta – selain memperoleh redhaNya.
Berbalik kepada bicara kita tentang KEWAJIPAN memiliki takaful. Takaful secara mudah untuk kita faham, sama dengan apa yang orang-orang kampung buat di masjid dan juga surau-surau. Mereka ada Tabung khairat kematian. Konsep takaful samalah macam Tabung khairat itu. Yang berbeza cuma kaedah pengendalian, sistem dan jumlah yang disumbangkan. Ahli qariah yang menyumbang dengan rela hati, menyedekahkan wang sumbangan kepada sesiapa sahaja yang ditimpa musibah tanpa soal. Mereka menyumbang kerana Allah! Kalau ditakdirkan mereka panjang umur, maka lambatlah sumbangan khairat kematian diperolehi oleh keluarganya. Kalau nak cepat kenalah mati cepat!
Takaful adalah PENYELAMAT kepada simpanan dan tabungan anda. Sebab itulah ia menjadi RUKUN yang penting dalam proses untuk menjadi kaya @jutawan. Anda mungkin tidak perlu takaful kalau anda sudah bergelar multi-millionaires. Sudah ada puluhan juta ringgit dalam akaun. Kerana anda boleh sahaja menggunakan wang tersebut untuk membuat rawatan bahkan ianya mungkin tidak kehabisan kerana wang tersebut juga dilaburkan dan menghasilkan laba dan keuntungan tanpa henti walaupun anda sedang ‘beristirihat’ di kamar berhawa dingin di hospital pakar jantung sebagai contoh. Bahkan wang anda akan terus menabur bakti kepada anda walaupun anda sudah berada nun jauh di alam barzakh. Lihat! Betapa setianya wang anda kepada anda kerana anda telah menjaganya dengan baik semasa anda hidup.
Untuk makluman anda, orang yang ada berjuta-juta ringgit wang dalam akaun mereka, akan mengambil takaful lebih banyak dari anda. Kenapa? Sebab bila mereka mati, mereka akan tinggalkan wang yang lebih besar kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka. Sebab itu kita tengok orang-orang kaya, mereka akan terus menjadi kaya apabila berlaku kematian dalam keluarga kerana wang mereka berganda bila mereka meninggal dunia. Bagi tokey-tokey besar, PERLINDUNGAN mereka mungkin mencecah puluhan bahkan ratusan juta ringgit!
Di Amerika se orang billionaire dikatakan mengambil polisi insurans tertinggi dalam sejarah apabila mengambil polisi perlindungan bernilai USD $201 juta atau kurang lebih RM780 juta. Ini bermakna, apabila beliau meninggal dunia maka syarikat insuran tersebut akan membayar jumlah tersebut kepada waris-warisnya. Wang sebanyak itu bertujuan untuk mempastikan bahawa perniagaan beliau tidak terjejas walaupun selepas kematian beliau.
Itu cerita orang kaya. Namun jika wang dan aset anda hanya seciput, atau baru-baru nak belajar menabung maka anda pastinya lebih WAJIB…saya ulangi sekali lagi, anda WAJIB ambil takaful sekarang. Ya ! sekarang, bukan karang, atau Sekejap lagi, atau esok tapi sekarang kerana jika anda tidak bertindak sekarang, anda mungkin tidak akan ada apa-apa peluang lagi. Musibah – kemalangan, penyakit, kematian datang tanpa sebarang signal dan isyarat. Datangnya tanpa meminta izin anda terlebih dahulu!
Bagaimana TAKAFUL bertindak melindungi wang simpanan anda?
Mudah saja. Jika anda ada polisi takaful dan dalam masa yang sama ada simpanan dan pelaburan, maka jika berlaku apa-apa musibah seperti kemalangan dan penyakit kritikal seperti sakit jantung, buah pinggang, Kanser, Parkinson dan lain-lain maka pihak takaful akan membayar keseluruhan kos rawatan anda di hospital termasuk bayaran semasa tinggal di dalam wad, rawatan doktor pakar, ubat-ubatan, bahkan anda diberi elaun harian sepanjang anda berada di hospital.!
Namun ini semua bergantung kepada jenis atau plan takaful yang anda ambil. Jadi jika pihak takaful yang membayar keseluruhan kos rawatan anda, maka anda boleh meneruskan agenda anda apabila anda sembuh nanti. Jika anda mahu menunaikan haji dan umrah, anda masih boleh melakukannya kerana wang anda masih belum terusik. Begitu juga jika anda ingin berniaga atau melabur.
Untuk perincian produk dan berapa caruman yang harus anda buat, anda boleh saja hubungi ejen-ejen takaful yang sentiasa menanti kedatangan anda. Kalau anda call ejen pada masa beliau sedang nyenyak tidur jam 2 pagi dan anda bagitau mahu ambil polisi takaful dalam jumlah yang besar, pasti dia akan bingkas bangun dan bersedia menemui anda di mana sahaja. Saya bercerita melalui pengalaman sebagai ejen takaful!
Lihat! Dengan hanya sedikit ilmu dan tindakan, Ia mampu mengubah segalanya!

Wassalam – Bersambung…..
“Saya mahu anda jadi Jutawan dengan tips yang saya kongsikan.”
Artikel ini boleh juga anda baca di:
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”~
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Sabtu 2 April 2016 / 24 Jamadil Akhir 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 26)


TAKAFUL BUKAN PELABURAN TETAPI PERLINDUNGAN
Salam kasih sayang, salam ukhuwah untuk semua sahabat. Moga ceria-ceria selalu hendaknya. Ameen!
Hari ni agak lewat buat posting. Sepanjang hari ikuti biz training bersama Ust Sharifudin Saufi. Banyak sekali ilmu yg disedut dari puan Sheri Din Winners Forlife dan Tuan Akram Din. Alhamdulillah...
Dalam bicara saya sebelum ini sudah saya kongsikan kepada anda tentang peri pentingnya anda memiliki plan takaful untuk diri anda. Ya! Mulakan untuk diri anda dahulu kerana anda adalah kepala keluarga. Jika tiba-tiba anda ditimpa musibah maka perlindungan yang anda miliki akan bertindak sebagai 'pembantu' anda. Semasa anda sihat dan segar bugar, takaful anda kelihatan tidak penting bahkan amat-amat 'membebankan'. Kenapa tidak, setiap bulan anda terpaksa ikat perut hanya untuk mempastikan anda dilindungi dari suatu yang tidak anda duga. Oleh kerana anda mengambil perlindungan untuk suatu yang tidak diduga dan sukar diramal kerana ianya menjadi rahsia Allah, maka tidak hairan ramai sekali orang mudah 'hilang sabar'. Terasa rugi ambil takaful. Lalu mereka berhenti mencarum. Sanggup ke bank untuk batalkan 'standing order' yang sudah bertahun-tahun dibuat. Malang tidak berbau, disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Suatu hari semasa anda melintas jalan tidak jauh dari rumah, BOOM! anda dilanggar oleh mat rempit. Anda tercampak beberapa meter di atas jalan raya. Nasib anda masih bagus. Sebab semasa anda terhempas ke atas jalan raya, tiada kereta yang lalu lalang. Jika tidak anda sudah menjadi arwah!
Anda di bawa ke hospital untuk rawatan. Anda tiada kad kesihatan kerana anda baru saja membatalkan perlindungan anda sebulan yang lalu. Anda juga tiada surat jaminan (GL) dari majikan anda kerana anda bekerja sendiri. Pendapatan anda hanya RM2,000 dan semuanya bergantung kepada anda. Isteri anda tidak dapat membantu kerana menjaga anak anda yang baru saja minggu lepas dilahirkan. Anda masih lagi menaggung 3 orang anak. Dua orang di sekolah menengah dan se orang di sekolah rendah. Anda juga menanggung ibu bapa di kampung yang uzur dan sudah terlalu dhoif untuk bekerja. Mereka mengharapkan bantuan anda sepenuhnya.
Sebaik anda memasuki wad hospital akibat kecederaan parah di seluruh tubuh anda, semua pendapatan anda sebagai peniaga kecil-kecilan, semuanya terhenti! Cuba anda bayangkan betapa sukar dan peritnya kehidupan anda dan keluarga....betapa beratnya beban yang terpaksa ditanggung oleh mereka hanya kerana satu KESALAHAN. Ya! Satu kesalahan yang membawa derita yang berpanjangan. Kesalahan anda adalah kerana membatalkan perlindungan yang telah sekian lama anda sertai. Kini nasi sudah menjadi bubur. Andai semua boleh dikembalikan, anda sanggup melakukan apa saja. Namun ianya mustahil berlaku. Anda akan terus hidup dalam kesengsaraan begitu juga keluarga anda yang amat anda kasihi!
Senario seperti di atas banyak sekali berlaku dalam masyarakat. Saya sendiri pernah melalui insiden seperti ini semasa menjadi perunding takaful semasa di Miri Sarawak. Ramai yang berhenti bukan kerana tidak mampu untuk membuat bayaran bulanan tetapi hanya kerana mereka merasakan tiada faedah yang mereka perolehi dari plan takaful yang mereka miliki.
Kalau orang bukan Melayu mengambil sehingga 3 atau lebih peindungan, kita orang Melayu pula, yang dah ada pun nak di cancel pula. Beginilah tahap kesedaran kita orang Melayu dalam perancangan kewangan.
Anda tahu tak kenapa orang Cina sebagai contoh ambil lebih dari satu perlindungan? Sebab mereka merancang untuk berbagai-bagai kemungkinan. Satu insuran untuk melindungi diri mereka jika mereka ditimpa kemalangan, penyakit kritikal dan juga kematian. Ertinya mereka menyediakan perlindungan untuk rawatan di hospital dan juga wang yang cukup untuk perbelanjaan asas keluarga. Mereka juga ambil perlindungan berasingan untuk melindungi perniagaan mereka supaya bisnes keluarga dapat diteruskan. Mereka juga mungkin ambil perlindungan bagi melindungi kenderaan keluarga mereka.
Beginilah bentuk perlindungan yang anda perlukan. Kerana tujuan takaful adalah untuk perlindungan dan bukan pelaburan. Dalam erti kata lain, anda ambil polisi sekadar melindungi 'keperluan' anda. Jika anda punyai keperluan yang besar maka besarlah perlindungan yang perlu anda ambil dan jika sekiranya keperluan anda kecil, maka ambillah perlindungan yang kecil sahaja.
Wassalam
Bersambung...
Ikhlas
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al Nikmy
KTM - KL SENTRAL TO NILAI
3 April 2016.

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 27)

(DAH MENABUNG, DAH AMBIL TAKAFUL, SEKARANG MASA UNTUK MELABUR!)

Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah!
Hari ini masuk hari ke 27 saya menulis. Dah hampir satu bulan saya menulis dengan konsisten dan istiqamah. Setiap hari tanpa miss! Seronok rasanya bila dapat luahkan ‘perasaan’ yang terbuku dalam jiwa. Luahan perasan risau dan gusar. Risau dan gusar kiranya ada sahabat yang ‘meniru’ sikap buruk dan habit hodoh saya dulu sebelum saya ‘insaf’ dan ‘taubat’.
Saya benar-benar Berharap anda tidak menjadi seperti saya. Biarlah saya sahaja yang melalui kegetiran hidup yang amat memeritkan ini, asal saja anda tidak! Belajarlah dari pengalaman saya. Buatlah suatu yang tidak saya buat. Kerana yang tidak saya lakukan itu sebenarnya jalan yang ‘lurus’ yang membawa anda ke puncak kejayaan dan kemewahan!
Namun segalanya terserah pada anda. Kalau anda mahu merasai ‘hebatnya’ rasa dikejar oleh gangster, diburu oleh pemungut hutang, jiwa tertekan, anak isteri kesedihan, ayuhlah! Silakan…tirulah macam saya! Enjoylah wang yang anda perolehi. Usah peduli apa orang kata. Anda yang kerja. Anda yang berpenat lelah. Anda juga yang layak lakukan apa sahaja dengan wang anda. Untuk apa menyimpan dan menabung untuk anak-anak. Nanti bila mereka besar pandai-pandailah mereka cari sendiri. Inilah mazhab lama saya. Dulu pun ayah ayah ibu anda tak tinggal harta. Anda yang cari. Anda yang kerja bagai nak mati. Nak simpan untuk anak? Tidak perlu! Belilah kereta mewah sebab bila anda mati, sudah tentu anda tak akan merasa lagi dan anda juga mampu memukau perempuan-perempuan jalanan yang sentiasa memasang jerat mencari mangsa seperti anda. Pasanglah audio sistem yang tercanggih, bunyinya seperti halilintar yang menyambar. Biar bergegar otak anda bila mendengarnya. Anda pasti puas bila orang kata anda pekak, sebab orang di luar kereta anda pun nak pengsan bila mendengar muzik kegilaan anda! Makanlah sepuas-puasnya. Biar anda mati kekenyangan dari mewariskan harta kepada anak-anak dan juga isteri anda. Ah! Apa guna simpan duit banyak-banyak, nanti kalau mati anak jadi rosak kerana harta. Isteri akan jadi janda kaya. Pasti ramai yang tergila-gila. Anda mencipta berjuta alasan untuk hidup seperti raja meskipun apa yang anda miliki tak sebanyak mana!
Namun saya yakin anda se orang bijaksana. Pemikiran anda masih waras dan sempurna. Anda pastinya sudah melakukan apa yang tidak saya lakukan sebelum ini. Saya tidak menabung dan berbelanja boros. Anda pula seronok menabung dan amat berhemah bila berbelanja. Anak isteri anda pun serupa. Ke mana kuah kan tumpah, kalau bukan ke nasi. Anda telah melengkapi rukun pertama untuk menjadi orang kaya @jutawan. Anda juga sudah ada perlindungan secukupnya. Anda, isteri dan anak-anak tercinta sudah punya takaful. Kerana anda tahu, anda punya daya yang amat terhad. Anda sayang isteri dan anak-anak anda. Anda tidak mahu bila anda sudah tiada, anak isteri merayau meminta-minta.
Syukur rukun kedua juga sudah sempurna. Namun anda masih belum boleh merasa selesa. Tabungan dan perlindungan tak mampu menjadikan anda kaya. Bagaimana anda mampu menjadi kaya jika wang anda terperap kaku dalam akaun semasa? Berapa banyak laba yang mampu anda terima? 2 persen? 3 persen setahun? Itu bukan bijak namanya. Kerana yang kaya bukan anda. Tetapi pemiik bank yang dah sedia kaya. Anda cuma akan kaya bila wang anda mula ‘mencetak’ lebih banyak wang untuk anda. Tapi bagaimana?
Pelaburanlah jawapannya. Tapi jangan pula jadi tamak haloba. Gelojoh nak untung segera. Dalam dunia ada peraturannya. Anda sendiripun setelah 9 bulan baru terpancul ke dunia. Apa jadi kalau ibu anda dipaksa, melahirkan sebelum tiba masa?
Melaburlah dengan ilmu yang penuh di dada. Buat research, Banyakkan bertanya. Saya sendiri dah banyak terkena. Skim cepat kaya, bermacam-macam nama. Ada yang berselindung di sebalik agama. Nama Tuhan, nama Nabi jadi taruhannya. Sebut agama, ramai sekali orang percaya. Sanggup menggadai tanah pusaka. Sebab nak kaya, sanggup ketepikan agama.
Bersambung….
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Isnin 4 April 2016 / 26 Jamadil Akhir 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmusim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 28)


USTAZ PEMBOHONG, PEMBAWA AJARAN SESAT!
Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….Allah masih lagi memberi peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya.
Hari ini masuk hari ke 28 saya menulis berhubung tajuk KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN?. Jutaan terima kasih kepada sahabat yang mengikuti tulisan saya sejak part 1 lagi. Tahniah! Jika sekiranya anda telah beroleh manafaat dan sudah memulakan langkah dan tindakan ke arah memperbaiki diri dari sikap-sikap negatif dari dalam diri. Jika saya menulis dalam siri-siri awal dahulu tentang peri pentingnya menabung dan berjimat cermat dan ini telah anda lakukan, ucapkan tahniah kepada diri anda. Anda perlu bersyukur kepada Allah kerana melorongkan jalan buat anda.
Namun jika anda masih terlalu berat untuk merobah diri dari sifat-sifat negatif tersebut yang mungkin telah sebati dalam diri, TAKZIAH saya ucapkan! Anda perlu MEROBAH diri anda sekarang kerana tidak ada sesiapa dalam dunia ini yang mampu mengubahnya. Saya tidak mampu mengubah anda. Yang saya mampu sekadar memberi peringatan dan berkongsi pengalaman dan tunjukkan kepada anda betapa buruk dan busuknya sikap suka berbelanja tanpa berhemah dengan boros, tapi saya tidak boleh merobah anda. Isteri anda juga tidak mampu merobah anda. Isteri anda mungkin hanya mampu membebel saban hari kerana ‘muak’ dengan karenah anda. Ibu bapa anda juga tidak mampu mengubah anda. Apa lagi majikan anda. Yang boleh merobah kehidupan anda kepada keadaan yang lebih baik atau lebih buruk adalah ANDA! Allah berfirman di dalam al Quran yang bermaksud:
“Allah tidak akan merobah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka sendiri yang merobahnya”
Dalam siri kali ini saya akan berkongsi dengan anda tentang keperluan untuk melabur setelah anda berjaya melalui atau melaksanakan dua rukun terdahulu iaitu; pertama – berjimat cermat dan yang kedua memiliki perlindungan takaful. Maka setelah anda ‘LULUS’ dengan cemerlang dalam kedua-dua pra-syarat untuk kaya@jutawan, maka anda ini akan memulakan langkah yang lebih advance lagi iaitu rukun ketiga – pelaburan.
Ya! Anda perlu melabur. Bila saya kata melabur bukan bermaksud ‘menyimpan’ dan membiarkan wang anda membeku dalam akaun bank dan mengharapkan pulangan yang bersifat ‘belas kasihan’ dari bank sebanyak 2 % setahun. Itu bukan melabur namanya. Melabur maksudnya meletakkan wang anda di dalam satu-satu aktiviti perniagaan yang mampu memberikan anda pulangan yang berbaloi. Pelaburan boleh juga berlaku apabila anda menjadi share partner atau rakan kongsi dalam satu-satu business venture. Pelaburan juga boleh dilakukan dengan meletakkan wang anda di dalam satu-satu syarikat yang berdaya maju dan syarikat akan memberikan anda sebahagian dari keuntungan mereka kepada anda setiap tahun jika syarikat itu buat untung. Juga dikira pelaburan jika anda guna wang anda untuk memulakan perniagaan sendiri. Membeli aset pada harga rendah dan menjualnya apabila harga meningkat juga adalah pelaburan. Begitu juga jika anda membeli emas, melibatkan diri dalam pasaran saham, forex dan sebagainya, semuanya itu boleh dikatagorikan sebagai aktiviti pelaburan iaitu aktiviti yang mampu menjana keuntungan yang berpatutan dengan jumlah wang yang anda laburkan.
Tapi anda harus INGAT! Meletakkan wang dalam SKIM CEPAT KAYA (SCK) juga adalah pelaburan. Ya PELABURAN JAHANAM! Pelaburan yang MELEBURKAN anda. Semalam saya berbincang dengan se orang bekas pelajar saya, Man (bukan nama sebenar) yang masih lagi belajar di tahun akhir di USIM. Beliau mengaku pernah ‘TERKENA’ dengan SCK bukan hanya sebagai pelabur tetapi sebagai agen yang mencari pelabur-pelabur baru. Akhirnya hingga kini menderita kerana terpaksa membayar balik sebanyak RM20,000 kepada pelabur yang dicarinya. Jika tidak dibayar, sesuatu yang amat buruk akan berlaku kepada beliau dan keluarga. Sungguh menyeramkan!
Bercerita tentang SCK ni, saya ada pengalaman yang amat memualkan bila teringat kembali peristiwa yang berlaku sekitar tahun 2009-2010 yang lalu. Iaitu sebelum saya bertugas di Maahad Tahfiz Negeri Pahang. Suatu hari saya dihubungi oleh se orang individu yang tidak saya kenali – Shaari (bukan nama sebenar) . Katanya beliau dapat no phone saya dari se orang Ustaz Jaafar (bukan nama sebenar) yang bertugas di Brunei pada masa itu. Saya memang mengenali Ust Jaafar yang berasal dari Kelantan yang amat rapat dengan saya. Sudah berpuluh tahun beliau di Brunei sebagai guru al Quran. Shaari mengajak saya bertemu untuk berbincang suatu yang amat penting untuk ummah. “Wah! Luar biasa ini. Berbicara tentang ummah? Why me? Saya sekadar insan biasa, ilmu yang ‘seciput’ ini tidak sehebat mana berbanding ramai lagi nama-nama besar di persada tanah air?” Saya bercakap se orang diri.
Saya bersetuju untuk bertemu beliau. “Dr, kita jumpa di Hilton dekat KL Sentral jam 3ptg hari ni.” Kata En Shaari. Dari pejabat saya di Gombak, saya bergegas menaiki LRT ke KL Sentral. Sebaik sampai saya bersalaman dengan beliau dan saya diperkenalkan dengan se orang lagi individu. Saya tak ambil kisah sangat dengan lelaki yang dibawa bersama. Melihat cara berpakaian selekeh dan berselipar Jepun, saya meneka bahawa lelaki tersebut adalah pemandu kepada Shaari yang berpakaian kemas dan segak. Siap dengan 3 pieces suit lagi. “Wah, bukan calang orang En Shaari ni”, bisik saya sambil melemparkan senyuman. Saya dijemput duduk dan beliau memanggil waiter untuk memesan minuman. Tidak lama selepas itu, minum kami dibawa. Cappuccino memang menjadi kegemaran saya. “Terima kasih Dr kerana luangkan masa untuk bertemu kami. Saya Shaari, CEO, DINA Business Ventures Sdn Bhd (bukan nama syarikat sebenar) dan ini Ustaz Tengku Mansur, Pengerusi dan pengasas syarikat DINA Business Ventures Sdn Bhd.” Kata Shaari memulakan bicara.“ Ha? Ustaz? Pengerusi? Pengasas? Macam ni rupa dan cara berpakaian? Biar betul?” bisik saya dalam hati. Saya mengangguk-anggukan kepala sambil melemparkan senyuman yang hambar kepada lelaki yang tadi saya sangka sebagai pemandu. Memang dari luarannya, lelaki yang bernama Ustaz Tengku Mansur ni sukar dipercayai sebagai se orang Ustaz. Tidak nampak langsung ‘ketokohannya’ dalam bidang agama jika melihat dari penampilannya. Apatah lagi sebagai Pengerusi dan pengasas kepada sebuah syarikat yang besar. Saya Cuma mengagak syarikat yang diasaskan oleh lelaki ini adalah syarikat yang besar. Kalau tak besar mana mampu minum-minum di hotel bertaraf 5 stars ini. “Ustaz Tengku Mansur dapat gelaran Tengku dari Istana Kelantan” Tambah Shaari apabila melihat saya seakan tidak percaya dengan apa yang dikatakan tentang lelaki tersebut. “Dapat gelaran Tengku dari Istana Kelantan? “Emm….ada ker gelaran Tengku ni boleh dibagi macam tu saja macam gelaran Dato dan lain-lain” saya berfikir dalam hati. Terasa juga nak tanya soalan cepu emas tu, tapi saya tangguhkan dulu soalan tersebut. Mungkin saya saja yang tak tahu.
Kami meneruskan perbualan. Dalam kepala saya masih berlegar mencari jawapan. “Betul ker lelaki yang duduk bersebelahan Shaari ni se orang Ustaz, Pengerusi dan Pengasas kepada sebuah syarikat dan ada gelaran Tengku pulak tu? Entah-entah proxy saja kot?” saya terus berfikir. Saya berkeyakinan bahawa lelaki ini cuma sebagai proxy kepada Shaari berdasarkan kepada perwatakan luarnya.
“Kami sebenarnya ada hajat. Kami nak mintak pertolongan Dr untuk ke Brunei. Kami sebenarnya disaman oleh kerajaan Brunei. Operasi syarikat yang kami jalankan di Brunei dituduh menjalankan perniagaan yang bercanggah dengan undang-undang Brunei. Sebagai se orang yang pernah bekerja di Brunei dan mempunyai latar belakang undang-undang Islam, kami nak mintak bantuan Dr untuk bantu kami” jelas Shaari tanpa dipinta.
“Brunei? Wah! Bagus ni” bisik saya di dalam hati. “Semasa Dr di sana, kami akan tanggung semuanya. Tiket kapal terbang, makan minum, tempat tinggal bahkan elaun, semuanya akan kami bayar. Kami akan bagi Dr duit poket sebanyak B$1,000 dan elaun harian sebanyak B$500.” Kata Shaari sambil menjeling dan tersenyum kepada lelaki yang berada di sebelahnya. “Masya Allah! Banyak tu!” bisik saya dalam hati. Saya rasa macam bermimpi di siang hari. Wang itu amat bermakna buat saya kerana kebetulan pada masa itu perniagaan saya dalam takaful merudum teruk.
Saya amat bersyukur kepada Allah kerana berkat doa dari keluarga dan ayahnda bonda, akhirnya Allah membuka jalan rezeki yang agak lumayan dalam keadaan yang amat tidak diduga. “Macamana Dr Nik?” tanya Shaari mengejutkan saya dari lamunan.
“Jangan risau Dr Nik. Itu arahan ambo. Shaari mesti ikut arahan ambo” tiba-tiba lelaki tersebut bersuara dalam loghat Kelantan. Shaari yang mendengar kata-kata lelaki tersebut mengangguk-angguk kepala tanda bersetuju. “ Baiklah, saya bersetuju untuk membantu sekadar yang mampu.” Jawab saya ringkas. Saya menghabiskan minuman sambil meminta Shaari untuk memperkenalkan lelaki tersebut dengan lebih terperinci. Lama juga kami bersembang. Akhirnya saya meminta diri kerana terpaksa pulang ke pejabat. “apa-apa nanti saya akan telefon Dr dan berikan maklumat terperinci tentang perjalanan kita nanti ke Brunei”. Terang Shaari mengakhiri perbualan kami dan setelah bersalaman dengan beliau dan Ustaz Tengku Mansur, saya melangkah pergi meninggalkan mereka berdua. Fikiran saya masih ligat berputar. Berbagai persoalan timbul dalam benak pemikiran saya khususnya tentang lelaki ‘misteri’ yang bersama Shaari tadi.

Bersambung….

~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Selasa 5 April 2016 / 27 Jamadil Akhir 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.
- Artikel ini juga boleh diakses di www.drnikrahim.com -

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 29)


HARI PERBICARAAN!
Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….Allah masih lagi memberi peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya.
Semalam saya tidak menulis. Terlalu sibuk dengan tugas dan rutin harian serta tanggungjawab lain yang perlu ditunaikan. Ok, hari ini kita sambung cerita kita tentang kes syarikat DINA Business Ventures Sdn Bhd yang didakwa di mahkamah Brunei.
Sebenarnya saya tidak tahu bahawa syarikat DINA Business Ventures Sdn Bhd yang diterajui oleh ‘Ustaz Tengku Mansur’ rupanya turut mempunyai cawangannya di Brunei Darussalam. Syarikat ini diwakili oleh beberapa orang Board of Directors termasuk Shaari dan dua orang lagi dari penduduk Brunei Darussalam yang juga bernama Ramlan yang merupakan bekas pengamal undang-undang di Brunei Darussalam serta bapa mertuanya Haji Yusof.
Hari yang ditetapkan untuk perbicaraan telah tiba. Hari itu tanggal 6hb Disember 2010. Saya, Ramlan, Shaari, Hadi serta beberapa lagi pekerja dan penyokong syarikat DINA Business Ventures Sdn Bhd turut hadir ke mahkamah. Saya tidak mempunyai apa-apa tugasan. Semua tertuduh diwakili oleh se orang peguam handalan dari firma guaman Syed Ali & Associates (bukan syarikat sebenar).
Sehari sebelum itu saya terlibat dalam pertemuan bersama peguam ini. Di dalam pertemuan tersebut saya menyatakan bahawa perlu ada kaedah pelaburan yang tepat menurut Syariah jika mahu dijadikan hujah di mahkamah. Mereka bersetuju dengan cadangan saya dan akan diwujudkan nanti satu penal penasihat Syariah. Saya mencadangkan supaya se orang ulama yang bertaraf mufti perlu dilantik bagi mendapatkan keyakinan para pelabur.
Pertuduhan dibacakan. Semua yang hadir di mahkamah diam membisu. “Kamu Shaari bin Muhammad Ali, Ramlan bin Abdullah dan Haji Yusof bin Kamaruddin (semua nama bukan nama sebenar), telah menerima deposit dari orang ramai berjumlah $5,775,000 dari 269 individu antara bulan Mac dan September 2007 tanpa lesen yang sah.”
Setelah pertuduhan dibacakan kelihatan semua tertuduh berbisik-bisik dengan peguam yang mewakili kes mereka. Akhirnya semua tertuduh bersetuju untuk tidak mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka dan memohon supaya dibicarakan. Mahkamah menetapkan suatu tarikh yang lain untuk perbicaraan iaitu kira-kira 3 bulan dari tarikh sebutan kes untuk kali pertama.
Sebaik selesainya sesi mahkamah, kami diminta untuk terus ke pejabat peguam. Di pejabat peguam, kami duduk dalam satu sesi tertutup yang turut dihadiri oleh semua yang tertuduh dan juga peguam tersebut. Kami berbincang, bagaimana untuk melepaskan diri dari tuduhan tersebut. Masing-masing berhujah, bahawa apa yang mereka lakukan itu tidak sepatutnya menjadi satu kesalahan kerana matlamat mereka tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membantu masyarakat. Mereka berhujah bahawa keuntungan yang diberi oleh pihak bank adalah terlalu rendah. Paling banyak yang akan mereka terima ialah sebanyak 2-3% sahaja setahun sedangkan syarikat memberi pulangan sehingga 8% sebulan!
Secara ikhlas, pada masa itu saya mula merasakan bahawa pihak syarikat sememangnya ikhlas mahu membantu meskipun berhadapan dengan saman dari mahkamah. Saya tidak nampak di mana silapnya kerana saya dimaklumkan sejak 2 tahun beroperasi, syarikat tidak langsung mempunyai masalah dalam membuat pembayaran kepada ahli. Semua ahli happy. Cuma yang menjadi keraguan saya ialah bagaimana syarikat menetapkan ‘keuntungan’ sebanyak 8% setiap bulan sedangkan dalam konsep pelaburan Islam, keuntungan tidak harus ditetapkan dan jika ini berlaku, maka pelaburan itu sudah dikategorikan sebagai riba yang diharamkan oleh Islam.
Di dalam beberapa sesi perbicangan saya dengan Shaari dan Azlan, saya sering menimbulkan isu ini supaya syarikat membuat sesuatu untuk mengubahnya. “Kalau kita benar-benar mahu membantu umat Islam dan kita ikhlas melakukannya, maka kita sepatutnya melakukan semua perkara mengikut lunas-lunas Islam. Barulah ada berkat.” Kata saya kepada Shaari semasa kami hangat berbahas mengenai pelaburan yang dijalankan oleh syarikat.
“Kita dah 2 tahun beroperasi dan berjuta Dollar Brunei kita agihkan tanpa ada sebarang masalah. Ni mesti ada kes orang dengki dengan syarikat” kata Shaari seakan kesal dengan tindakan polis dan pihak Kementerian Kewangan Brunei menyerbu premis syarikat yang terletak di sebuah bangunan komersial di Bandar Seri Begawan yang disewa sebanyak B$40,000 atau lebih kurang RM100,000 sebulan pada masa itu. Memang amat mewah pejabat-pejabat yang dimiliki oleh syarikat ini. Dan susulan dari itu semua dokumen dirampas dan akhirnya mereka diheret ke mahkamah.Tugasan saya selesai. Tidak banyak sumbangan yang saya berikan kepada syarikat pada ketika itu.
Akhirnya tibalah masa untuk saya kembali ke Kuala Lumpur. Masih banyak lagi urusan yang harus saya bereskan di pejabat. Banyak lagi fail-fail wasiat serta borang-borang caruman takaful yang perlu saya hantar ke pejabat Amanah raya dan juga pejabat etiqa takaful. Saya pun sudah tidak mempunyai sebarang pekerja kerana bisnes memang teruk merudum. Segalanya saya lakukan sendiri.
“Dr, ni ada duit sikit. Tak banyak pun cuma B$1,000 saja. $B1,000 dah saya bagi pada Dr, masa sampai hari tu. Ni Elaun Dr selama 4 hari di sini.” Kata Shaari, sambil menghulurkan sampul surat berwarna putih kepada saya. “Masya’Allah! B$2,000 dalam masa 4 hari?” memang murah sungguh rezki saya dan keluarga bisik saya dalam hati. Saya bersalaman dengan Ramlan, Hadi dan ada lagi beberapa orang yang tinggal di rumah bungalow tersebut. “Saya hantar Dr ke apot. Ada benda nak bincang sikit” kata Shaari kepada saya.
Kami berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dengan menaiki kereta BMW 7.0 series berwarna silver yang merupakan kereta syarikat. Kereta ini memang dikhaskan untuk VIP. “Wah! Macam VIP lah pulak rasanya.” Bisik saya dalam hati sambil tersenyum. Kami sampai agak awal di apot. Shaari mengajak saya ke sebuah restoran makanan segera yang terletak di dalam apot kerana katanya payah nak bincang masa dalam kereta tadi.
“Begini Dr, saya dah bincang dengan ‘ustaz’ untuk ambil Dr sebagai ‘penasihat syariah’ syarikat. Dr, boleh cari sesiapa lagi untuk duduk dalam team Dr”. kata Shaari memulakan bicara sebaik kami duduk dan memesan minuman.
“Penasihat Syariah? Saya mana ada pengalaman En Shaari?” balas saya merendah diri. Sebab saya secara jujur tidak mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan kewangan dan pelaburan Islam pada masa itu walaupun saya bergiat aktif dalam memasarkan produk kewangan Islam seperti Takaful dan wasiat. Namun menjadi penasihat Syariah adalah suatu yang jauh berbeza. Yang saya tahu adalah ‘jenayah’ kerana jenayah adalah bidang saya. Maksud saya bidang kepakaran saya adalah Undang-Undang Jenayah Syariah, bukan sebagai pakar penjenayah!
“Tidak mengapa Dr, nanti Dr boleh cari beberapa orang lagi untuk dimasukkan ke dalam team Dr untuk memantapkan lagi team Penasihat Syaria’h syarikat” balas Shaari mempertahankan kata-katanya tadi. Sebelum sempat saya meneruskan hujah beliau meneruskan kata-katanya. “Ustaz bersetuju untuk bayar Dr, RM12,000 sebulan di samping lain-lain elaun.” Tegas Shaari. “Astaghfirullah! RM12,00 sebulan? Biar betul Shaari ni” getus saya dalam hati. Sukar untuk saya percaya tawaran tersebut. “Balik nanti Dr pegi ke pejabat kita di Jalan Raja Chulan untuk lapor diri kalau Dr setuju dengan tawaran ini” kata Shaari lagi mengakhiri bualan kami kerana masa sudah tiba untuk terbang pulang ke Kuala Lumpur.
Semasa dalam pesawat, pemikiran saya berpusing-pusing. Berfikir tidak henti. Saya cuba lelapkan mata tapi begitu sukar. Saya masih tidak begitu yakin dengan tawaran yang diutarakan oleh Shaari. Gajinya terlalu besar dan saya tidak fikir saya adalah orang yang tepat untuk jawatan sepenting itu….
Wassalam
Bersambung….
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Jumaat 8 April 2016 / 30 Jamadil Akhir 1437H
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.
Artikel ini boleh juga dibaca di –www.drnikrahim.com-

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...