Tuesday, April 19, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 31)

PERTEMUAN BERSEJARAH BERSAMA MUFTI
Salam penuh kemesraan buat semua sahabat. Selamat beristirihat di hujung minggu bersama famili tercinta. Moga Allah meredhai kita semua di dunia dan akhirat. Ameen.
Hari ini saya akan sambung kisah seterusnya setelah mimpi aneh yang saya alami tentang ustaz Tengku Mansur. Mungkin ada pembaca yang agak sangsi dengan cerita saya tentang mimpi tersebut. Itu terpulang anda semua untuk membuat penilaian. Lagipun ia sekadar mimpi yang tidak boleh dijadikan hujah dalam amalan agama. Namun bagi saya ianya amat signifikan dalam membantu saya membuat keputusan yang begitu penting dalam hidup. Gaji yang besar bukanlah tarikan yang sebenar dalam kes ini kerana bagi saya rezeki yang halal adalah jauh lebih penting. Biar sedikit tapi halal dari banyak tapi sumbernya tidak jelas. Saya bertekad, bila mulakan tugasan saya sebagai penasihat syariah nanti saya akan pastikan segalanya berjalan dengan baik dan mengikut garis panduan yang dibenarkan oleh Syara'. Saya sendiri tidak mampu melakukannya berseorangan. Saya perlu seseorang yang berilmu dan berpengaruh dan punyai kedudukan dalam masyarakat.
Pada awal Januari 2010 saya melaporkan diri di pejabat DINA yang terletak di sebuah bangunan komersial di jalan Raja Chulan Kuala Lumpur. Di sana saya disambut oleh Shaari dan juga Ramlan yang masing-masing mempunyai pejabat di sana. Dari maklumat yang saya perolehi Shaari dan Ramlan kedua-duanya adalah Ahli Lembaga Pengarah kepada syarikat DINA. Shaari adalah Presiden manakala Ramlan bertindak sebagai Timbalan Presiden. Saya dimaklumkan bahawa nama Ustaz tiada dalam senarai pemegang saham. Kami berbincang tentang perkara-perkara berkaitan dengan perniagaan dan pelaburan syarikat serta jenis plan pelaburan yang ditawarkan selain beberapa maklumat penting tentang pengerusi syarikat iaitu ustaz Mansur.
Saya ditugaskan untuk mencari ahli dalam team penasihat syariah bagi memudahkan proses berhubung isu-isu yang timbul berkaitan hukum hakam dan syariat. Beberapa nama dicadangkan. Namun semuanya bersetuju untuk memilih se orang mufti di utara tanahair sebagai salah se orang penal Syariah syarikat. Saya ditugaskan untuk membuat temujanji dengan Sahibul Samahah Datuk abdul Rashid (bukan nama sebenar) bagi menyatakan niat hati kami. Saya agak terkejut kerana Ust Mansur setuju untuk turut serta dalam pertemuan tersebut. Turut hadir kedua-dua orang kanan Ustaz iaitu Shaari dan Ramlan. Pertemuan amat memberangsangkan. Ust Mansur menceritakan secara detail tentang syarikat dan plan yang ditawarkan. Datuk Mufti mendengar dengan penuh teliti dan khusyuk. Sekali sekala beliau bertanya tentang isu yang kurang jelas. "Kalau ikut sistem pelaburan Islam, kita tidak boleh tetapkan keuntungan Ustaz. Sebab kalau kita tetapkan maka ia sudah menjadi riba yang diharamkan " kata Datuk Mufti kepada Ust Mansur dengan suara yang tegas. " Begini Datuk, sebenarnya kita tidak tetapkan keuntungan. Apa yang ditulis adalah anggaran sahaja berdasarkan kepada keuntungan perniagaan kita di tahun-tahun yang sebelumnya." Sampuk saya bila melihat Ustaz Mansur menjeling ke arah saya seakan memberi isyarat untuk saya menjawab persoalan tersebut. Datuk Mufti mengangguk-anggukan kepala tanda memahami apa yang saya katakan.
"Kita tengok hari ini Datuk, ramai umat Islam terlibat dengan berbagai jenayah. Ada yang terlibat dengan pengedaran dadah, pelacuran, mencuri, merompak dan macam-macam lagi. Kenapa semua ini berlaku? Tidak lain dan tidak bukan adalah berpunca dari kemiskinan. Sebab itulah kami datang jumpa Datuk untuk sama-sama berjuang membantu meningkatkan ekonomi ummah. Kita mahu Datuk menjadi Penasihat Syariah kami". Terang Ust Mansur secara panjang lebar dan penuh bersemangat. " Ini surat perlantikan Datuk". Kata Shaari sambil menghulurkan surat perlantikan kepada Datuk Mufti. " Wah, besarnya elaun saya! Saya jadi penasihat bank pun tak sebanyak ini depa bayar" kata Datuk Mufti dalam loghat utara seakan terkejut dengan elaun besar yang ditawarkan.
Saya bersyukur kerana setelah berbincang panjang lebar, akhirnya Datuk Mufti bersetuju untuk menerima tawaran dari syarikat untuk menjadi salah se orang ahli dalam Penal Syariah DINA. Saya amat bersyukur kerana tugasan pertama saya berjalan dengan lancar. Sekarang SS Datuk Abdul Rashid, secara rasminya menjadi Penasihat Syariah bagi syarikat.
Selepas Datuk Mufti yang cukup lantang suatu ketika dulu menegur para pemimpin dari segala bentuk salah laku dalam pentadbiran menjadi ahli dalam Panel Syariah, saya aturkan beberapa lagi siri pertemuan dengan beliau di pejabat dan di rumah beliau sendiri. Kami pernah dijamu dengan begitu hebat dan meriah sekali suatu ketika semasa mengunjungi beliau di rumah. Datuk Mufti saya lihat se orang yang amat peramah dan lembut sekali bicaranya.
"Malam tadi saya bermimpi melihat anai-anai memakan sebatang pokok sehingga runtuh" katanya semasa saya memaklumkan kepada beliau bahawa program bersama-sama mufti seluruh Malaysia yang dirancang sebelum ini terpaksa dibatalkan kerana sebab-sebab yang tidak dijangka. "Mungkin adalah hikmahnya tu kenapa tak jadi" kata beliau lagi.
Pertemuan berikutnya ialah di pejabat DINA di Jalan Raja Chulan, KL bersama staf dan pegawai-pegawai kanan DINA termasuk se orang artis yang cukup ternama bertahi lalat besar di pipinya yang kemudiannya dihantar ke Hong Kong sebagai Timbalan Presiden di sana. Serius! Saya kagum dengan syarikat DINA ini melebarkan sayap perniagaannya bukan sahaja di seluruh Malaysia bahkan juga ke luar negara termasuk Brunei, Hong Kong bahkan mempunyai perancangan untuk meneroka pasaran Asia Barat.
Ternyata kemasukan Datuk Mufti selaku Penasihat Syariah dalam syarikat DINA memberi impak yang amat luar biasa. Orang ramai berduyun-duyun menyertai plan yang ditawarkan oleh pihak DINA di seluruh Malaysia dan Brunei. Di Hong Kong penyertaan agak minimal memandangkan DINA baru sahaja bertapak di sana. Apa yang lebih menarik, Datuk Mufti sendiri turut menyertai plan Pelaburan DINA dengan pelaburan sebanyak RM100,000. "Masya Allah! Banyak Datuk melabur?" kata saya kepada Datuk Mufti semasa ke bilik hotel beliau di Pan Pasific, KL semasa mengambil cek tersebut. "Adalah sikit. Duit saya jual tanah aritu." Kata beliau jujur.
Sebaik mengambil cek dari beliau saya terus bergegas pulang ke pejabat DINA di Jalan Raja Chulan untuk berkongsi khabar gembira tersebut. Saya bersyukur kerana Allah permudahkan segalanya. Inilah bagi saya sedikit saham yang dapat sumbangkan untuk ummah.
Wassalam
Bersambung
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Mantin, Negeri Sembilan
2 Rajab 1437 H =10 April 2016
Artikel ini juga boleh dibaca di www.drnikrahim.com

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...