Tuesday, April 19, 2016

~ KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 24)


NAK KAYA? PENUHI DULU RUKUN-RUKUNNYA!
Sapa tak nak kaya! Semua orang nak kaya. Cuma tahap keinginan saja yang berbeza. Ada orang memang betul-betul serius nak kaya. Plan untuk jadi kaya. Buat semua perkara yang orang kaya dah buat. Akhirnya kaya. Tapi ramai juga yang GUGUR sebelum mencapai sasarannya! Mungkin belum sampai masanya. Kita kena faham, Allah buat semua perkara berdasarkan waktunya. Lihat saja di sekeliling kita. Semuanya mempunyai waktunya tersendiri. Solat ada waktunya. Puasa, zakat, haji dan lain-lain ibadat, semuanya ada waktu. Kalau buat satu-satu amalan tidak mengikut waktu yang ditetapkan maka amalan itu tidak sah dan akan ditolak walau sehebat mana amalan tersebut.
Jadi sama juga keadaanya. Orang kaya akan kaya bila sampai masanya untuk jadi kaya. Selagimana masanya belum tiba, maka MUSTAHIL dia akan jadi kaya. Bila tiba masanya? Allahu a’lam. No body knows! Tak ada siapa yang tahu. Sama juga dengan jodoh dan kematian kita. Kita tak tahu kan bila akan tiba? So, apa yang penting kita buat dan berusaha sebaik mungkin. Jika masanya tiba dan ianya memang tertulis, ianya pasti akan jadi milik kita.
Kalau dalam ibadat seperti solat, puasa, haji dan lain-lainnya, terdapat rukun dan syarat yang wajib dipatuhi bagi menjadikan amalan kita sah, maka sama juga untuk jadi kaya @jutawan, pasti ada rukun dan syaratnya. Rukun dan syarat pertama telah kita sentuh sebelum ini iaitu berjimat cermat dan menabung. Jika anda telah melakukan ‘rukun’ ini insya Allah, anda telah menempah tiket untuk menyertai ‘Millionaires Club’. Jika belum, baliklah dulu ke rumah. Buat perancangan yang teratur. Disiplinkan diri dan keluarga untuk berjimat dan menabung. Potong perbelanjaan dalam perkara-perkara yang tidak penting. Kalau dah mula boleh simpan duit pada setiap bulan, maka harapan dan impian untuk anda jadi jutawan adalah cerah!
Rukun Kedua dalam perancangan kewangan yang wajib dilakukan ialah MEMILIKI PERLINDUNGAN. Ya perlindungan! Perlindungan adalah asas dalam perancangan kewangan kerana tanpa perlindungan, wang yang anda simpan akan lebur sebelum sempat untuk labur. Dalam kegawatan ekonomi dan keadaan persekitaran serta gaya hidup yang amat tidak sihat pada hari ini, setiap individu amat terdedah kepada berbagai bentuk risiko. Di awal pagi kita pergi bekerja. Kita terdedah kepada risiko kemalangan di jalan raya. Pernah satu hari saya keluar dari rumah di Sri Palma Villa, Mantin menuju ke pejabat saya di USIM, Nilai, saya bertembung dengan 3 kemalangan. 3 kemalangan dalam tempoh kurang dari 30 minit dalam jarak perjalanan hanya kira-kira 20 minit! Saya melihat mangsa terbaring di atas jalan raya berlumuran darah. Memang mengerikan. Dalam hati sentiasa berdoa agar Allah lindungi!
Apabila kita terlibat dalam kemalangan jalanraya sebagai contoh atau ditimpa penyakit kronik, ianya membawa derita kerana menanggung kesakitan yang tidak terhingga. Saya pernah melalui saat yang genting sebegini semasa berumur 20 tahun. Ya! Lebih 33 tahun yang lalu. Tapi kesakitannya masih lagi terasa hingga kini. Kesan-kesan parut masih jelas kelihatan. Cuma saya agak bernasib baik kerana kecederaan walaupun agak parah, tetapi tidak membawa ‘KECACATAN’ kekal sehingga meletakkan saya dalam kategori ‘OKU’. Alhamdulillah! Jika tidak SAHAM saya pasti jatuh, tambahan pula masa tu saya belum lagi kawin!
Selain dari kesakitan yang terpaksa anda tanggung, anda juga terpaksa menanggung bebanan kos perubatan dan rawatan termasuk bayaran wad, ubat-ubatan, konsultasi pakar, terapi dan lain-lain mengikut kecederaan dan penyakit yang anda hidapi. Jika anda bekerja dengan kerajaan atau swasta anda pada kebiasaanya akan diberikan rawatan dengan bayaran yang minimal kerana kosnya, sebahagian besar ditanggung oleh majikan. Tapi bagaimana jika anda bekerja sendiri? Siapa yang bakal menanggung beban kewangan tersebut? dan jika kos perubatan dan rawatan nda anda ditanggung oleh majikan, untuk berapa lama? Adakah pihak majikan akan tanggung anda sepanjang hidup? Bagaimana pula dengan pekerjaan anda? Berapa lama pihak majikan anda sanggup bayar anda GAJI BUTA tanpa melakukan apa-apa pekerjaan? Bagaimana jika majikan anda membuat keputusan untuk memberhentikan anda dan tempat anda diisi dengan orang lain?
Baiklah, jika pada waktu berlakunya kemalangan, atau waktu anda ditimpa penyakit anda mempunyai simpanan tunai berjumlah RM50,000 dan anda sebenarnya bercadang untuk pergi haji, selebihnya anda mahu laburkan dan sebahagian yang lain pula anda mahu jadikan modal perniagaan, apakah dalam keadaan gawat seperti ini anda mampu untuk meneruskan perancangan anda untuk melabur dan berniaga atau mengerjakan haji walaupun nama anda SUDAH NAIK? Bagaimana anda mahu melabur sedangkan anda perlukan wang untuk membuat rawatan segera. Bagaimana anda nak buat bisnes atau pergi haji sedangkan anda terlantar di hospital? Mahu tidak mahu anda TERPAKSA gunakan wang tersebut untuk membuat rawatan.
Bergantung kepada jenis kecederaan dan penyakit yang anda hidapi. Kalau anda terpaksa buat pembedahan pintas jantung atau bypass kosnya sekitar RM30,000-RM50,000. Jadi jika ini terpaksa anda lakukan, maka simpanan bertahan-tahun anda akan habis SEKELIP MATA!
Jika ditakdirkan anda sembuh semula dan mampu kembali bekerja dengan gaji sekitar RM2,000 sebulan sebagai contoh, anda perlu lebih kurang 15 tahun untuk menabung untuk mencapai jumlah RM50,000. Itu pun jika anda masih mampu menabung. Jika tidak, maka musnahlah segala cita-cita dan perancangan anda! Anda tidak lagi mampu untuk menunaikan haji. Anda pastinya sudah tidak dapat melabur. Berniaga pun terpaksa anda lupakan. Anda masih dikira bernasib baik kerana Allah berikan anda kesembuhan. Bagaimana keadaanya jika anda akhirnya terus lumpuh dan tidak mampu lagi lagi untuk bekerja? Keadaannya pasti jauh lebih dahsyat!
Kenapa keadaan sedemikian berlaku kepada anda dan kebanyakan ORANG MELAYU! Saya sebut Melayu sebab rata-rata ORANG MELAYU amat rendah kesedaran dalam merancang kewangan mereka khususnya berhubung pengambilan skim perlindungan. Bila cerita pasal perlindungan maka yang saya maksudkan ialah takaful. Apa syarikat yang anda sertai tidak penting. Yang penting ialah takaful. Anda WAJIB ambil takaful jika anda adalah se orang Islam. Bahkan HARAM bagi anda mengambil insuran konvensional! Ya, HARAM! So kalau anda sudah tersilap ambil beberapa tahun dulu, maka anda WAJIB cancel! Tukar. Buat baru. Rugi? Memang anda rugi di dunia, tapi anda UNTUNG di akhirat kerana mengambil polisi yang halal. jika dulu anda mungkin ada alasan untuk mengambil insuran konvensional kerana pada masa itu masih belum ada takaful. Tapi kalau anda masih mahu terus kekal dengan polisi HARAM, apa anda nak jawab di hadapan Allah nanti?
Bila anda ambil insuran konvensional, maka wang perlindungan yang anda tinggalkan itu adalah WANG HARAM! Saggupkah anda tinggalkan WANG HARAM pada anak-anak anda selepas kematian anda sedangkan anda begitu serius menjaga makan minum mereka dari makanan-makanan yang haram?
Apa yang saya perkatakan ini adalah berdasarkan kepada hukum syara’. Fatwa pun sudah diwartakan sejak tahun 1979 lagi bahawa mengambil insuran konvensional adalah HARAM!
Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 yang bersidang pada 15-16 Feb 1979 telah membincangkan mengenai insurans. Persidangan telah memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:
Mengandungi gharar (ketidak-tentuan)
Mengandungi unsur judi.
Mengandungi muamalah riba.
Saya mempunyai pengalaman yang agak mendebarkan berkaitan isu ini. Semasa saya aktif memperomosikan produk takaful di Miri Sarawak, antara tahun 2005-2007, saya diberi peluang untuk menyampaikan khutbah Jumaat di masjid Besar Miri, Masjid Al-Muttaqiin. Kebetulan saya agak baik dengan Pengerusi masjid tersebut iaitu Tuan Haji Anuar. Beliau juga adalah salah se roang klien saya buat beberapa ketika. Saya memilih tajuk “Kepentingan Perancangan Kewangan Islam”. Dalam khutbah tersebut saya nyatakan bahawa mengambil insuran konvensional adalah HARAM berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan. Sebaik usai solat Jumaat, saya terus ke pejabat. Tanpa saya sedari rupanya ada 3 orang lelaki yang merupakan ahli jamaah yang sama-sama menunaikan solat Jumaat tadi mengekori saya. “Ish! Kenapa pulak mereka mengekori saya. Mungkin nak mengambil takaful kot atau nak tanya pasal takaful” saya cuba memujuk hati saya yang sudah semakin laju debarannya. Sebaik sampai saya park kereta dan terus naik ke pejabat yang terletak di tingkat satu. Hanya beberapa minit selepas saya memasuki pejabat, loceng pejabat saya berbunyi. Saya bergegas ke luar dan sah! 3 lelaki Melayu yang mengekori saya. Pada mulanya saya teragak-agak untuk membuka pintu kaca tersebut kerana risau suatu yang buruk akan berlaku. Nampak muka ketiga-tiga lelaki tersebut hati saya semakin cemas. Muka mereka tidak begitu friendly sangat. Saya tawakal pada Allah. Pada masa itu staf saya pun belum lagi balik. Mereka keluar makan tengahari agaknya. Saya buka pintu dan mereka meluru masuk dengan agak tergesa-gesa. “Kami datang nak bincang sikit” salah se orang dari 3 lelaki tersebut mula bersuara. Memang serius muka dan suaranya. Kopiah sudah tidak ada lagi atas kepala. Saya membawa mereka masuk ke pejabat saya. “tak mengapa, kita bincang sini saja”. Saya pun tak tahu kenapa mereka begitu tergesa-gesa. Ajak masuk ke pejabat saya pun tak mahu. Akhirnya kami duduk di bahagian luar pejabat. Di kawasan staf-staf saya membuat kerja-kerja mereka.
“Kenapa you cakap insurans tu haram? You tau tak berapa ramai klien kami yang ambil insurans dengan kami sejak sekian lama?. Kenapa you tiba-tiba bagitau dalam khutbah insuran tu haram? Macamana kalau klien-klien kami lari dan tak mahu lagi bersama kami? Sapa yang nak tanggung semua kerugian kami? Aduhai! Bertubi-tubi soalan ditembak ke aras saya. Rupa-rupanya mereka dari syarikat insurance yang dah lama beroperasi di Miri. “Kalau you nak berniaga, Berniagalah secara profesional. Jangan pulak guna agama untuk tarik klien”. Tambah salah se orang dari mereka. “Sorry tuan. Ini bukan soal bisnes. Saya sampaikan khutbah untuk beri kesedaran kepada umat Islam supaya kembali kepada Islam. Tinggalkan perkara-perkara haram termasuk dalam kewangan juga”. Jawab saya dengan tenang. Memang langsung tak terlintas bab bisnes. Dalam khutbah pun saya tak sebut suruh amik produk takaful yang saya jual. Saya Cuma sebut berhijrahlah kepada takaful. Ambillah produk takaful dari mana-mana syarikat kerana takaful itu adalah halalan toyyiba! Halal lagi baik.
‘Ah! Jangan banyak cakaplah. Cukuplah khutbah yang awak bagi tadi kat masjid. Jangan cuba nak jadi hero. Minggu depan awak pegi khutbah balik dan bagitau insurans tak haram!” bentak se orang lelaki sawo matang yang tadinya hanya tunduk membisu. Menahan kemarahan agaknya. “Astaghfirullah! Apa dah jadi ni. Ada pulak mintak suruh sebut insurans tu halal. Ish mustahil. Saya tak akan melakukan perkara itu.” Saya bercakap bersendirian. “Mintak maaf Tuan. Saya memang tidak boleh nak pegi balik bagi khutbah dan bagitau ahli jamaah bahawa insurans tu halal. So sorry! Memang saya tidak boleh. Lagipun macam saya cakap tadi. Ini bukan pendapat saya. Ini Majlis fatwa milik kerajaan yang keluarkan. Saya Cuma menyampaikan saja. Lagipun dalam bisnes ni, kita tidak boleh paksa klien untuk terima apa yang mereka tak mahu. Rezki tu di tangan Allah. Kita hanya berusaha tuan. Saya mintak maaf banyak-banyak. Saya pun tak perasan ada orang Islam yang buat insuran konvensional.” Terang saya panjang lebar. Mereka hanya tunduk. Dari riak wajah mereka sudah kelihatan semakin tenang. Tiada lagi kebengisan di wajah mereka.
Akhirnya mereka beredar. Walaupun suasana agak tegang pada peringkat awal pertemuan tadi, namun saya bersyukur kerana Allah bantu selesaikan konflik ini dengan tenang sekali.
Wassalam – Bersambung…..
“Saya mahu anda jadi Jutawan dengan tips yang saya kongsikan.”
Artikel ini boleh juga anda baca di
www.drnikrahim.com ~
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Jumaat 1 April 2016 / 23 Jamadil Akhir 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...