Tuesday, April 19, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 29)


HARI PERBICARAAN!
Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….Allah masih lagi memberi peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya.
Semalam saya tidak menulis. Terlalu sibuk dengan tugas dan rutin harian serta tanggungjawab lain yang perlu ditunaikan. Ok, hari ini kita sambung cerita kita tentang kes syarikat DINA Business Ventures Sdn Bhd yang didakwa di mahkamah Brunei.
Sebenarnya saya tidak tahu bahawa syarikat DINA Business Ventures Sdn Bhd yang diterajui oleh ‘Ustaz Tengku Mansur’ rupanya turut mempunyai cawangannya di Brunei Darussalam. Syarikat ini diwakili oleh beberapa orang Board of Directors termasuk Shaari dan dua orang lagi dari penduduk Brunei Darussalam yang juga bernama Ramlan yang merupakan bekas pengamal undang-undang di Brunei Darussalam serta bapa mertuanya Haji Yusof.
Hari yang ditetapkan untuk perbicaraan telah tiba. Hari itu tanggal 6hb Disember 2010. Saya, Ramlan, Shaari, Hadi serta beberapa lagi pekerja dan penyokong syarikat DINA Business Ventures Sdn Bhd turut hadir ke mahkamah. Saya tidak mempunyai apa-apa tugasan. Semua tertuduh diwakili oleh se orang peguam handalan dari firma guaman Syed Ali & Associates (bukan syarikat sebenar).
Sehari sebelum itu saya terlibat dalam pertemuan bersama peguam ini. Di dalam pertemuan tersebut saya menyatakan bahawa perlu ada kaedah pelaburan yang tepat menurut Syariah jika mahu dijadikan hujah di mahkamah. Mereka bersetuju dengan cadangan saya dan akan diwujudkan nanti satu penal penasihat Syariah. Saya mencadangkan supaya se orang ulama yang bertaraf mufti perlu dilantik bagi mendapatkan keyakinan para pelabur.
Pertuduhan dibacakan. Semua yang hadir di mahkamah diam membisu. “Kamu Shaari bin Muhammad Ali, Ramlan bin Abdullah dan Haji Yusof bin Kamaruddin (semua nama bukan nama sebenar), telah menerima deposit dari orang ramai berjumlah $5,775,000 dari 269 individu antara bulan Mac dan September 2007 tanpa lesen yang sah.”
Setelah pertuduhan dibacakan kelihatan semua tertuduh berbisik-bisik dengan peguam yang mewakili kes mereka. Akhirnya semua tertuduh bersetuju untuk tidak mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka dan memohon supaya dibicarakan. Mahkamah menetapkan suatu tarikh yang lain untuk perbicaraan iaitu kira-kira 3 bulan dari tarikh sebutan kes untuk kali pertama.
Sebaik selesainya sesi mahkamah, kami diminta untuk terus ke pejabat peguam. Di pejabat peguam, kami duduk dalam satu sesi tertutup yang turut dihadiri oleh semua yang tertuduh dan juga peguam tersebut. Kami berbincang, bagaimana untuk melepaskan diri dari tuduhan tersebut. Masing-masing berhujah, bahawa apa yang mereka lakukan itu tidak sepatutnya menjadi satu kesalahan kerana matlamat mereka tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membantu masyarakat. Mereka berhujah bahawa keuntungan yang diberi oleh pihak bank adalah terlalu rendah. Paling banyak yang akan mereka terima ialah sebanyak 2-3% sahaja setahun sedangkan syarikat memberi pulangan sehingga 8% sebulan!
Secara ikhlas, pada masa itu saya mula merasakan bahawa pihak syarikat sememangnya ikhlas mahu membantu meskipun berhadapan dengan saman dari mahkamah. Saya tidak nampak di mana silapnya kerana saya dimaklumkan sejak 2 tahun beroperasi, syarikat tidak langsung mempunyai masalah dalam membuat pembayaran kepada ahli. Semua ahli happy. Cuma yang menjadi keraguan saya ialah bagaimana syarikat menetapkan ‘keuntungan’ sebanyak 8% setiap bulan sedangkan dalam konsep pelaburan Islam, keuntungan tidak harus ditetapkan dan jika ini berlaku, maka pelaburan itu sudah dikategorikan sebagai riba yang diharamkan oleh Islam.
Di dalam beberapa sesi perbicangan saya dengan Shaari dan Azlan, saya sering menimbulkan isu ini supaya syarikat membuat sesuatu untuk mengubahnya. “Kalau kita benar-benar mahu membantu umat Islam dan kita ikhlas melakukannya, maka kita sepatutnya melakukan semua perkara mengikut lunas-lunas Islam. Barulah ada berkat.” Kata saya kepada Shaari semasa kami hangat berbahas mengenai pelaburan yang dijalankan oleh syarikat.
“Kita dah 2 tahun beroperasi dan berjuta Dollar Brunei kita agihkan tanpa ada sebarang masalah. Ni mesti ada kes orang dengki dengan syarikat” kata Shaari seakan kesal dengan tindakan polis dan pihak Kementerian Kewangan Brunei menyerbu premis syarikat yang terletak di sebuah bangunan komersial di Bandar Seri Begawan yang disewa sebanyak B$40,000 atau lebih kurang RM100,000 sebulan pada masa itu. Memang amat mewah pejabat-pejabat yang dimiliki oleh syarikat ini. Dan susulan dari itu semua dokumen dirampas dan akhirnya mereka diheret ke mahkamah.Tugasan saya selesai. Tidak banyak sumbangan yang saya berikan kepada syarikat pada ketika itu.
Akhirnya tibalah masa untuk saya kembali ke Kuala Lumpur. Masih banyak lagi urusan yang harus saya bereskan di pejabat. Banyak lagi fail-fail wasiat serta borang-borang caruman takaful yang perlu saya hantar ke pejabat Amanah raya dan juga pejabat etiqa takaful. Saya pun sudah tidak mempunyai sebarang pekerja kerana bisnes memang teruk merudum. Segalanya saya lakukan sendiri.
“Dr, ni ada duit sikit. Tak banyak pun cuma B$1,000 saja. $B1,000 dah saya bagi pada Dr, masa sampai hari tu. Ni Elaun Dr selama 4 hari di sini.” Kata Shaari, sambil menghulurkan sampul surat berwarna putih kepada saya. “Masya’Allah! B$2,000 dalam masa 4 hari?” memang murah sungguh rezki saya dan keluarga bisik saya dalam hati. Saya bersalaman dengan Ramlan, Hadi dan ada lagi beberapa orang yang tinggal di rumah bungalow tersebut. “Saya hantar Dr ke apot. Ada benda nak bincang sikit” kata Shaari kepada saya.
Kami berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dengan menaiki kereta BMW 7.0 series berwarna silver yang merupakan kereta syarikat. Kereta ini memang dikhaskan untuk VIP. “Wah! Macam VIP lah pulak rasanya.” Bisik saya dalam hati sambil tersenyum. Kami sampai agak awal di apot. Shaari mengajak saya ke sebuah restoran makanan segera yang terletak di dalam apot kerana katanya payah nak bincang masa dalam kereta tadi.
“Begini Dr, saya dah bincang dengan ‘ustaz’ untuk ambil Dr sebagai ‘penasihat syariah’ syarikat. Dr, boleh cari sesiapa lagi untuk duduk dalam team Dr”. kata Shaari memulakan bicara sebaik kami duduk dan memesan minuman.
“Penasihat Syariah? Saya mana ada pengalaman En Shaari?” balas saya merendah diri. Sebab saya secara jujur tidak mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan kewangan dan pelaburan Islam pada masa itu walaupun saya bergiat aktif dalam memasarkan produk kewangan Islam seperti Takaful dan wasiat. Namun menjadi penasihat Syariah adalah suatu yang jauh berbeza. Yang saya tahu adalah ‘jenayah’ kerana jenayah adalah bidang saya. Maksud saya bidang kepakaran saya adalah Undang-Undang Jenayah Syariah, bukan sebagai pakar penjenayah!
“Tidak mengapa Dr, nanti Dr boleh cari beberapa orang lagi untuk dimasukkan ke dalam team Dr untuk memantapkan lagi team Penasihat Syaria’h syarikat” balas Shaari mempertahankan kata-katanya tadi. Sebelum sempat saya meneruskan hujah beliau meneruskan kata-katanya. “Ustaz bersetuju untuk bayar Dr, RM12,000 sebulan di samping lain-lain elaun.” Tegas Shaari. “Astaghfirullah! RM12,00 sebulan? Biar betul Shaari ni” getus saya dalam hati. Sukar untuk saya percaya tawaran tersebut. “Balik nanti Dr pegi ke pejabat kita di Jalan Raja Chulan untuk lapor diri kalau Dr setuju dengan tawaran ini” kata Shaari lagi mengakhiri bualan kami kerana masa sudah tiba untuk terbang pulang ke Kuala Lumpur.
Semasa dalam pesawat, pemikiran saya berpusing-pusing. Berfikir tidak henti. Saya cuba lelapkan mata tapi begitu sukar. Saya masih tidak begitu yakin dengan tawaran yang diutarakan oleh Shaari. Gajinya terlalu besar dan saya tidak fikir saya adalah orang yang tepat untuk jawatan sepenting itu….
Wassalam
Bersambung….
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Jumaat 8 April 2016 / 30 Jamadil Akhir 1437H
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.
Artikel ini boleh juga dibaca di –www.drnikrahim.com-

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...