Saturday, July 21, 2018

BENARKAH WANITA YANG MENENTANG POLIGAMI ADALAH WANITA YANG LEMAH IMAN?



BENARKAH WANITA YANG MENENTANG POLIGAMI ADALAH WANITA YANG LEMAH IMAN?

Secara umumnya boleh dikatakan majoriti wanita akan menentang atau tidak mudah untuk mempersetujui jika suami ingin berpoligami. Jikapun tidak menentang poligami secara terang-terangan, namun mereka amat berharap agar jika berlaku mana-mana kes poligami, maka yang ter’jebak’ bukan suami mereka. Ini mudah untuk kita fahami kerana begitu naluri wanita ciptaan Allah ini. Semakin kuat perasaan cemburu maka semakin kuat pula penentangannya.

Bercerita tentang penentangan terhadap poligami ia bukan sahaja terjadi di kalangan mereka yang tiada pendidikan agama bahkan kadangkala mereka yang berpendidikan agama dan bergelar ‘ustazah’ juga turut menjadi pejuang dalam menentang poligami. Kenapa ini terjadi? Apakah kerana kurang faham tentang nas-nas al quran atau hadith yang dengan jelas mengharuskan poligami walaupun bukan mewajibkannya?

Persoalan di sini bukan kerana kurang faham atau kurang jelas tetapi kesukaran mengawal emosi ketika berhadapan dengan isu poligami. Wanita tidak semua ‘kuat’ untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran apabila suami berpoligami. Selain sifat cemburu yang cukup tebal, tohmahan dari kaum keluarga, jiran tetangga, teman sekerja, masyarakat setempat bahkan rakyat jelata jika melibatkan tokoh politik adalah dugaan yang maha berat yang tidak mampu ditanggung oleh kebanyakan wanita.

Justeru, tahniah buat wanita-wanita ‘besi’ yang sanggup mengharungi segala ini kerana mempunyai  keyakinan bahawa  poligami  MUSTAHIL akan terjadi jika tidak tercatat sejak AZALI.
Kepada para isteri dan juga bakal isteri, saya nak tanya satu soalan dan saya harap anda jawab dengan penuh keikhlasan. Boleh? Dah ready? Baik. Soalannya mudah saja. Cuma saya perlukan anda menjawab dengan jujur. Baiklah. Ini soalannya.
Apakah anda yakin bahawa tidak ada satu pun yang berlaku di atas dunia ini kecuali dengan izin dan ketetapan dari Allah?

Saya pasti kalau anda se orang Islam, anda pasti akan menjawab Ya! Sebabnya mudah. Mengikut konsep akidah Islam, tidak akan berlaku sesuatu di atas dunia ini samada kecil atau besar, semuanya berada di dalam ilmu Allah dan berlaku dengan izin dan kehendaknya. Nak dalil? Baik. Saya bawakan dalil dari al Quran ayat dari surah Al An’am ayat 59 yang bermaksud:
“Dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Allah mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.”
Jelas dan nyata bukan?

Baik. Jika anda sudah mengakui dan meyakini bahawa segalanya berlaku dengan izin dan kehendak Allah, maka bagaimana pula dengan poligami? Apakah anda juga yakin bahawa ianya hanya akan berlaku jika diizinkan oleh Allah? Jika anda se orang yang beriman, pastinya jawapan anda adalah sama seperti soalan sebelum ini bukan? Usah berdalih! Apa yang dinyatakan di sini adalah fakta dari Al Quran yang tidak harus diragui apa lagi ditentang.

Jadi sebenarnya sebagai se orang isteri atau bakal bergelar isteri, anda tidak perlu gusar atau takut atau fobia tentang poligami kerana ia suatu yang telah termaktub di azali. Jika sememangnya anda sudah ditulis sebagai ‘madu’, buatlah apa pun anda tidak akan berdaya mengelaknya. Ia pasti akan terjadi. Namun sebaliknya jika ianya tidak tertulis, maka ianya mustahil akan berlaku meskipun suami anda melakukan berbagai cara termasuk menggunakan khidmat ‘bomoh Malaysia’.

 Jadi kenapa harus anda risau? Jika anda ditakdirkan bermadu, jadilah isteri yang baik, yang taat dan sentiasa menjaga maruah dan harta suami. Jangan hanya kerana poligami anda memberontak, berlaku curang, nusyuz dan derhaka kerana suami anda tidak melakukan apa-apa dosa dan jenayah. Melawan suami atau derhaka kepada suami atas alasan suami bernikah lagi bukan satu alasan yang kukuh yang boleh dijadikan hujah di hadapan Allah di padang Mahsyar nanti.

Para isteri dan bakal isteri mungkin akan berhujah, kalau tak menggatal, tak mencari mana boleh bernikah lagi? Jawapannya sama saja. Ia berlaku kerana berpoligami memang sudah tertulis di azali. Berapa ramai yang bertungkus lumus di luar sana untuk berpoligami, tapi gagal mencapai hasrat hati untuk berpoligami. Kenapa? Sebab memang sudah tertulis dia tidak akan berpoligami. Tapi jika sudah tertulis, walaupun pada peringkat awalnya langsung tiada niat untuk berpoligami, maka ia tetap akan terjadi.
Bersambung…..



Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Friday, July 20, 2018

KENAPA ISTERI DILAKNAT MALAIKAT?


TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI

OLEH
DR NIK RAHIM NIK WAJIS
PESYARAH FAKULTI SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG, USIM
(PENGAMAL POLIGAMI SEJAK 2007)

KENAPA ISTERI DILAKNAT MALAIKAT?  (Amaran – 18SX)
Hukum Isteri Menolak Kemahuan Suami melakukan Jimak – Fakta Yang Wajib Difahami oleh Isteri

Di antara keindahan hidup dalam alam rumahtangga ialah hubungan intim antara suami dan isteri. Hubungan ini sebenarnya bukan hanya sekadar melempiaskan nafsu syahwat yang bergelora, tapi ia sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam memupuk kasih sayang yang lebih mendalam di antara dua insan. Bila dua tubuh bersatu, mereka seakan berada di dalam fantasi penuh kenikmatan. Mereka berada di suatu alam milik mereka. Akal dan minda akan lupa segala yang berada di sekeliling mereka. Fokusnya cuma satu. Menghayati setiap detik kebersamaan. Justeru hubungan intim ini harus berlaku bukan sekadar terbatas kepada memuaskan nafsu tetapi jauh lagi dari itu.
Hubungan intim antara suami isteri jika dilakukan penuh keikhlasan, penuh rasa kasih sayang tanpa mementingkan diri sendiri pasti akan membawa warna warni indah dalam alam berumahtangga. Kasih sayang pasti akan bertambah subur. Kedua jiwa menjadi semakin hampir dan bertaut rapat dan erat kerana masing-masing mengharapkan saat indah itu akan terus berulang lagi dan lagi dan lagi tanpa henti!
Hubungan intim antara suami dan isteri mempunyai pertalian yang sangat rapat dengan emosi. Se orang suami yang lemah lembut dan amat bersopan boleh bertukar menjadi seakan se ekor singa jantan yang ganas apabila keinginannya terhalang. Jadi tidak hairanlah kenapa se orang isteri yang enggan menyahut keinginan suaminya tanpa sebab yang munasabah akan menerima laknat dari para malaikat. Di dalam sebuah hadith Nabi s.aw. bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ أَنْ تَجِيْءَ لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ.

“Jika seorang suami mengajak isterinya ke atas ranjangnya, tetapi ia tidak mematuhinya, maka para Malaikat akan melaknatnya sampai pagi.”
Hadith Riwayat Bukhari.
Selain dari hadith ini terdapat satu lagi hadith yang diriwayatkan oleh Asy-Syaikhani dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w bersabda:

إِذَا بَاتَتِ الْمَرْأَةُ هَاجِرَةً فِرَاشَ زَوْجِهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ.

“Jika seorang wanita tidur dengan meninggalkan tempat tidur suaminya, maka para Malaikat melaknatnya sampai pagi.”
Imam an-Nawawi rahimahullah ketika  menjelaskan hadits ini berkata, “Hadith ini merupakan dalil yang jelas menunjukkan bahawa adalah haram bagi seorang isteri menolak ajakan suaminya ke atas ranjang (untuk berjimak) jika tidak ada alasan yang syar’ie bahkan jika wanita itu dalam keadaan haidh sekalipun tidak boleh menggunakan alasan tersebut untuk menolak ajakan suaminya kerana suami masih boleh  beristimta’ (menikmati) pergaulan bersama isteri selain dari jimak seperti berpelukan, berciuman atau seumpamanya asal saja tidak melakukan jimak’. Suami juga tidak harus menjauhi isterinya ketika isterinya dalam keadaan haidh sebagai tanda kasih sayang dan tidak hanya mementingkan diri sendiri.

Isteri Harus Kreatif – Suami Harus nyatakan dengan Jelas

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, hubungan intim suami isteri adalah salah satu komponen penting dalam menjamin jalinan kasih sayang dan kemesraan berterusan. Justeru ia harus menjadi salah satu agenda penting yang tidak boleh dipandang enteng oleh suami isteri. Hubungan intim yang berlaku biarlah datang secara natural dan bukan secara paksa atau dilakukan sekadar ‘menunaikan tanggungjawab’ semata. Lakukan dengan penuh kemesraan, kemanjaan dan kasih sayang.

Ada beberapa tips yang mungkin boleh dicuba bagi membangkitkan rasa ghairah suami antaranya isteri berhias seksi. Lelaki secara umumnya suka wanita yang cantik dan seksi. Justeru sebelum masuk tidur pastikan isteri bersiap sedia. Bersihkan diri, mandi dan berhias diri. Pakailah pakaian yang seksi dan menggoda. Bukan masuk bilik tidur saja terus berkemban!

Usah malu dan segan kerana anda lakukan semuanya buat suami anda yang tersayang. Ingat! Apa yang anda lakukan ini adalah satu ibadat dan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah. Bersiap sedia lebih awal dengan menghias diri, ditambah dengan wangian lembut menggoda. Usah lagi sibuk lagi dengan FB, Instagram atau seumpamanya. 

Penampilan sebegitu pastinya merangsang suami untuk   memasuki kamar tidur lebih awal. Ia juga adalah satu isyarat bahawa sang isteri sudah bersedia untuk melayari bahtera bahagia. Tidak salah buat isteri memakai pakaian tidur yang seksi yang mencampakkan bentuk tubuh kerana itu adalah kaedah ampuh se orang penggoda! Tapi awas, jika anda mempunyai anak yang sudah besar. 

Ada suami yang gemar untuk mengadakan hubungan intim walaupun si isteri bukan tidak dalam mood ‘ready’. Namun si isteri harus sentiasa bersiap siaga kerana keinginan sang suami sukar dijangka. AWAS! Jangan sekali kali melakukan aksi yang menggambarkan anda tidak suka atau ‘protes’ kerana ini akan menghilangkan moodnya dan ia juga boleh menjadikan jantung suami anda terbakar! 

Suami juga dalam masa yang sama, usah terlalu ego dan mementingkan diri jika si isteri dalam keadaan tidak sihat atau terdapat gangguan emosi kerana jika diteruskan pasti anda tidak akan dapat mengecapi kenikmatan sebenar kerana hubungan intim bukan hanya sekadar pertemuan secara fizikal dua tubuh tetapi harus disertai bersama emosi yang tenang penuh kasih sayang.  

Hubungan intim bukan boleh dilakukan secara automatik. Tekan suis terus jalan. Ia perlukan sedikit masa untuk proses pemanasan supaya perjalanan nanti lebih lancar dan sampai ke destinasi yang diimpikan. Mulakan dengan gurauan manja, sentuhan mesra serta    cumbuan menggoda terlebih dahulu sebelum ke peringkat seterusnya.  
Selamat Melayari Bahtera Bahagia!

Info bermanfaat: Setiap hubungan intim membakar 200 kalori, yang bersamaan dengan 15 minit menggunakan alat senaman atau setengah jam berjalan kaki di taman. Ia juga membantu membebaskan endokrin yang membuatkan rasa ceria dan merupakan penawar terbaik bagi mengatasi tekanan perasaan di kalangan suami isteri.


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Wednesday, July 18, 2018

MANTAPKAN KEMAMPUAN SEKSUAL ANDA

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI
OLEH DR NIK RAHIM NIK WAJIS PESYARAH FAKULTI SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG, USIM (PENGAMAL POLIGAMI SEJAK 2007)


MANTAPKAN KEMAMPUAN SEKS ANDA (Amaran – 18SX)

(Amaran! Jangan teruskan niat anda untuk berpoligami jika anda tidak mampu memenuhi kehendak dan keperluan isteri pertama anda)

Kebahagiaan rumahtangga bergantung kepada dua faktor utama iaitu zahir dan juga batin. Nafkah zahir adalah nafkah yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya seperti tempat tinggal, makan minum, pakaian, kenderaan dan yang seumpamanya. Nafkah ini bergantung kepada kemampuan yang ada pada suami. Tiada had minimum atau maksimum. Apa yang penting keperluan asas ini wajib dipenuhi.

Namun selain dari nafkah zahir yang wajib ditunaikan, adalah satu lagi nafkah yang juga amat penting bagi pasangan yang berumahtangga. Jika nafkah zahir disediakan melimpah ruah ianya tidak akan bermakna jika anda GAGAL di ranjang. Meskipun hubungan intim dengan isteri bukan perkara ASAS dalam menentukan kebahagiaan berumahtangga, namun ia adalah satu komponen yang amat penting kerana tanpa nafkah batin ini, kebahagiaan menjadi tidak seimbang.

Sama juga jika nafkah batinnya tip top dan bertaraf dunia namun nafkah zahir seperti perbelanjaan dapur, pakaian, tempat tinggal, perbelanjaan pendidikan anak-anak tidak sempurna, maka kebahagiaan juga sukar untuk dicapai. Keperluan menyediakan nafkah zahir dan batin ini menjadi semakin mencabar bila bilangan isteri bertambah menjadi 2,3 dan 4. Justeru, sebagai lelaki anda harus mempastikan kedua-dua ini diyakini mampu anda tunaikan sebaiknya.


Kepada para lelaki, mereka harus memahami bahawa menunaikan nafkah batin atau mengadakan hubungan seks dengan isteri bukan hanya sekadar mengadakan hubungan tersebut tetapi lebih dari itu. Anda harus berusaha ‘menghadiahkan’ kepuasan atau orgasma kepada isteri anda.

Jangan terlalu ego dan mementingkan diri sendiri. Ada lelaki yang buat endah tak endah sahaja dari sudut ini. Apa yang penting mereka dapat apa yang mereka mahu. Mereka lebih mementingkan diri sendiri. Sememangnya bagi lelaki, untuk mendapatkan kepuasan seks tidak begitu sukar. Ada suami yang hanya mampu bertahan antara seminit ke dua minit sahaja. Para lelaki ramai yang mudah tewas bila bertarung. Ini membawa kesan yang sangat negatif terhadap isteri. Banyak laporan yang menyebutkan bahawa ramai wanita yang mencari kepuasan di luar adalah kerana kegagalan suami memberi kepuasan seks kepada mereka.

Walaupun bukan semua wanita bertindak di luar batasan seperti itu, namun sebagai se orang suami yang bertanggungjawab, anda harus lakukan sesuatu untuk memberikan kepuasan yang mereka dambakan. Ia bukan suatu yang mudah namun jika anda bersungguh-sungguh berusaha insya Allah anda mampu melakukannya. Jangan berhenti belajar dan mencari tips-tips bagi membantu anda memperbaiki ‘performance’ anda bila ‘belayar’ bersama isteri tercinta.

Layarilah bahtera dengan penuh kasih sayang. Usah gelojoh. Hubungan intim anda akan menjadi saat yang amat bermakna buat anda dan isteri anda. Jika anda berjaya memberi kepuasan kepada isteri anda, anda pasti akan dapat melihat senyuman manis terukir di bibirnya. Jika isteri anda tidak memperlihatkan reaksi ini setelah anda beraksi bersamanya, maka anda wajib bermuhasabah diri!

Anda juga harus faham. Wanita itu sifatnya tidak sama. Umpama sebuah kereta. Kalau kereta yang menggunakan minyak petrol, anda tidak perlu risau. Hidupkan enjin, masuk gear, tekan minyak maka ia terus boleh meluncur dengan lajunya. Namun ada kereta yang menggunakan minyak disel yang perlu dipanaskan untuk beberapa ketika. Bila sudah panas barulah kereta itu dapat meluncur dengan baik dan sampai ke destinasi yang dituju. Harap-harap anda boleh faham apa yang saya maksudkan.


Menurut Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan dari Pusat Perubatan PrimaNora ada wanita yang mencapai orgasma setiap kali melakukan hubungan seks namun peratusannya sangat rendah, ada juga yang hanya sesekali dan jangan terperanjat, andai ada yang langsung tidak pernah merasainya. Menurut kajian yang dijalankan oleh Durex pada tahun 2007/ 2008 di kalangan pasangan suami isteri di Malaysia, hanya 25 peratus wanita yang melakukan hubungan kelamin mencapai orgasma berbanding lelaki 62 peratus. Kajian itu juga menunjukkan hanya 58 peratus wanita berpuas hati dengan intensiti orgasma mereka berbanding lelaki iaitu 66 peratus. Kajian tersebut mendedahkan wanita Malaysia ketinggalan dari segi pengalaman orgasma berbanding wanita Sepanyol (52 peratus), Mexico (51 peratus) dan Afrika Selatan (49 peratus).
Ini adalah cabaran buat anda para suami yang ingin berpoligami. Apa perlunya Orgasma?
Menurut kajian pakar orgasma membantu menyuburkan kesihatan seksual. Ia adalah sesuatu yang patut dikecapi oleh setiap wanita yang berkahwin dan mereka patut merasa bangga dan bertuah jika dapat mengalaminya. Kesihatan seksualiti yang baik mempengaruhi fikiran, perasaan, tindakan dan perhubungan seperti juga kesihatan mental dan fizikal. Menurut pakar lagi seks yang baik mampu menjana prestasi kerja yang lebih bagus. KLIK DI SINI - Untuk bacaan lanjut tentang isu ini.

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Monday, July 16, 2018

MANTAPKAN EKONOMI ANDA

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI
OLEH
DR NIK RAHIM NIK WAJIS
PESYARAH FAKULTI SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG, USIM
(PENGAMAL POLIGAMI SEJAK 2007)

 Mantapkan Ekonomi anda

(Amaran! Jangan teruskan niat anda untuk berpoligami jika anda tidak mampu memenuhi kehendak dan keperluan isteri pertama anda dari sudut kewangan)

Dalam keadaan ekonomi yang benar-benar mencabar kini, anda seharusnya tidak bergopoh gapah untuk terjun ke alam poligami. Anda harus membuat perkiraan yang teliti bagi mempastikan pelayaran hidup anda tidak terhenti secara tiba-tiba di tengah lautan dan akhirnya secara perlahan-lahan akan karam dan tenggelam ke dasar lautan.

Sekarang ini untuk perbelanjaan asas se orang isteri adalah sekitar RM2,000- RM3,000 sebulan bergantung kepada taraf hidup pasangan anda sebelum bernikah, samada sudah mempunyai anak atau sebaliknya. Jika saya mengambil contoh tempat saya tinggal iaitu di Nilai Negeri Sembilan, sewa rumah purata adalah sebanyak RM1,000 sebulan. Untuk masuk rumah baru anda perlukan sekurang-kurangnya RM3,500 untuk bayaran deposit rumah serta utiliti. Ini belum termasuk kelengkapan bagi rumah baru seperti peti ais, dapur, mesin basuh, perabot asas seperti almari pakaian, katil, tilam dan banyak lagi. Itu hanya perkara asas.

Jumlah keseluruhan boleh mencecah RM5,000. Selain dari perkara asas tersebut, anda juga kena masukkan perbelanjaan harian seperti makan minum, kenderaan, bil air, letrik, telefon dan lain-lain. Sememangnya poligami memerlukan pelaburan yang besar namun ianya amat berbaloi jika anda laburkan kepada isteri yang mampu membawa kebahagiaan kepada anda selain melahirkan zuriat yang solehah buat anda.

Bagi isteri yang memahami situasi anda, tanggungjawab anda tidaklah terlalu berat. Isteri anda mungkin hanya serahkan segalanya kepada anda kerana dia yakin anda adalah suami yang bertanggungjawab. Namun jika anda tersilap pilih dan isteri anda ‘berketurunan pisau cukur’ anda pasti akan merana sepanjang zaman!

Di hari pertama anda masuk ke rumah baru, anda diarah untuk beli perabot berjenama yang diimpot dari luar negara. Television mesti 40 inci. Segala-galanya mesti ada ‘class’. Segala-galanya mesti bersaiz besar dan berkualiti tinggi. Jika anda sememangnya mampu ia tidaklah menjadi isu. Tunaikan saja apa yang isteri anda mahu asalkan dia bahagia dan anda juga bahagia. Namun ramai juga yang mempunyai keinginan tinggi untuk berpoligami tapi kemampuan sangat terbatas. Gaji bulanan pun hanya cukup-cukup makan sahaja. Jika anda lelaki dalam kategori ini, cabaran anda pastinya lebih hebat dari mereka yang bergelar hartawan atau jutawan.

Latarbelakang keluarga wanita juga perlu diambil kira. Kalau isteri kedua dari golongan yang berada, pastinya ‘maintenance’ juga agak tinggi. Jadi berhati-hatilah dalam membuat pilihan agar anda tidak hidup dalam keadaan yang tertekan setiap masa akibat tuntutan yang berbagai dari isteri baru anda. Pilihlah yang sederhana. Tidak kaya dan tidak juga terlalu miskin. Beruntunglah jika isteri baru anda memahami keadaan ekonomi anda. Jika isteri anda gagal memahami maka pasti anda akan berhadapan dengan situasi yang amat sukar.

Anda dikira MAMPU jika anda mampu menyediakan perbelanjaan asas untuk isteri anda. Untuk berpoligami anda tidak semesti kaya raya. Saya tidak kaya. Tapi syukur kepada Allah kerana mentakdirkan saya memilki 3 orang isteri yang hebat. Walaupun hidup sederhana saja, tapi mereka menerima saya seadanya. Terima kasih adinda-adindaku semua yang kanda kasihi.
Bagaimana pula jika setelah dikira dan dicongak, kelihatan anda tidak mempunyai ‘dana’ yang mencukupi, apakah anda tidak boleh berpoligami dan harus melupakan impian yang anda pendam sekian lama? 

Jawapannya terserah kepada anda. Jika anda mampu menggandakan pendapatan anda sekali ganda dari pendapatan anda sekarang, ertinya anda telah mencapai tahap kemampuan yang diperlukan dari sudut kewangan. Sebagai contoh, gaji bulanan anda sekarang adalah RM3,000.   Dengan pendapatan sebegini anda jangan mimpi untuk berpoligami, kerana jumlah ini pun sebenarnya tidak begitu mencukupi untuk menanggung isteri serta anak-anak anda yang semakin hari semakin membesar dan semakin memerlukan banyak wang perbelanjaan. 

Jadi anda kena cari sumber pendapatan lain jika anda benar-benar serius untuk berpoligami. Ada sebahagian lelaki terus ‘give up’ dan mengalah bila melihat jumlah yang sebegitu besar untuk dicari pada setiap bulan. Namun bagi sesetengah yang lain pula, poligami menjadi sumber motivasi yang amat berkesan. Mereka mula ligat mencari idea. Ada yang bekerja siang dan malam untuk mendapatkan wang sampingan. Ada yang berniaga pada waktu malam. Waktu siang pula bekerja. Dan akhirnya berjaya mendapatkan pendapatan yang lebih besar dari gaji bulanannya. 

Jadi jika anda lelaki sebenar dan niat untuk berpoligami juga adalah benar, maka jangan mudah berputus asa. Hari ini orang berniaga secara online pun boleh jadi kaya raya. Justeru, Jadikan niat berpoligami anda sebagai senjata ampuh buat anda bergerak dengan lebih pantas mencari sumber kewangan demi menggapai cita-cita se orang lelaki sejati! Berpoligami….

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Sunday, July 15, 2018

PROSES UNTUK BERPOLIGAMI

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI
OLEH
DR NIK RAHIM BIN NIK WAJIS

SIRI KE 5


                                                          Proses untuk berpoligami

Jika anda bernasib baik anda akan berjaya melepasi tahap pertama ini (iaitu tahap mendapatkan kebenaran dari isteri anda untuk berpoligami). Isteri anda yang solehah itu meskipun kelihatan di wajahnya kesayuan dan kesuraman, dengan hati yang berat umpama beratnya memikul gunung Kinabalu, membenarkan anda untuk berpoligami. Namun kebenaran lisan atau ‘diamnya’ isteri anda tanpa protes bukan jaminan untuk anda berpoligami. Dalam Islam, diamnya se orang wanita setelah diminta keizinan bererti dia telah meredhai atau membenarkan dia dikahwini atau dalam kes poligami membenarkan suami berkahwin lagi.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Anak dara hendaklah diminta izin manakala janda hendaklah diminta kebenaran. Lalu para sahabat bertanya. “Bagaimana cara untuk mengetahui keizinan dari se orang gadis kerana mereka biasanya pemalu?” Maka jawab Nabi s.a.w “Diamnya mereka adalah tanda keredhaan mereka.”

Hadith riwayat Muslim.

Dalam meminta keizinan dari anak dara, ia adalah sunat dari sudut pandangan mazhab Syafie. Bapa atau datuk boleh mengahwinkan anaknya yang masih dara walaupun tanpa keizinan dari anak tersebut asal sahaja anak itu belum pernah bernikah. Namun jika sudah bernikah atau sudah berstatus janda, maka bapa atau datuk tidak harus menikahkannya kecuali setelah mendapat keizinan dari anaknya itu.

Poligami memerlukan setiap calon melalui proses kebenaran mahkamah. Meskipun dari sudut hukum syara’ se orang suami boleh sahaja berpoligami tanpa perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran dari mahkamah atau dari isterinya yang terdahulu. Mendapatkan keizinan dari isteri dan juga mahkamah bertujuan untuk mengelakkan suatu yang tidak diingini berlaku di kemudian hari. 

Bernikah tanpa izin atau restu dari isteri terdahulu akan menimbulkan banyak ketegangan dalam rumahtangga apabila pernikahan tersebut dihidu baunya oleh isteri yang sedia ada samada isteri pertama, kedua atau ketiga. Berdasarkan kepada kajian saya, untuk berpoligami, tentangan akan datang bukan sahaja dari isteri pertama, tetapi turut akan ada tentangan dari isteri-isteri yang lain samada kedua atau ketiga. 

Ada orang berkata, yang paling payah adalah untuk perkahwinan yang kedua sebab yang pertama akan menentangnya. Tapi bila masuk yang ke tiga sudah tidak ada masalah kerana yang pertama akan berkata kepada yang kedua, “padan muka kamu, dulu kamu rampas suami aku, sekarang giliran kamu pula untuk merasakan apa yang aku rasa sebelum ini”. Pandangan ini biasanya datang dari mereka yang tiada pengalaman. 

Bagi mereka yang pernah melalui proses berpoligami pastinya ia sangat berbeza. Kaedahnya sangat mudah. Jika suami memiliki se orang isteri, dan suami tersebut mempunyai sebiji kek yang sangat enak, maka si isteri akan mendapat bahagian yang sangat besar kerana hanya dia se orang yang akan menikmati kek tersebut. Namun bila ada se orang lagi isteri, maka kek tersebut terpaksa dibahagi dua. Dan jika ditambah lagi maka akan semakin berkuranglah kek tersebut untuk dinikmati. Justeru, adalah ‘normal’ untuk mana-mana isteri untuk memprotes perkahwinan suami mereka tanpa mengira di nombor berapa mereka berada. Apapun semuanya terpulang kepada ‘jenis’ isteri anda. Tajuk ini akan bahaskan secara lebih terperinci nanti insya Allah.

Kebanyakan mahkamah memerlukan kebenaran dari isteri secara rasmi barulah anda dibenarkan untuk berpoligami. Jika anda sudah mendapat kebenaran dari isteri sebelumnya tiba-tiba isteri bertukar fikiran semasa di mahkamah, maka hasrat anda untuk berpoligami juga akan menjadi pudar. Berdasarkan kepada pengalaman saya di Pahang, semua isteri akan dipanggil hadir ke mahkamah dan hakim mahkamah Tinggi Syariah akan bertanya persetujuan isteri atau isteri-isteri sebelum membuat keputusan muktamad. Jika isteri membantah dan anda pula gagal mematahkan hujah isteri, permohonan anda mungkin akan ditolak oleh mahkamah. Alhamdulillah, dalam kes saya, Yang Amat Arif Hakim telah membenarkan permohonan saya. Sebenarnya saya sendiri pun merasa sangat terkejut kerana bagi saya kebenaran yang dibuat oleh hakim terlalu mudah dan di luar jangkaan saya sama sekali. Alhamdulillah!


Sebaik keluar dari kamar hakim saya bertanya kepada tuan pendaftar tentang isu ini lantas beliau berkata “hakim berpandangan bahawa lelaki kalau memang dia sudah merancang untuk bernikah, dan dia pula berkemampuan, keluarga sebelah perempuan juga telah bersetuju, maka kita akan mudahkan. Jika tidak, mereka tetap akan bernikah juga. Daripada mereka menikah di Siam, biarlah mereka bernikah di sini supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari.” Saya menganggukkan kepala tanda memahami kata-kata dari tuan pendaftar tadi dan berlalu dengan perasaan yang sangat lega. Terima kasih adinda-adindaku! Fb 15.7.2018

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Friday, July 13, 2018

ANDA HARUS MEMPUNYAI KEBERANIAN LUAR BIASA UNTUK BERPOLIGAMI

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI
OLEH
DR NIK RAHIM BIN NIK WAJIS

SIRI KE 4


Anda harus Mempunyai Keberanian Luar Biasa Untuk Berpoligami

Untuk berpoligami anda memerlukan keberanian. Bukan hanya keberanian tetapi beberanian di tahap luar biasa. Berani menyatakan keinginan kepada isteri, kepada anak-anak, kepada ibu bapa, kepada mertua dan bakal mertua. Ini semua memerlukan keberanian. Jika anda tidak ada keberanian di peringkat ini, peluang anda untuk berpoligami adalah amat malap sekali. Ini adalah langkah pertama yang harus anda lalui. Jika untuk menyatakan ‘niat’ pun sudah ketar lutut, nasihat saya lupakan saja niat anda. Anda tidak layak berpoligami!

Siapa paling utama dalam senarai untuk anda maklumkan hasrat untuk berpoligami?

Jawapannya tentulah isteri anda. Walaupun ibu bapa anda adalah penting untuk mendapat restu mereka, namun tanpa ‘kelulusana’ dari isteri anda, restu kedua ibu bapa anda tiada membawa sebarang erti. Bila anda sudah dapat ‘kelulusan’ daripada isteri tersayang anda, maka anda pastinya, bahkan ‘wajib’ untuk mendapatkan restu dari kedua ibu bapa anda. Ada ibu bapa yang memahami dan mudah untuk mendapatkan restu mereka. “Ikut kamulah. Kalau kamu rasa boleh bertanggungjawab, mampu dan boleh berlaku adil, mak tak larang”. Demikian kata-kata ibu saya lebih 10 tahun yang lalu bila saya memohon restu beliau untuk berpoligami. Manakala al marhum ayahanda saya memang tiada masalah kerana atuk saya pun ada 4 isteri! Restu dari ibu bapa adalah asas kepada kebahagiaan rumahtangga yang bakal dibina. Nabi s.a.w bersabda:

“Redha Allah terletak kepada Redha kedua ibu bapa, kemurkaan Allah terletak kepada kemurkaan mereka”.

Hadith riwayat Ibn Hibban.

Bagiamana mahu bahagia jika ibu bapa tidak redha dan Allah juga tidak redha?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa kaedah terbaik untuk memberi tahu isteri tentang niat untuk berpoligami. Jawapannya bergantung kepada anda dan juga ‘jenis’ isteri anda. Jika anda se orang yang sangat ‘gentleman’ dan tidak takut berhadapan dengan api kemarahan dan semburan larva gunung berapi isteri anda, ayuh gunakan cara yang jelas dan terang tanpa ada sebarang kiasan. ‘Straight to the  point’. Terus bagi tahu isteri: “Minah! Abang insya Allah akan kawin lagi!’ jelas sekali perkataan itu. Isteri anda bernama Minah pasti faham hasrat hati anda. Sebaik kata-kata tadi dilafazkan, ada beRbagai reaksi yang mungkin anda hadapi. Ini juga bergantung kepada ‘jenis’ isteri anda. Amat beruntunglah jika isteri anda se orang yang ‘solehah’ dan memahami hak-hak se orang suami dan haknya sebagai isteri yang wajib akur dan patuh kepada kehendak suami asal saja apa yang dilakukan oleh suami suatu yang tidak bercanggah dengan hukum syarak. “Oklah abang. Minah tak ada masalah asal abang tunai tanggungjawab sebaiknya kepada semua isteri-isteri abang. Minah tidak berhak untuk menghalang niat abang untuk berpoligami kerana itu hak abang sebagai suami.” Itu mungkin dialog yang terjadi antara anda dengan isteri anda yang bernama Minah.

Jika benar ini yang berlaku, maka tidak ada siapa yang akan bersedih hati dan merana kerana kedua-dua pihak telah redha dan saling memahami antara satu sama lain. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh se orang isteri jika mereka benar-benar se orang isteri yang solehah. 

Pertelingkahan, perbalahan dan persengketaan akan hanya berlaku apabila isteri mula diserang histeria sebaik saja si suami meluahkan hasrat berpoligami padalahl suaminya sudah bertahun-tahun lamanya melayannya dengan baik dan penuh tanggungjawab. Lupa segala kebaikan yang pernah dicurahkan oleh suami sejak sekian lama. Isteri di saat ini melihat suami seakan se orang penjenayah yang harus dihumban ke dalam neraka jahanam kerana ‘dosa’ ingin berpoligami. 

Jadi yang menjadi ‘punca’ peperangan dalam rumahtangga sebenarnya bukan suami tetapi isteri. Suami tidak bersalah hanya kerana ingin berpoligami. Poligami itu halal dari sudut hukum syarak dan tidak pula salah dari sudut undang-undang. Para isteri patut menghadam semua ini kalau mahu jadi isteri solehah dan penghuni Jannah!

Namun ini bukan lesen mudah bagi lelaki untuk berpoligami. Para lelaki harus meyakini boleh berlaku adil, bertanggungjawab, ada kemampuan untuk menanggung keluarga lama dan juga yang baru. Jika tidak anda hanya mencari masalah dalam kehidupan anda! 

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Thursday, July 12, 2018

POLIGAMI HANYA UNTUK LELAKI LUAR BIASA

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI
OLEH
DR NIK RAHIM BIN NIK WAJIS

SIRI KE 3

Poligami Hanya Untuk Lelaki Luar Biasa

Bukan mudah untuk berpoligami. Anda perlukan tahap kesabaran yang tinggi dan luar biasa. Ya! anda mesti jadi lelaki luar biasa baru anda mampu untuk berpoligami kerana poligami hanya untuk lelaki 'luar biasa'. Jika berhadapan dengan se orang isteri pun anda perlu mempunyai tahap kesabaran tinggi khususnya jika isteri anda se orang yang 'belum siap' semasa anda mengahwininya. "Belum siap' maksudnya si isteri tidak atau kurang melalui proses pentarbiahan oleh keluarganya. Artinya andalah yang harus mentarbiah dan mendidiknya hingga 'siap' atau dalam erti kata lain bersedia menjadi isteri yang baik dan solehah. Apabila isteri kurang mendapat tarbiah, kesabaran yang diperlukan semakin bertambah hebat kerana isteri yang kurang tarbiah akan lebih dipandu oleh hawa nafsu dan emosi melulu menyebabkan anda amat sukar untuk menghadapinya.  Sebab itu jika anda ingin berpoligami, maka pilihlah calon isteri yang 'sudah siap'. Insya Allah kerja anda menjadi lebih mudah.

Dalam hidup kita ini berbagai cabaran dan ujian yang harus diharungi. Isteri adalah satu ujian buat suami. Ujian menjadikan kita bertambah matang. Ujian juga menentukan samada kita lulus atau gagal dalam sesuatu perkara. Kalau anda se orang pelajar, ujian menentukan samada anda berjaya atau gagal untuk meneruskan pengajian dan seterusnya menamatkan pengajian  anda. Jika anda mengambil ujian lalulintas, maka ujian menentukan samada anda layak untuk mendapatkan lesen atau sebaliknya. Jika anda se orang pekerja, lulus atau tidak temuduga yang juga merupakan satu bentuk ujian akan menentukan samada anda berjaya atau tidak untuk mendapatkan pekerjaan.
Samalah juga dengan poligami. Cuma yang paling ‘best’ tentang ujian poligami ini, anda sendiri yang membuat soalan dan anda jugalah yang memberi markahnya. Lucu bukan? Tapi itulah hakikatnya. Lagipun setakat ini belum ada mana-mana universiti atau pusat pengajian yang menawarkan kursus poligami. Jadi anda sendirilah yang harus menguruskan segala yang berkaitan dengan ujian ini.
Baik, apa tujuan ujian ini? Sama dengan ujian-ujian yang lain. Untuk melihat sejauh mana kesediaan anda berhadapan dengan cabaran dari peringkat awal sehinggalah ke peringkat-peringkat seterusnya yang lebih genting.
Setiap ujian ada soalannya atau ada tugasan tertentu yang perlu dilakukan dengan sesempurna mungkin. Jadi tugas anda ialah untuk melihat sejauh mana reaksi isteri anda bila persoalan tentang poligami diajukan. Ingat! Jangan sekali-kali mencuba jika anda belum lagi mengenali isteri anda. Silap hari bulan ‘burung’ anda akan terbang hilang dari pandangan. Bukan tidak ada kes sebegini.

Uji Keberanian Anda
 Kerap juga saya bersembang dengan kawan-kawan di mana saja saya berjumpa mereka. Poligami sentiasa menjadi topik paling hangat untuk diperkatakan. Bahkan cerita 'nikah' baru mampu menyegarkan mata yang hampir tertutup. Teringat suatu ketika saya bermusafir dengan se orang sahabat baik dari Kota Bharu menuju Kuala Lumpur. Beliau memandu kereta Mercedes sport berwarna hitam. Saya cuma penumpang saja. Dah habis modal kami borak, dia kelihatan mula menguap dan seakan mahu menutup matanya. "Bahaya ini" bisik saya dalam hati. Lantas otak saya ligat mencari idea untuk 'mengubati' rasa mengantuk beliau. Ya, poligami mungkin tajuk terbaik memandangkan jam sudah menunjukkan ke pukul 2 pagi.
"Yie, demo bilo nak tambah bini nyo?" Tanya saya dalam loghat Kelantan kepada sahabat saya yang bernama Syukri. Yie adalah nama manja beliau yang sering saya gunakan. "Ajaib!" Bisik saya dalam hati sambil tersenyum. Ternyata pertanyaan saya menyegarkan mata dan mindanya. "Demo (awak) ada calon ko untuk ambo (saya)" tanya Syukri kepada saya penuh bersemangat. Saya tersenyum sahaja lantas menjawab, " nanti ambo tolong cari" jawab saya sepontan. Lepas satu soalan satu soalan keluar dari mulut Syukri kepada saya kerana beliau memang telah tahu saya telah lama mengamalkan poligami.
"Di antara isu yang penting untuk dirungkaikan bagi siapa saja yang ingin berpoligami ialah 'keberanian'" kata saya pada Syukri. "Tanpa keberanian, sebanyak mana pun kita ada duit, kita tak mungkin berjaya untuk berpoligami". Sambung saya lagi. "Ni yang payah ni Dr" kata Syukri, memberi respon kepada pandangan saya tadi. Berani bermaksud bersedia berhadapan dengan berbagai reaksi yang pasti akan timbul bukan sahaja dari isteri yang sedia ada bahkan juga dari ibu bapa, mertua, anak-anak, famili, jiran, kawan tempat kerja bahkan seluruh rakyat, jika ianya melibatkan para pemimpin. Sukar ditemui isteri yang rileks dan tenang sahaja bila diberitahu suami akan beristeri lagi. Besar kemungkin isteri akan menjadi histeria sebaik saja mendapat tahu suami akan bernikah lagi. Ada juga yang terus meminta cerai. Tidak kurang yang bertindak lebih agresif dengan menjadikan pinggan mangkuk sebagai tempat melepaskan kemarahan. Bahkan yang lebih tragis, ada isteri yang sanggup memotong 'anu' suaminya." Saya terus meluahkan pandangan. Syukri nampaknya begitu khusuk mendengar sambil mengangguk-anggukkan kepalanya tanda bersetuju.
Bukan itu saja, kadangkala jika isteri boleh menerima, ibu bapa atau mertua pula yang cuba campur tangan dan cuba menghalang niat anda untuk berpiligami. Jika isteri sudah okay, ibu bapa dan mertua juga tiada halangan, anak-anak juga kadangkala akan jadi penghalang. Pendek kata keberanian dan kesanggupan se orang yang ingin berpoligami haruslah benar-benar mantap. Jika tidak hasratnya akan hanya tinggal angan-angan semata-mata.

Seakan tidak terasa masa berlalu begitu pantas sekali. Akhirnya kami sampai ke Kuala Lumpur dan ternyata Syukri terus bertenaga bahkan mungkin semakin bersemangat untuk berpoligami selepas sesi panjang bersama saya. Hingga kini saya tidak pasti samada beliau sudah pun mempunyai isteri baru atau sebaliknya. Ini kerana peristiwa kami bersama dalam permusafiran tersebut telah lebih 10 tahun berlalu!
Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Wednesday, July 11, 2018

USAH MANSUHKAN HUKUMAN MATI MANDATORI

USAH MANSUHKAN HUKUMAN MATI MANDATORI
Oleh

Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia
Email: dr_nikrahim@yahoo.com

Dalam satu sidang media baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan meneliti semula beberapa undang-undang. Antara undang-undang tersebut ialah hukuman mati mandatori. Langkah ini menurut beliau perlu dilaksanakan kerana undang-undang tersebut tidak lagi bersesuaian dengan lanskap hari ini dan perlu dimansuhkan. Walaubagaimanapun ia masih di peringkat cadangan dan belum tentu ianya akan dilaksanakan.
Pastinya sebelum pihak kerajaan memperkenalkan undang-undang baru atau memansuhkan hukuman sedia ada, kajian menyeluruh hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Pandangan dari pakar perundangan samada sivil dan Syariah serta pengamal undang-undang dari kedua-dua bidang perlu diambil kira.

Merujuk kepada cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori terdapat beberapa aspek yang perlu diambil kira antaranya ialah keberkesanan hukuman tersebut dalam mengurangkan kadar jenayah berat seperti yang termaktub di dalam undang-undang. Antara jenayah yang membawa kepada hukuman mati mandatori merangkumi Kanun Keseksaan: Seksyen 121, 121A, 132, 194, 302, 305, 364, 396, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960: Seksyen 57(1), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta 37: Seksyen 3, 3A, 7(1)

dan Akta Dadah Merbahaya 1952: Seksyen 39B. Kajian terperinci haruslah dilakukan samada hukuman mati tidak lagi berkesan dan perlu diganti dengan hukuman yang lebih berkesan.
Hukuman mati mandatori seperti dapat dilihat di dalam peruntukan undang-undang di atas adalah melibatkan jenayah berat seperti pembunuhan yang diletakkan di bawah Kanun Keseksaan. Namun persoalannya apakah ada hukuman yang lebih sesuai untuk dikenakan kepada penjenayah dalam kes ini selain dari hukuman mati mandatori? Apakah hukuman penjara seumur hidup lebih setimpal dan lebih efektif dalam membendung kes jenayah seperti ini dari berluasa?
Menurut statistik yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan menyebutkan bahawa     purata kes bunuh setahun ialah sebanyak 500 kes. Ia satu jumlah yang amat menggerunkan kita semua. Ini bermaksud bahawa setiap hari pasti akan ada nyawa yang melayang. Statistik ini adalah berdasarkan kepada undang-undang sedia ada yang memperuntukkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan membunuh. Tidak dapat dibayangkan apakah yang akan berlaku jika sekiranya hukuman mati ini dimansuhkan.

Jika kita lihat negara-negara maju seperti Amerika Syarikat sebagai contoh pun masih melaksanakan hukuman mati mandatori. Berdasarkan kepada laporan dari Amnesty International dari tahun 2007 hingga 2012 terdapat 504 kes yang dijatuhkan hukuman mati dan 220 pesalah telah menjalani hukuman mati.

Jadi apakah alasan untuk kita mansuhkan hukuman ini?

Hukuman mati mandatori juga bukan satu hukuman yang asing jika dilihat dari perspektif undang-undang Islam. Islam memperuntukkan hukuman mati mandatori bagi kes yang melibatkan jenayah qisas iaitu bunuh dengan sengaja. Di bawah kategori hudud pula ia merangkumi jenayah murtad, zina bagi mereka yang sudah berkahwin, rompakan yang membawa kepada kematian, jenayah pemberontakan terhadap pemerintah (bughah) dan juga kes pengintipan untuk negara musuh di bawah kategori ta’zir.
Ibn Taimiyyah berpendapat bahawa orang yang melakukan kerosakan (fasad) dan kehancuran kepada orang ramai yang tidak dapat dikawal kejahatannya boleh dikenakan hukuman bunuh.
Hukuman mati juga adalah selari dengan maqasid Syariah bagi melindungi nyawa seseorang. Di dalam al Quran Allah s.w.t berfirman:

“Dan di dalam Qisas itu ada (jaminan) hidup bagimu wahai orang-orang yang berakal supaya kamu bertakwa”
Al Baqarah: 179.

Jika dilihat kepada undang-undang jenayah Syariah seperti hudud dan qisas didapati hukuman yang dikenakan terhadap pesalah adalah amat berat dan sebahagiannya membawa kepada hukuman mati. Ini adalah bertujuan untuk memberikan pengajaran kepada pesalah dan juga kepada masyarakat agar tidak melakukan jenayah tersebut. Hukuman mati pastinya menimbulkan kegerunan kepada mereka yang mempunyai niat untuk melakukan jenayah yang dikategorikan di bawah jenayah berat ini.
Justeru adalah diharapkan agar hukuman mati mandatori dikekalkan agar menjadi fakor penghalang (deterrent factor) kepada mereka yang berpotensi menjadi penjenayah khususnya jenayah berat yang memberi kesan yang besar kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI - SIRI 2

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI
OLEH
DR NIK RAHIM BIN NIK WAJIS

BAB PERTAMA

Langkah Pertama

AMARAN: jangan sekali-sekali anda 'skip' langkah pertama. Pastikan anda benar-benar bersedia dan LULUS langkah pertama sebelum memasuki langkah kedua dan seterusnya.

Persiapan Diri
   1.  Mantapkan Mental
Berpoligami bukan suatu yang mudah. Ia memerlukan kekuatan mental yang luar biasa. Ertinya, hanya orang yang mempunyai kekuatan mental yang luar biasa sahaja mampu berpoligami. Jika tidak, anda akan gugur di pertengahan jalan. Impian kebahagiaan yang ingin dikecapi hanya tinggal angan-angan kosong. Jika pun anda mungkin berjaya berpoligami, ianya mungkin tidak akan boleh bertahan lama. Jika anda berjaya mempertahankan pernikahan anda dengan yang pertama, mungkin anda terpaksa mengorbankan yang kedua. Pastinya akan ada yang akan menjadi mangsa.
Jika anda bermonogami, anda hanya perlu berhadapan dengan satu karenah. Jika anda mempunyai dua isteri, tiga atau empat, maka pastinya anda akan berhadapan dengan karenah yang berbeza kerana secara fitrahnya, manusia itu berbeza keinginan dan keperluannya. Jika mental anda tidak kuat anda akan sentiasa berada dalam keadaan stress yang luar biasa. Agak-agak berapa lama anda boleh bertahan jika anda balik ke rumah, isteri anda ‘complain’ itu dan ini. Memarahi anda kerana lewat balik dan mengatakan anda pergi ke rumah yang muda? Keesokan harinya anda ke rumah yang muda, lalu yang muda juga tidak puas hati dan mengatakan anda melebihkan isteri pertama. Bayangkan jika ini berlaku saban hari, apakah anda sanggup menghadapinya? Jika anda sanggup maka anda adalah orang yang saya cari! Anda adalah calon yang sesuai untuk berpoligami.

Kaedah Pemantapan Mental
Bagi mereka yang merasakan bahawa mereka tidak mempunyai mental yang kuat untuk berpoligami, usah risau. Masih ada kaedah dan cara penyelesaiannya. Lagipun anda tidak akan tahu kekuatan sebenar anda kecuali setelah anda mencuba bukan? Kekuatan mental boleh diperolehi melalui pengalaman. Ya! Pengalaman mematangkan diri kita. Ramai yang merasakan diri tidak mampu berlari 2.5KM tanpa henti sebelum memulakan larian. Namun jika tidak mencuba, maka sudah tentu sampai bila-bila pun kita tidak tahu kemampuan sebenar kita. Jika sudah mencuba, tapi ternyata tidak mampu maka kita harus mencari strategi baru jika ktra memang berhasrat untuk menghabiskan larian tersebut. Kita terus mencuba dan mencuba dan pastinya ia akan menghasilkan suatu keputusan yang di luar jangkaan. Sama juga dengan berpoligami. Kita harus mencuba dan mencari strategi yang sesuai untuk dilaksanakan bagi mencapai tujuan tersebut. Jangan mudah mengalah jika anda benar-benar berhasrat untuk berpoligami. Jangan hanya cakap besar di kedai kopi, tapi lutut menggeletar bila berhadapan dengan bini! Cakap tidak serupa bikin. Tidak berani untuk melaksanakannya. Jangan hanya berangan-angan kosong tanpa berusaha. Semua orang tahu, ‘usaha itu tangga kejayaan’.
Namun harus diingat, meskipun berpoligami ada persamaan dari sudut prinsipnya dengan larian tadi, namun secara praktikalnya ia jauh berbeza. Jika anda gagal menghabiskan larian, anda boleh terus mencuba dan mencuba. Tiada risiko besar menanti anda. Jika pun ada mungkin anda akan terlepas peluang pekerjaan yang memerlukan anda benar-benar sihat secara fizikal untuk menjawat jawatan tersebut.
Namun anda boleh mencuba pekerjaan yang lain. Memang benar, kalau anda gagal dalam pernikahan, anda juga boleh mencuba lagi, tapi kesannya tidak sama dengan larian tadi. Pernikahan memerlukan kos yang besar. Ada orang melaburkan ribuan ringgit hanya untuk ‘memikat’ pasangannya. Kalau pelaburan besar sebegini dibuat dan ia membuahkan hasil, anda harus bersyukur kerana ramai di luar sana yang melabur ribuan ringgit, namun akhirnya bunga yang ingin disunting dilarikan kumbang yang lebih muda dari anda.
Anda harus ingat, bila anda sudah bernikah dan bergelar ‘suami orang’ secara dasarnya ‘saham’ anda sudah jatuh jika dibandingkan dengan mereka yang masih bujang. Jadi anda harus berhati-hati membuat pelaburan kerana dalam proses pencarian dan pemburuan anda, pastinya anda akan menemui pelbagai jenis ragam wanita. Ada yang berlakon menyukai dan menyintai anda meskipun dia tahu anda sudahpun berumah tangga. Kerana dalam benak pemikirannya, anda boleh berikan kesenangan padanya. Apa yang dia mahu adalah harta anda. Spesis wanita sebegini banyak sekali di luar sana. Namun usah gelabah, jika niat anda ikhlas, pastinya Allah akan menemukan anda dengan wanita solehah seperti anda kerana anda juga se orang lelaki soleh bukan? Jika pilihan anda tepat, maka syurga dunia menanti anda. Namun jika sebaliknya, maka neraka dunialah bakal menjadi milik anda!
Pengamal poligami harus sentiasa bersiap sedia pada setiap masa. Umpama berada di medan perang. Anda mungkin di serang hendap oleh musuh tanpa mengira masa. Dan anda juga perlu mempersiapkan diri dengan ‘peluru’ yang bersesuaian. Lain isteri, lain peluru yang perlu digunakan agar lebih berkesan. Bagi sebahagian isteri, mendiamkan diri adalah ‘peluru’ yang paling ajaib. Hanya pekakkan telinga jika isteri menyerang. Senyum! Tak perlu kata apa-apa! Tapi mental anda harus mantap! Telinga anda harus ‘kebal’ menahan serangan bertali arus. Namun senjata ini jika digunakan di tempat dan rumah yang salah, ia akan menjadikan ‘peperangan’ semakin merebak kerana dianggap anda acuh tidak acuh dengan leteren yang dibuat oleh isteri. Jadi pandai-pandailah anda menguji ‘peluru’ mana yang paling sesuai untuk digunakan.
Air mata juga antara peluru yang kadangkala berkesan untuk menghadapi  isteri yang kadangkala sering menyerang anda. Air mata sememangnya menjadi menjata yang ampuh bagi isteri tapi suami boleh menggunakannya. Air mata boleh menggambarkan kemarahan melampau, kesedihan bahkan kadangkala kegembiraan yang luar biasa. Jangan risau, anda sebagai suami tidak akan dianggap ‘pengecut’ hanya kerana menangis di saat meluahkan perasaan anda!
Nasihat yang baik, pujuk rayu, serta peringatan tentang ayat-ayat Allah pastinya tidak boleh diabaikan. Sebagai se orang Muslim pastinya ini adalah ‘peluru’ yang harus digunakan pada setiap masa. Ayat-ayat Allah mempunyai keajaban yang amat luar biasa yang mampu ‘mencairkan’ hati yang membatu.
Kita semua meyakini bahawa di dalam ayat-ayat Allah itu terdapat penawar yang amat luar biasa. Di dalam al Quran Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman...."
(Al Israa' 82)

Kekuatan mental juga boleh dibina melalui kaedah ini. Keyakinan bahawa pernikahan yang dibina atas asas takwa dan meyakini bahawa ianya adalah satu ibadat juga mampu memberikan kekuatan kepada mental kerana kita yakin segala susah payah dilalui adalah merupakan satu saham di akhirat nanti. Kesabaran berhadapan dengan ‘serangan’ isteri adalah satu dugaan Allah terhadap hambaNya. Maka dengan keyakinan sebegini maka insya Allah akan terbinanya kekuatan mental dalam menghadapi pelbagai serangan mendatang.
Selain dari itu doa juga adalah satu kaedah yang amat berkesan dalam memantapkan kekuatan mental. Di dalam al Quran Allah berfirman:
"....Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku.." (Al Baqarah, 186)
Di dalam sebuah  hadith yang sahih Nabi S.AW. juga ada bersabda bahawa:
“Doa itu adalah senjata bagi orang yang beriman, tiang kepada agama dan cahaya bagi langit dan bumi’
(Hadith riwayat Al Hakim.)

Justeru jangan lupa banyakkan doa. Usah merasa hebat dengan apa saja kekuatan yang kita miliki kerana kita adalah insan yang lemah yang tidak mampu mengubah hati manusia. Namun berkat doa dan aura yang ada di dalamnya, segala kebuntuan dapat diatasi insya Allah.

 Jadi, jika anda merasakan sudah memiliki kekuatan itu, maka anda sudah melengkapi salah satu persediaan dan langkah untuk berpoligami. Tapi anda harus ingat, banyak lagi langkah-langkah yang harus anda tempuhi. Tidak mengapa kita buat perlahan-lahan agar anda tidak semput nanti!

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Tuesday, July 10, 2018

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI (SIRI 1)

TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI
OLEH
DR NIK RAHIM BIN NIK WAJIS
Muqadimah
Pernikahan itu adalah suatu yang fitrah atau semula jadi.  Ia adalah satu  keinginan yang azali bermula sejak Nabi Adam a.s hingga ke hari kiamat. Orang yang tidak mahu bernikah atau mempunyai pasangan adalah orang yang tidak 'normal'. Pernikahan  juga adalah sunnah Nabi s.a.w dan Nabi-Nabi sebelum baginda. Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda:
“Pernikahan itu adalah sunnahku. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan dari golonganku”
Hadith riwayat Ibn Majah.
Bernikah dengan lebih dari satu isteri atau berpoligami pula merupakan 'sambungan' dari  keinginan untuk bernikah atau boleh disebut sebagai 'perencah atau perisa tambahan' kepada pernikahan pertama.  Dalam erti kata lain bernikah satu adalah asas, manakala poligami pula adalah pelengkap kepada perkara asas tersebut.
Namun samada samada poligami itu benar-benar menjadi pelengkap atau sebaliknya ia terpulang kepada individi masing-masing dan juga 'luck' atau nasib mereka. Sama juga halnya dengan pernikahan pertama. Ada orang bernikah se orang atau bermonogami dan kekal dalam pernikahan pertama sehingga ke penghujung hayat mereka namun tidak kurang pula ada yang mahligai yang dibina roboh dipertengahan jalan. Sama juga halnya dengan mereka yang berpoligami. Ada yg kekal bahagia hingga ke syurga namun tidak kurang juga yg tersugkur rebah di pintu neraka.
Tiada jaminan mereka yang bermonogami akan bahagia selamanya. Begitu juga tidak semesti mereka yang perpoligami akan hidup berantakan sepanjang masa.
Kebahagiaan dalam pernikahan samada secara monogami atau poligami banyak bergantung kepada  faktor dalam diri seseorang atau individu tersebut. Jika individu tersebut se orang baik, berakhlak mulia, boleh bertolak ansur, prihatin, penyayang dan bertanggungjawab, maka peluang untuk meraih kebahagiaan dalam rumah tangga luas terbuka.
Namun jika individu tersebut se orang yang pemarah, tidak sabar, tidak bertanggungjawab, pemalas, pengotor dan sebagainya maka apa saja bentuk pernikahan yang dilakukan samada monogami atau poligami maka pastinya amat sukar untuk mengecapi kebahagiaan dalam pernikahan tersebut.
Namun tidak dinafikan terdapat individu yang mampu mencipta kebabahagiaan jika bernikah secara monogami tetapi akan gagal untuk bahagia sebaik saja melangkah ke dunia atau alam poligami. Untuk individu jenis ini, mungkin poligami tidak sesuai buatnya. Jadi setiap orang haruslah ‘mengukur baju di badan sendiri’.
Terdapat juga orang  yang mampu  menyesuaikan diri dalam  pelbagai situasi. Orang begini boleh dianggap orang yang bertuah dan mereka berada dalam kelas tersendiri kerana mereka adalah 'fleksibel' dan mampu berubah mengikut keperluan keadaan dan suasana. Macam mengkarung yang boleh berubah warna kulit sesuai dengan keadaan keliling!  Buku ini ditulis bagi membantu golongan yang   ini menggapai keinginan mereka untuk berpoligami. Bagi mereka yang tidak termasuk dalam golongan istimewa ini, nasihat ikhlas saya, anda  harus MELUPAKAN hasrat untuk berpoligami kerana anda sememamgnya TIADA  POTENSI  untuk berpoligami. Jika anda  teruskan juga hasrat ini maka besar kemungkinan KEGAGALAN akan datang bertamu ke dalam kehidupan anda!. Namun bagi anda yang masih BERDEGIL dan mahu terus mencuba, maka terpulang kepada anda. Tapi jangan kata saya tidak melarang anda berbuat demikian.
Buku ini juga ditulis khusus untuk mereka yang berjantina LELAKI. Jika anda se orang WANITA sila berhenti membaca. Kerana anda akan berhadapan dengan risiko DIMADU!
Selamat Membaca!


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...