Saturday, July 21, 2018

BENARKAH WANITA YANG MENENTANG POLIGAMI ADALAH WANITA YANG LEMAH IMAN?



BENARKAH WANITA YANG MENENTANG POLIGAMI ADALAH WANITA YANG LEMAH IMAN?

Secara umumnya boleh dikatakan majoriti wanita akan menentang atau tidak mudah untuk mempersetujui jika suami ingin berpoligami. Jikapun tidak menentang poligami secara terang-terangan, namun mereka amat berharap agar jika berlaku mana-mana kes poligami, maka yang ter’jebak’ bukan suami mereka. Ini mudah untuk kita fahami kerana begitu naluri wanita ciptaan Allah ini. Semakin kuat perasaan cemburu maka semakin kuat pula penentangannya.

Bercerita tentang penentangan terhadap poligami ia bukan sahaja terjadi di kalangan mereka yang tiada pendidikan agama bahkan kadangkala mereka yang berpendidikan agama dan bergelar ‘ustazah’ juga turut menjadi pejuang dalam menentang poligami. Kenapa ini terjadi? Apakah kerana kurang faham tentang nas-nas al quran atau hadith yang dengan jelas mengharuskan poligami walaupun bukan mewajibkannya?

Persoalan di sini bukan kerana kurang faham atau kurang jelas tetapi kesukaran mengawal emosi ketika berhadapan dengan isu poligami. Wanita tidak semua ‘kuat’ untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran apabila suami berpoligami. Selain sifat cemburu yang cukup tebal, tohmahan dari kaum keluarga, jiran tetangga, teman sekerja, masyarakat setempat bahkan rakyat jelata jika melibatkan tokoh politik adalah dugaan yang maha berat yang tidak mampu ditanggung oleh kebanyakan wanita.

Justeru, tahniah buat wanita-wanita ‘besi’ yang sanggup mengharungi segala ini kerana mempunyai  keyakinan bahawa  poligami  MUSTAHIL akan terjadi jika tidak tercatat sejak AZALI.
Kepada para isteri dan juga bakal isteri, saya nak tanya satu soalan dan saya harap anda jawab dengan penuh keikhlasan. Boleh? Dah ready? Baik. Soalannya mudah saja. Cuma saya perlukan anda menjawab dengan jujur. Baiklah. Ini soalannya.
Apakah anda yakin bahawa tidak ada satu pun yang berlaku di atas dunia ini kecuali dengan izin dan ketetapan dari Allah?

Saya pasti kalau anda se orang Islam, anda pasti akan menjawab Ya! Sebabnya mudah. Mengikut konsep akidah Islam, tidak akan berlaku sesuatu di atas dunia ini samada kecil atau besar, semuanya berada di dalam ilmu Allah dan berlaku dengan izin dan kehendaknya. Nak dalil? Baik. Saya bawakan dalil dari al Quran ayat dari surah Al An’am ayat 59 yang bermaksud:
“Dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Allah mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.”
Jelas dan nyata bukan?

Baik. Jika anda sudah mengakui dan meyakini bahawa segalanya berlaku dengan izin dan kehendak Allah, maka bagaimana pula dengan poligami? Apakah anda juga yakin bahawa ianya hanya akan berlaku jika diizinkan oleh Allah? Jika anda se orang yang beriman, pastinya jawapan anda adalah sama seperti soalan sebelum ini bukan? Usah berdalih! Apa yang dinyatakan di sini adalah fakta dari Al Quran yang tidak harus diragui apa lagi ditentang.

Jadi sebenarnya sebagai se orang isteri atau bakal bergelar isteri, anda tidak perlu gusar atau takut atau fobia tentang poligami kerana ia suatu yang telah termaktub di azali. Jika sememangnya anda sudah ditulis sebagai ‘madu’, buatlah apa pun anda tidak akan berdaya mengelaknya. Ia pasti akan terjadi. Namun sebaliknya jika ianya tidak tertulis, maka ianya mustahil akan berlaku meskipun suami anda melakukan berbagai cara termasuk menggunakan khidmat ‘bomoh Malaysia’.

 Jadi kenapa harus anda risau? Jika anda ditakdirkan bermadu, jadilah isteri yang baik, yang taat dan sentiasa menjaga maruah dan harta suami. Jangan hanya kerana poligami anda memberontak, berlaku curang, nusyuz dan derhaka kerana suami anda tidak melakukan apa-apa dosa dan jenayah. Melawan suami atau derhaka kepada suami atas alasan suami bernikah lagi bukan satu alasan yang kukuh yang boleh dijadikan hujah di hadapan Allah di padang Mahsyar nanti.

Para isteri dan bakal isteri mungkin akan berhujah, kalau tak menggatal, tak mencari mana boleh bernikah lagi? Jawapannya sama saja. Ia berlaku kerana berpoligami memang sudah tertulis di azali. Berapa ramai yang bertungkus lumus di luar sana untuk berpoligami, tapi gagal mencapai hasrat hati untuk berpoligami. Kenapa? Sebab memang sudah tertulis dia tidak akan berpoligami. Tapi jika sudah tertulis, walaupun pada peringkat awalnya langsung tiada niat untuk berpoligami, maka ia tetap akan terjadi.
Bersambung…..



Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment