Sunday, October 18, 2020

MENGGUNAKAN ANJING PENGESAN COVID-19: APAKAH MALAYSIA BERSEDIA?

MENGGUNAKAN ANJING PENGESAN COVID-19: APAKAH MALAYSIA BERSEDIA?

Oleh



Dr Nik Rahim Nik Wajis

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,

Universiti Sains Islam Malaysia

Email: dr_nikrahim@yahoo.com

 

Saya terasa amat teruja bila membaca satu artikel di Berita Harian bertarikh 16 Mei 2020 yang menyebutkan bahawa terdapat beberapa negara yang telah menggunakan perkhidmatan anjing terlatih bagi mengesan Covid-19. Saya sangat teruja kerana dari satu sudut, meskipun manusia diberi pelbagai kelebihan oleh Allah SWT, namun ada ketikanya kebijaksanaan manusia tidak dapat mengatasi ‘kebijaksanaan dan kehebatan’ haiwan yang najis seperti anjing. Ia memberi isyarat kepada manusia agar tidak mudah lupa diri dengan apa yang mereka miliki kerana segalanya adalah milik Allah. 

Namun dari sudut yang lain, penggunaan anjing sebagai satu kaedah mengesan menyerlahkan lagi kebijaksanaan manusia yang tidak pernah jemu mengkaji dan mencari jalan penyelesaian bagi merungkai permasalahan yang mereka hadapi. Kajian demi kajian dilakukan sehinggalah akhirnya mereka menemui kaedah ini. Salah satu kajian telah dijalankan United Kingdom dengan suntikan dana sebanyak £500,000 (RM 2.6 juta) dari kerajaan Britain. Kajian ini diketuai oleh London School of Hygiene & Tropical Medicine, bersama-sama pertubuhan kebajikan itu dengan Universiti Durham.   Anjing-anjing Covid itu dikatakan mampu menyumbang kepada satu 'keputusan yang pantas' dan menyaring sehingga 250 individu sejam.

Satu lagi kajian turut dijalankan di Fakulti Perubatan Haiwan Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat.  Seekor anjing Covid bernama Blaze menunjukkan kemampuan luar biasa mengesan bau   dari mereka yang dijangkiti Covid-19.  

Kini terdapat beberapa negara yang telah menggunakan kaedah ini termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Finland dan yang lebih menarik adalah Emirate Arab Bersatu (UAE) yang merupakan negara Islam pertama yang menggunakan pendekatan ini.

Persoalan yang mungkin bermain diminda rakyat Malaysia khususnya umat Islam, apakah Malaysia akan mengikut langkah UAE dan juga negara-negara lain untuk menggunakan anjing sebagai satu langkah bagi menyekat penularan Covid-19 yang tidak diketahui bilakah ianya akan berakhir?

Persoalan ini sengaja dilontar kerana sebahagian besar umat Islam amat senstif dengan anjing bahkan sebahagian mereka melihat anjing dengan pandangan yang jijik dan menjengkelkan.  Pendirian demikian diambil mungkin akibat dari pengetahuan dan kefahaman mereka yang amat terhad tentang hukum syarak. Sebahagian mereka mungkin hanya bergantung kepada hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah dimana Rasulullah SAW bersabda, “Jika anjing menjilat bejana seseorang dari kamu, maka cucilah sebanyak 7 kali, dan salah satu dirinya adalah dengan air tanah” (HR. Muslim).

Berdasarkan kepada hadith ini, para ulama meletakkan anjing dalam kategori yang sama dengan babi iaitu dalam kategori najis mughalazah (najis berat). Disebabkan oleh pegangan dan keyakinan bahawa anjing adalah najis mughalazah, maka pandangan umat terhadap anjing menjadi sangat negatif dan menganggap bahawa anjing adalah makhluk yang jijik, keji dan hina dan tidak boleh didekati apalagi menggunakan perkhidmatannya termasuklah sebagai anjing pengesan Covid atau seumpamanya.

Mereka tidak menyedari bahawa pandangan mereka itu adalah salah dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Ini kerana tidak nas dari Al Quran atau hadith yang menghalang dari menggunakan perkhidmatan apa-apa binatang meskipun ianya najis seperti anjing untuk tujuan-tujuan tertentu yang membawa kebaikan kepada manusia.

Berhubung dengan hukum penggunaan anjing, Imam Shafi'i pernah menyatakan bahawa:

“Tidak dibenarkan pemeliharaan anjing melainkan bagi seorang pemburu, pekebun, penternak binatang atau sesiapa yang berada dalam situasi yang serupa dengan mereka.”

Manakala Imam Al-Mawardi pula berpendapat:

Hukum memelihara anjing adalah tidak dibenarkan, melainkan terdapat kemanfaatan baginya. Apabila terbukti kemanfaatannya maka dibenarkan pemeliharaan anjing.

Apabila melihat kepada kedua-dua pandangan ini maka jelaslah bahawa  penggunaan anjing   bagi perkara-perkara yang boleh membawa kepada kebaikan seperti membantu pihak keselamatan mengesan penjenayah, dadah, bahan letupan seperti bom atau periuk api, mengesan mangsa bencana alam seperti gempa bumi atau tsunami, dan sebagainya adalah dibenarkan di dalam Islam dan termasuk jugalah menggunakan anjing sebagai alat pengesan Covid-19.

Namun begitu satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah tentang hak dan kebajikan anjing yang digunakan dalam tugasan ini. Ini kerana   anjing juga boleh dijangkiti dengan virus Covid-19 seperti yang dilaporkan dalam beberapa buah akhbar baru-baru ini.  Jangan pula kerana ingin menyelamatkan manusia, maka haiwan seperti anjing pula menjadi mangsa. Langkah pencegahan mestilah diambil kira agar anjing-anjing yang digunakan dapat dihindarkan dari terkena jangkitan virus Covid-19. Ini bertepatan dengan firman Allah:

“Tidak aku utuskan kamu (Wahai Muhammad) kecuali untuk membawa rahmat ke seluruh alam” – Al Anbiya’ - 107

Nabi SAW juga bersabda:

“Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada seluruh alam)." (Hadith riwayat Ad-Darimi)

Para ulamak mentafsirkan perkataan ‘alam’ sebagai semua makhluk ciptaan Allah SWT di atas muka bumi ini termasuk manusia, jin, haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan. Semua mereka akan mendapat rahmat dari syariat yang diturunkan oleh Allah SWT. Dalam erti kata lain, semua makhluk tidak boleh dizalimi termasuk anjing meskipun perbuatan tersebut boleh membawa kepada kebaikan buat manusia. Apa erti kebaikan jika ada makhluk yang tersiksa kerananya.


Nota: Artikel ini telah diemailkan ke Berita Harian namun tidak pasti samada artikel ini akan disiarkan atau sebaliknya. Apapun saya kongsikan untuk tatapan sahabat semua.

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

PENAWAR HATI SIRI 16 BAGAIMANA MENDAPAT FAEDAH MAKSIMUM DARI AL QURAN



Salam Ukhuwah dari saya.

Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis)
+6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only)
Nilai, Negeri Sembilan

PENAWAR HATI SIRI 15 - ADA TITLE AL HAFIZ TAPI...



Salam Ukhuwah dari saya.

Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis)
+6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only)
Nilai, Negeri Sembilan

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...