Friday, August 10, 2018

Jamak Solat Selain Musafir

Jamak Solat Selain Musafir

Muqadimah

Di dalam Islam, hukum syara’ boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, ‘Azimah dan Kedua, Rukhsah.
‘Azimah menurut ta’rifan sebahagian fuqaha’ ialah hukum yang ditetapkan oleh Allah dengan nass atau dalil tertentu tanpa kewujudan dalil yang lain yang menyalahinya. 
Sebagai contoh, solat di dalam waktunya yang telah ditetapkan, solat zohor, asar dan isyak empat rakaat. Ini semua adalah contoh ‘Azimah.

Manakala rukhsah pula adalah hukum yang ditashri’kan oleh Allah berlainan dari hukum di dalam ‘azimah dengan tujuan untuk memudahkan atau meringankan hamba untuk melakukan ibadat. Sebagai contoh solat jamak dan qasar.
Dari sudut hukum, mengamalkan kedua bentuk hukum ini adalah sama sahaja. Tiada lebih dan tiada kurang. Di dalam sebua hadith Nabi s.a.w bersabda:

إِنَّ اللَّه يُحِبُّ أَنْ تُؤْتَى رُخَصُهُ كَمَا يُحِبُّ أَنْ تُؤْتَى عَزَائِمُه


Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah menyukai hamba yang melakukan amalan rukhsah sama seperti amalan yang berbentuk “azimah”

Apa Itu Solat Jamak dan Qasar?

JAMAK ialah menggabungkan dua solat pada satu waktu seperti berikut:

Mengumpulkan zuhur dengan asar (jamak Taqdim), asar dengan zuhur (Jamak Ta’khir) ,   maghrib dengan isyak  (jamak Taqdim) dan  isyak dengan maghrib (Jamak Ta’khir)

 QASAR ialah memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat.

Jamak dan qasar boleh bergabung dan boleh terpisah, iaitu seorang boleh menjamak solat tanpa qasar, mengqasarkan solat tanpa jamak dan menjamak dan mengqasarkan solat secara gabungan.

SYARAT JAMAK DAN QASAR

Pertama: Mestilah berada di dalam keadaan bermusafir iaitu perjalanan ke destinasi sekurang-kurangnya dua marhalah.

Kedua: Perjalanannya telah melepasi pagar qaryah(boleh diterjemahkan sebagai kawasan kampung, taman perumahan, mukim atau daerah mengikut uruf setempat).

Ketiga: Tidak mengikuti imam solat yang bermukim jika ingin mengqasarkan solat.

Keempat: Tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar dari destinasi.

Hukum Jamak Solat Selain Musafir

Secara umumnya menjamakkan solat tanpa sebarang keuzuran syar’ei adalah tidak harus bahkan solat yang dikerjakan juga tidak sah kerana solat itu didirikan bukan dalam masa yang ditentukan sedangkan perintah menunaikan solat di dalam waktunya adalah di antara syarat sah solat. Ini berdasarkan kepada sepotong ayat Al Quran dari surah Al Nisa’ ayat 103:

 {‏إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا‏ }

“Sesungguhnya solat sudah ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.”

Walaubagaimanapun jika terdapat keuzuran yang Syar’ie seperti sakit, berada dalam permusafiran, atau disebabkan hujan dan kepayahan maka pada ketika ini diharuskan untuk menjamakkan solat yang dibenarkan untuk dijamakkan menurut hukum syara’ iaitu menjamakkan di antara solat zohor dan asar serta maghrib dan isyak.

Namun persoalan mengenai jamak solat selain dari keadaan-keadaan di atas menjadi isu hangat yang dibincangkan oleh para ulama  di dalam bab fiqh muqaran (fiqh perbandingan) dan juga fiqh hadith.  


Terdapat beberapa hadith sahih antaranya yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim Rahimahullah yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w pernah menjamakkan solat tanpa sebarang sebarang keuzuran syar’ie seperti ketakutan atau disebabkan baginda di dalam permusafiran. Hadith tersebut berbunyi:

صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ. قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ.

 Maksudnya: Telah solat Rasulullah SAW zohor dan asar secara jama’ di Madinah dalam keadaan tiada ketakutan dan juga bermusafir. Telah berkata Abu Zubair: Aku telah bertanyakan Sa’id: Mengapa dilakukan sebegitu? Maka jawab Sa’id: Aku telah bertanyakan Ibn Abbas soalan seperti yang kamu tanyakan, maka jawab Ibn Abbas: Rasulullah SAW mengkehendaki untuk tidak menyusahkan umatnya.
Riwayat Muslim (705)

Dalam riwayat yang lain pula ada menyebutkan Rasulullah SAW menjamakkan antara zohor dan asar, maghrib dan isyak di Madinah bukan dalam keadaan takut dan juga hujan.

 Al-Imam al-Bukhari Rahimahullah juga meriwayatkan sebuah hadith yang berkaitan dengannya dan ianya juga dari jalan Ibn Abbas r.a:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِالْمَدِينَةِ سَبْعًا وَثَمَانِيًا: الظُّهْرَ وَالعَصْرَ وَالمَغْرِبَ وَالعِشَاءَ، فَقَالَ أَيُّوبُ: لَعَلَّهُ فِي لَيْلَةٍ مَطِيرَةٍ، قَالَ: عَسَى

Maksudnya: Rasulullah SAW telah solat di Madinah 7 rakaat dan 8 rakaat (iaitu) Zuhur dan Asar (8 rakaat), Maghrib dan Isyak (7 rakaat). Maka telah berkata Ayub al-Sakhtiani: Boleh jadi ia pada malam yang hujan dan berkemungkinan boleh jadi.
Riwayat al-Bukhari (543)

Hadith yang   di atas menjadi hujah yang membolehkan jamak bagi orang yang bermukim (orang yang tinggal di suatu tempat melebihi 4 hari- menurut mazhab Syafie.). 
Ulama selain Syafie   berpandangan boleh jamak dan qasar solat dibenarkan sehingga 15 hari. Nabi s.a.w pernah berada di Mekah selama 17 hari dan Baginda menqasarkan solatnya dan ketika di Tabuk selama 20 hari dan baginda juga mengqasarkan solatnya. 
Bagi pendapat ini selagimana seseorang itu berada dalam keadaan musafir maka mereka boleh menjamakkan solat dan juga mengqasarkannya tanpa had. Ini kerana tiada hadith yang menyatakan dengan jelas jarak dan juga tempoh untuk menjamak dan menqasarkan solat.
Dari zahir hadith yang dinyatakan sebelum ini dapat difahami bahawa  adalah dibolehkan untuk jamak solat tanpa sebarang hajat atau keperluan dengan syarat ianya tidak dilakukan secara berterusan. 
Ini merupakan pendapat Ibn Sirin, Rabi’ah, Asyhab, Ibn al-Munzir, al-Qaffal al-Kabir dan dihikayatkan oleh al-Khattabi daripada jamaah daripada ashab al-Hadith. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/219]

Dari zahir lafaz hadith tersebut juga boleh difahami bahawa jika Nabi s.a.w.  menjamakkan solat tanpa sebarang keuzuran seperti ketakutan, hujan dan musafir, maka adalah lebih aula dari sudut hukum membolehkan jamak apabila adanya keuzuran seperti yang dinyatakan di atas.  

Adalah tidak sah untuk mengatakan  sebab yang membolehkan jamak selain apa yang telah dikatakan oleh perawi itu sendiri iaitu: “Rasulullah SAW tidak mahu untuk menyusahkan seorangpun dari kalangan umatnya” dan kaedah menyebut: أن الراوي أدرى بمَرْوِيّه (Seorang perawi itu lebih tahu akan apa yang diriwayatkannya). Maka tidak boleh bagi seseorang untuk mentakwil sesuatu hadith apa-apa yang bukan daripadanya. 

Berkata al-Imam al-Nawawi Rahimahullah: Pandangan ini dikuatkan oleh zahir perkataan Ibn Abbas r.a. yang menyatakan  Baginda SAW tidak mahu menyusahkan umatnya dan tidak di’illahkan dengan penyakit dan tidak pula selainnya. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/219]

Pandangan Lain

Di dalam riwayat al-Bukhari, berkata Ayub al-Sakhtiyani: Boleh jadi peristiwa ini berlaku pada malam yang hujan dan ianya berkemungkinan seperti itu. 
Berkata al-Hafiz Ibn Hajar: Andaian hujan juga merupakan pendapat al-Imam Malik sesudah beliau meriwayatkan hadith ini (di dalam al-Muwatta’)[1].

Penolakan Terhadap Hujah Di Atas

Al-Hafiz menyebut: Akan tetapi hadith ini diriwayatkan oleh Muslim dan ashab al-Sunan daripada jalur Habib bin Abi Thabit daripada Sa’id Ibn Jubair dengan lafaz: tanpa ada rasa takut dan juga hujan. Maka ternafilah jamak yang disebutkan itu dilakukan kerana ketakutan, musafir ataupun hujan. 

Sebahagian para ulama’ pula mengatakan boleh dijamakkan kerana sakit dan pendapat ini dikuatkan oleh al-Imam al-Nawawi namun ianya perlu kepada penelitian semula. Ini kerana, sekiranya Baginda SAW menjamakkan di antara dua solat disebabkan oleh kesakitan, nescaya tidak akan solat bersama Baginda SAW melainkan mereka yang mempunyai keuzuran yang sama. 

Zahirnya, Nabi SAW menjamakkan solat bersama dengan sahabatnya dan perkara itu telah dijelaskan oleh Ibn Abbas r.a. di dalam riwayatnya. [Lihat Fath al-Baari, 2/33]

Berkata al-Imam al-Nawawi: Di antara mereka, terdapat golongan yang mentakwil bahawa keadaan itu berlaku pada keadaan awan mendung, kemudian Baginda solat zohor dan selepas itu awan mendung hilang dan Baginda mendapati telah masuk waktu asar maka Baginda pun menunaikan solat asar. 
Kata al-Imam al-Nawawi, ini adalah pandangan yang batil kerana sekalipun terdapatnya serendah-rendah andaian pada waktu zohor dan asar, akan tetapi tidak ada andaian padanya waktu isyak dan juga waktu maghrib. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/218]

Sebahagian ulama’ hadith mengatakan bahawa ini adalah jamak al-suri (seakan-akan jamak) ia adalah pendapat yang tertolak dengan ucapan perawinya sendiri iaitu: Baginda SAW tidak mahu menyusahkan seorangpun dari kalangan umatnya. 

Boleh dilakukan solat jamak sekiranya terdapat keuzuran yang membolehkannya. Sakit itu adalah satu keuzuran dan bila terdapat kepayahan (masyaqqah (kepayahan atau kesulitan) maka dibolehkan untuk orang yang sakit menjamakkan solatnya. Ini merupakan pendapat al-Imam Ahmad bin Hanbal dan juga Ishak. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/218]

Ia merupakan pendapat di sisi al-Malikiyyah dan pendapat sebahagian pendapat ulama’ al-Syafi’ieyyah. 


Hujan, sejuk yang melampau, angin yang kencang dan jalan yang berbecak ini semua adalah keuzuran yang dibenarkan untuk menjamakkan solat. 

Ibn Mulaqqin Rahimahullah berkata: Ulama’ berbeza pendapat dalam mengatakan kebolehan untuk menjamakkan solat kerana hujan. 

Al-Imam al-Syafi’e dan jumhur membolehkannya pada solat-solat yang boleh dijamakkan padanya. Manakala al-Imam Malik hanya mengkhususkan pada waktu Maghrib dan Isyak sahaja.
 [Lihat al-I’lam bi Fawaid ‘Umdah al-Ahkam, 4/80]

Dibolehkan untuk menjamakkan solat ketika dalam keadaan ketakutan namun sebahagian besar al-Syafi’eyyah tidak membenarkannya kerana solat mempunyai  waktu-waktu yang telah ditetapkan.

Al-Hanabilah di dalam hal ini memperluaskan lagi skop keuzuran itu dengan berpendapat apa sahaja keuzuran atau tugasan yang boleh menyebabkan ditinggalkannya solat Jumaat dan solat berjama’ah seperti takut akan keselamatan diri, maruah dan harta. Asyhab daripada kalangan al-Malikiyyah, Ibn al-Munzir daripada kalangan al-Syafi’eyyah, Ibn Sirin dan Ibn Syubrumah berpendapat bahawa dibolehkan jamak jika diperlukan selagi mana tidak dijadikan adat kebiasaan.

Jamak diizinkan pada perlaksanaan haji di Arafah dan Muzdalifah, Ianya telah disepakati oleh para fuqaha’.

KESIMPULAN

1. Berdasarkan kepada beberapa  hadith  yang dijelaskan sebelum ini bahawa semua hadith adalah sahih melalui  riwayat-riwayat yang berbeza. 
2. Berdasarkan kepada hadith-hadith tersebut, Nabi s.a.w melakukan jamak tanpa sebarang sebab keuzuran hanya sekali atau beberapa kali sahaja dan bukannya satu amalan yang   menjadi adat kebiasaan. Ini berdasarkan kepada beberapa riwayat yang menyebut bahawa  Abu Zubair dan Said bin Jubair juga merasa terkejut apabila mengetahui bahawa Nabi SAW menjamakkan solat ketika sedang bermukim (berada di Madinah) dan bukannya ketika bermusafir dan juga dalam keadaan ketakutan.

Al-Imam al-Tirmizi Rahimahullah pada akhir kitabnya berkata: Tiadalah dalam kitabku ini, mana-mana hadith di mana umah sepakat dan berijmak untuk meninggalkan beramal dengannya melainkan hadith Ibn Abbas berkenaan solat jamak di Madinah tanpa rasa takut dan juga hujan.

Jadi adalah diandaikan bahawa  solat jamak nabi SAW adalah kerana sebab uzur sakit dan ianya juga perkara-perkara yang membawa makna keuzuran yang lain. 
Ini adalah pendapat al-Imam Ahmad, al-Qadhi Husain dan ianya juga adalah pendapat pilihan al-Khattabi, al-Mutawalli, al-Ruyaani dan inilah pendapat yang terpilih kerana zahir hadith dan perbuatan Ibn Abbas dan bertepatan hadith dengan Abu Hurairah RA kerana terdapat padanya masyaqqah (kepayahan). [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/218

3. Perbuatan ataupun amalan biasa solat Rasulullah SAW ketika bermukim adalah melihat kepada amalan ghalib (kebiasaannya) iaitu Rasulullah SAW akan solat pada waktunya yang telah ditetapkan. Hadith ini ingin menunjukkan kepada kita keluasan Islam itu sendiri yang mana pada keadaan-keadaan tertentu boleh dijamakkan di antara dua solat. 

4. Dapat difahami melalui hadith ini bahawa musafir, keadaan takut, hujan, sakit ataupun dalam keadaan yang terdesak boleh dijamakkan solat.



Sekian Wassalam


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...