Wednesday, September 12, 2018

DI SEBALIK HUKUMAN ROTAN TERHADAP PESALAH LESBIAN


Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali hukuman rotan dilaksanakan di khalayak ramai. Hukuman rotan sebanyak enam kali ke atas dua wanita yang telah disabitkan bersalah oleh mahkamah kerana melakukan hubungan seks sejenis di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun,   pada 8 April lalu.
 Hukuman itu dijalankan di bilik mahkamah, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di Kuala Terengganu, disaksikan oleh lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan peguam syarie. Hukuman rotan bagi kedua-dua tertuduh   secara berturut-turut mengambil masa tidak sampai 3 minit setiap seorang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah (lesbian).
Hukuman Bukan Untuk Menzalimi

Matlamat utama bagi setiap hukuman dalam Islam adalah untuk memberi pengajaran kepada pesalah agar menginsafi perbuatannya yang bercanggah dengan hukum agama. Selain dari itu pengajaran juga dapat diperolehi oleh orang ramai yang menyaksikan peristiwa tersebut. Melihat kepada kaedah dan cara perlaksanaan hukuman yang dilaksanakan, sangat jelas bahawa hukuman tersebut bukan untuk menyiksa atau menyakiti pesalah tetapi lebih kepada memberi kesedaran dan keinsafan agar tidak mengulangi perbuatan yang bercanggah dengan hukum syara’. Ini terbukti apabila tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku, bahkan semasa   setiap kali hayunan rotan singgah di tubuh badan tertuduh, tiada jeritan kedengaran. Ini kerana pegawai penjara   perlu mengikuti peraturan yang ditetapkan iaitu menggunakan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala tertuduh. Jelas sekali dalam perlaksanaan hukum syara’ terdapat rahmat di dalamnya. Tepat sekali apa yang sering diuar-uarkan oleh banyak pihak khususnya YB Menteri Agama Dr Mujahid Rawa bahawa Islam itu adalah Rahmat buat sekelian alam ‘Rahmatan lil aalameen’.

 Kesan Hukuman Terhadap Pesalah
Hukuman yang dilaksanakan khususnya apabila ianya dilaksanakan di khalayak ramai pastinya mampu membawa keinsafan kepada pesalah bahkan juga kepada orang ramai. Ini terbukti apabila tertuduh pertama berusia 32 tahun dilihat mengalirkan air mata selepas hukuman rotan enam kali itu selesai manakala tertuduh kedua (22 tahun) pula sebak seketika apabila menerima sebatan ketiga dan terpaksa dihentikan seketika sebelum menyambung tiga sebatan seterusnya. Samada tangisan itu adalah kerana perasaan malu, marah, insaf atau sebagainya, ia bukan urusan kita untuk membuat penghakiman. Kita serah kepada empunya diri dan juga Allah untuk menentukan.

Menjalankan Hukuman di Khalayak Ramai Selari Syariah
Oleh kerana matlamat bagi satu-satu hukuman adalah pengajaran kepada pesalah dan juga orang ramai, maka mahu tidak mahu ianya mestilah dilaksanakan di khalayak ramai. Lagi ramai ‘penonton’ lagi bagus kerana lagi ramai yang akan mengambil iktibar. Ini bertepatan dengan apa yang difirmankan oleh Allah s.w.t di dalam Al Quran:
“Penzina perempuan dan penzina laki-laki, hukumlah masing-masing dari keduanya seratus kali, dan janganlah merasa belas kasihan kepada keduanya yang mencegah kamu untuk (menjalankan) agama (hukum) Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian; dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sebahagian orang-orang yang beriman.”
Al Nur: 2
Perlaksanaan hukuman di khalayak mempunyai kesan yang sangat signifikan kepada pesalah dan juga orang ramai kerana hukuman ke atas perbuatan jahat mereka menjadi tontonan orang ramai. Pastinya ini akan memberikan kesan psikologi yang sangat mendalam dan pastinya pesalah dan mereka yang menyaksikan akan berhati-hati dalam setiap tingkah laku mereka agar mereka tidak akan melalui situasi yang sama.
Hari ini kita lihat jenayah berluasa di mana-mana. Jika diambil hukuman bunuh bagi pesalah yang mengedar dadah, ia seakan tidak memberi apa-apa kesedaran kepada mereka yang terlibat dalam pengedaran dadah meskipun mereka tahu akibat dari kesalahan mereka, namun oleh kerana hukuman bunuh   dibuat di tempat yang tersorok iaitu di dalam penjara, maka tidak ramai yang mengambil pengajaran.
Artikel ini tidak bermaksud untuk mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya menjalankan hukuman bunuh di khalayak kerana ia pastinya akan membawa kesan yang negatif dan kecaman dari pelbagai pihak samada dari dalam atau luar negara, namun pihak kerajaan jika benar-benar serius untuk menangani permasalahan jenayah, maka sudah sampai masanya untuk laksanakan hukuman ringan seperti rotan ini di khalayak ramai.
Kaedah merotan juga harus ditukar dari kaedah biasa yang mencederakan kepada kaedah merotan di dalam Islam yang jauh lebih berperikemaknusiaan kerana matlamat hukuman bukan untuk mencederakan, tapi untuk memberi pengajaran. 

DI SEBALIK HUKUMAN ROTAN TERHADAP PESALAH LESBIAN
oleh
Dr Nik Rahim bin Nik Wajis
Pensyarah Undang-Undang Jenayah Syariah
 Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

Wednesday, September 5, 2018

Ceraikan Saja Isteri Yang Menghalang Anda Berpoligami

Ceraikan Saja Isteri Yang Menghalang Anda Berpoligami

Mungkin ramai yang terkejut bila membaca tajuk di atas. Ramai yang mula naik darah bahkan ada yang mula menyumpah! Rileks…itu hanya tajuk! Jangan mudah menghukum. Inilah silapnya kita hari ini. Baru baca tajuk dah buat kesimpulan dan jatuhkan hukuman. 

Jangan gelojoh dan tergopoh gapah dalam membuat keputusan. Nabi s.a.w bila didatangani oleh Ma’iz bin Malik r.a dan mengaku melakukan zina, Nabi s.a.w tidak terus mengarahkan supaya dihukum rejam sampai mati meskipun pengakuan Ma’iz sudah cukup kuat sebagai bukti dia telah melakukan zina.

Namun Nabi s.a.w terus bertabayyun (membuat kepastian) dengan bertanya kepada Ma’iz dengan berbagai pertanyaan sehingga akhirnya Nabi s.a.w berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Ma’iz. Pada ketika itu barulah Nabi s.a.w membuat keputusan bahawa Ma’iz bersalah dan diperintahkan agar dijalankan hukuman rejam sampai mati ke atas beliau.

Memang kita bukan Nabi. Tetapi Allah utuskan Nabi sebagai qudwah (model) untuk kita jadikan contoh tauladan. Jadi sifat tergopoh gapah dan gelojoh bukan dari ajaran Islam bahkan ia adalah dari amalan syaitan.

Dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda:
“Berhati-hati (tidak gopoh) itu dari Allah manakala kegopohan itu dari syaitan”
Hadith Riwayat Tirmizi

Baik, sekarang  tiba masanya untuk kita pergi lebih jauh berhubung tajuk di atas. 

Sepertimana yang kita semua maklum di Malaysia bahkan di mana-mana negara di dunia, golongan pengamal poligami adalah golongan minoriti. Meskipun poligami secara jelas diterangkan oleh Al Quran bahkan juga oleh banyak hadith serta menjadi amalan para sahabat serta orang-orang soleh, namun tidak ramai yang menggunakan kelebihan hukum ini untuk mengamalkan poligami kerana pelbagai sebab. Antara sebab tersebut adalah halangan dari isteri yang sedia ada samada yang pertama, kedua atau ketiga. Pastinya tiada yang keempat! 

Ada isteri sanggup lari dari rumah bila mendapat 'khabar angin' bahawa suaminya berkahwin lagi. Itu baru khabar angin. Bayangkanlah kalau suami benar-benar berkahwin lagi, agak-agaknya apa yang akan dilakukan oleh isteri sebegini? 

Jadi cabarannya sangat hebat bagi se orang suami. Hati mahu kahwin. Kemampuan ada. Harta lebih dari mencukupi. Keinginan pun sudah lama dipendam. Tubuh badan masih sihat dan sasa. Pendek kata bagi dirinya tiada yang kurang. Memang ‘perfect candidate’ atau calon terbaik untuk berpoligami. 

Hanya satu sahaja halangan yang perlu ditempuhi. Walaupun satu, tapi ianya sangat teguh berdiri seakan mustahil untuk dirobohkan. Lebih teguh dari tembok Berlin yang disebut sebagai Berliner Mauer dalam bahasa Jerman. Tembok ini dibina bagi memisahkan antara Berlin Barat dan Berlin Timur pada masa era perang dingin.  

Namun jika diambil iktibar dari tembok Berlin, ianya akhirnya roboh jua dan dengan robohnya tembok ini maka berlakulah percantuman antara dua negara iaitu Jerman Timur dan Jerman Barat pada 3 Oktober 1990 apabila kehendak dan keinginan untuk mencapai kebebasan dari cengkaman pemerintahan Komunis di Jerman Timur membakar dari dalam diri para pejuang kebebasan. 

Justeru pada ‘pejuang’ poligami harus jadikan peristiwa ini sebagai iktibar. ‘Tembok Berlin’ di rumah anda juga pasti akan roboh apabila anda sebagai ‘pejuang’ mempunyai semangat jitu dan tidak mengenal putus asa.

Baiklah. Kita lupakan sebentar tentang tembok Berlin yang telahpun runtuh itu. Fokus kita sekarang adalah bagaimana pula untuk robohkan ‘tembok Berlin’ yang berdiri tegak di hadapan anda yang menghalang impian anda untuk ‘bebas’? Apakah ada kaedah yang cukup berkesan untuk merobohkannya tanpa ada konfrontasi dan ‘peperangan’? 

Ada kalanya ‘tembok’ itu boleh dilalui tanpa perlu meruntuhkannya iaitu melalui pendekatan diplomasi. Suami duduk berbincang dengan penuh kasih sayang. Suami melahirkan hasrat hati untuk berkahwin lagi. Jelaskan dengan sebaiknya alasan kenapa mahu menambah isteri. 

Awas! Jangan sekali-kali merendahkan isteri anda di hadapannya bahkan juga di belakangnya hanya kerana mahu berpoligami. Ia akan membawa padah yang dahsyat di kemudian hari. Jika jalan diplomasi disaluti dengan pelbagai tawaran mewah dan menarik tidak cukup untuk mendapatkan kelulusan, maka gunakanlah kaedah memujuk isteri. Ada isteri akan terbuka hati akhirnya apabila dipujuk tanpa henti dan dengan penuh kasih sayang. 

Jika pujukan juga tidak menampakkan kesan, maka mungkin si suami akan hilang sabar dan berkata, “awak bagi ke, tak bagi ke saya tetap akan kawin”! Jika ini berlaku, maka sepatutnya si isteri perlu faham, bahawa si suami telah benar-benar nekad untuk berkahwin samada dengan izin atau tanpa izin si isteri. Jadi yang terbaik bagi isteri di kala ini ialah menerimanya dengan hati yang terbuka dan berikan kebenaran tetapi dengan meletakkan beberapa syarat antaranya mempastikan bahawa suami berlaku adil dan tunaikan tanggungjawab dengan baik dan sempurna seperti sebelumnya. Suami pastinya akan bersetuju dengan syarat-syarat tersebut meskipun agar sukar. Yang penting si suami mendapat 'lesen' untuk bernikah lagi!

Namun ada isteri yang terus berdegil dan tidak berganjak dengan keputusan untuk tidak membenarkan suaminya berkahwin lagi. “Langkah mayat saya dulu sebelum awak berkahwin lagi. Kalau awak degil nak kawin juga ceraikan saya!” Kata Puan Halimah kepada suaminya Cikgu Halim.  Jika ini senarionya, maka di saat ini, suasana sudah bertukar menjadi panas dan bergelora. Suami bertekad akan tetap berkahwin setelah kaedah diplomasi dan pujukan gagal membuahkan hasil yang diharapkan. Isteri pula tetap teguh seperti tembok Berlin dan tidak berganjak dari keputusannya.

Baik. Jika ini situasi yang dihadapi oleh si suami, apakah jalan terbaik merungkai permasalahan ini dengan mengambil kira dua isu pokok iaitu pertama, suami sudah bertekad untuk berkahwin walaupun tanpa kebenaran isteri dan kedua isteri bertekad untuk diceraikan jika suami tetap berkeras untuk berkahwin tanpa keizinannya. Bagi suami ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum membuat keputusan muktamad. Antaranya ialah kesan terhadap anak-anak. 

Si isteri sudah bukan isu lagi sebab bila isteri nekad dan minta diceraikan maka, si isteri harus mencari jalan penyelesaian sendiri dan bukan lagi menjadi tanggungjawab si suami. Namun yang lebih penting di sini adalah anak-anak. Sebagai se orang ayah yang bertanggungjawab, maslahah atau kepentingan anak-anak perlu diutamakan kerana anak-anak yang membesar tanpa kasih sayang dan perhatian ayah akan mengalami gangguan emosi dan merencatkan masa depan mereka apatah lagi jika si ibu pula tidak mampu mengawal dan mendidik anak-anak dengan didikan agama. 

Anak-anak akan jadi anak liar dan akhirnya terlibat dengan gejala sosial seperti dadah, seks luar nikah dan lain-lain. Cuba jawab soalan ini dengan seikhlasnya. Sanggupkah anda korbankan masa depan anak-anak yang anda kasihi hanya kerana ingin berkahwin lagi? Namun jika anda tidak mempunyai anak, isu ini tidak perlu anda fikirkan.

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian serius sebelum membuat keputusan untuk meneruskan hajat hati berkahwin lagi ialah tahap keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga yang telahpun terbina. Jika anda sudah hidup bahagia, harmoni, mesra dan penuh kasih sayang dalam perkahwinan sedia ada, isteri pun masih muda dan menawan, pandai mengambil hati anda, melayan anda dengan baik, tidak menyakiti hati anda, taat dan patut kepada arahan Allah dan Rasul dan juga anda, maka tanya soalan ini kepada diri anda sebelum memulakan langkah untuk berkahwin lagi dalam keadaan anda terpaksa menceraikan isteri anda. 

Apakah munasabah untuk anda tinggalkan isteri anda sedangkan isteri anda memiliki sifat-sifat isteri solehah? Apakah berbaloi untuk tinggalkan isteri yang selama ini telah membawa kebahagiaan kepada anda dan berkahwin dengan wanita lain yang belum pernah anda hidup bersamanya? 

Jawablah dengan hati yang jujur dan ikhlas tanpa disaluti oleh nafsu jantan yang bergelora. Anda pasti akan ketemu Jawapannya insya Allah.

Ini adalah senario bagi isteri yang baik dan taat tetapi tetap tegas menghalang suami berpoligami. 

Kadangkala agak pelik juga dan amat sukar untuk memahami jiwa wanita. Sangat solehah, sangat memahami agama bahkan terlibat dengan jemaah Islam. Bila cerita tentang agama dialah yang paling terkehadapan. Bila cerita tentang pengorbanan kepada agama dialah ‘champion’nya. Tapi bila sampai bab poligami dia akan berkata “ustazah tak halang poligami. Poligami adalah sunah Nabi dan amalan para sahabat. Tapi ustazah tak boleh terima kalau suami ustazah yang berpoligami”.

Baiklah. Bagaimana pula jika senarionya tidak seperti di atas? Isteri tidak melayan suami dengan baik. Bersikap kasar setiap masa. Makan minum suami tidak diurus dengan baik. Tidak ada rasa hormat kepada suami. Arahan suami sering diingkari. Maruah suami sering dicalarkan. Keaiban suami dijadikan tatapan umum di media sosial atau seumpamanya. Solat tidak jaga. Aurat tidak tutup dengan sempurna meskipun berkali-kali diberi amaran oleh suami. 

Atas sebab ini si suami merasa hambar hidup berumahtangga. Tiada mawaddah. Tiada kasih sayang. Tiada kemesraan. Yang ada hanya kebencian, kemarahan, rasa tidak puas hati, sedih dengan layanan buruk yang diberikan oleh isteri. 

Lantas suami menyuarakan hasrat hatinya untuk bernikah lagi. Niatnya pada mula, bukan mahu menceraikan isterinya kerana sifat-sifat buruk yang ada pada isterinya tapi sekadar mencari alternatif agar di celah-celah kekecewaan terdapat juga kasih sayang dari isteri baru yang bakal dikahwini yang diyakini dapat memberi sekelumit kebahagiaan kerana bakal isteri baru zahirnya seorang yang berilmu dan berakhlak mulia. Ajaran agama dilaksanakan dengan sempurna. Jika dibuat perbandingan, seakan langit dan bumi beza antara keduanya. Namun isteri pertama memberontak dan enggan tunduk pada kehendak suami untuk berpoligami. 

Jadi di sini, saya ingin bertanya kepada pembaca sekelian yang budiman, apakah patut   si suami tadi menceraikan isterinya dan berkahwin dengan isteri yang baru yang diyakini dapat membahagiakannya? Saya tidak akan memberikan jawapan atau pandangan. Jika anda se orang yang berakal waras dan tidak terbawa-bawa dengan emosi dan kegilaan menurut nafsu dan keegoan diri, anda pasti akan ketemu jawapannya. Insya Allah!


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan