Wednesday, September 12, 2018

DI SEBALIK HUKUMAN ROTAN TERHADAP PESALAH LESBIAN


Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali hukuman rotan dilaksanakan di khalayak ramai. Hukuman rotan sebanyak enam kali ke atas dua wanita yang telah disabitkan bersalah oleh mahkamah kerana melakukan hubungan seks sejenis di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun,   pada 8 April lalu.
 Hukuman itu dijalankan di bilik mahkamah, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di Kuala Terengganu, disaksikan oleh lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan peguam syarie. Hukuman rotan bagi kedua-dua tertuduh   secara berturut-turut mengambil masa tidak sampai 3 minit setiap seorang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah (lesbian).
Hukuman Bukan Untuk Menzalimi

Matlamat utama bagi setiap hukuman dalam Islam adalah untuk memberi pengajaran kepada pesalah agar menginsafi perbuatannya yang bercanggah dengan hukum agama. Selain dari itu pengajaran juga dapat diperolehi oleh orang ramai yang menyaksikan peristiwa tersebut. Melihat kepada kaedah dan cara perlaksanaan hukuman yang dilaksanakan, sangat jelas bahawa hukuman tersebut bukan untuk menyiksa atau menyakiti pesalah tetapi lebih kepada memberi kesedaran dan keinsafan agar tidak mengulangi perbuatan yang bercanggah dengan hukum syara’. Ini terbukti apabila tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku, bahkan semasa   setiap kali hayunan rotan singgah di tubuh badan tertuduh, tiada jeritan kedengaran. Ini kerana pegawai penjara   perlu mengikuti peraturan yang ditetapkan iaitu menggunakan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala tertuduh. Jelas sekali dalam perlaksanaan hukum syara’ terdapat rahmat di dalamnya. Tepat sekali apa yang sering diuar-uarkan oleh banyak pihak khususnya YB Menteri Agama Dr Mujahid Rawa bahawa Islam itu adalah Rahmat buat sekelian alam ‘Rahmatan lil aalameen’.

 Kesan Hukuman Terhadap Pesalah
Hukuman yang dilaksanakan khususnya apabila ianya dilaksanakan di khalayak ramai pastinya mampu membawa keinsafan kepada pesalah bahkan juga kepada orang ramai. Ini terbukti apabila tertuduh pertama berusia 32 tahun dilihat mengalirkan air mata selepas hukuman rotan enam kali itu selesai manakala tertuduh kedua (22 tahun) pula sebak seketika apabila menerima sebatan ketiga dan terpaksa dihentikan seketika sebelum menyambung tiga sebatan seterusnya. Samada tangisan itu adalah kerana perasaan malu, marah, insaf atau sebagainya, ia bukan urusan kita untuk membuat penghakiman. Kita serah kepada empunya diri dan juga Allah untuk menentukan.

Menjalankan Hukuman di Khalayak Ramai Selari Syariah
Oleh kerana matlamat bagi satu-satu hukuman adalah pengajaran kepada pesalah dan juga orang ramai, maka mahu tidak mahu ianya mestilah dilaksanakan di khalayak ramai. Lagi ramai ‘penonton’ lagi bagus kerana lagi ramai yang akan mengambil iktibar. Ini bertepatan dengan apa yang difirmankan oleh Allah s.w.t di dalam Al Quran:
“Penzina perempuan dan penzina laki-laki, hukumlah masing-masing dari keduanya seratus kali, dan janganlah merasa belas kasihan kepada keduanya yang mencegah kamu untuk (menjalankan) agama (hukum) Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian; dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sebahagian orang-orang yang beriman.”
Al Nur: 2
Perlaksanaan hukuman di khalayak mempunyai kesan yang sangat signifikan kepada pesalah dan juga orang ramai kerana hukuman ke atas perbuatan jahat mereka menjadi tontonan orang ramai. Pastinya ini akan memberikan kesan psikologi yang sangat mendalam dan pastinya pesalah dan mereka yang menyaksikan akan berhati-hati dalam setiap tingkah laku mereka agar mereka tidak akan melalui situasi yang sama.
Hari ini kita lihat jenayah berluasa di mana-mana. Jika diambil hukuman bunuh bagi pesalah yang mengedar dadah, ia seakan tidak memberi apa-apa kesedaran kepada mereka yang terlibat dalam pengedaran dadah meskipun mereka tahu akibat dari kesalahan mereka, namun oleh kerana hukuman bunuh   dibuat di tempat yang tersorok iaitu di dalam penjara, maka tidak ramai yang mengambil pengajaran.
Artikel ini tidak bermaksud untuk mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya menjalankan hukuman bunuh di khalayak kerana ia pastinya akan membawa kesan yang negatif dan kecaman dari pelbagai pihak samada dari dalam atau luar negara, namun pihak kerajaan jika benar-benar serius untuk menangani permasalahan jenayah, maka sudah sampai masanya untuk laksanakan hukuman ringan seperti rotan ini di khalayak ramai.
Kaedah merotan juga harus ditukar dari kaedah biasa yang mencederakan kepada kaedah merotan di dalam Islam yang jauh lebih berperikemaknusiaan kerana matlamat hukuman bukan untuk mencederakan, tapi untuk memberi pengajaran. 

DI SEBALIK HUKUMAN ROTAN TERHADAP PESALAH LESBIAN
oleh
Dr Nik Rahim bin Nik Wajis
Pensyarah Undang-Undang Jenayah Syariah
 Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...